GEMALA RINDU
Antologi Puisi Gaksa
Volum 6

Image result for image batu sakti

Penyelenggara
IRWAN ABU BAKAR

Diterbitkan oleh:

Gaksa Enterprise, Cilegon, Banten, Indonesia.

KANDUNGAN

Alu-aluan Penerbit
Resensi
Puisi

1. As Syramy
2. CT Nurza 
3. Dino MN
4. Gabriel Kimjuan
5. Iffa Aini Hamd
6. Mokhtar Rahman
7. Noorhamy
8. Pengiran Haji Shamsu PHK
9. Sujata Wee
10. Suzana Jumadil

ALU-ALUAN PENERBIT

Alhamdulillah, dengan sokongan para penulis dan pengurusan Gaksa, siri antologi puisi terbitan Gaksa lahir lagi dalam bentuk Vomum 6 ini. Buku ini ialah buku antologi ketujuh yang dihalrka oleh Gaksa sejak ditubuhkan pada tahun 2017. Seperti biasa, Gaksa mempersembahakn karya penulis dari pelbagai negara ASEAN, dengan buku ini membawa karya garapan penulis Brunei Darussalam, Indonesia, dan Malaysia.

Semoga usaha Gaksa ini mendapat sokongan para aktivis sastera dari seluruh rantau ASEAN untuk memajukan bahasa Melayu ASEAN sebagai bahasa perantara dalam kalangan rakyat. Juga menjadikan aktiviti sastera sebagai alat memesrakan dan menyatukan kita semua.

-IRWAN ABU BAKAR
Ketua I, Gabungan Komunitas Sastra ASEAN (Gaksa) b/p Gaksa Enterprise, Cilegon, Banten, Indonesia.
Kuala Lumpur, Malaysia, 7.11.2020.

RESENSI

RESENSI ANTOLOGI PUISI GAKSA VOLUM 6
Oleh: Rosnidar Ain

Saya mula berjinak-jinak dengan E-sastera pada tahun 2006 apabila perlu membuat kajian tentang media baharu untuk tesis sarjana saya. Ketika ini, E-sastera telahpun terkehadapan dengan menghidangkan kepada pembaca satu portal yang boleh diakses bersama malah mampu berkarya bersama-sama. Di sini, teman-teman maya menjadi akrab kerana berkongsi satu perkara, karya. Portal ini menerima sesiapa sahaja untuk berkarya. Yang mula menulis, yang kecewa menulis, yang ditolak, yang establish atau yang ingin mencari bahan bacaan untuk mengisi masa senggang. Saya mula berkenalan dengan pengkarya-pengkarya yang bukan sahaja datang dari negara Malaysia namun turut berkongsi cerita dengan pengkarya daripada Indonesia, semestinya. Selepas itu, saya cuba menerima pelawaan daripada pengasasnya, Irwan Abu Bakar yang saya gelar Prof Irwan untuk bertukar-tukar cerita sastera di Palembang. Prof Irwan, orang yang asing daripada sastera kerana latarbelakangnya jurutera, menggunakan keupayaan beliau untuk memartabatkan sastera di Asia Tenggara. Kini, dengan terhasilnya beberapa buah antologi puisi dan cerpen yang berusaha menyatukan Asia terutamanya Asia Tenggara dengan karya berbahasa Melayu, beliau telah menarik ramai pengkarya dari pelbagai negara untuk bersatu atas nama sastera.
Dengan terhasilnya Gemala Rindu yang berentetan daripada antologi puisi Gaksa sebelum ini, memperlihatkan kegigihan Prof. Irwan dalam merapatkan jurang sastera di Asia. Gemala Rindu merupakan judul bagi Antologi Puisi Gaksa Volum 6 yang dikarang oleh 10 penyair, terdiri daripada beberapa buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, dan Brunei Darussalam. Mengekalkan corak penulisan seperti volum-volum sebelumnya, setiap penyair telah mempersembahkan masing-masing 10 buah puisi yang berbeza tema dan gaya. Penyair-penyair yang terlibat dalam projek penulisan kali ini ialah As-Syramy, CT Nurza, Dino MN, Gabriel Kimjuan, Iffa Aini Abd. Hamid, Mokhtar Rahman, Norshamsudin Yassin, Pengiran Haji Shamsu PHK, Sujata Wee, dan Suzana Jumadil.

Saya selusuri sedikit karya-karya ni.

As-Syramy cuba melahirkan rasa syahdu dengan menghidangkan sajak-sajak tentang kenangan dan kemanusiaan yang dapat diperhatikan dalam beberapa buah sajak seperti “Cikgu, Aku Kini Jadi Manusia”, “Bertemu untuk Berpisah”, “Helaian Berguguran”, dan “Telah Kita Tinggalkan”.

Tulisan penyair yang berikutnya, CT Nurza berbeza dengan memfokuskan penulisan berbentuk puisi-puisi tradisional seperti pantun, pantun berkait, seloka, dan gurindam. CT Nurza mengangkat isu-isu setempat, isu-isu yang sentiasa dialami manusia dengan menulis puisi seloka “Kawan Variasi Kawan” yang mengisahkan tentang sifat seorang kawan. Antara bait-bait yang beliau pilih:

Kawan penghasut perangai syaitan
Dalam diam fitnah berjujutan
.

Kawan dibantu kaki penipu
Cari sokongan membodek ampu
.

Beliau juga mengisahkan tentang pemiutang dalam gurindam bertajuk “Elakkan Budaya Hutang”. Beberapa baris gurindamnya menggambarkan bahawa pemiutang bersikap:

Apabila hutang membebankan orang
Teman yang rapat menjadi kurang.

Penyair seterusnya yang berasal dari Brunei Darussalam, Dino MN yang melakar sajak bersifat prosa, haiku, dan sonian hadir dengan persoalan-persoalan kehidupan yang merenung keesaan Tuhan.

Gabriel Kimjuan yang gemar bermain dengan rima hujungnya, banyak mengutarakan persoalan-persoalan kehidupan melalui beberapa puisinya seperti “Mati”, “Kesurupan”, “Sangkar Bumi Hayat” dan lain-lain. Puisi-puisi yang dihadirkan dengan bahasa yang agak berlapis menonjolkan keindahan puisi-puisinya. Antara puisinya yang mampu memberi kesan ialah yang berjudul “Kertas Yang Ada Kemudi.”

Semenjak aku gunting kertas hati
lima jari mengoyak cebisan memori
yang lama tertulis dalam janji
hingga dengar jantung bernadi
menghilangkan rasa ke laut mati
biarkan saja kertas ada kemudi
pasti akan jumpa pulau sejati.

Iffa Aini Hamd banyak memilih kalimat hiperbola dalam mempersembahkan puisinya. Antara puisi yang banyak sekali membaurkan diksi yang melebih-lebihkan kata dan maksudnya ialah “Stanza Keramat Sepotong Puisi”. Antara patah kata yang begitu memperlihatkan keadaan ini ialah:

Majas bersumbi elergi
Mengetap kias kata yang mengancing naluri
Merecup bulir-bulir ruhul hayati
Beralun-alun lantunan emosi
Melarik pucuk terayun mimpi-mimpi
Merentak gemalai tari jemari
Melayut terindah nyanyi
Tidak lagi dingilu gigi bergeser gigi.

Namun puisi “Gemala Rindu” yang menjadi tajuk antologi ini melonggarkan ketegangan puisi-puisi sebelumnya dengan pilihan kata yang tersusun menggambarkan kelembutan penulisnya memperlihatkan kerinduan dan dambaan dalam puisinya.

Mokhtar Rahman, dengan tutur bahasa yang teratur, memperlihatkan beberapa tema yang berbeza tetapi lebih cenderung memilih alam sebagai olahan cerita dalam puisinya. “Beting”, “Air”, “Laut dan Sungai”, dan “Pagi”. Beliau mencerminkan betapa dekat hidupnya dengan alam.

Noorhamy, dalam puisinya, sering membayangkan tentang usia dan waktu yang hampir hilang, tentang kesuntukan hidup seorang manusia. Dalam puisinya “Aku Cuma Punya Sedikit”, “Bisikan Hati Buat Warga Tua”, “Dedaun yang Berguguran”, “Dipanjat Usia”, “Kuncupnya Tetap Mewangi”, “Lalu Bertanyalah Seorang Tua” dan hampir keseluruhannya, menunjukkan kata-kata tentang betapa singkatnya waktu yang diratah, di penghujung dan dipanjat usia.

Pengiran Haji Shamsu PHK memperlihatkan puisi-puisi yang mempunyai rangkap yang lebih panjang berbanding pengarang-pengarang lain. Beliau juga, dalam puisinya, ada menyelitkan tentang ‘usia’ yang hampir sama dengan Noorhamy yang menyatakan tentang perjalanan hidup seorang manusia. Selain itu, beliau lebih senang mencatat perjalanan hidupnya melalui puisi-puisi tentang ketuhanan dengan beberapa buah puisi seperti “Semerbak Nama-Mu, “Tawaf Sa’ieku”, “Setulus Hati Sehening Jiwa”, dan beberapa lagi.

Tema dan persoalan ini disampaikan lagi oleh Suzana Jamadil dengan judul-judul puisi “Bingkisan Dari Tuhan” dan “Tabung Dosa”. Namun beliau juga mengkritik kehidupan dunia dengan puisi “Dunia Maya” dan “Tin Kosong”. Diksinya yang lebih tersusun tanpa bahasa yang terlalu berkias, menjadikan puisi-puisi Suzana lebih mudah dihayati dan difahami maksud yang ingin beliau sampaikan.

Sujata Wee, atau Wee Sock Yam, banyak menyampaikan bikisan hati melalui sajak-sajak yang berjudul “Kota Sebuah Setia”, “Sepohon Hasrat”, “Sebelukar Resah”, “Duhai Hati”, “Jauh Semakin Jauh” dan lain-lain. Dalam puisi-puisi ini, beliau membayangkan ketidaksampaian hasrat pengarang sehingga rentetan kejadian ini tersusun berurutan pada awal hingga puisinya yang terakhir.

Menyelusuri puisi-puisi di dalam antologi ini menonjolkan emosi yang berbeza-beza kerana ditulis penulis berasaskan pengalaman hidup yang berbeza. Kisah cinta, kesayuan, keheningan di penghujung usia, ekspresi marah dan semangat, serta kelembutan dan ketenangan dicoretkan oleh pengarang yang berbeza menjadikan antologi Gemala Rindu suatu bacaan yang enak.

Diucapkan tahniah kepada Dr. Irwan Abu Bakar dan pengurusan yang berusaha keras menjadikan antologi ini suatu kenyataan. Semoga banyak lagi antologi bakal menyusul dalam genre yang berbeza.

PUISI

1.
AS SYRAMY

BIODATA. Nama sebenar ialah Wan Mohd Ashraf Bin Wan Mohamed. Lahir di Kg. Siram, Pasir Mas, Kelantan pada 22/7/1969. Kemudiannya tinggal di Lot 2910, Kg Bendang Pauh, 17060 Pasir Mas, Kelantan. Bekerja sebagai guru di SMK Sri Kiambang, 17070 Pasir Mas, Kelantan. (Sdr As Syramy telah meninggal dunia pada 3 April 2020. Semoga Allah pelihara dan rahmati dia di alam sana).

PUISI

1.01. Jangan Ditahan Kristal Itu
1.02. Terjun Dalam Kesamaran
1.03. Air Segeluk
1.04. Cikgu, Aku Kini Jadi Manusia
1.05. Mekarlah Terataiku
1.06. Bertemu Untuk Berpisah
1.07. Ceritera Kasih Sayang
1.08. Helaian Berguguran
1.09. Telah Kita Tinggalkan
1.10. Apabila Ramadan

1.01.
JANGAN DITAHAN KRISTAL ITU

Kristal jernih yang meniti pipi
tidaklah keluarnya tanpa sebab
bukan sia-sia.

Jika bukan kerana sebuah perpisahan
atau oleh kekecewaan melanda
atau kerana rasa terharu
jua kegembiraan dan syukur.

Usah ditahan kristal jernih itu bergolek
kelak sekak dan sebak di dada
bergelodak jiwa, mengacau emosi.

Kristal ini yang bergolek
kerana rasa kerdil dgn Tuhan
kerana keinsafan dan taubat
dijanjikan pengampunan dan rahmat-Nya.

Bendang Pauh, 22 1848H Mac 2017.

1.02.
TERJUN DALAM KESAMARAN

Tidak tahu sedalam mana
tidak tahu  sederas mana arus
tidak tahu seluas mana lautan
menduga dalam kesamaran
melempar pancing berumpan segar.

Tidak pun sampai ke dasar
tidak pun dicuit umpan
kecewa ingin bertandang
putus asa ingin mendiam.

Tidak kuizinkan
selagi ada nyawa
selagi ada qudrat
selagi ada iradat
takdir Ilahi usah dinafi.

31 1313H Mac 2014.

1.03.
AIR SEGELUK

Di hadapanku segeluk air jernih
tidak kutahu untuk apa
untuk diminum
ataukah untuk bersuci.

Kupegang geluk itu
geluk bergoyang
air berkocak 
terpercik ke muka.

Air segeluk itu
kuisi di cawan dan gelas
ada yang diminum air jernih itu
ada yang membancuh gula dan perisa 
ada yang membasuh muka
ada yang dibuat berkumur.

Air segeluk itu
kitalah penentu
apa jadinya.

Bendang Pauh, 25 1230H Feb 2017.

1.04.
CIKGU, AKU KINI JADI MANUSIA

Dulu aku, cikgu
bukan ketua pelajar
bukan pelajar pintar
bukan atlet olahraga
bukan imam di surau
bukan pengawas sekolah
aku cuma pelajar biasa
yang tidak ternama.

Kini aku, cikgu
orang biasa-biasa
seorang peniaga cuma
namun mampu menyara keluarga
makan pakai agak sempurna
biar tidak semewah mana
punya rumah dan kereta
mampu jua cikgu kubelanja
di warung atau restoran  sahaja
bukanlah di hotel ternama,

Aku hidup seadanya
menjadi manusia 
bukan syaitan durjana
syukur kupanjatkan pada-Nya
terima kasih tidak terhingga
pada cikgu mengajar tulis, baca
mengajar adab, ibadat, dan petua 
melayari hidup di dunia
mencari bekal ke akhirat sana.

Syukur, ya Allah
terima kasih, cikgu.

Kubang Badak, 14 0800H Apr 2014.

1.05.
MEKARLAH TERATAIKU

Kuberdiri di tepi tasik lombong tinggalan
terpandang sekuntum teratai putih
indah kelopak lembut meliuk dibelai semilir
kuhulur tangan ingin kupetik
tapi tanganku tak cukup panjang
kuambil galah ingin kugapai masih tak sampai.

Kuingin menjadi kumbang
menghirup madu teratai putih
di hujung tasik lombong tinggalan itu
kerana tak sampai tanganku
memetik kuntum indah itu
cukuplah andai dapat kuhirup madunya.

Mekarlah teratai putihku
biar sepi di hujung tasik lombong tinggalan
kerana kuntummu itu teramat indah
di mataku, sang arjuna atau seekor kumbang.

Bendang Pauh, 08 1919H Feb 2018. 

1.06.
BERTEMU UNTUK BERPISAH

Pertemuan kita
bertemu untuk sekadar bersua
bertemu untuk menyapa
bertemu untuk berkenalan
bertemu untuk berkawan
bertemu untuk berkasih
bertemu untuk jatuh cinta.

Bersua muka
tersenyum
menyapa
kasih bertaut
rindu bertandang.

Rindu datang 
kala berjauhan
tiada di depan mata
berpisah.

Bertemu untuk merindu
bertemu untuk berpisah
seketika
atau selamanya.

Bertemu dan berpisah
lumrah hidup
takdir Tuhan.

Bendang Pauh, 02 2222H Jan 2018.

1.07.
CERITERA KASIH SAYANG

Dipinjamkan Allah sifat Rahim-Nya
kepada makhluk yang bernama wanita
tempat tumbuh zuriat
di dalamnya disiram kasih
lahir ke dunia dimanjai sayang.

Sebuah cinta bersemayam di peterana jiwa
sebuah kasih bersemi di istana hati
sebuah sayang bertakhta di singgahsana rasa
bersemi di tempat yang kukuh
payah dicapai
susah digoyah.

Alirkan cinta bersama darah di urat saraf ke minda
salurkan kasih bersama udara ke otak
gerakkan sayang bersama degup jantung ke fikiran
menjelmalah sebuah rindu
rasa bayangan cinta
rasa jelmaan kasih
rasa hasilan sayang.

Pupuklah cinta
suburkan kasih
zahirkan sayang
sebarkan seluruh alam.

“Kasihilah makhluk di bumi
kau ‘kan dikasihi penghuni langit”.

Bendang Pauh, 16 1050H Sept 2014.

1.08.
HELAIAN BERGUGURAN

Tika kasih berpaut
sayang berbunga
cinta berputik
hati teringat.

Biar cinta belum ranum
rinduku menghijau
menguning
berguguran.

1.09.
TELAH KITA TINGGALKAN

Telah kita tinggalkan
semusim yang berlalu
dengan jejak-jejak
yang berbekas
atau tanpa bekas
di atas kanvas waktu.

Tanpa kesal
sesekali kita toleh
sinar yang beransur pudar
atau bayangan yang kian hilang.

Kita merenung musim yang telah ditinggalkan
bukan untuk mengungkit
bukan untuk dihantui
untuk jadi iktibar
untuk jadi panduan
untuk menelan manis kristal waktu.

Telah kita tinggalkan 
musim yang dulu
dan dengan berani melangkah
susuri musim mendatang.

Bendang Pauh~SalamMaalHijrah~01 2108H Muharram 1439H.

1.10.
APABILA RAMADAN

Apabila menjelang Ramadan
yang puasa belum berganti, mula risau
yang menjadi suri sibuk mencari bekalan
yang jadi ibu sibuk menempah baju raya
yang berniaga sibuk mencari tapak di Bazar Ramadan.

Apabila awal Ramadan
jemaah penuh di masjid bersolat Terawih
semangat berkobar untuk bertadarus
perantau sibuk mencari tiket pulang beraya
wanita sibuk menempah kuih dan biskut raya.

Apabila penghujung Ramadan
jemaah Terawih mula lengang
rumah penuh dengan perantau
jalanraya sesak di mana-mana
mercun mula bingit telinga
maklumlah nak beraya

Apabila selepas Ramadan
Aidilfitri pun menjelma
berbaju baru aneka warna
di masjid Takbir bergema
di radio dan televisyen kedengaran lagu raya
jangan sampai terlupa bayar fitrah.

Apabila Ramadan sudah berlalu
sibuk pula rumah terbuka
di rumah
di pejabat
di mana-mana
jangan tertinggal Puasa Sunat Syawal pula
bagai setahun puasa fadilatnya.

Apabila Ramadan
bulan ditunggu
masihkah ada Ramadan untuk kita?

Pasir Mas, 08 0857H Julai 2014.

2.
CT NURZA

BIODATA. Nama sebenar Siti Nur binti Zainal. Nama pena CT Nurza. Berasal dari Jerantut, Pahang Darul-Makmur. Aktif menulis semenjak tahun 1989 sehingga kini. Karya-karya telah banyak diterbitkan di radio RTM, akhbar, dan majalah arus perdana (1989-2018). Pernah bertugas sebagai penulis merangkap penolong pengarang majalah iK-Inspirasi Kejayaan Magazine isu 01-12 (Dis 2011-Ogos 2013). Menyertai lebih daripada 100 buah antologi bersama dalam pelbagai genre yang telah pun diterbitkan. Pernah beberapa kali menjadi pemenang utama dalam pelbagai pertandingan mengarang yang dianjurkan oleh radio RTM, akhbar, majalah, dan laman sosial FB (1990-2017). Pencapaian terkini, “Pemenang Kedua” peraduan menulis sajak “Jasa Pendeta Za’ba” anjuran grup BeTA IBH (2016),  “Pemenang Kedua” Sayembara Gema Patriotik (genre) “Pantun Berkait” anjuran DBP Niaga (2016), “Johan Sayembara Puisi (genre) Haiku, Syair dan Pantun” anjuran grup SPTA (2016-2017), “Pemenang Sagu Hati” Sayembara Puisi DSN anjuran grup Dirgahayu Sastera Nusantara PS Numira Temasik (2017), Pemenang terbaik ulasan novel fobia (2017), Pemenang “Fiesta April” Wattpaders Malaysia 2018 “Short Story” (Kategori Paranormal), Pemenang Hadiah Sagu Hati (Penghargaan) Sayembara Menulis Puisi/Cerpen DPMP/PKPP 2017/2018 kategori cerpen anjuran Dewan Persuratan Melayu Pahang, dan Pemenang Sayembara “Halloween Vault” Wattpades Malaysia 2018 “Short Sory” Prompt Pesta Topeng. Antara buku Kompilasi Puisi yang telah diterjemahkan kepada Dwi-Bahasa “The Eternal Storm” – Sekali Air Bah, Selamanya Pasir Berubah terbitan E-magineers (M) Sdn. Bhd. & ITBM (2015) & Antologi Haibun Haiku Melayu berjudul “REGIS” (SPTA). Kini aktif menulis rencana sastera, ulasan buku, travelog kembara, serta karya-karya eceran di akhbar dan majalah arus perdana Malaysia. Buku solo 2018, Kumpulan sajak Bak Bakawali, Mineral, Daun Lebar dan Kokila” (Terbitan Jom Sastera). Aktif mengikuti program-program sastera dan budaya bersama grup ZK-Nusantara semenjak 2015 sehingga kini. Juga aktif berkarya di laman E-sastera Vaganza ASEAN.

PUISI

2.01. Diari Harapan
2.02. Kuatren: Penangan Mawar
2.03. Pantun Berkait: Tiada Guna Berteman
2.04. Pantun: Disember
2.05. Pantun: Produktiviti
2.06. Pantun: Untuk SN Usman Awang
2.07. Seloka: Kawan Variasi Kawan
2.08. Kejujuran Itu
2.09. Definisi Abjad
2.10. Gurindam: Elakkan Budaya Hutang

2.01.
DIARI HARAPAN

Diariku masih kosong
semenjak hari pertama dibeli
catatan diri masih lagi menyepi
entah apa yang ingin kutulis
entah mengapa aku membeli

Barangkali…
tahun ini diariku penuh teka-teki
setelah harapan silih berganti
cerah bertukar malap
malap menjadi kelam
namun tetap kuberi harapan baharu
hijau warna kehidupan
membiru indah cinta Ilahi
tidak kira ujian mendatang
tatang dan iringi dengan ketabahan
lantaran kecekalan menitip keindahan
melakar gegelang perjuangan
menuntut sejuta kesabaran dan pengorbanan

Diari…
biarkan ia terus tersimpan rapi
menjadi curahan rahsia hati
terapi diri tatkala emosi diuji
segala tangisan ada ceritanya tersendiri.

Jerantut, Pahang, Malaysia, 13 Feb 2019 11:03 pg.

2.02.
KUATREN : PENANGAN MAWAR

Kuntuman mawar semerbak harum,
membuka hati gadis remaja,
durinya tajam bagaikan jarum,
jadi idaman insan dipuja.

Beriring mawar cincin disarung,
di jari manis pujaan hati,
mawar memujuk hati nan murung,
janji sejoli kan ditepati.

Jambangan mawar cetus persepsi,
di taman hati berputik cinta,
rahsia tersirat berbasa basi,
tidak terungkap denganlah kata.

Gementar hati tidak terkata,
bimbanglah kasih tidak berbalas,
malulah untuk bertentang mata,
cari alasan cakap beralas.

Penangan mawar ada yang angau,
tak lena tidur igaunya panjang,
rindu kekasih terigau-igau,
malanglah nasib mata keranjang.

Malaysia, 6 Feb 2019 12:34 pm.

2.03.
PANTUN BERKAIT: TIADA GUNA BERTEMAN

Menguning sena gugur di taman,
cantik banjaran merentang jalan;
apalah guna teman berteman,
jika sindiran jadi amalan.

Cantik banjaran merentang jalan,
darilah Ipoh hingga ke pekan;
jika sindiran jadi amalan,
baik menjauh segera tinggalkan.

Darilah Ipoh hingga ke pekan,
beli seraga buah mengkinang;
baik menjauh segera tinggalkan,
hati terjaga emosi tenang.

Beli seraga buah mengkinang,
bawa ke desa pulut dan sagu;
hati terjaga emosi tenang,
perpaduan bangsa tidak terganggu.

Bawa ke desa pulut dan sagu,
pisang disisir bekal ke paya;
perpaduan bangsa tidak terganggu,
dengan anasir dan fitnah maya.

Jerantut, Pahang, 15 Jan 2019 11:35 pg.

2.04.
PANTUN DISEMBER

Redup pepohon,
mentari sirna;
berganti tahun,
azam ke mana.

Ranting dibakar,
api di lembah;
tahun bertukar
usia bertambah

Kain beragi,
jemur di ampai;
iltizam tinggi,
cita tercapai

26 Nov 2018 .7:33 mlm.

2.05.
PANTUN PRODUKTIVITI

Daun kemboja julur ke tingkap,
tampak bermotif awan silara;
banyak bekerja kurang bercakap,
baru produktif hasil negara.

Tampak bermotif awan silara,
cerah mentari hari meninggi;
baru produktif hasil negara,
jikalau diri beriltizam tinggi.

Cerah mentari hari meninggi,
alam berseri di Alor Janggus;
jika sendiri beriltizam tinggi,
peningkatan diri bertambah bagus.

Alam berseri di Alor Janggus,
mekar kiambang bunganya biru;
peningkatan diri bertambah bagus,
karier berkembang semakin maju.

Mekar kiambang bunganya biru,
buahnya getap di tepi paya;
karier berkembang semakin maju,
ekonomi mantap usaha jaya.

Jerantut, Pahang, 6 Okt 2018 10:21 pg.

2.06.
PANTUN UNTUK SN USMAN AWANG

Dari Kerian ke Kampung Bantal,
bawa bidara dan juga petis;
anak nelayan berjiwa kental,
santun bicara meskipun kritis.

Bawa kekura di dalam guni,
jalan perlahan di pesisiran;
lantang suara tegas berani,
demi pertahan kan kebenaran.

Di pentas karya puisi epik,
naik monorel sampai ke Dengkil;
aktif berkarya sungguh prolifik,
pelbagai genre karya dinukil.

Alam berkabut di Bukit Chandi,
udara nyaman dingin geliat;
lemah lembut sifat peribadi,
insan seniman berjiwa rakyat.

Buah semangka diberi jiran,
alas jerami jatuh berserak;
Dato’ Paduka panggil gelaran,
anugerah rasmi Sultan Perak.

Manis perisa sirap black currant,
jadi hidangan si anak dara;
sungguh berjasa si Tongkat Warrant,
besar sumbangan pada negara.

Jerantut, Pahang, Malaysia, 5 Ogos 2018 11:33 mlm.

2.07.
SELOKA KAWAN VARIASI KAWAN

Apabila kawan makan kawan,
siang malam hati merawan.

Kawan penghasut perangai syaitan,
dalam diam fitnah berjujutan.

Kawan dibantu kaki penipu,
cari sokongan membodek ampu.

Apabila kawan mengaku hebat,
itulah kawan pembawa musibat.

Kawan susah kita membantu,
kita kesusahan kawan melutu.

Mencari kawan tidaklah mudah,
meski berdoa atas sejadah.

Kawan pemiutang suka meminjam,
liat membayar hilang berdiam.

Banyak kawan berjenis kawan,
ada kawan perangai syaitan.

Kawan khianat suka menyengat,
sekali terkena elok beringat.

Kawan penyindir sering meminggir,
duduk berasing mencebik bibir.

Biarlah hidup kekurangan kawan,
kawan beriman diutamakan.

Jerantut, Pahang 10 Julai 2018 8:41 Pagi.

2.08.
KEJUJURAN ITU

Kebencian itu api
kesabaran itu sakti
kebenaran itu bukti
kebatilan itu dusta

Aku tetap mencari kejujuran
kerana kejujuran itu tinggi nilainya
apabila sifat amanah
tertanam di dalam diri
batin sihat dan jernih
Nur di hati terpantul di wajah
lembut, redup, teduh pandangan zahir
ketulusan jiwa memayungi peribadi
itulah keindahan sejati.

Jerantut, Pahang, Malaysia, 17 Nov 2017.

2.09.
DEFINISI ABJAD

C – Cetusan
T – Terinspirasi

N – Nyanyian
U – Untuk-Mu
R – Ratib
Z – Zikir
A – Ar-Rahmaan

Namaku dan namanya
bertaut dalam doa kasih
anak dan ayah
Al-Fatihah.

Jerantut, Pahang, Malaysia, Disember 2017.

2.10.
GURINDAM: ELAKKAN BUDAYA HUTANG

Apabila hutang menjadi tabiat,
membayar hutang pastilah liat.

Apabila hutang sentiasa bertambah,
bilakah diri mahu berubah.

Apabila hutang membebankan orang,
teman yang rapat menjadi kurang.

Apabila hutang tidak dibayar,
tindak-tanduknya menjadi liar.

Apabila hutang jadi keasyikan,
hilanglah hormat saudara dan rakan.

Apabila hutang hanya didiamkan.
kelak diri tak dipedulikan.

Apabila hutang menjadi budaya,
tentulah hidup tak akan kaya.

Apabila hutang sengaja diabaikan,
mati kelak tak disolatkan.

Apabila hutang sudah berakar,
meminta tolong tentulah sukar.

Jerantut, Pahang, 23 Februari 2017 03:16 pg.

3.
DINO MN

BIODATA. Dino MN (Cikgu Haji Bidin bin Haji Mohamad Noor) dilahirkan di Kampong Lamunin, Tutong. Seorang Pegawai Pelajaran berkelulusan Serjana Muda Sastera Pendidikan UBD 1988-1991. ( Kini beliau telah bersara dari perkhidmatan sejak tahun 2004). Hasil karya tertumpu pada bidang cerpen dan puisi. Antologi persendirian puisi beliau ialah Dendang Suci (BLB Sarawak, 1971) dan Gema Kalbu (JAPEM, 2018). Antologi bersama puisi: Tugu Kenangan (BLB Sarawak, 1976), Larian Hidup (DBP, 1999), Cermin Diri (Jabatan Kurikulum, 2000), Ristaan Anak Merdeka (DBP, 2006), Suara (DBP, 2009), Ke Mercu Emas (DBP, 2011), Dua Wajah (DBP, 2012), Menjelbab Cinta (Asterawani & Ikatan Penulis Sabah, 2013), Kembali MH370 (Perwila Labuan, 2014), Cahaya Terus Bersinar (UBD, 2014), Amas Tampawan (2015), Restu (2016), dan Antologi Puisi Guru (Perkumpulan Rumah Seni Asnur, 2018). Antologi bersama cerpen: Rantau Utara (DBP, 1989), Di Hujung Pertemuan (DBP, 2005), dan Sepanjang Perjalanan (DBP, 2009). Terbaru, Dino MN telah menulis sebuah novelet: Aku Tidak Bersalah (DBP, 2020).

PUISI

3.01. Untuk Siapa?
3.02. Doaku
3.03. Lambaian Sabang
3.04. Warisan Guru
3.05. Hari-hariku Yang Indah
3.06. Musafir Senja
3.07. Jambatan
3.08. Sonian: Bunga Keduduk
3.09. Goncangan Ilahi
3.10. Haiku: Bebas & Terambat

3.01.
UNTUK SIAPA?

Orang fakir, orang miskin dan orang berada
telah ditentukan kadar masing-masing
bahagianmu tidak akan berkurang dan tidak pula berlebih
tetap pada garis dan titik timbangan keadilan
di jalur yang diamanahkan oleh-Nya.

Andainya kau berani melangkah jalur batas-Nya
dan kalau kau ambil lebih
itu adalah hak orang lain
jika kau makan lahap yang bukan milikmu
sesungguhnya kau sedang meniti
dititian kerugian di akhir perjalananmu
kebengkerapan menantimu di akhirat.

11 Zulhijjah 1439.

3.02.
DOAKU

Alfatihah…
untuk semua ibu-ibu bapa-bapa saudara-saudari
yang telah pergi duluan
dijemput gelombang tsunami
bersemadilah kaliannya
di perkampungan baru ini
menanti saat kami juga akan menyusul kamu
yang entah bila saat itu tiba
untuk kita berkumpul sama
meneruskan perjalanan menemui-Nya
yang entah simpang mana kita diarahkan masuk
bahagia atau deritakah yang akan kita terima
apabila antologi amal kita dibedah di depan-Nya.

Doaku untuk semua di perkampungan ini
semoga Allah menempatkan kalian
di singgahsana firdaus yang nyaman untuk kalian…

Aamiin ya Allah!! ya rabbi
ringankanlah bebanan mereka
yang Kau jemput melalui bahteta gelombang tsunami
semoga saja mereka mendapat rahmat dari-Mu
ya Allah.

Perkuburan Massal Desa Siron, Aceh Besar, 9.9.18.

3.03.
LAMBAIAN SABANG

Pulau Sabang yang indah
air lautmu yang membiru mengelilingi tebingmu
aku melihat di kejarnihan air lautmu yang membiru
penghuni laut bermain-main di sebalik batu-batu karang
melambai ekornya sebagai isyarat
mengucapkan selamat datang kepada setiap pengunjung
betapa indahnya panorama ciptaan-Nya.

Di pulaumu megah bebukit yang tinggi
melambai jejari ranting dan dedaun padaku
akupun menaiki bukit bak gunung itu
aku temui beberapa kubu perang silam peninggalan Jepun
ini membuktikan bahawa kau pernah ditawan
oleh penjajah asing yang rakus.

Pulau Sabang,
kaulah penanda ukur sempadan negaramu
dari titik nol hingga ke Maroki
yang menjadi kepunyaan bangsa dan negaramu
kau tetap megah bersama penghunimu yang setia
yang bahagia di pulau kecintaan Pulau Sabang
aku pasti akan kembali di bumimu
menghilang rinduku padamu Sabang.

Pulau Sabang Aceh, 10.9.18.

3.04.
WARISAN GURU

Telah sampai padaku madah indahmu
telah meresap di jiwaku dendanganmu
telah kulalui jalan-jalan yang kau rentis
yang memudahkan kumelangkah
walaupun sekali sekala kaki tersandung
tetunggul yang menghalang langkah
tapi katamu terus bangun
jangan mengadah jangan mengalah
terus berlari dan mengejar arah
agar kau jumpa jalan yang tidak beronak dan berliku.

Kerana madahmu aku duduk tak goyang
kerana dendangmu aku menari riang
dan keriangan itu kuhambur juga untuk anak watan
yang akhirnya mereka juga riang penuh gaya
menanai hasrat dan cita-cita leluhur
membangun bangsa dan negara
dalam keamanan dan kesejahteraan lapisan rakyat
itulah jasa bakti dari guru-guru
yang abadinya hinggalah jasadnya lebur.

5.9.18.

3.05.
HARI-HARIKU YANG BERLALU

Seiring berjalannya waktu
akupun semakin dewasa
semakin menghampiri ke titik akhir.

Semakin pantas terasa perjalanan
siang dan malam seolah-olah titik perhentian koma
yang hanya sebentar berlabuh.

Begitu cepatnya hari-hari berlalu
akupun sudah berada di usia emas
yang entah bilakah akan sampai ke titik hujung
sedangkan anggota terasa lenguh-lenguh
ujud kudrat pun berkurangan.

Wahai hari-hariku yang berjalan pantas
Seandainya dapat kutahan langkahmu
dan pada waktu kuminta perlahankan detak detikmu
agar lambat waktuku sampai ke titik akhir….

Masjid Birau Tutong, 5.11.18.

3.06.
MUSAFIR SENJA

Aku seorang musafir
berkelana melangkah di alam buana
bermula di subuh sunyi
beburung pun belum berkicau lagi.

Aku melangkah dengan bekalan
seadanya
dan akan singgah bila terasa lenguh
dan di setiap perhentianku
akan kutambah bekalan untukku kembara lagi
kupastikan bekalan lama yang usang
yang bertentangan dengan arus lurus perjalananku.

Aku terus kembara lagi
dengan bahtera bermusafir di senja hari
singgah di setiap perlabuhan
mengisi bekal memantapkan iman
menjalinkan jalinan kasih sesama insan
berguru berukhwah berbagai ilmu untuk dibawa ke pelabuhan akhir
dan dipersembahkan kepada-Nya
untuk mendapatkan ganjaran
yang diidamkan
untuk meraih kasih-Nya yang agong.

Ya Allah, Kau terimalah ole-ole musafir senjaku
amin ya Allah…
amin ya rahman…
amin ya rahim…

Jumaat, 9.11.2018.

3.07.
JAMBATAN

Di celah bunga yang menawan
Di sebuah taman atas bukit
Kulepaskan pandangan juah ke semudra
Nun di sana terbentang jambatan ke
Temburung
Yang dulu hanya perahu dan motorsangkut jalan penghubung
Menempuh bahaya yang tidak diundang.

Akhirnya kini kutemui sinar yang cerah
Untukku kembara ke seberang
Menjenguk kasih pada dangsanak di sana
Oh, inilah kemajuan yang kita miliki
Seluruh rakyat menjadi saksi
Yang muda belia tak akan sangsi meniti
Sedangkan mereka
yang usia muda sudah tiada
Sempatkah mereka kembara ke seberang
Melalui jambatan yang merentang?

Sungai Besar Brunei, 1.2.2019.

3.08.
Sonian:
BUNGA KEDUDUK

(i)

Kekuduk yang tumbuh
Liar melata
Dapat teman
Yang putih.

(ii)

Kekuduk yang putih
Penyeri taman
Kumbang bejat
Perosak

(iv)

Ungu putih bersih
Mesra bergading
Sama tumbuh
Di taman.

taman bungaku, 1.2. 2019.

3.09.
GONCANGAN ILAHI

Indonesia…
bumimu bergegar digoncang lagi
kali ini Palu jadi pilihan ilahi
dengan tsunami yang menyapu
dari pantai ke daratan
menenggelamkan setiap makhluk Tuhan
tak kira mereka itu beriman atau tidak
Tuhan akan memilih mereka
akan disimpan di syorga atau neraka-Nya.

“Rabbana atina fiddunia hasana
wafil akhirati hasana waqina azabannar”

Indonesia dan rakyatmu
kau adalah saudaraku serumpun
yang asal kita di alam Nusantara ini
ambillah ikhtibar yang telah melandamu
walau apapun malapetaka yang menimpamu
sesuai dengan amal dan dosa yang dikerjakan
berjalan seiring seirama
maka hadirlah bencana demi bencana
sesuai hukuman Tuhan
tidak berlebih bala dari dosa
tidak berkurang pahala sesuai amal
seimbang dengan rentak gempa dan tsunami.

Ayuhlah…bangkitlah wahai saudaraku
bukan menentang ketentuan Allah
tapi bangkit bertaqwa pada-Nya
beramal ikut perintah-Nya
bagi menghindari murkanya Allah
bagi menyelamatkan bangsa dan negarmu
yang saban hari berita terpapar
kasus pembunuhan
kasus pemerkosaan
kasus sumbang muhrem
sehingga mengundang kemurkaan Allah.

Brunei DS, 31.10.18.

3.10.
Haiku:
BEBAS & TERTAMBAT

(i).
Bebas

Bangau yang kurus
tidak perlu diurus
kebebasannya.

(ii).
Tertambat

Kerbau tertambat
makan minum diawas
hidup tak bebas.

Birau, Tutong, Brunei Darussalam.

4.
GABRIEL KIMJUAN

BIODATA. Nama penuh: Gabriel Kimjuan.

PENDIDIKAN:
🔹Sekolah Kebangsaan Pekan Satu W.P. Labuan – UPSR (1995-2000)
🔹Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan – PMR (2001-2003)
🔹Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai Labuan – SPM (2004-2005)
🔹Institut Latihan Perindustrian Labuan (ILP) – SKM 1 dan SKM 2 (2/2006-1/2007)

TEMPAT TINGGAL: Blok L3-1001, Taman Mutiara, Kg. Sungai Bedaun, 87008 Wilayah Persekutuan Labuan, Malaysia. NO. TELEFON: 017-8354504. EMAIL: gabbyeppy@gmail.com. BERASAL DARI: Wilayah Persekutuan Labuan. PEKERJAAN: Juru Mesin (Labuan Shipyard & Engineering Sdn. Bhd).

PRINSIP HIDUP: “Di mana pun kita pergi, ilmu kita tetap dihati”.

GENRE KARYA: Puisi/Sajak/Pantun.

BUKU ANTOLOGI BERSAMA:
1. Suara 5 Negara (2013)
2. Tanduo Oh Tanduo (2013)
3. Bukan Menari Di Pentas Peluru (2013)
4. Kepada Sahabat (2013)
5. Hitam Dan Putih (2013)
6. MH370 (2014)
7. Kembali MH370 (2014)
8. Mata Kasih (2014)
9. Mengenang R. Hamzah Dua (2014)
10. Sembilan Dzulhijjah Di Arafah (2014)
11. Perempuan Cinta Dan Kemanusiaan (2014)
12. Menggapai Asmara (2014)
13, Lantera Sastra II (2014)
14. Diari Januari (2015)
15. Bebas Malata Meraih Sayang (2015)
16. Nyanyian Para Pencinta (2015)
17. Puisi 2 September (2015)
18. Merangkai Damai (2015)
19. Malim Gunung (2015)
20. Melawan Kabut Asap (2015)
21. Bahagia Bersamamu (2015)
22. Pematik Mimpi (2015)
23. Senandung Tanah Merah (2016)
24. Cakar Nanar (2016)
25. Istiqamah Bahasa (2016)
26. Bah Kuning (2016)
27. Projek Sonian (2016)
28. Aidilfitri Sajak-Sajak Kenangan (2016)
29. Bicara Langit Kepada Awan (2016)
30. Sajak Embara (2016)
31. Doa Buat Perwila (2016)
32. Simfoni Gagak Rimba (2016)
33. Melankolia Surat Kematian (2016)
34. 99 Cahaya Harmoni (2016)
35. Serbuk Sari Mimpi (2016)
36. Happy Birthday (2016)
37. Di Balik Tulisanku Aku Bercerita (2016)
38. Rohingya (2017)
39. Lorong Lengang Jalan Pulang (2017)
40. Projek Haiku Pelangi (2017)
41. Nafas Bumi (2017)
42. Adikarya (2017)
43. Bianglala Melukis Syurga (2017)
44. Langit Kita (2017)
45. Katil 21 (2017)
46. Pelangi Merentasi Benua (2017)
47. Kultur (2018)
48. Gema Membelah Gema (2018)
49. Gema Nabalu (2018)
50. Pasak 125 Martabatkan Bahasa Melayu (2018)
51. Merekat Retak Cermin Nusantara (2018)
52. Jeda Melohong Uja (2019)
53. Kemboja Merah Di Telapak Tangan (2019)

MAJALAH
1. Komposisi IPS edisi April-Jun 2015 – Khabar Cinta
2. Wadah bulan Oktober 2016 – Aku Bersastera
3. Wanita bulan Disember 2016 – Cahaya Seorang Ayah
4. Tunas Cipta bulan Februari 2017 – Bilik Rohingya
5. Tunas Cipta bulan Disember 2017 – Negara Suci Tanah Anbia
6. Buletin LSE Pulse bulan Mei 2018 – Menitiskan Suka Duka Di Potret Keringat
7. Majalah Mutiara Banten Edisi 61/ Tahun V/ 20 Juni – 20 Juli 2018 – Aduhai Bayang, Cerita Di Pentas Cinta, Cermin Beribu Derita dan Selangit Khazanah Di Pulau Tersembunyi
8. Buletin LSE Pulse bulan September 2018 – Bahasa Kawan
9. Tunas Cipta bulan Oktober 2018 – Bicara Tunas (Ketengahkan Karya Puisi Hanya Dengan Satu Huruf)

KARYA ECERAN
1. Di Kota Pertarungan – New Sabah Times (26 Mei 2013)
2. Kosong – New Sabah Times (22 Disember 2013)
3. Mimpi – New Sabah Times (23 Februari 2014)
4. Malam Dan Bintang – New Sabah Times (22 Jun 2014)
5. Matangkan Cintaku – New Sabah Times (4 Januari 2015)
6. Wilayah – New Sabah Times ( 8 Mac 2015)
7. Siti Nurbaya / Anak Simpang – Utusan Borneo (19 April 2015)
8. Bisikan Bonda – New Sabah Times (24 Mei 2015)
9. Ayah – New Sabah Times (7 Jun 2015)
10. Pahlawan Gunung – Harian Ekspres (14 Jun 2015)
11. Rumah Kecil Untuk Tuhan – Harian Ekspres (2 Ogos 2015)
12. Air Mata Malam – New Sabah Times (2 Ogos 2015)
13. Aku Merdeka Kerana Sebuah Bendera – New Sabah Times (30 Ogos 2015)
14. Senyuman Sang Syurga – Harian Ekspres (13 September 2015)
15. Kita Bersahabat – Harian Ekspres (11 Oktober 2015)
16. Dengar Rasa Dan Kongsi / Suara Orang Sakit / Bukan Ajaran Tuhan – Utusan Borneo (20 Disember 2015)
17. Lahirnya Sebuah Warisan – New Sabah Times (31 Januari 2016)
18. Suara Wilayah Persekutuan – Harian Ekspres (7 Februari 2016)
19. 29 Februari – Harian Ekspres (27 Mac 2016)
20. Hanya Satu – New Sabah Times (1 Mei 2016)
21. Suara Seringkali Senyap – New Sabah Times (5 Jun 2016)
22. Berjiwa Bersamamu – Harian Ekspres (19 Jun 2016)
23. Sang Gerhana / Mengusung Rindu / Stesen Serondeng Sampan Seringgit – Utusan Borneo (24 Julai 2016)
24.Bilik Merdeka – Harian Ekspres (14 Ogos 2016)
25. Bilik Warisan – New Sabah Times (14 Ogos 2016)
26. Pada Pena Palsu – New Sabah Times (2 Oktober 2016)
27. Pengertian Peluh – Harian Ekspres (16 Oktober 2016)
28. Terbisik Telinga Tuhanku – Harian Ekspres (18 Disember 2016)
29. Tok Nan Dalam Kenangan – Harian Ekspres (15 Januari 2017)
30. Bunga Api Menggila – Sinar Harian (21 Januari 2017)
31. Ketika Sajak Tersedar – Berita Harian (22 Januari 2017)
32. Tahun Ayam Cina – Sinar Harian (5 Februari 2017)
33. Surat Sayfaat – Harian Ekspres (19 Februari 2017)
34. Lelaki Teragung – New Sabah Times (19 Februari 2017)
35. Ketika Kiblat Khilaf – New Sabah Times (9 April 2017)
36. Terima Kasih Guru – Sinar Harian (14 Mei 2017)
37. Bahasa Tuhan – Utusan Malaysia (20 Mei 2017)
38. Rencah Ramadan – Harian Ekspres (11 Jun 2017)
39. Tika Terdengar Takbir – New Sabah Times (25 Jun 2017)
40. Sayang Seindah Syawal – Harian Ekspres (2 Julai 2017)
41. Mengukur Maknawi Manusia – Harian Ekspres (23 Julai 2017)
42. Kembali Keramat Kemerdekaan – Harian Ekspres (13 Ogos 2017)
43. Sehati Sejiwa – Harian Ekspres (3 September 2017)
44. Kerana Sebuah Tiang – Mingguan Malaysia (3 September 2017
45. Rindu Di Rumah Sendiri – New Sabah Times (10 September 2017)
46. Padi Yang Merdeka – Berita Harian (10 September 2017)
47. Dirgahayu Namamu Malaysia – Sinar Harian (17 September 2017)
48. Makro Makrifat – New Sabah Times (12 November 2017)
49. Rimba Penghayatan – Harian Ekspres (26 November 2017)
50. Tanah Penghayatan – Utusan Borneo (10 Disember 2017)
51. Ranting Penghayatan – Utusan Borneo (10 Disember 2017)
52. Tanamkan Ikrar Dalam Hati – Sinar Harian (3 Februari 2018)
53. Derita Dadah Ditelanjangkan Dajjal – New Sabah Times (18 Mac 2018)
54. Pulau Penghayatan – Harian Ekspres (8 April 2018)
55. Rumput Penghayatan – Utusan Malaysia (21 April 2018)
56. Bulan Penghayatan – Sinar Harian (26 Mei 2018)
57. Pohon Ramadan Yang Hidup Bersama Seribu Bulan – New Sabah Times (27 Mei 2018)
58. Nazala untuk Umat – Berita Harian (3 Jun 2018)
59. Pencipta Ramadan – Utusan Borneo (3 Jun 2018)
60. Di Bawah Teduhan Ramadan – Utusana Borneo (3 Jun 2018)
61. Pintu Ramadan – Utusan Borneo (3 Jun 2018)
62. Mualaf – Sinar Harian (23 Jun 2018)
63. Di Pintu Syawal – Harian Ekspres (1 Julai 2018)
64. Syair Negaraku Malaysia – Sinar Harian (4 Ogos 2018)
65. Penunggu Palsu Ditaburi Rindu – Mingguan Malaysia (19 Ogos 2018)
66. Kita Punya Malaysia Baharu – Harian Ekspres (9 September 2018)
67. Merawat Palu Catatan Peristiwa – Berita Harian (4 November 2018)
68. Ajaran Amukan – Harian Ekspres (9 Disember 2018)
69. Tangisan 17 Disember – New Sabah Times (23 Disember 2018)

PERSATUAN: Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA); Kelab Penulis KDM Sabah (MOMOGUNSIA); Persatuan Aktivis E-sastera Malaysia (E-SASTERA).

KEGIATAN/AKTIVITI SASTERA:
1. Bengkel, Seminar dan Festival Pantun (MASTERA) di Negara Brunei Darussalam (2010)
2. Dialog Borneo Kalimantan (DBK) ke-11 di Wilayah Persekutuan Labuan (2011)
3. Temu Sastrawan Nusantara Melayu Raya (NUMERA) di Padang, Sumatera Barat, Indonesia (2012)
4. Simposium Penulis Etnik di Kota Kinabalu, Sabah (2015)
5. Majlis Semarak 30 Tahun Perwila di Wilayah Persekutuan Labuan (2015)
6. Majlis 5 Jiwa 1 Hati (MAJLISAH) di Wilayah Persekutuan Labuan (2016)
7. Hari Sastera Negara ke-17 di Wilayah Persekutuan Labuan (2017)
8. Program Apresiasi Karya Eceran “SUNTIK” di Kota Kinabalu, Sabah (2017)
9. Dialog Borneo-Kalimantan (DBK) Ke-13 di Pontianak, Kalimantan Barat (2017)
10. Hari Puisi Nasional di Bintulu Sarawak (2018)
11. Tetamu Jemputan Personaliti Karya Pilihan Di Radio Labuan FM (2019).

BUKU KUMPULAN PUISI:
1). Benang Merah-Dengar Rasa Kongsi terbitan RoseBook Penerbit, Indonesia (2015).
2). Bilik Istimewa terbitan E-Sastera Enterprise, Malaysia (2017).

ANUGERAH:
1. Johan Pertandingan Sajak Tingkatan Tiga (2003)
2. Johan Mencipta Dan Mendeklamasi Sajak (2007)
3. Anugerah Penulis Muda Perwila (2015)
4. Anugerah Penulis Khas Antarabangsa Perwila (2015)
5. Hadiah Saguhati Sayembara Penulisan Puisi 30 Tahun PERWILA (2015)
6. Hadiah Saguhati Sayembara Dekalamasi Puisi Kemerdekaan (2016)
7. Anugerah e-Sasterawan Asean (2016)
8. Hadiah Penghargaan Kumpulan Puisi – “BENANG MERAH” (2017)
9. Hadiah Saguhati Kategori Puisi Eceran – “AYAH” (2017)
10. Pemenang Hadiah Utama Sayembara Gema Patriot 2.0 – “NEGARAKU” (2017)
11. Hadiah Sajak Penghargaan AKLI bulan Mac, 2018 – Aku Anak Harapan (2018)
12. Hadiah Sajak Penghargaan AKLI bulan Mei, 2018 – Manusia Yang Bersendirian Ada Kata Makna Sejuta Malam Kehidupan (2018)
13. Pengiktirafan Khas LSE – Bakat unik serta pencapaian cemerlang di luar kerja (2018)
14. Hadiah Utama AKLI bulan Oktober, 2018 – Dalam Sejuta Kasih, Akan kuhiasi Sampai Kebun Terakhir (2018)
15. Peserta Event Ter-aktif FAM Menulis Indonesia Dari Luar Negeri (2018)
16. Anugerah Khas Penulis (2018)

PUISI

4.01. Mati
4.02. Kelahiran
4.03. Kertas Yang Kemudi
4.04. Sangkar Bumi Hayat
4.05. Kesurupan
4.06. Kamar Diri
4.07. Kulit
4.08. Lembah Perasaan
4.09. Lembah Kemanusiaan
4.10. Cermin Kota Manusia

4.01.
MATI

Menunggu aku tergantung ikatan
musuh aku ternampak insan
matilah aku terputus ingatan
mencari arah tujuan impian
mahu atau tidak ikutan
mana ada tanda insafan
menjadi antara tetamu idaman
masa adalah tanda igauan
memanggil aku terlimpang iman

GABRIEL KIMJUAN.
Taman Mutiara, Labuan, Malaysia.
9 Julai 2016.

4.02.
KELAHIRAN

Buaian ketujuh menabur waktu
jiwa hati bertepuk sendiri
anak itu mengikut lagu
di bawa oleh sang pari-pari

Cermin wajah indah menjelma
kelahiran usia terasa damai
usai sudah segala tanda
hadir bernafas di pentas duniawi

Kayuhlah hingga sampai muara
bertemu pada sang mentari
pada kekasih jambatan syurga
takbir diberi seikhlas murni

Di situ tempatnya bahagia
ajari segala yang dicintai
amanat itu suruhan Maha Esa
jadikan pahala sumber rezeki

GABRIEL KIMJUAN.
Taman Mutiara, Labuan, Malaysia.
9 Julai 2016

4.03.
KERTAS YANG ADA KEMUDI

Semenjak aku gunting kertas hati
lima jari mengoyak cebisan memori
yang lama tertulis dalam janji
hingga dengar jantung bernadi
menghilangkan rasa ke laut mati
biarkan saja kertas ada kemudi
pasti akan jumpa pulau sejati

Nukilan:
GABRIEL KIMJUAN
Taman Mutiara, Labuan, Malaysia.
15 Julai 2019

4.04.
SANGKAR BUMI HAYAT

Kala menjulur masa
sebak dalam duka
malam juta cerita

Garis yang terkoma
hilang segala rasa
terbuang kaca manusia

Wajah berdarah dusta
bumi dendam senjata
sangkar hayat merana

Nukilan;
GABRIEL KIMJUAN.
Kg. Manikar, Labuan, Malaysia.
15 Julai 2019

4.05.
KESURUPAN

Rasa kesurupan warnai malam
suara berkias menukar alam
tangan dan kaki kebas geram
melontar ayat keras semua diam
taman mantera di baca penuh faham
semangat masih melawan mengalir seram
keliling hutan suara angin mengaum
bersama kalis hujan senjata berjarum
lalu terbaring dalam wajah hukum
yang lemah tanpa bersarungkan harum
mungkin masanya pasti ada yang akan dicium

Nukilan;
GABRIEL KIMJUAN.
Taman Mutiara, Labuan, Malaysia.
15 Julai 2019
.

4.06.
KAMAR DIRI

Nadi ini menyebut lagi
meletup dalam naskah hati
jendela tidur kamar terapi
gempar hayat kebas diri
gerak detik sukar pergi
cermin khayal rasa bunyi
suara mimpi denyut janji
lawat usia dinding bumi

Nukilan;
GABRIEL KIMJUAN.
Taman Mutiara, Labuan, Malaysia.
30 Julai 2019
.

4.07.
KULIT

Jangan hilang kulit kerana ingin muda
sentuh dan belai
jaga dan setia
serupa juga kulit yang lain
ingin mahukan kasih sayang
bukan mati dibakar benci
dijual kerana caci.

Nukilan:
GABRIEL KIMJUAN.
Taman Mutiara, Labuan, Malaysia.
4 Ogos 2019
.

4.08.
LEMBAH PERASAAN

Ketika aku mengigit bulan
pada pagar gerhana impian
hati malam bertepuk pujaan
dalam lorong kesepian
menunggu kabus senyuman.

Duduk dilantai kehidupan
tanpa ada rasa ketakutan
jiwa berantai perasaan
lalu hilang dalam fikiran
hingga keluar harta hujan.

Nukilan:
GABRIEL KIMJUAN.
Taman Mutiara, Labuan, Malaysia.
5 Ogos 2019.

4.09.
LEMBAH KEMANUSIAAN

Tali yang diikat hati dengan berani
menjadi insan pelindung sejati
ke lembah kemanusiaan pertiwi
yang masih bergema bertubi-tubi
meroboh tembok sepadan saksi
kuasai wilayah tanpa peduli
mahir segala senjata benci
pantai nyawa terbaring mati
bangga angkuh pada nubari
semua aliran jahitan sendiri
semangat tidak pernah sembunyi
walau ada kesan bahaya duri
hanya tawakal kepada takdir Ilahi
agar selamat dari bencana tuli
sanggup korban seikhlas budi
ditaburi kenangan bunga bakti
doa keamanan kehidupan mewangi.

Nukilan;
GABRIEL KIMJUAN
Taman Mutiara, Labuan, Malaysia.
6 Ogos 2019

4.10.
CERMIN KOTA MANUSIA

Setelah ditelan tua
jangan cuba muntah manusia
yang selama ini disedut rasa
macam perisa gula-gula
sedap tanpa dibagi dua
sudah habis buang merata
aduhai, ada saja yang tidak kena
tunggu saat kitar semula
semua datang dari cermin dunia
khayal demi sebuah kota

Nukilan:
GABRIEL KIMJUAN.
Taman Mutiara, Labuan, Malaysia.
7 Ogos 2019.

5.
IFFA AINI HAMD

Iffa Aini Hamd ialah singkatan bagi nama penuh Muzalifahtul Aini Binti Abd Hamid. Pernah menggunakan Aini Hanana sebagai nama pena. Sekarang menetap di Kg. Sagil, Muar, Johor. Lahir di dalam kapal marin Malawali di tengah lautan gelora Labuan 42 tahun yang lalu. Hanya setahun dibesarkan di perkampungan nelayan. Selebihnya di Bingkor-Keningau, Bandar Sandakan dan Skudai-Johor Bahru. Ulat buku dari kecil dipengaruhi latar belakang warga pendidik. Bermula serius menulis untuk pertandingan syarahan dan bahas peringkat sekolah-sekolah juga komentar ke majalah-majalah khusus buat remaja. Minat menulis puisi menyusul di akhir pengajian sekolah menengah. Ada beberapa puisi pernah tersiar di radio Best 104. Meneruskan pengajian hingga ke UiTM Lendu, Melaka dalam bidang Sarjana Muda Senireka Grafik. Bakat menulis terus dipendam sehinggalah keyakinan memutik semula pada akhir tahun 2015. Hanya giat menghantar puisi melalui media mukabuku (fb) tahun 2016. Kini mula menceburi bidang penulisan lirik dan sedang menyiapkan novel sulung. Selain menulis, meminati kerja-kerja seni lain seperti melukis potret, sulam pangkah (cross stiching), sulam manik, dan gubahan jambangan bunga. Tidak pernah meninggalkan minat paling utama, iaitu membaca.

PUISI
5.01. Kata Pendeta
5.02. Memicu Belasungkawa
5.03. Stanza Keramat Sepotong Puisi
5.04. Kembali Suci
5.05. Malaikat Tak Bersayap
5.06. Cendayam
5.07. Gemala Rindu
5.08. Dia Yang Terindah
5.09. Serempu Ibu
5.10. Longo

5.01.
KATA PENDETA

Kata pendeta
rindu itu filamen cinta
tanpanya suar tak nyala
buram-buram cahaya
suam-suam rasa
lama-lama padam di jiwa

Kata pendeta
cinta itu jurus tenaga
terputus jadi cetus arka
terlebih jadi letus lava
ditaut bercas asmara
dipaut jiwa pada raga

IFFA AINI HAMD.
Sagil.
6.10.2018.

5.02
MEMICU BELASUNGKAWA

Terbangkan hati menyelinap
membelah langit gelap
pecahkan serangkai rawan
dalam gumpalan awan

Terbang menyusup hendap
menongkah dunia senyap
singkap tirai gundah
cari bintang terindah

Terbang setinggi yang kau mampu
sehingga sayup pandanganmu
tarik picu dari hujung telunjukmu
terserai segugus kekata
gugur jatuh pada tempatnya

Jadikan belasungkawa
sekujur rupa malaikat
yang terkatup sayap
merunduk menggendong
satu mahakarya

IFFA AINI HAMD.
Sagil.
14.2.2017

5.03.
STANZA KERAMAT SEPOTONG PUISI

Sepotong puisi dikelar-kelar hati
tergelatak didapur imaji
mengeriut atas nyala api
terasah runcing diksi
pena mengganti majal belati
perinci tusuknya mencari urat sunyi
cair darah tak menitis lagi
sekian lama dipejal sepi

Majas bersumbi elergi
mengetap kias kata yang mengancing naluri
merecup bulir-bulir ruhul hayati
beralun-alun lantunan emosi
melarik pucuk terayun mimpi-mimpi
merentak gemalai tari jemari
melayut terindah nyanyi
tidak lagi dingilu gigi bergeser gigi

Hembusan rindu merembes titis bertemali
berhinggap nostalgia menampar-nampar pipi
memijar tiap kali namun mangli
mantera cinta diratip menyeru sakti
bait-bait direntang terserak warna pelangi
aksara berguguran bagai rintik bunga di musim semi
luruh gelita dilentera literasi
sepucuk puisi keramatnya tak diluput oleh mati

IFFA AINI HAMD
Sagil.
5.10.2018

5.04.
KEMBALI SUCI

Raungan meruntun nurani
sakit terpukul kenyataan ini
gelenyar dimamahkan nyeri
tersungkur di kolong tragedi
berhinggap meratapi
hati bergulung tsunami
iman terlucut digempa diri
histeria tersurup elegi
mencari sebab untuk mati

Dari Kilimanjaro
kau daki Fuji
dari Pinatubo
kau turuni merapi
hidup ini berlekas kauakhiri
mati kauheret mencium kaki
neraka bersungguh dijejaki
sedang sekamnya ada di sanubari

Usah lagi meracun diri
wanita berkerudung sepi
walau kenyataan merintik-rintik duri
ada hangat doa memayungi
mengucup dahi sunyi
mekarkan kelopak hati

Usah lagi meracun diri
lelaki berpasung keluli
walau membura percik-percik api
ada nilur menepis benci
mengalir semuluk-muluk puisi
tumbuhkan gencat hati

Mari bermandi embunan pagi
merinding di sentuh matahari
terpisat-pisat buram pergi
rebahkan lelah di serambi
pedih perih jerih bersurih nyali
simbat bebat musibat dilarungi
ranjau mana tak menyusul kaki

Diam-diam saja dan nikmati
hadiah untukmu datang sendiri
liar kecewa telah digembalai
terjinak dituntun usapan jemari
racun terhirap dari uluhati
manjur penawar dari ilahi
betapa sosok pernah tertewas ini
terlahir semula laksana bayi
kembali suci

IFFA AINI HAMD
Sagil.
9.9.2018

5.05.
MALAIKAT TAK BERSAYAP

Anak-anak dunia
terbujur bawah kelarai janji
yang sungkap dari tembok kota
mengengsot keluar
dari selongsong sengsara
mengutip sampah
sisa kunyah
yang dimuntah

Atas ranah jiwa
malaikat tak bersayap
mengepak ihsan
ada kejora di mata
ranum berulas senyuman
menyuap lapar
dengan sepotong ikhlas
ke perut harapan
sehingga terdengar sendawa
semilir sedalam-dalam dihela
sejat embun di mata
lalu terduduk
dari lumpuhnya

IFFA AINI HAMD
Sagil.
20.11.2018
.

5.06.
CENDAYAM

Seperuah denyar sabung menyabung
rentap denyut jantung
bercempera syaitan terkatung-katung
meninggalkan diri tercenung-cenung
terserat tawajuh pada hingar jumantara
medu bila zauq mencerna
mencahar tersauk dosa atas pahala
nawaitu yang terbabang oleh dusta

Tuhan tahu hati ini kemana ditempa
berdalih tetap terkalih ke kiri catatnya
malaikat yang mendengar rengus di sebalik tawa
ramu cerca dalam satira
sedang lillahi ujar bibirnya
siapa sebenar yang diperdaya?

Amal yang gah
sedang cerucup memenuh kibar jubah
bercapuk rias mazmumah
tak ubah seperti memanjat tangga yang patah
diri adalah cendala di pinggir syurga
tersadung ke pintu neraka
sungguh diri yang tak punya
terbeban pula oleh lupa
mangli hubud dunya
syafaat siapa yang dikendara?
demi rahmat keampunan yang maha Empunya

Rentan jiwa tak bersuluh cahaya
masyghul menghiba
tidak lepa sedetik dalam berdoa
hati tidak lagi membidik puja
dahulu maula, kini hamba
ikhlas mendamari nasuha
cendayam ke haribaan maha Sempurna

IFFA AINI HAMD.
Sagil.
8.7.2018.

5.07.
GEMALA RINDU

Duhai belahan jiwaku
sapalah aku sebatas hembusan bayu
mengapung harum kelopak rindu
yang satu persatu gugur dari pangku
semerbak wangian menyusup dalam qalbu
layutkan pelupuk mata yang lesu
menyisih setia dari mimpi semu

Duhai belahan jiwaku
sapalah aku sebatas titisan embun
bening kemilau bergulir atas dedaun
berjatuhan timpa hati yang meruntun
bertengger asa atas dahan yang terhayun
membiar terpa hiba hinggap ke perdu pilu
menanti bayangmu menjengah muka pintu

Duhai belahan jiwaku
sapalah aku sebatas leraian salju
butir-butir lembut mengusap sendu
lalu mencair atas lepuh waktu
menunggu kepulanganmu bersama laung mendayu
melara rasa bawah sayap jentayu
meminjamkan suara mengidung sayu

IFFA AINI HAMD.
Sagil.
20.1.2017.

5.08.
DIA YANG TERINDAH

Belum izin-Nya dia menjadi ibu
hati tercarik berhelai rindu
belum terlahir titipan ditunggu
menghiba doa meruntun kalbu

Raut wajah tidak lagi seayu
bisik suara tidak lagi semerdu
kurangnya dia semua orang tahu
istimewa dia hanya aku yang tahu

Santunnya tak pernah meningkah
kataku tak pernah dibantah
senyumnya rela sama bersusah
betapa apakah yang lebih indah

Dia bukan buatku hanya amanah
malah dia adalah mulia anugerah
melelar bahu terhenyak salah
perit tersusup selumbar fitnah

Berjalan menunduk meramahi tanah
terlentuk mengusap pohon yang resah
“mengapa enggan kau berbuah
rendangmu telah menjadi balah”

Mari ke mari hawaku
mari rebah ke haribaanku
usah kau rentap cahaya di mataku
dan cahaya itu adalah kamu

Mari ke mari permaisuriku
akulah raja yang memujamu
tidak kucari mimpi saat beradu
cukuplah terindah itu adalah kamu

IFFA AINI HAMD.
Sagil.
17.12.2018.

5.09.
SEREMPU IBU

Saban malam dia menimba air mata yang memenuh serempu tatkala bermudik ke dermaga harapan, kaki yang tak pernah bercapal pecah-pecah terendam menyerap sirat kepedihan, tak pernah sunyi dari kocakan dilimbur dari gelombang yang belum terjinakkan, tergantung temali nyali belum sauh dilabuhkan.

Dia tidak sekuat karang berpilah-pilah menampan ombak di lautan, hati segumpal darah cuma yang meretak disangai bilai-bilai kehibaan, tersemat kuat kalimat yang dijelmakan dalam sekeras-keras cengkerang mengkubu kerapuhan, hikmat keramat yang dipetik dari helai-helai syairnya Tuhan meraup kelelahan.

“Kun fa ya kun” kata mereka, dilaung-laung dari dengung suara tapi tak mencecah pada seketul darah yang kehitaman, lalu berpencar nanar sambut menyambut dari pijar lidah yang melepuh kemurnian, berselendang tuhan menghukum dengan nafsu yang dimahkotakan, berkilau silau membuat iman melilau hilang pijakan.

Dia itu, ibu yang telah melahirkan enam cahaya mata malah berkembar pula lelaki dan perempuan, kesemuanya ditakdirkan cacat tergelatak di lantai keperitan, diazan dan diiqamahkan bersama apa yang dijanjikan ‘Kupagari syurgaKu dengan segala penderitaan’ sepasang gembira dan derita ditatang pada kedua telapak tangan.

Maka berdedai datang lidah-lidah berbilah demi penyembelihan, menyaji racun dalam tiap santapan yang dihidangkan,
“Ibu ini pembawa malang dari keturunan dilaknat Tuhan”
Maka perkhabaran ‘kun fa ya kun’ itu sekadar muntah dari apa yang tak mampu dihadamkan, sempurna manusia ditunggangi syaitan.

Tulang rusuk sang suami berontokan digetis hasutan, anunya bertumbuh kulat culas dan dayus sebagai anutan, sang isteri ditinggalkan teroleng-oleng mencari teduh di bawah awan, tak tuntas hujan menghanyutkan serempu sang ibu yang bertahan enggan melepaskan enam jiwa dalam pelukan.

Walang bergalang walang, merimpung kaki bergemercing mengheret beban, senyuman ibu yang kini renta mengucup mungil pipi cahaya mata yang tahunya cuma bersuara dalam rengekan, mengemis kasih hanya di atas sejadah dari lusuh kain berumbaian, ihsan datang dari salur tak disangka-sangka laksana cahaya menyeduh kegelapan.

Sememang dia tidak layak menerima anugerah ketokohan, di dunia ini kita difanakan apa yang dinamakan pengikhtirafan, tak sia-sia perih jerih pengorbanan,
melahirkan anak yang mampu berbakti itu sebaik-baik teladan, mengangkat nama ibu, susah payah berpulangan, siapalah dia untuk didendang sedang titipan Tuhan buatnya adalah anak yang tak mampu mengangkat badan.

Dia bukan ibu mithali yang menjadi sebutan, malah dia ibu yang dicaci kerana menerima takdirnya dengan keikhlasan, kau henyaklah dia dengan sepuas-puas hinaan, kau kelarlah hatinya sedarjat sebuas-buas haiwan, ia tidak menjadikanmu lebih manusia dari dia yang maqamnya tinggi di sisi Tuhan, lalu adakah lebih azab dari neraka mampu kau ciptakan?

Dia, merapal doa-doa tanpa ketahui telah bertanda dahinya dengan semolek-molek sinaran, tak akan dapat disaingi indah pualam, zamrud, intan dan berlian.
Wanita yang bakal ditandu ke gerbang syurga dengan suci kaki anak-anak titipan, berlarian mereka menyambut segenang jiwa semerbak haruman.

“Usah khuatir ibu, kami pergi dulu, mengutip tiap hancur hatimu bersama. Jangan menangis ibu, akan kami nantikanmu di syurga.Terimakasih Tuhan kerana meminjamkan kami seorang ibu dengan segala sebab mengapa dia Kau muliakan di sana..Aamiin”.
‘Kun fa ya kun’ Sekelip mata Tuhan mengambil semula satu persatu anak-anak syurga dengan sakit tak ketahuan.

Hati bagai pecahnya empangan. Laut itu adalah liang panjang dari esakan, tempat berlimpahan sepi beraduk desah kerinduan, sauh melabuhkan dunianya di garis horizon tak bertepian, meratip cinta dalam munajat sepenuh penyerahan, berputus sudah hubungan dengan mantan dunia yang ditinggalkan, dia merafak jiwa dan raga pada Keabadian.

IFFA AINI HAMD.
Sagil.
16.3.2018.

5.10.
LONGO

Bukan apa-apa
sekadar bercerita
pada longo diri di kaca
ke dinding terpantul suara.

Aku
halimunan nama di kartu
menjemput terlangkau waktu
salam sejahtera buat yang lalu
tak nampak wujud terpijakkan aku
terpiuh jari-jari berdekad kematu
tak apa-apalah
bukan masalah
hanya seorang entah
dari daerah antah-berantah.

Aku adalah kata-kata patah seribu
melahu tak tentu tuju
terjatuh atas bongkah itu
duduk di tengah kalbu
kutakik-takik sebungkal semu
majal tertunjal pahatku
bukan dari besi kersani
hanya tombol-tombol nafi
selejang terjang diri
menjadi pancang hati.

Maka runcing lagi kuku ini
lama mencengkam ingin hati
menjeriji sekonyong-konyong sepi
berteriak mencakar-cakar nubari
hingga lelah didodoikan sunyi
bersendar tertidur mati
sedang doanya agar diziarahi
pari-pari mimpi
lupa barangkali
diri puteri kayangan tanpa negeri
tanpa kuda semberani
hanya ada bedayu haru canggung menari.

Aku terkais-kais temulang pilu
sama liris hujung dan hulu
mengganti majal pemahat itu
bongkah sekeras batu
serupa menakik umbut di perdu
kukikis jeda menyusur langka
perlahan-lahan membentuk arca
setiap ruas-ruas rasa
bungkas bernyawa
melekuk raut muka
terasa hela hembus nafasnya
sesiapa saja dapat meneka
wajah siapa.

Ia wajah sejati
bernama rindu
untuk sahabatku.

Dan sahabat itu
adalah
kamu…

IFFA AINI HAMD.
Sagil.
29.1.2019.

6.
MOKHTAR RAHMAN

BIODATA. MOKHTAR  RAHMAN lahir di Kangar, Perlis pada 23 September 1939 dan dibesarkan di Alor Setar. Bersekolah Melayu hingga darjah 5 dan 
Inggeris hingga School Certificate (1960). Mendapat latihan perguruan di Maktab Perguruan Bahasa (LI) dan Maktab Perguruan Ilmu Khas (Muzik).

Mula menulis sejak 1954 dalam genre puisi, cerpen, dan rencana dalam Utusan Kanak-Kanak, Tunas, Majalah Belia, Angkatan, Warta Mingguan, Majalah Pati, dan majalah sekolah “The Lighthouse”. Sejak awal 1960-an, banyak terlibat dalam Pendidikan Muzik tetapi kembali menulis pada tahun 2000, kebanyakan karya dimuat dalam Utusan Melayu (sisipan) dan Berita Minggu.

Pernah memenangi beberapa hadiah penulisan khusus dalam genre cerpen dan puisi anjuran DBP, Perbadanan Perpustakaan Awam Negara, e-sastera.com, dan Angkata Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Pada tahun 1959, memenangi hadiah sagu hati Peraduan Menulis Cerpen Kanak-Kanak (DBP) berjudul “Udin Tertidur”, tersiar dalam Kumpulan Cerita Kanak-Kanak 3, terbitan DBP. Menulis cerpen, rencana lawatan, dan beberapa buah puisi dalam Utusan Melayu Mingguan. Pernah memenangi hadiah sagu hati Sayembara Cerpen Formula Malaysia  berjudul  “Pertemuan” pada tahun 2000. Juga telah memenangi hadiah Naib Johan Sayembara Cerpen dalam tulisan Jawi anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negara, Kuala Lumpur berjudul “Warkah”.

Cerpen “Pengembaraan Sang Kodok” pernah memenangi hadiah sagu hati Peraduan Mengarang Cerita Bersiri Kanak-Kanak dan Remaja Karyanet 2006 anjuran DBP. Puisi “Aku Enggan Dilahirkan” telah dipilih dan diberi melodi serta dinyanyikan sendiri sebagai lagu puisi oleh SAS Anbakri dalam Album “Cinta dan Aku”. Pada tahun 2011, penulis menghasilkan 
sebuah antologi puisi berjudul 44 SONETA (terbitan Esastera Enterprise).

Puisi “Melihat Muka”, sebuah Sajak Jenaka/Sajen menjadi puisi pilihan dalam siri Anugerah Hescom 2011. Demikian sajak “Tarawih” (2011) mengondol hadiah pertama Sayembara Berbuka Puasa dalam siri Anugerah Hescom 2011. Tahun 2012, sajak “Betapa Sungai Menjadi Marah” memenangi hadiah ketiga Sayembara Menulis Cerpen dan Puisi ASASI. Sementara itu, sajak “Bahasa Jiwa Bangsa” menduduki tempat ketiga Sayembara Menulis Puisi BBK Peringkat Wilayah Utara 2015 dan 
selanjutnya 2016 soneta berjudul “Balasungkawa Shaari AB” telah memenangi hadiah kedua Hescom Sastera Malaysia Asean e-Writer Award di Bali pada Nov. 2016.

Sebagai mengisi zaman persaraan, penulis bertindak selaku Editor Buletin Pesara Kerajaan  Malaysia Negeri Kedah WARISAN antara 2001- 2012. Dalam masa yang sama, menerbitkan kumpulan rencana berjudul Hidup Bahagia Amalan Pesara.

Sehingga 2020, penulis telah menghasilkan lebih kurang 250 sajak, 15 cerpen, 80 soneta, 12 vilanel, 6 poems, dan 2 ulasan soneta dalam e-Sastera.com. dan pelbagai media lain.

Bertarikh: 2 Januari 2020.

PUISI

6.01. GAKSA
6.02. Beting
6.03. Air
6.04. Baji
6.05. Laut Dan Sungai
6.06. Lidah
6.07. Pagi
6.08. Aku Dan Dia
6.09. Hagia Sophia
6.10. Ibu

6.01.
GAKSA

G
Gabungan tanah serantau
yang membentuk segugus jantung 
berjuntai dari pelantar benua
berdenyut dan berdegup
pada tiap kali bersua,

A
Antara kita adalah laut 
yang menemukan pulau-pulau jajaran
lembah dan bukit bukau
lalu bersama menghirup
udara yang merentas sempadan.

K
Komunitas kita mampu mengerti 
resam adat ketimuran
sementelah membelai tradisi
saling menghormati
setia persahabatan.

S
Sastera adalah yang mengalir 
dari puncak tamadun silam. 
Srivijaya. Ayutthaya, Angkor, Islam, 
mencatat pelbagai ceritera tragis
bangsa peribumi, mangsa kerakusan kuasa.

A
Asean adalah ikatan ampuh 
tiang-tiang panji yang sepuluh
dan kita adalah pelukis maya
dari gandingan GAKSA yang berdiri
telus, bebas, berani.

Alor Setar.

6.02.
BETING

Aduhai, ombak-ombak kecil
yang datang menjilat pantai
sekadar mencecah bibirnya
lalu berundur,
datangnya silih berganti
mencuri manik-manik pasir dan kembali
menambak laut

II

Musim-musim membungkam
seperti fetus yang membesar
dalam rahim ibunya,
demikian beting-beting melebar,
timbunan demi timbunan
menguasai muara
sedang sungai sudah kesasar.

 III

 Apakah kemungkinan menjadi pulau?
ketika itu timbunan pasir
sudah mampu membina daratan
manakala kuala kehilangan laluan,
Sedar, pabila aliran air telah tertutup
banjir bakal melanda,
wallahuaklam.

Alor Setar.

6.03.
A I R

Biarkan air itu mengalir
jangan ia bertakung semata
lepaskannya kehulu dan hilir
menjelajah hatta ke kuala,
Biar ia melewati banir
membelah bukit menerjah rimba
mengerti tugas terus mengair
dataran kontang tanahnya huma.

Begitu sang anak pada lahir
tiada makna berkurung cuma
pantangnya diri menjadi cair
bila disentuh api bernyala.

Ambillah contoh laluan air
rajin menyalur tanpa berakhir.

 Alor Setar.

6.04.
BAJI

Dia sudah tahu peranannya
membelah batang-batang pohomu
kendatipun terasmu liat,
jangan hairan
kerana dia mampu menyisip
celah akraban kayumu
tanpa sebarang sangsi,
hatta memutuskan
saraf-saraf yang tegar.

Kamu sekadar menyaksi
bahawa saudaramu telah terpisah
lalu menjauhkan diri.

Alor Setar.

6.05.
LAUT  DAN  SUNGAI

Laut, adakah kamu dari unsur lain
maka airmu tidak sebulu
dengan air sungai?

Nyata kamu lebih hebat,
punya gelombang setinggi gunung,
paus dan jerung-jerung ganas
mengawal dasarmu
dan segala khazanah terpendam.

Sungai begitu kerdil di matamu,
tidak mampu mencerna batu batan
menahan tsunamimu
mustahil melawan ribut taufan,
sungai mengalir tenang,
lalu kamu cuba mendekatinya,
memikatnya, dengan ombak-ombak mesra.

Apakah kamu punya keiklasan?
sedangkan pasangmu sudah mula
memasuki sungai, menjelajahi daratan.

Alor Setar.

6.06.
LIDAH 

Pandainya lidah berkata-kata,
s’gala yang pahit menjadi racun,
sedang yang manis itu bahasa.

Memutar belit mainan cuma,
lantang suara hilanglah santun,
pandainya lidah berkata-kata.

Bagai kelibat si anak dara,
sapa menyapa dilihat anggun,
sedang yang manis itu bahasa.

Jangan lidah celupar adatnya,
banyak muslihat mampu diadun,
pandainya lidah berkata-kata.

Renung dahulu tika bicara,
kata berhemah ayat bersusun,
sedang yang manis itu bahasa.

“Kerana mulut badan binasa”,
ingatan diri turun-temurun.

Pandainya lidah berkata-kata,
sedang yang manis itu bahasa.

Alor Setar.

6.07.
PAGI

Tatkala fajar mula menyinsing
langit membuka daun hijabnya
damainya pagi, s’galanya hening.

Terbentang alam gunung keliling
pohonan hijau menyejuk mata
tatkala fajar mula menyinsing.

Murai berkicau, unggas membising
ayam berkokok saling bicara
damainya pagi, s’galanya hening.

Alhamdulillah doa kuiring
Allah masih memberi usia
tatkala fajar mula menyinsing.

Saat begini betapa sering
rakan kembali menemui-Nya
damainya pagi, s’galanya hening,

Sedang dunia tidak terasing
dari nikmat-Nya, ingati Dia!

Tatkala fajar mula menyinsing
Damainya pagi, s’galanya hening.

Alor Setar.

6.08
AKU DAN DIA
(dedikasi untuk guruku)

 Aku tidak menangis
bila dia merotan pinggulku
kerana aku tahu hukuman
mencopet duit rakan,
aku tidak peduli dia mengusirku
berdiri tengah terik matahari
kerana aku tahu
diriku pantang diuji,
langsung aku tidak hairan
bila aku ditahan
(sedang rakan-rakan berhembus pulang),
aku tahu denda bakal kuterima
atas sikap curangku,
mengabaikan ilmu dan kerja.

Tapi aku tidak membencinya;
dia pernah membalut lukaku
ketika terjatuh rebah, jua membantu,  
waktu aku kehilangan wang saku,
lalu menghantar aku ke rumah.

Saat ini aku menangis
dia terlantar di ranjang usangnya
sepi dan uzur,
sukar aku menyembunyi sebaknya dada
bila air terus gugur
dari kelopak mata,
dia guruku
yang menjadikan aku manusia.

Alor Setar.

6.09.
HAGIA SOPHIA

Dulu kakiku menggigil
bukan kerana musim sejuk di Sepanyol
tapi atas lantai Mezquita
menyaksi gereja dalam masjid,
aduhai Cordoba!

Engkau sudah jauh hanyut.

Sejurus aku berdepan Hagia Sophia
yang menggamit kehadiranku,
tidak seperti Mezquita,
dia lebih mesra
kerana langit-langitnya
tertera baris-baris suci al-Quran,
Muhammad dan para sahabat
begitu sinonim dengan doa-doa kulafaz
dan rinduku sudah tidak asing,
Hagia Sophia,
di dadamu Virgin Mary
seolah-olah sedang melihat
mihrabmu menghala kiblat.

Istanbul.

6.10.
IBU

Harini siang bertandang lagi
ketika ibu tiada daya
menyaksi terbitnya matahari
dan segala yang disimbah cahaya.

Dia terlantar kaku di ranjang,
sekadar bisa mengintai langit
dari celah-celah dinding usang
sesekali rindunya menggamit.

Anak-anak kian jauh pergi,
dia mengerti zaman berubah
pasrah sang ibu membawa diri
kudratnya serah pangkuan Allah.

Betapa sepasang tangan ibu
mampu titipkan kasih nan padu.

Alor Setar.

7.
NOORHAMY

BIODATA. Noorhamy ialah nama pena Noorshamsuddin bin Hj. Md. Yassin, mantan pendidik. Jawatan terakhir sebelum bersara sebagai Penolong Kanan Pegawai Pelajaran. Lahir pada 2 Oktober, 1949 di Kampong Telamba, Telisai, Tutong. Mulai menulis puisi sejak di bangku sekolah tahun 1964 di dalam majalah RIAK sekolah SMJA dan terus berkarya sehingga kini. Hasil-hasil karya sajak pernah dikeluarkan di akhbar Borneo BulletinPelita Brunei, dan juga Media PermataBAHANA DBP serta di dalam majalah-majalah sekolah di mana sahaja pernah bertugas. Antara nama-nama pena yang lain yang pernah digunakan ialah MY Musdina, Nur Qalam, Noorah AMY, Permani Panaka Lima, dan juga Tuk Abih.

Hasil karya dimuatkan dalam antologi bersama:-

  1. Antologi Puisi RESTAAN ANAK MERDEKA (Penulis Daerah Tutong 2006) Keluaran DBP Brunei,
  2. Antologi Sajak SUARA (Penulis Daerah Tutong 2009) Keluaran DBP Brunei,
  3. Antologi Sajak KE MERCU EMAS (Penulis Daerah Tutong 2011) Keluaran DBP Brunei,
  4. Antologi CAHAYA TERUS BERSINAR Sempena memperingati 100 tahun Pendidikan Formal Negara Brunei Darussalam yang telah diterbitkan pada 2014 oleh Program Bahasa, Kesusasteraan dan Kesenian Melayu Fakulti Sastera dan Sains sosial, Universiti Brunei Darussalam,
  5. Antologi Sajak AMAS TAMPAWAN 2015-Selenggaraan Kesepakatan Warga Emas,
  6. Antologi PANTUN DAN SYAIR 2016 Selanggaraan Rakan Warga Emas ,
  7. Antologi SERUMPUN SEKATA Perhimpunan Sasterawan Budayawan Negara Serumpun (PSBNS) Brunei 2017
  8. ANTOLOGI PUISI GURU (Gerakan Akhbar 1000 Guru Asean Menulis Puisi) Terbitan Perkumpulan Rumah Seni Asnur Jl.Kavling Ul Timur VI Blok D No.4 Tanah Baru-Kota Depok 16426 Indonesia.  

Antologi solo yang pertama ANTOLOGI SAJAK SUARA DARI PANTAI terbitan Bahagian Bahasa dan Sastera Badan kesenian dan Kebudayaan (B2K) Tutong pada tahun 2011 dan antologi solo yang kedua KUMPULAN SAJAK LORONG-LORONG KEHIDUPAN terbitan Bahagian Bahasa dan Sastera Badan kesenian dan Kebudayaan (B2K) Tutong pada tahun 2015. Selain menulis sajak juga meminati menulis syair dan pantun dan juga cerpen. Bermain alat muzik tradisional dan moden, melukis, seni bela diri (silat), nyanyian dan tarian, dan juga Dikir Brunei ialah bidang-bidang yang lain yang sama diceburi. Pernah mendapat mendapat tempat pertama, kedua, dan ketiga dalam peraduan seni lukis peringkat daerah. Menerima anugerah Pingat PKL dan PIKB.

PUISI

7.01. Aku Cuma Punya Sedikit
7.02. Berbicaralah Alam.
7.03. Bisikan Hati Buat Warga Tua
7.04. Dedaun Yanag Berguguran
7.05. Dipanjaat Usia
7.06. Kita Ini Warisan Melayu
7.07. Kucupnya Tetap Mewangi
7.08. Lalu Bertanyalah Oranag Tua
7.09. Menyusuri Embun Pagi
7.10. Nafas

7.01.
AKU CUMA PUNYA SEDIKIT

Aku memang tak punya apa
jika itu yang kau minta
aku cuma punya sedikit
berkubur di kaki anak bukit
di situ hatiku tetap terselit
walau tiada kurasa segala manis
hanya didakapi keping hati menangis
di sebuah sudut gelap dan trajis.

Aku ini bukan siapa
hanya insan yang berkelana
tak punya yang luar biasa
menimba dan mencuba dengan daya
hingga esok dan esok….. dan esoknya
entah mungkin tiada akan bernoktah
biarlah walau bercampur dengan sampah
tetap juga takkan punya penyudah.

Walau aku mengejar usia yang berlari
namun tetap berkata aku tidak terlewat
mencari jejak-jejak yang pernah perkasa
sebagai tauladan untuk berjasa
bersama detik-detik nafas semput
kerana aku bukan seorang pengecut
kerana inilah harga jati diri
jika ingin berdiri sendiri.

Biarlah walau aku sekerdil mana
aku tetap takkan peduli apa
silakan bicara walau bagaimana
kerana aku tahu ukuranku
setakat mana yang aku punya
keyakinan itu perisaiku
pasti tiada mampan godaan
menghadang perjalanan.

18 Feb. 2019, 1.44 pagi.

7.02.
BERBICARALAH ALAM

Desiran dedaun ditiup bayu di hutan rimba
adalah suara bicara alam mengenai kehidupan
antaranya cerita kerakusan perilaku manusia
melalui bisikan yang pasti tiada kedengaran
hanya difahami dari naluri hati yang memahami
menilai antara keputihan dan kehitaman
juga antara keindahan dan keburukan
atau kebaikan dan kejahatan dalam kehidupan
pokok-pokok yang tumbang berkaparan
bagaikan bangkai-bangkai mangsa di medan perang
kepulan asap pembakaran bagai dalam pertempuran
musnah segala kedamaian dan keindahan
lantas terdengar suara tertawa yang berdekah
kepuasan dalam kegelapan fikiran.

Berbicaralah alam pasal kehancuran
tika lembaga-lembaga sedang berkeliaran
mereka hadir hanya menjanjikan kemusnahan
sambil menayangkan senyuman yang lebar
di balik tirai kebanggan berbunga keuntungan
habuan laba dari nilai alam yang menjadi korban
akhirnya anak-anak tidak akan mengenali
wajah-wajah alam yang pernah bersama leluhur
bagaikan sebuah cerita dongeng yang kabur
tiada sedikitpun akan menjadi penghibur
selain dari menjadi restaan yang menggerun
dikatakan hutan rimba dihuni para jembalang.

Berbicaralah alam dalam kemurungan
dibicarakan mengenai sebuah kehilangan
kehijauan dan kemesraan alam fauna dan flora
beburung telah jarang hinggap di dahan-dahan
hanya terbang berlegar meninjau dari atas awan
haiwan melata kerap tersesat hilang panduan
tersasar ke kota tak kenal lagi lorong laluan
hutan rimba khazanahnya semakin jarang
bukit bukau semakin gondol dan kontang
hamparan relung-relung tanah menjadi padang gersang
aliran air sungai kian hanyir dan bergelodak
bersama titisan air mata insan yang menagih hak.

21 Februari 2019, 12.52 pagi (malam).

7.03.
BISIKAN HATI BUAT WARGA TUA

Kita ini sudah dimamah usia
telah kehilangan sebahagian yang punya
bagai pohon semakin usang di tengah padang
walau masih punya tunjang perdunya tetap bergoyang
janganlah terus bangga kerana pernah didewa
berwajah tampan dan perkasa bagai dewa angkasa
atau berwajah manis menawan bagai bidadari di kayangan
namun pasti akan tetap punya keistimewaan
jika masih murni keperibadian kemanusiaan
atau tersirat segala keikhlasan dalam kelembutan
dan terus teguh keimanan kepada Tuhan
tanda jatinya kewujudan makhluk bernama manusia
ciptaan Tuhan yang paling terindah dan sempurna.

Kita ini tetap terus diratah usia
hingga sejauh mana kita bernafas membelai maya
usah masih juga terus terlena membelai warna dunia
sedangkan garis senyuman tiada lagi menawan
raut wajah telah mengendur berlipatan
tulang-temulang juga telah mula berhentakan
dan bebola mata yang bundar bertukar pudar
yang ada kita hanya punya nafas yang sering semput
dan juga bagaikan hilang datang jantung berdenyut
ayuh! bangunlah dari angan-anganmu yang keliru
kenangan usia mudamu yang telah jauh berlalu
beramal, berzikir, bertahmit pada Tuhan-Mu
kerana usia kita kian hampir di muka pintu.

Tataplah wajah kita di penghujung usia
dalam cermin kehidupan berbayang kesedaran
sedangkan wajah terus juga semakin lusuh
sisa daging di lengan kian kendur kerdut beribu
tetap tak akan menyerlah keindahannya
walau dipersalinkan pakaian putera kayangan
atau dipasangkan persalinan puteri di bulan
kerana kita adalah pohon-pohon menjadi punggur
akar-akarnya remuk dan daun-daunnya gugur
menanti tumbang ke bumi dan hancur bertabur
bersama hati syukur atau sikap takbur berkubur
hanya Tuhan tentukan penghuni di mana
antara neraka saqar atau syurga loka.

25 Jun 2018, 11.58 malam.

7.04.
DEDAUN YANG BERGUGURAN

Helai-helaimu pernah menghijau merimbun
di reranting menghiasi flora dan fauna rimba
atau penghias taman syurga di mata
bagai memenuhi warna sebuah kedamaian
buat semua makhluk yang bernyawa berkongsi rasa
manusia dan unggas mergastua serta haiwan melata
menyenangi wujudmu melengkapi setiap pepohon
buat tempat bersantai dan bercanda mendamai jiwa
saban hari di kala tersenyumnya mentari
atau di saat malam distinasi unggas bermalam
di malam kelam atau sinar rembulan berbalam.

Entah, masihkah menghias kenangan
setelah dedaun terpisah jatuh berguguran
dari reranting pepohon yang terisak menangis
dalam kekeringan yang layu di ranting kaku
didakap malang kemarau tiada terhalang
helai-helainya melayang dihembus bayu yang sendu
pepohon tetap jua pasrah diiring sedu rindu
akur kepada perjalanan sebuah takdir
yang pasti juga akan hadir penutup akhir
mengharap dedaunnya bercambah kembali.

Dedaun yang berguguran
di atas bumi menjadi taman kuburan
baktinya bagaikan tanpa punya peninggalan
dilupakan tiada dicoret bokti pengakuan
pepohon juga mungkin terlupa segala kehilangan
dedaun yang gugur kian kering mereput
tanpa dibelai kasih walau sejemput
hanya sendirian matinya disambut sepi
atau dicakar buat pembakar unggunnya api.

26 November 2018, 12.57 dini hari (malam).

7.05.
DIPANJAT USIA
(Buat ingatan kita semua)

Apabila setiap kali dipanjat usia
yang tetap hadir dan tak pernah mungkir
menandakan kita dipanggil semakin hampir
namun tetap masih punya nilai harga
yang bukannya akan dipinggir percuma
kerana usia serupa pokok gaharu
dalam wujud tua terasnya kian bermutu
tersembunyi segala rahsia berguna
di dalam raga tinggal rangka seperti mati
kitalah tunggul balu tetap hidup hijau berlumut
tersembunyi di hutan rimba bertapa
di celah tumbuhan hutan halimunan
miliki seribu ilmu rahsia alam.

Usah dirisau bila usia terus bertambah
kerana itu bukannya tanda penyudah
dan di dada kita biarkan direla untuk ditimba
itu namanya sebuah jasa tiada percuma
dari kita yang telah digelar warga tua
agar segala milik kita tiada menghilang
tanpa pewaris ditumpahkan sayang
yang tak sepatutnya kita rasa berkira
bukan anak kita biar jadi anak kita
bukan cucu kita biar jadi cucu kita
bukan saudara kita biar jadi saudara kita
tiada mengapa kita ajari semuanya
asalkan mereka anak bangsa yang setia.

Apabila kita berhijrah ke warga tua
walau tulang-temulang bergetaran
kulit dan daging berkibaran bergantungan
namun tetap juga masih punya waktu
menabur budi hati memberi harapan
benih ilmu kehidupan di genggaman
bekalan pengalaman elok ditaburkan
agar tumbuh bersuli berbuah kebajikan
buat anak cucu bangsa kita dalam pencarian
pedoman sebagai pembuka lorong jalan
pintu ingatan dari warga tua sebagai warisan.

19 Ogos 2017, 1.36 dini hari (Pagi)

7.06.
KITA INI WARISAN MELAYU

Jangan dibongkar dan jangan ditukar
kita ini warisan melayu elakkan malu mengaku
biarkan akar-akarnya menjalar dan berlingkar
teguh mendakap dan menekap
walau ke tujuh petala bumi
kita memang punya warisan leluhur melayu
jangan biarkan kita terpaku dan membeku
di bumi nusantara kita punya budaya tersohor
ayuh! warisan melayu hiduplah walau bertabur
jangan mundur tapi jangan takbur
warisan-warisan leluhur adalah insan-insan agung
dalam perjuangan kehidupan di darat di lautan
di zamannya biarlah terus bersambung
kerana kita adalah pewaris dan akan mewaris
warisan melayu di seluruh nusantara dan dunia.

Wahai! Bertanyalah pada dirimu
di darah dagingmu warisan dari siapa
budaya dan tutur bahasamu bagaimana
Nah! Melayu itu biarlah menjadi warisan istimewa
biarlah tunjangnya menusuk bumi menyeberang lautan
kerana kita bukannya bangsa menyerah kalah
walau berdayung atau berakit bergalah
menempuh gelora ombak dan badai ditongkah
sepertimana perkasanya pejuang warisan melayu
pernah kembara di daratan dan lautan beribu batu
menjadi restaan sejarah warisan melayu yang diaku.

Kita ini warisan melayu yang berani
Ayuh! bersama meniti lengkung gerbang pelangi
bersama menggapai awan gemawan satu tujuan
agar kita akan mampu menatap wajah bumi permai
dan akan meneroka pelusuk-pelusuknya yang damai
bersama keberanian dan kemampuan yang kita punya
kerana kita pemimpin warisan pemacu kejayaan
akan ditagih generasi warisan yang kehausan
mengharap dititiskan air di tenggorokan
meneruskan kehidupan bersimpangan ke arah kejayaan
pasti warisan kita akan gah di seantero dunia
akan terbukti jika kita dapat bersama untuk selama.

21 Februari 2019, 9.54 pagi.

7.07.
KUNCUPNYA TETAP MEWANGI

Pohon-pohon tua walau tumbuh di mana
di tengah padang terbentang ditumbuhi lalang
di hutan belantara dan belukar akar berlingkar
apa lagi jika perdunya masih tegak berdiri
di dalam taman-taman halaman hiasan
pun walau tika dedaunnya sudah berguguran
sememang menanai sifat adat kelanjutan usia
namun kelopak bunga-bunganya yang kuncup
tetap mewangi di ruang angkasa bersama bayu
pasti dirangkul kepuasan di saat rebah tersungkur.

Pohon-pohon tua menanai sebuah harapan
kelak biji-biji benihnya tetap akan bercambah
dan pasti wujudlah generasinya yang seutuhnya
lantas pucuk-pucuknya menjulang setinggi mana
ke angkasa di dada langit yang terbuka
semoga dedaunya yang hijau merimbun
sebagai perteduhan unggas mergastua berhimpun
disaksikan setiap detik saat zaman bertamadun
menyumbang bakti di muka bumi milik Ilahi
pohon-pohon tua bagai tersenyum di saat tersungkur.

Nah!… tersiratlah warga-warga tua itulah pepohon tua
tetap punya harga melebihi nilai sebutir kemala
warga-warga tua punya warna-warna terindah
untuk diwariskan buat perhiasan di minda dan dada
buat warisan yang menghargai erti kebahagiaan
kerana warga-warga tua adalah generasi pejuang
mengharungi perjuangan yang panjang dan berulang
bersama mandian keringat dan tulang belulang
bersama kokok ayam dan dinginnya embun pagi
lantas tangan-tangannya gagah menanai mentari
dalam langkah kaki walau longlai menuju senja hari
ayuh!…. bertanyalah pada diri di manakah kita kini.

15 Oktober 2018, 1.48 pagi (dini hari).

7.08.
LALU BERTANYALAH SEORANG TUA

Lalu bertanyalah seorang tua
menjenguk dari jendela yang terbuka
tanyanya aku anak siapa dan bangsa apa
lantas jawabku aku anak watan melayu jati
dia tersenyum dalam wajah yang kerepot
namun dia tetap masih gagah dan tampan
bagai pahlawan pejuang di medan peperangan
dan dalam sopan mengatakan aku bagus
di hatiku berkata dia bukan tikus tapi kritikus
membuka minda berfikir tidak rakus.

Orang tua itu terus juga bertanya
aku kerja apa dan tempatnya di mana
jawabku aku kerja apa saja dan juga di mana-mana
dia tersenyum sumbing sambil mengerling
anehnya dia bermandi keringat menaikkan kening
juga berpesan padaku agar tidak ponteng
kerja apapun biar halal itu penting
wataknya bertegas berani tiada tanding
sangkaku dia seorang sukar dibanding
berbicara lembut tiada nyaring.

Orang tua itu terus bertanya
yang aku mahu ke mana tempat siapa
kujawab selamba tak panjang bicara
aku boleh kemana-mana di pelusuk dunia
aku jumpa siapa-siapa yang mudah kusapa
orang tua itu menentang mataku
katanya aku ini manusia yang kaku
berhati yang beku berfikiran buntu
lantas aku sedari sendiri mengaku
aku tak punya apa-apa mujur dia ada.

13 Februari 2019, 12.33 Dini hari (malam).

7.09.
MENYUSURI EMBUN PAGI

Berkicau beburung
berterbangan bermandi embun
di ruang tabir kabus yang dingin
tika mentari menyerlah tersenyum
menatap tubuh-tubuh bergerak rancak
sedang menghayati harga sebuah kehidupan
dalam langkah-langkah menuju tujuan
menuju menongkah arus kota
atau meneroka isi rimba belantara
dan mengharungi gelora lautan semudera
begitu nekad demi menunaikan hajat
agar selesa menghembus kesegaran nafas.

Menyusuri embun pagi
diiringi kokok ayam yang rancak bernyanyi
suara si birik, si rintik atau si bulu cantik
serak dan unik namun tetap menarik
kerana jejarinya bersama mencakar tanah
nan lembab atau berlumpur mengelak kebulur
insan-insan berjalan bersimpang-siur
hala tujunya meneroka ruang kehidupan
seiringnya kokok ayam di halaman atau di reban
biarlah tubuh akan bermandi keringat
setelah mentari mula panas menyengat
atau tubuh akan kesejukan basah kuyup
ditimpa hujan dan angin yang bertiup
di bumi ini masih punya rezeki asal berani.

Embun pagi permulaannya langkah
buat insan-insan yang berjuang tak sudah
kerana mengenali pengertian kehidupan
yang setentunya dilanda rasa kesakitan
menghendaki kecekalan dan keberanian
di setiap detik masa yang terus hadir
dan di setiap langkah yang terancang
agar tiada akan tertumpas perkiraan
yang kepingin dilakar dan erat di genggaman
menjadi perjanjian membena tampuk harapan
hingga langkah perjalanan menuju ke tabir senja
dan esok akan bersama lagi menyusur embun pagi.

17 November 2018, 12.32 dini hari (malam).

7.10.
NAFAS

Berlalulah hembusan nafas
ada sedu di setiap sudut gelap dan terang
dan malamnya wujud bayangan kepastian
sinaran lampu kehilangan erti meredah saat
di dalam takdir perjanjian tanpa isyarat
namun tetap tiada wujudnya sesal
dari pengiring yang tetap setia ditinggalkan
di sebalik ada tandatanya bekalan pemergian
dimiliki sudah secukup mana.

Esok, esok lagi dan esok-esok berganti
terus juga berlalu hembusan nafas
yang tinggal banyak membisu menupang dagu
sebak sudah tiada mampu dikira
lantas tertumpah di ruang serambi isi hati
juga menitis di permukaan bumi menanti
tiada lagi terkesat di celah-celah jari
wajah sebuah takdir yang mesti dimiliki.

Setiap hari bagaikan punya jalan pintas
nafas terus dihela panjang dan pantas
dan rupanya masih juga punya rasa biasa
kadangnya dicengkam rasa tiada percaya
diri masih juga membelai anugerah raga
lantas bertanya di dalam teka-teki
hembusan nafas sendiri bila akan pergi
yakin sememang di situlah perjalanan.
Setiap kali hembusan nafas berpergian
terasa bagaikan hadir di dalam diri
dan bergoncang sebuah ketenangan
pada Tuhan diluah doa permohonan
bermunajat memohon segala pengampunan
memburu agar tiada akan berlalu
detik-detik masa yang masih berbaki
penghujungnya dengan setia tetap dinanti.

31 Januari 2018, 12.10 dini hari.

8.
PENGIRAN HAJI SHAMSU PHK

BIODATA. Nama sebenar Pengiran Haji Shamsu bin Pengiran Haji Kadar. Alamat: No. 12, Spg 124, Kg Selayun, Sengkurong ‘B’, Brunei Darussalam. Mobile phone: +673 8644637. Dilahirkan pada 5 Disember 1942. Mula berkhidmat dengan kerajaan pada tahun 1958. Pengalaman berkarya bermula dalam tahun 1960-an ketika menuntut di Brunei Teacher’s Training College, Berakas, Brunei. Selain daripada menggunakan nama sebenar, juga menggunakan nama samaran, antaranya Nor A.S, Dulkarahman, dan S. Abdulka, terutama dalam tahun-tahun 60-an. Kini Pengiran Haji Shamsu PHK. Hasil karya pernah tersiar dalam beberapa media masa: Suara Bakti, Daily Express, Pelita Brunei, Bahana, Journal Pendidikan, Majalah Tunas Belia, dan Sinaran Maktab MPMB, majalah Wisata SMMP SMJA, Majalah Pusat Tingkatan Enam Jalan Muara, Majalah Taman Siswa MDPMAMB, Media Permata, dan lain-lainnya.
PENGALAMAN PROFESIONAL: Pensyarah Bahasa dan Kesusteraan Melayu di sekolah-sekolah Menengah, Pusat Tingkatan Enam, Institut Pendidikan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Terakhir sekali sehingga bersara tahun 1997, bertugas khas sebagai “Pegawai Pelajaran Kanan / “Nazir” Khas Bahasa dan Kesusteraan Melayu dan MIB”, Jabatan Kenazian Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan NBD. Pengiran Haji Shamsu adalah mantan Pegawai Pelajaran Kanan/Nazir Khas Bahasa dan Kesusasteraan Melayu dan MIB, Kementerian Pelajaran Brunei. Berkelulusan Sarjana Muda Sastera Pendidikan (UBD), Bachelor of Arts Education (CPU), Advanced Diploma in Educational Studies (Hull, England), Language Institute, Pantai Valley (Kuala Lumpur), dan BTTC (Brunei).
Hasil karya (Perseorangan): Sajak-sajak Adi Kelana: Satu Analisa Struktur, Syair Sekilas Pandang, Nostalgiaku Abadi, Pantunku Dipantuni, Gurindam 32, dan Ombak Menghempas Pantai (Antologi Puisi). Sajak Amas Tampawan, Pantun dan Syair (Restu), Puisi Sembah Daulat Sejambak Kasih 70 Tahun, Cahaya Terus Bersinar” (antologi bersama). Penyertaan Antologi 1,000 Guru ASEAN dan lain-lain.

PUISI

8.01. Peradaban Manusia
8.02. Tawaf Sa’ieku
8.03. Setulus Hati, Setenang Jiwa
8.04. Puja Usia
8.05. Hilang
8.06. Semerbak Nama-Mu
8.07. Saat Menunggu Sinar Gemilang
8.08. Menanti Mengharap Kasih
8.09. Cerminan Diri
8.10. Ada Wujudnya

8.01.
PERADABAN MANUSIA

Andai seheningnya berbudi kepada tanah
pasti pohon tanamannya subur menyerlah
bumi yang dipijak dihentak-hentak ini
perut buminya menyumbang rezeki halal
sedang membaca ayat suci Al-Quran
dikurniai maha syafaat fadhilatnya berkat.

Bak beradat bisai budaya kepada negara
kegemilangannya berseri kembangnya mewangi
kitalah yang berhak memperkasa kewujudannya
demi ikhlas berbudi kepada kedua ibu bapa
mengangkat kesempurnaan mendekat hidayah
waimapun berbudi segunung intan
terkadang jua terdorong lupa daratan.

Bertanam ubi berisi memberi budi dihiasi
tandanya bestari dan mantap fikir
petunjuk dari Sunnah Nabi para aulia
jelas sekali tamsil ibaratanya nyata
harimau mati meninggalkan belangnya
manusia mati dirista budi bicaranya.

Mengenang baik nikmat kurnia Allah
ikutlah perintah tiada membantah
amal makruf lancar nahi mungkar dilontar
pasti hukum berdiri dengan saksinya
adat berbudi berdiri dengan tandanya
apakah masih sangsi diwarisi.

Peradaban mulia warisan bangsa pemalu
maluntya bersopan santun bukan mengatun
renung hayatilah peribahasa Melayu
sekali air bah pantun ikut berubah
jika berkayuh sampaikan ke hulu
jika berenang jangan terus tenggelam
adat mendaki bukit sakitnya sedikit
adat mendaki gunung biarlah menggunung.

23 Januari 2019, Rabu.

8.02.
TAWAF SA’IEKU

Kutasdikkan di hati bahawa
tujuh kali pusingan bukannya serupa walking
irama takbirnya mengalir doa-doa
sepenuh yakinku bahawa
Sa’ie Safa-Marwah bukannya serupa jogging
rentak gerak langkahnya demi Ukhrawi.

Demi rukun dan hakikatnya dituntut
titih dihayati setulus nubari
yakin diri setabah hati hening
sikap yang utuh dedikasi diri.

Rabbi! Sujud tawadukku untuk-Mu
hamba-Mu yang masih berupaya ini
mensyukuri rohani jasmani sehat
menyebut-nyebut nama-Mu tiada henti.

Wahai! Sekuat semegahnya pun seorang insan
rela reda hati sujud mohon keampunanan
dari dosa-dosa belum terampun
dari keterlanjuran sikap dan keinginan.

Kehadiranku ini bukan mainan sandiwara
jauh dari tunjuk gaya angkuh diri
bukan semaunya hati berwisata
tapi hadirnya Umrah undangan dipermudahkan.

Tiadalah sesia ditakdirkan ke sini
umrah dan ziarah di Tanah Haram
jayanya ibadah fadhilatnya sungguh berganda
dari sahihnya hadis sempurna.

Renungan hadir masa lalu penuh cabaran
demi tuntutan ukhrawi pasti dilaksana jua
kini hadir lagi mendekati hajat terpendam
yakinku Kaabah penyatu silaturahim umat.

Demi restu dan doa makbul
dari jauh Kaabah di hati dan di mata
kampung halaman ditinggalkan segera
sudah takdir undangan Maha Pencipta.

Itulah rahasia dan mukjizat Kaabah
Haji dan Umrah wajib tawafnya
demikian Safa-Marwah menghimbau rasa
rukun dan syaratnya dituntut sama.

Elaf Al Mashaer Hotel, Makkah Al Mukarramah, 16 Februari 2019.

8.03.
SETULUS HATI SEHENING JIWA

Dalam heningnya minda dan fikir di benak
bak riaknya air di tasik jernih
ditiup angin sepoi bahasa
terkilas pandang masjid-masjid berkat
silih berganti di kerlipan mata
Masjid Nabawi dan Masjidil Haram yang Suci
bukan angan alpa dek igauan mimpi
dah mntap di jiwa terlukis di hati.

Tiadalah sedamai seindah di lubuk nubari
selain duduk berzikir beradab reda diri
di ruang damainya Raudhah; taman surga
taman penyejuk rohani ne’mat rahmat
kehidupan bahagia dikotajanjiakn di Ukhrawi
Madinah Munawarah berganda keberkatannya.

Tiadalah sunyi sepi dikunjungi malam siang
pun tanpa hetungan waktu dan masa
waimapun saat-saat ketika musim
insan diberkati ibarat tiada tidur
hanyalah diri ini mohon redha Allah
keampunan diri kebaikan bermanfaat umat.

Sesungguhnya apalah dikira untung rugi
penat lelah letih anggota badan
walhal iman dan taqwa dijiwai
demi kumat kamit mulut memuji
lidah yang mengikralkan ikhlasnya hati
tiada lain mohon keampunan dan sejahtera.

Jalanan insan bergerak keliling Kaabah
adalah putaran ibadah indah
bukan jogging ria rekriasi diri
hanyalah insan mengabdi diri mengharap kasih
restunya ke jalan lurus tiada simpang siur
hala tujunya bersama niat syahdu.

Benar, Sa’ie Safah Marwah bukan penonjolan diri
aksi suci perjalanan adalah rukun
wajar dilaksana dihayati sepenuh daya usaha
bukan angkat kaki lambai tangan semata
syarat rukun wajibnya dituntut
pasti sahih tartip gerak lakunya.

Baitullah, rumah Allah hanyalah Esa
bukan duplikat bukan bayangan auta
kerananya Baitullah penyatu umat Muhammad
fadhilat afiatnya sudah dikotajanjikan
hadir umrahku adalah saksi tuntutan ibadah
yang silih berganti manggamit hadir
Ya Rabbi, restui dan redailah Umrah-umrahku!

30 Januari 2019.

8.04.
PUJA USIA

Alangkah bahagia saat teruja di maya usia
tika tibanya musim nostalgia ria
gitu gembira disyukuri disambut manja
warna warni kek indah sedia terbena.

Lahirlah “lanjutkan usia” “hidup bahagia”
doa doa utama  menjamah deria
bersama aminan ikhlas tercurah nyata
indahnya udah terbiasa jadinya.

Mensyukuri nikmat dan rahmat
ada dendangan doa merdu
happy birthday to you
hidup jaya gembira berpanjangan.

Doa-doa diaminkan penuh harap
termakbul tiada makbul berserah
hanyalah rahasianya di alam ghaib
termakbul bahagianya  anugerah Maha
Pengasih Penyayangnya disyukuri

Puja usia bukan untuk bersahaja
datangnya dari jiwa tulus
siraman rahmat diilhami
diterima wujudnya hikmah
ditakdirkan di saat gemilang.

Ketentuan dunia ada batasnya
usia muda terserlah, usia tua dimamah
biar pengertian sendiri
adat muda menanggung rindu
adat tua menanggung adat
puja usia jadi perhitungan waktu
awal akhirnya usia tersurat
ingatlah masa mendatang yang bukan puja
akhir takdirnya tiada maya.

Kg. Selayun, Sengkurong ‘B’

8.05.
HILANG

Demi harap patah kan tumbuh lagi
yakin diri hilang akan berganti
mekar kembanglah hasrat berbunga
harapan hati tinggi menggunung
tercapaikah atau terungkainya cita
seandainya tiadalah dapat diteka terka
pastinya masih samar seribu kebarangkalian.

Benarkah patah sayap bertongkat pauh
impian tinggi pantang undur mengalah
biar berputih tulang dari berputih mata
semangat kental tak mungkin padam
sedang makna hilang tiada lagi
tumpas atau tewas kerananya
mana bisa menjelma di celik mata.

Hilang misteri penuh teka-teki
kepastiannya suram dan muram
harapan yang tipis menggugat jiwa
soalnya pasti tiada terjawab
wujudnya tiada jelas nyata
bak pengembara menghilang jejak
kesan wajah bayangnya tiada sinar.

Natijah dari hilangnya kasih
sengsara diri mengusik jiwa
pahit maung merajai hati
titisan air mata di senja
bukan lagi dari mimpi sedih
mendorong rasa pedih mendidih
menggamit hati rasanya hampa.

Apa lagi hak dan harap
waima pantas dan tangkas
rezeki di tangan disambar hilang
hilanglah bayang dan wajah
bukan hanya sekilas pandang
bukan mimpi terbayang wajah
sinar dan cahayanya sirna.

Hilanglah percaya diri di dada
di mana lagi kan di cari ganti
serupa wajah dan kasih
jangan lagi diangan-angan
sedang mimpi sedih di siang hari
tika dicatat hilang di ingatan
hilang! hilang! Jadilah lupa dan papa

Kg. Selayun, Sengkurong ‘B’, 6 Januari 2019.

8.06.
SEMERBAK NAMAMU

Harum semerbak mewangi sanjungan budi
irama melodi mendayu bergema memuji-Mu
berkumandang di tanah daratan menghijau
mendesir-desir bersama angin di lautan biru
di rumah Allah tiada sunyi-sepi alunan zikir
mendengar suara merdu selawat yang menyegar
memuji-Mu ikhlas di hati di jiwa luhur
menyanjung-Mu dalam mengharap syafaat.

Ya Muhammad! Nabi yang teragung
engkau pesuruh Allah pembawa rahmat
nabiullah yang diutus oleh Allah
pembawa petunjuk hukum dan rukun
didampingi bukti mukjizat dipertunjuk jelas
nabi akhir zaman tiada sesudahnya
pembawa Sunnah Wal-Jamaah Islamiah
yakin diri penerima Islam agama sebenar.

Ya Muhammad! Pasti Sunnahmu jadi ikutan
jadi pedoman ke Siratal Mustaqim
pemberi hidayah, iman, dan taqwa
menerangi hati di dada insan
pengunjuk hadis petunjuk umat
ubat menguntum hati nurani
tiada semudahnya pudar dan luntur
dengan cahaya mukjizat yang mujarab kental.

Kekallah dakwahmu bukan omongan
turunnya selawat pengubat rindunya hati
jadilah sihat walafiat rohani jasmani
tiada ketandusan afiat Muslim seantero dunia
mengingatimu setiap 12 Rabiulawal.

Gilang-gemilanglah di pelosok dunia
meski di utara selatan pun di kutub
seyogianya di pasak dunia ghaib
sesungguhnya benar engkau kekasih Allah
Allah menyayangimu semarak kasih.

Seringlah terungkap di hati hening
dengan kumat-kamit zikir dan selawat
di saat-saat ikhlas memohon restu
sinarilah Islam sejagat yang murung
jauh dari fitnah petaka bahaya
jadilah sinar gelap menjadi terang
bermaya dan semerbak kehidupan beragama.

Kg. Selayun Sengkurong ‘B’

8.07.
SAAT MENUNGGU SINAR GEMILANG

Ibarat siang pastinya menjelang malam silih bergantian
seindahnya malam syahdu menjelang sinaran surya pagi
pastinya janji para setia anak pribumi penegak pewaris bangsa
terus mentaati menanti saat-saat gilang-gemilang.

Demi pergantian hari dan ligatnya suasana terus berlegar
bak mata dipejam buka adalah wajah siri kehidupan
sudah terjelma respons positif optimis leluhur hati
mempertingkat ungkayah ikhlas dan doa mohon makbul.

Adalah laluan senyum manis yang dihajati
adalah laluan tabah pasti rela dihadapi
ibarat air sungai terus mengalir ke kuala
sesama memartabat memperkasa negara bangsa.

Adalah niat jelas prihatin suci Ulil Amri
upayanya mantap menjana negara dan rakyat
jaya implementasinya berwawasan berhalatuju
pengukuh diri taat setia menjunjung titah.

Memang setia berbakti tiadalah walang di hati
masih tangkas waspada mengusai langkah bestari
andai dihitung berapa jumlah dan tinggi nilainya
kerana tahun-tahun berlalu penuh kejayaan.

Dalam menjangkau usia 50 tahun menaikki takhta
penuh harmoni bersinar bak kilawan emas
akan terpamer rantang di persada watan yang tercinta
menggapai gemilangnya sambutan Jubli Emas.

Seyogia tandanya tiada camah mata memandang
pun tiada terlepas pandang dan pejam mata
lalu dekat-mendekatilah dalam mesra-pertemuan
sudah bersatu dalam impian bernegara berbudaya.

Lalu hadir-menghadirilah dalam mesra-rakyat
berirama peka pantau-memantau dalam cerapan
implikasi sihatnya segera merombak situasi gemulai
jadi berseri berwangilah imej yang bersinar.

Kini tiadalah disangsikan budi leluhur
tawakal bersama turun padang seikhlas hati
waima sesukar jalan dan laluan berleku
tetap dijelajahi jua berbakal sekental hati berbunga.

Kg. Selayun Sengkurong ‘B’.

8.08.
MENANTI MENGHARAP KASIH

Meski menanti sesenang semudahnya diucapkan
seribu makna rahsiapun ada disisinya
kapan-kapan terlanjur kata
afdhalnya adalah suatu janji dinanti
ghalibnya perlu dihayati pasti ditepati
akibat mungkir janji rosak binasalah diri.

Menanti janji sedemikian penuhlah harapan
sememangnya adalah impian murni diimpikian
tanpanya bak sungai tak berhulu adalah penyeksaan
mengharap kasih mengharap setianya janji
belum tentu kasih sayangnya berbunga.

Bertapapun beratnya mata memandang
bahu memikul akan terasa jua beratnya
sedang soal dan tanya bebas berlegar-legar
minda sehat terundang jua dihantui
rasa hati terumbang resah-gelisah
rela tak relapun pastinya mengharap sabar
aduhai insan mana teguh imannya
hanya sekadar mengharap kasih kononnya setia.

Andainya menanti rezeki kurnia kasihnya Allah
mana mungkin kunjung tiba tanpa gigih usaha
jangan mengharap kucing akan bertanduk
apa lagi menanti bulan jatuh ke riba
insan jujur ikhlas jadilah murung diri
tiada terkesan nubarinya prihatin pekanya sejati  
betul-betul lurus menghitung amanah diri.

Demi harap yang terbuku di kalbu
jangan percaya mimpi samar di wajah malam
usah merenung sinar di siang hari
mendung redup mungkin membawa hujan
iktibarlah diri melepas pandang biarlah tepat
meski terhias terpamir belum tentu aslinya
manisnya madu pahitnya hempedu adalah ubat
jadi iktibar pembawa ingatan adalah rahmat.

Fikir-fikirlah yang memungkiri kata
yang menanti resah gelisahlah dijiwa
jika yang dinanti tak dikunjung tiba
impaknya akan tiba menjelma
hadirlah bingung di hati menggugat mental
minda terlerai fikir dan hilangnya bahagia.

Kg. Selayun Sengkurong ‘B’, 12/9/2016.

8.09.
CERMINAN DIRI

Perintah dan hukum Allah
sahih dan mutlak siapa membantah
siapa berani menyalah
kun fiakun, jadilah
berlakulah ia sesuatu sesegeranya
tiada lagi tempoh, masa, dan saat
hancur musnahlah mengikut kehendak-Nya.

Kuasa insan ghalibnya bisa ditimang-timang
kekuatannya difikir bukan kuasa
kekuatan Rabbi seluruh alam semesta
Maha Hebat tiada bandingan
bercerminlah pada diri!

Insan hanyalah sekadar hamba Allah
bak melukut di tepi gantang
sekejap melekat, sekejap terbang
wajib berlindung dengan kalimah-Nya
ciptaan Allah siapa mampu menyerupai-Nya
mana mungkin ada persemaannya
cerminlah diri!

Bila cermin diri, nampak bayangnya
Maha Kuasa melihat tiada ada tembok pemisah
mendengar, melihat, mengetahui hanya dengan kuasa
jangan nafikan kudrat iradat-Nya.

Cerminlah diri di waktu malam
cerminlah diri ketika siang
cerminlah diri ketika susah
cerminlah diri ketika senang
itulah hakikat bercermin diri
bukan melihat diri yang lahir
muhasabahlah bersama ikhsan yang hening.

Kg. Selayun, Sengkurong ‘B’, 12 Disember 2018.

8.10.
ADA WUJUDNYA

Demi harapan setinggi gunung
ada hasrat nak peluk gunung
demi kemahuan sepenuh hasrat
ada cita dipohon restu.

Ada kesilapan dipohon maaf
ada kemahuan tiada terpenuhkan
ada kebaikan dilupa jangan
ada kegembiraan hanya sampingan.

Ada kedukaan ujian Tuhan
ada kemewahan ada keaifan
hasrat dan cita tiada terpenuhkan.

Dalam kesebatian jiwa yang mapan
hasrat murni jangan tergapai-gapai
namun suka diriba duka menimpa.

Mahu maju ada jalan laluan
bestari difikir dijiwai di hati
bak ikan di air tenang terlihat jua
sekilas pandang dapat dilihat.

Dalam air setenang di kolam
dah jelas terbayang wajah
apalah lagi cermin berhias diri
tiada tersembunyi wajahnya diri.

Insan mengenal adanya Allah
amal makruf nahi mungkar tiada menyalah
demikian adanya wujud maknanya.

Hatta tiada lagi bersuluh di bulan terang
apalagi yang dapat menyinari
hanyalah hati mendekat Ilahi.

Kg. Selayun, Sengkurong ‘B’, 3 Ogos 2018.

9.
SUJATA WEE

BIODATA. Nama: Wee Sock Yam. Nama pena: Sujata Wee. Lahir di Jelawat, Kelantan. Karya bersama SPTA Tabir Alam, Catatan Kembara, Asmaradana, Asmaraloka, Pantun Serumpun, Menu Dari Dapur Penulis, Penganan, Pasak 152, Cerpen Sehati, Pantun Dua Kerat Karmini. Suara Hati.Antologi Merekat Retak Cermin, Jasni Matlani. Numera Bersayap Harapan, Kemala. Wangian Kembang, Penyair. Istana Kasih 5 Karyawan Pk. Gema Membelah Gema Gapena. Tuk Suji Bilang Roslan Madun, Sajak Tanpa Judul Yatim Ahmad. Dari Hujan ke Hujan, Yatim Ahmad. Negeri Yang Terkoyak Bencana, Januari Biru oleh Fam Indonesia. Raikan Hidup, Adie Achim.Karya eceran tersiar dalam Mingguan MalaysiaUtusan Malaysia, Sinar Harian, Dewan BudayaPelita BahasaNew Sabah Times,Buletin Penyair.

PUISI

9.01. Kota Sebuah Setia
9.02. Sepohon Hasrat
9.03. Sebelukar Resah
9.04. Duhai Hati
9.05. Pada Matanya Yang Berkaca
9.06. Negeriku Negaraku
9.07. Dari Dasar Samudera
9.08. Jauh Semakin Jauh
9.09. Pertanyaan Sukma
9.10. Kita Hanya Merancang

9.01.
KOTA SEBUAH SETIA

Kota itu telah terbina
dari ikatan batu-bata kepercayaan
pesak tiang keharmonian
rabung kukuh keikhlasan.

Dinding muafakat
bancuhan simen persepakatan
anjungnya pula kebersamaan
saling bergandingan.

Tersergam berdiri
tegap teguh semangat
pantang mengenal putus asa
tidak mungkin tumbang
sekali pun ribut melanda.

Kota sebuah setia
dipagari doa-doa mustajab
saban waktu jua ketika
penuh rela serta reda.

9.02.
SEPOHON HASRAT

Sepohon hasrat
berbunga kuntum harapan
menjalar dedaun semangat
tamsil berlilit azam
merimbun kalungan doa.

Sirami titis keyakinan
seladang baja keikhlasan
saujana mata memandang
bercambah benih subur
menghiasi laman firdausi.

Semoga meranum
benih bersari cekal tabah
tiba saatnya untuk dipetik
lazat rasanya manis bersari.

9.03.
SEBELUKAR RESAH

Sebelukar resah 
menyelimuti diri
antara janji tidak tepati
jua hasrat gagal penuhi.

Sebelukar resah
penantian mungkin kecundang
sedang hari terus berganti
waktu pun berlalu pergi
antara benci dan sakit hati
namun harapan masih menggunung.

Sebelukar resah
impian kian terkulai layu
jadi debu-debu
segugus doa pun semakin lebur
terhakis oleh putaran musim.

9.04.
DUHAI HATI

Duhai hati
tenangkanlah jiwamu
usah begitu gundah gulana
hanya kerana secebis dugaan
datang menyinggah lalu kau hampir rebah?

Itukan seketika cuma
mengajar erti tabah
pun sesekali diuji
sudah menggelabah?

Cubalah bersikap tenang
cari jalan penyelesaian
tiada kusut tanpa lerai
sabarlah selalu
demi esok mungkin sinar 
tiba menyapamu.

9.05.
PADA MATANYA YANG BERKACA

Pada matanya yang berkaca
terkandung pedih yang teramat
gambaran wajah sengsara
pilu menahan duka sebak.

Hidup seumpama buangan
menumpang di khemah pelarian
tidurnya berselimut dingin
dakapan gebar ketakutan
diulit dendangan mimpi ngeri.

Bilakah berakhir derita ini?
pertanyaan demi pertanyaan
tiada yang mampu menjawab.

Tiadakah sekelumit bahagia
saban hari masih sama
di kerudung duka dan air mata
gugur di mana-mana.

9.06.
NEGERIKU NEGARAKU

Aku menjunjung namamu 
dalam setiap lafaz setia
bangga pada nusa
negaraku makmur merdeka.

Suaraku bergema
merentasi gunung lurah lembah
selat bukan pemisah
nukilanku di mana-mana
bertebar bunga cinta
kasih sayang berlimpah
ke seluruh jagat raya.

Dendangan lagu damai
pada pencinta kemanusiaan
aku perdengarkan
biar halus lembut menyenangkan
menyirami jiwa gersang.

Berselimpang di bahuku
selendang harap yang digalas
inilah aku
memaknai manusiawi di jiwa
pertiwi.

9.07.
DARI DASAR SAMUDERA

Saat dia mengetik aksara
muncul mutiara dari dasar samudera
berkerdipan tinta bicara
bagai kalungan perhiasan 
menerangi langit kelam.

Rantaian nuansa romantis
bak mentera dilafaz bangkit semangat
mengalir menyelinap segenap urat nadi
bergetar hasrat menyeru naluri.

Menjulang ke awan
terbuai raga disulam rasa
terpana sukma tarian diksi selari
terungkap kagum prahara bitara.

Seolah berdiri di antara kuntuman mekar
harumnya menyentuh jiwa
taman firdausi yang indahnya
tiada tara.

9.08.
JAUH SEMAKIN JAUH

Jauh semakin jauh
kau tinggalkan aku di lorong kenangan
sedang dulu kita segandingan
mesranya menjalin temali sejiwa.

Masih menari di lipatan hati
usikanmu mengundang ceria
senda gurau lalu aku tertawa.

Jauh semakin jauh
kau tinggalkan jejak di pantai itu
bila kusinggah rupanya ombak 
telah membawanya pergi.

Tinggallah aku sendiri
menganyam rasa sepi sendu
tidak akan kutemui lagi bayangmu
menemaniku sebagaimana dahulu.

9.09.
PERTANYAAN SUKMA

Mengapa harus kepadamu
ingatan ini enggan berkalih pergi
saban hari menari di ruangan ingatan.

Saat kau lafazkan kata-kata
aku menerimanya seumpama mukjizat
pesananmu kujunjung tatang
menjadi perisai untukku memagari diri
waspada menempuh gelora kehidupan.

Kamu mengajar aku bertatih
menyusun langkah demi langkah
terkadang aku rebah
namun bangkit kembali
tanpa jemu
kau tempat aku mengadu 
jua bergantung harap.

Lantaran kamu
aku menjadi manusia tabah
cekal pantang menyerah kalah
berbekal doa tangan menadah.

9.10.
KITA HANYA MERANCANG

Meniti gelombang arus penghidupan
teraturnya kita menyusun perjalanan
untuk sampai ke destinasi
diteraju hasrat jua mimpi.

Tarian waktu tidak pernah tersasar
bagai arus sungai laju menuruni
lurah lembah ke muara.

Namun tidak semua dirancang
mampu dalam genggaman
banyak ranjau merintang
di jalur suratan
takdir mungkin mengubah menjadi sejarah.

Apa pun alasannya
tetaplahlah tabah
kerana hidup perlu diteruskan
selagi nafas masih bersisa
berbekal tabah kita menyahut duga.

10.
SUZANA JUMADIL

BIODATA. Suzana Jumadil, atau nama sebenarnya Suzana Binti Jumadil, dilahirkan pada 15 Januari 1977, di Tawau, Sabah. Mendapat pendidikan awal di SK Batu 22, Apas Balung, Tawau (1984-1989). Kemudianya menyambung persekolahan di SMK Balung, Tawau (1990-1994) dan SBP Lahad Datu (1995-1996). Seterusnya melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia dan memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang Sastera dan Pendidikan (1997-2000). Beliau kini merupakan seorang tenaga pengajar di SMK Kubong, Limbang, Sarawak dan bergerak aktif dalam dunia penulisan dan kepenyairan. Karya beliau banyak tersiar menerusi genre puisi dan cerpen di akhbar perdana dan akbar tempatan di Sabah dan Sarawak. Karya beliau turut terbit menerusi antologi cerpen seperti antologi SehatiRahsia Kabin BiruGimbaran. Anekdot bersama penulis lain pula ialah Anekdot Cakk Arrr dan Anekdot Pok Pek Pok Pek. Antologi puisi pernah disertai ialah Kuatrin Suara HatiLangit Garuda, dan Langit Palestin.

PUISI
10.01. Perjalan Ini
10.02. Kerinduan
10.03. Media Maya
10.04. Bulan Muram
10.05. Tabung Dosa
10.06. Jangan Kejutkan Aku
10.07. Bingkisan Dari Tuhan
10.08. Bermaknakah Pelayaran Ini
10.09. Adakah Kau Tahu?
10.10. Tin Kosong

10.01.
PERJALANAN INI

Perjalanan ini
kusemat secebis doa
moga selamat tiba
meski tak pasti
sampainya bila.

Perjalanan ini
kususun langkah
dalam derap harap
meski tidak pasti
yang menantinya siapa.

Perjalanan ini
kujejak bongkah-bongkah kaca
menjadi serpihan waktu yang tidak menjanjikan sambutan pada ketibaan yang bagaimana.

Perjalanan ini
bukanlah pengakhir cerita
Pada jalur usia yang tidak kuduga
di hujung nanti kesudahannya apa.

10.02.
KERINDUAN

Titisan embun dinihari
adalah utusan rindu
yang mampir di jendela hati’
kala dingin alam
menyelimuti jasad sepi.

Nyanyian pungguk jadi kerinduan
pada lagu malam yang
gelita
langit tanpa bulan
menyuluh gelap
dalam pekat.

Mungkinkah pungguk bersenandung
dalam dingin embun
sambil menanti bulan mencemar duli dalam kelam malam.

Terleraikah kerinduan dalam kebisuan hukuman alam
lantaran embun yang penghabisan
tidak lagi mampir di sini.

Andai begitu
biarkan kerinduan ini
kering sendiri
pudar bersama embun
yang bakal hilang
apabila mentari bersinar esok pagi.

10.03.
MEDIA MAYA

Menjerit sejuta cerita
pada cermin dipuja
dengan ketukan
yang gagah berkata-kata.

Mengalir deras arus minda
di sebalik mata yang tertipu maya
merakam aneka cerita
memuntahkan infiniti fitnah.

Menyala api dusta
yang diyakini umat manusia
mencincang lumat nilai saudara
persahabatan adalah figura indah
yang hilang di mata.

kebenarannya perkara kedua
yang utama di kepala
muncul sebagai wira
penyebar kisah bak saudagar gila
di padang pasir bicara sendiri
burung-burung menjadi saksi.

10.04.
BULAN MURAM

Apa khabar wahai bulan
mengapa sepi
sesudah tertunai impianmu
bercahaya di malam hari.

katamu,
kau bersinar lebih terang
jika
mentari kau tundukkan.

Mengapa sinarmu masih muram
mentari menangis kepayahan
sinarnya kau telan tanpa pamitan.

Masih adakah sisa kepuasan
yang belum kau cengkam
atau dendam baru bertunas
sesudah kau miliki sinaran
yang terasa kurang.

Bulan oh bulan
sampai manapun kau menafikan
pendustaan
tidak pernah menjuarai kebenaran.

Suzana Jumadil
Limbang, Sarawak

10.05.
TABUNG DOSA

Tabung itu sedia penuh
isinya tumpah termuntah
terus ditambah dan ditambah
dindingnya lut sinar
dari kaca
sayangnya dilitupi debu
melekit hitam kelabu

Siapa menduga
Isi tabung penuh warna
titik hitam menutupi lut sinarnya
terlihat cuma bentuk
tanpa secalit cahaya
hingga menutupi jumlah
yang terkandung di dalamnya.

Tabung itu bak pujaan
di dalam hati menjajah
rasa bangga menyala
tanpa rasa berdosa
pilihannya tetap sama.

Tambahlah dosa lagi
sepertinya bantuan saat mati
kain putih menyelimuti diri
tabung tidak akan lari
jawabkan soalan di sana
bukti hamba derhaka
tabung ceritakan segalanya kisah dosa.

10.06
JANGAN KEJUTKAN AKU

Kicau burung di luar jendela
adalah seruling pagi yang membangunkan lena dari mimpi misteri.

Mentari yang menyeludup
masuk dari celah dinding berhabuk
adalah suaramu yang memaksaku jaga untuk berlari mengejar mentari yang laju membilang waktu.

Gebar ini terlalu enak
untuk kutinggalkan
lalu ku abaikan bisikan seruling dan ku tutup wajah dari tujahan ganas mentari yang membakar siang.

Aku ingin terus lena
mimpi lebih indah dari realiti
biarkan aku dipenjara dalam mimpi
jangan kejutkan walau seribu tahun lagi.

Limbang, Sarawak, 18 Februari 2019.

10.07.
BINGKISAN DARI TUHAN

Langit petang membisik pesan
cebisan teguran dari Tuhan
pada bayu dingin
yang menyapa daratan
lalu bertukar ganas
membenam rasa kasihan
amukan lantai bumi
menjadi rekahan kebencian Tuhan.

Gemalai alam berubah tingkah
bergulung marah merekah
menyedut manusia bernyawa
angkara siapa bencana menyapa
hingga bumi menjadi murka
hukuman hamba derhaka.

Gemuruh menjadi sepi
saat gempa menjajah bumi
terhumban dalam amukan tsunami
perdu damai badai mengganti.

Wilayahmu indah kini sirna
oleh ratanya bencana
insaf meraja jiwa manusia
mengapa teguran yang maha esa
lupa kau pasak di dada
bencana ini pasti kembali jelma
oleh maksiat yang kau bangga.

Limbang, Sarawak, 19 Oktober 2018.

10.08
BERMAKNAKAH PELAYARAN INI

Kita lalui denai berduri
walau hanya berparangkan jari
kita tempuhi lautan berapi
walaupun layarnya cuma cebisan hati
kita redah gurun tak berpenghuni
berpetakan bisikan naluri

Kita harungi alunan badai
bertemankan hati yang sunyi
bersaksikan bayangan jasad
yang tidak bernyawa lagi

Andai dihujung perjalanan nanti
kita tewas
oleh akal waras yang mengampu
oleh masa lalu yang menipu
oleh bicara yang lembut syahdu
oleh dunia yang penuh nafsu.

Bermaknakah pengorbanan?
andai dalam pelayaran terakhir nanti,
kita tewas oleh coretan jejari sendiri
andai bahtera sampai ke destinasi
nakhoda kian nazak oleh halusinasi
kudrat kian hilang oleh nafas seinci
meskipun kasih cinta masih utuh
sejuta tahun lagi.

Limbang, Sarawak, 27 Disember 2017.

10.09.
ADAKAH KAU TAHU?

Adakah kau tahu?
Saat tudingan menghala ke dahi mu
kau bingkas ganas
menegakkan benang basahmu

Adakah kau tahu?
Kau berhukum, Tuhan sandaranmu
Sebagai insan katamu,
Rezeki anugerah kurniaan Tuhan
Kenapa kita manusia persoalkan?

Adakah kau tahu?
di sudut dunia terasing,
kalimah Tuhan telah kau persendakan.

Adakah kau tahu?
dayusmu tiada tandingan.
sedangkan tapak tanganmu hilang pegangan.

Adakah kau tahu?
di depanmu jutaan jelingan, ribuan lidah
sedang galak menyumpahmu.

Apakah kau tahu?
duniamu sudah lama hilang
akhirat yang menantimu belum kau celikkan.

Adakah kau tahu?
bekalanmu cicir diperjalanan?
Semoga sempat kau kutip semula
Sebelum kau menutup sejarah,
Sebelum kau menutup mata.

Limbang, Sarawak, 15 Jan 2016.

10.10
TIN KOSONG

Kau berkarat dan menakung air busuk
isimu kosong dan kering
disepak sang budak
kau bising berdenting nyaring.

Seorang seniman datang
mengutipmu di tepi longkang
tubuhmu dibersihkan
dibaluti warna kuning keperangan
manifestasi senja seorang insan.

Hari ini
kau megah menjadi hiasan
di atas meja hotel lima bintang
terbuai oleh pesona kemewahan.

Suatu saat,
nasibmu berubah rentak
lalu tersengol kau tergolek
mencium lantai kau nyaring bersuara
pudar warna perang terpamer rahsia.

Kebenaran menggigit dunia
tin kosong penuh karat terserlah
bersemadilah dalam bakul sampah
di situ selayaknya kau berada.


Limbang, Sarawak, 20 Februari 2019.

TAMAT.

Advertisement