PUSAKA MELAJU
ANTOLOGI PUISI
GABUNGAN KOMUNITAS SASTRA ASEAN (GAKSA) 2019
Volum 4
Penyelenggara: Irwan Abu Bakar
SENARAI KANDUNGAN
Prakata Penerbit
Kata Pengantar
Penyair
4.1. Adyra Az-Zahra.
4.2. Cikseri Banang.
4.3. Haji Mariat bin Haji Abdullah.
4.4. JaBiT Abdul Aziz.
4.5. Jolatif.
4.6. M.S. Rindu.
4.7. Muhammad Rois Rinaldi.
4.8. Oui Sal.
4.9. Phaosan Jehwae.
4.10. Yajuk.
PRAKATA PENERBIT
Dalam tempoh tahun 2017-2018, GAKSA telah berjaya menerbitkan empat volum antologi puisi tulisan para penulis negara-negara ASEAN. Alhamdulillah, kini GAKSA terus mendapat sokongan para penulis negara-negara ASEAN. Untuk tahun 2019 ini, GAKSA telah bersedia untuk menerbitkan tujuh volum antologi puisi dan sebuah antologi cerpen.
Pusaka Melaju, antologi puisi Volum 4 ini merupakan volum pertama yang diterbitkan pada tahun ini. Buku ini mengandungi puisi yang digarap 10 penyair dari negara Brunei Darussalam (3 orang), Indonesia (1), Malaysia (5), dan Thailand (1). Setiap penulis menyumbangkan 10 buah puisi.
Semoga penerbitan ini akan meningkatkan lagi rasa persaudaraan dalam kalangan para penggiat sastera Melayu di ASEAN khasnya dan dalam kalangan seluruh masyarakat ASEAN amnya.
Muhammad Rois Rinaldi
CEO, Gaksa Enterprise
Banaten, Indonesia, 1 Mac 2019
KATA PENGANTAR
Saya telah meneliti dengan penuh perhatian akan judul 100 puisi dalam kompilasi ini dan tertarik mengambil judul sajak “Pusaka Melayu” karya penulis Jolatif dari Negara Brunei Darussalam untuk dijadikan judul antologi ini. Hal ini kerana konsep “pusaka Melayu” itu adalah selari dengan perjuangan GAKSA untuk menyatukan umat se-ASEAN melalui pusaka tradisional milik rakyat negara-negara yang berkenaan, termasuk pusaka sasteranya. Namun atas minat saya terhadap cadangan supaya ejaan nama bangsa Melayu diubah dengan menggunakan huruf “j” sebagai ganti kepada huruf “y”, maka buku ini diberikan judul Pusaka Melaju.
Dari aspek peristilahan, demi penyelarasan antara negara, kami telah menggunakan istilah “antologi perseorangan” untuk merujuk kepada kumpulan karya seseorang penulis tunggal dan mengunakan istilah “antologi bersama” untuk merujuk kepada kumpulan karya yang ditulis oleh lebih daripada seorang penulis. Hal ini akan ditemui para pembaca dalam bahagian biodata para penulis.
Untuk antologi ini, para penulis telah diberikan kebebasan menulis sebarang tema dalam karya mereka. Maka pelbagai tema telah ditangani, termasuk semua empat tema karya sastera yang standard: kemanusiaan, kemasyarakatan, keagamaan/moral, serta alam flora dan fauna. Antara subtema (isu) yang paling popular ialah percintaan dan kasih sayang.
Para penulis juga telah diberikan kebebasan untuk menentukan genre puisi yang mahu dibentangkan. Maka, di samping puisi moden sajak, kita temui juga karya dari genre syair, pantun, haiku, tanka, dan sonian.
Adyra Az-zahra, dalam 10 buah puisinya, menulis secara agak abstrak walaupun menggunakan kata-kata biasa. Dia banyak meluahkan emosi diri walaupun tidak dijelaskan secara spesifik apa isu yang dihadapinya. Hal ini sesuai dengan ciri sajak. Penulis juga banyak mengemukakan gambaran perjalanan hidup manusia. Misalnya, dalam sajak “Lukisan Hati”, Adyra menulis:
Tentang senja yang hampir tiba
keretaku tak lagi laju mengejar waktu
kerana matahari akan tenggelam
aku menatap malam
di lukisan hati ada rembulan
kucari cahaya membuang bayangan.
Adyra ada juga mengemukakan sebuah puisi kemasyarakatan yang berkesan tentang isu kemiskinan, berjudul “Hujan Dan Sebait Cerita”. Ceritanya:
Dan ayah, masih di serambi dengan rokok daun yang masih setia di celah jari,
dengan rakus mencapai pisau getah, lalu diasah setajam mungkin,
sambil berharap bahawa hujan akan segera berhenti,
lalu esok ia boleh menoreh getah kembali.
Penyair kedua, Cikseri Banang, mempersembahkan 10 buah puisi yang relatif singkat tetapi sangat menarik. Penulis banyak menggunakan kata-kata biasa tetapi disusun dan diungkapkan dengan indah, termasuk dalam bentuk metafora yang menarik. Kekadang penulis menggunakan simbol dan perbandingan. Misalnya, dalam sajak “Laut Biru”, penulis menulis:
lalu siapakah di antara kita yang takut akan tenggelam
sedang laut biru hanyalah gelora emosi
tempat pembaringan mimpi
Kebanyakan sajaknya di sini, barangkali 80 peratus (atau mungkin 100 peratus), adalah sajak keagamaan. Misalnya, dalam sajak “Munajat”, penulis merayu:
Kekasih
dakaplah hatiku
agar sentiasa di hati-Mu.
Haji Mariat bin Haji Abdullah menghidangkan empat buah syair, lima set pantun, dan sebuah sajak. Set pantunnya pelbagai tema dengan tiga set pantun berkait dan satu set pantun berkapit (berkait dari segi tema tetapi tidak berkait dari segi struktur). Salah satu set pantun yang dihidangkan ialah pantun jenaka dalam loghat Brunei, dengan bahagian pertamanya dalam format pantun berkait, kemudiannya berformat bebas. Yang berikut ialah salah sebuah pantun dalam set pantun jenakanya “Rencah Kehidupan”:
Memanting gitar putus talinya,
terkena kulit lukanya ngingis;
jika tak tahu baik bertanya,
takut ke tua bodoh barabis.
Penulis mengemukakan hanya sebuah sajak “Menyusur Jalan Pulang” tentang luahan hati penghuni penjara yang telah insaf. Tulisnya:
aku sedar dan mahu pulang kini
ke pangkal jalan
dengan berbekalkan kekesalan
dengan semangat mahu berubah sekental-kentalnya.
Penulis JaBiT Abdul Aziz memaparkan kepada kita 10 buah sajak sosial dan keagamaan. Dalam salah sebuah sajaknya, penulis menggunakan latar yang agak asing dengan bidang sastera tetapi diolah secara menarik, iaitu permainan bola sepak. JaBiT mengkomposisi judul-judul sajaknya secara unik, iaitu dengan mengambil sebahagian daripada kata-kata pilihan dalam teks sajak dan menyatukannya untuk membentuk set kata yang melambangi kandungan sajak yang berkenaan. Sajak-sajak JaBiT relatif pendek tetapi menarik. Ada yang berambiguiti. Ungkapan-ungkapannya juga mengusik emosi, di samping mengemukakan pemikiran yang utuh. Misalnya, dalam sajak “p.r.i.hat.i.n”, dia bersuara:
Syuruq jelmakan diri, perbanyakkan zikir
zikir syahdu qalbu rawan
menerjah masuk indah yang terindah
detikkan hati terus ibadah
sekujur badan nilik…
Jolatif menuliskan untuk kita 10 sajak, ada yang amat pendek dan ada yang relatif pendek. Jolatif menggunakan bahasa mudah dengan susunan yang memaparkan makna secara langsung. Namun sesekali dia menggunakan kiasan. Sajak-sajaknya merangkumi isu kecil dan besar: dari hiperinflasi dunia ke masalah diri burung lelayang yang terbang pulang, dicelahi kisah sejarah Sodom serta emosi dendam dan insaf. Pada amnya, Jolatif banyak memperkatakan isu sosial dalam sajak-sajaknya, dengan sebilangan kecil memperkatakan alam, sejarah, keagamaan, dan budaya (Melayu). Misalnya, dalam isu sosial, dia berkisah tentang rasa insaf:
Biarlah sesekali hati ini luluh
dihempas batu.
Biarlah sesekali kesakitan memijak-mijak,
agar insaf.
Ahli akademik M.S. Rindu meluahkan emosinya dan fikirannya dengan bahasa mudah dan struktur yang standard, malah prosaik. Dalam 10 buah sajaknya, dia menyentuh pelbagai isu sejarah baharu dan lama serta isu semasa yang terlihat di sekitarnya, kebanyakannya isu politik. Kekuatan sajak-sajak M.S. Rindu terletak isu yang ditanganinya. Diluahnya rasa hatinya terhadap isu-isu yang berkenaan sebagai pengajaran kepada pembaca. Misalnya, dia meluahkan rasa terhadap masalah rasuah yang sedang merosakkan keadaan negara. Katanya:
Kini sudah terang dan nyata
rasuah akan merosakkan negara
yang terlibat bukan lagi ikan bilis
tapi banyak jerung besar
rasuahnya mencecah ratusan juta.
Penulis muda dari Indonesia, Muhammad Rois Rinaldi, menghidangkan sajak-sajak yang agak panjang berbanding penulis lain. Rois memfokus kepada isu dunia semasa dalam sajak-sajaknya, termasuk perbalahan antara agama dan konsep-konsep kehidupan umum. Di samping itu, diselitnya juga hal-hal peribadi. Kebanyakan sajak Rois ditulisnya dalam bentuk agak abstrak. Misalnya, tentang ibunya, Rois menulis:
Karena kau seorang ibu
dan menjadi seorang ibu bagimu adalah bersedia
menjaga tungku, menjadikan tubuhmu
sebagi satu-satunya alamat pulang anak-anakmu.
Oui Sal menulis sajak-sajak relatif pendek, kebanyakannya mengandungi rima hujung baris, menjadikan sajak-sajaknya puisi nonbebas. Dia menggunakan kata-kata biasa yang disusun secara inovatif. 10 sajaknya di sini memperkatakan pelbagai isu, termasuk keadaan alam, emosi kehidupan, hal-hal keagamaan, dan hal-hal politik. Dalam sajak politiknya “Aku Yang Berhormat”, Oui Sal menulis:
Aku Yang Berhormat
andai suatu saat
rakyat sudah hilang minat
aku rela berundur cepat
kembali hak kepada rakyat
kerana aku asal dari rakyat.
untuk rakyat, oleh rakyat.
Penyair Thai, Phaosan Jehwae, bersajak dengan bahasa mudah dan ekspresi langsung. Kebanyakan ekspresinya adalah dalam bentuk enjambemem, dengan ayat biasa yang dipatahkan kepada beberapa baris. Dia banyak membicarakan isu bahasa Melayu dari segi keagungannya dan perlunya bahasa itu diterima awam, terutamanya oleh anak bangsa Melayu sendiri. Di samping itu, dia juga mengetengahkan masalah pengaruh wang dan pangkat dalam politik serta masalah sosial yang dihadapi remaja semasa. Tentang bahasa Melayu, dia menegaskan (dalam sajak “Siapa Kata”):
Bahasa kita
menjadi bahasa utama
dalam berniaga
pelbagai suku negara
di bumi Nusantara.
(Bahasa kita menjadi bahasa utama dalam berniaga pelbagai suku negara di bumi Nusantara).
Yajuk, penyair siber dari Kelantan, bersajak dengan berkias dalam format sajak simbolik. Prismatis barangkali. Dia menggunakan bahasa dan stail persembahan yang menarik dan puitis. Yajuk berbicara tentang hal-hal peribadi (kematian isteri), masalah kehidupan seharian insan, dan isu pentingnya agama. Namun kebanyakan isu yang ditangani sajak-sajak Yajuk ialah isu politik walaupun tidak kelihatan sedemikian jika dibaca secara luaran sahaj. Kata Yajuk, dalam sajak politik “Mabuk Secawan Kopi”:
Menyesakkan nafas semua orang
umpama semut yang rela mati
merebutkan manis
lalu bermusuh sesama sendiri
memutuskan silaturrahim
memuntahkan api hasad dengki
membakar seluruh negeri.
Selamat membaca.
DR. IRWAN ABU BAKAR
Ketua 1, Gabungan Komunitas Sastra ASEAN (GAKSA) dan
Presiden Persatuan Aktivis E-sastera Malaysia (E-SASTERA).
Kuala Lumpur, 18 April 2019.
PUISI
1. ADYRA AZ-ZAHRA
BIODATA. Adyra Az-Zahra (nama pena bagi Hasiah Bt Yusof) berasal dari Kuala Krai, Kelantan. Mula menulis pada tahun 1986 secara suka-suka sahaja kerana bahasa sastera sangat indah. Antara antologi karya yang pernah disertai ialah Nota Untuk Ayah (2016), Antologi Istana Kasih 5 (2018), dan Pemadam Sebuah Duka (2019). Pernah tersiar beberapa buah puisi dan pantun dalam akhbar Utusan Malaysia.
PUISI
1.01. Kurenung Awan Senja
1.02. Gelora Rasa
1.03. Di Platform 5
1.04. Hujan Dan Sebait Cerita
1.05. Di Peraduan Malam
1.06. Sekerat Iradat
1.07. Perjalanan
1.08. Sinar Hati
1.09. Detik Ini.
1.10. Lukisan Hati.
1.01.
KURENUNG AWAN SENJA
Mendakap tubuh lelah seketika
aku cuba bangun berdiri
merenung setiap titik dera
hati terpaku pada tanya diri.
Aku cuba loloskan resah
satu persatu kuhayati kisah
terbungkam jawab sepi hati
bisikan awan perlahan mengintai.
Remang senja nan jingga
gerimis bulir deras di pipi
jawabnya lemah dalam entah
yang ku dapati hanya bebola jernih.
Di kelopak mata kian deras
membasahi lenjum jiwa meranggas
awan kembali berarak pasrah
bisiknya tetap menggeleng entah.
Taman Sentosa, Kelang, 3 Januari 2019.
1.02.
GELORA RASA
Aku rindu kau
dalam diam ku bisikkan gelisahku
ingin kembali kurangkai aksara
yang sering kita lakukan pada genggaman maya
dan benar-benar terasa degupnya di dada.
Namun
sebegitu banyak kekata tertumpah
sebegitu riuh hati menggundah
maknanya hanya tertumpah pada satu curah
Aku rindu Kau.
Terdiam menepi dalam buncah ruah
menitis gerimis basahi bilik kalbu
gemuruh riuh beraduk kecamuk
gelora memintal buih-buih resah
semua berkisah tentang satu rasa
aku rindu kau.
Taman Sentosa, Kelang, 5 Januari 2019.
1.03.
DI PLATFORM 5
(Menanti Temu Sua Rindu)
Pagi
Tertegun aku berdiam diri
memandang satu dan yang lain
ruang pagi buta
mata enggan terbuka
masih lekat mimpi semalam
masih lena di minda sukar.
Ingin kutinggal pergi
apalah lagi kata hati.
Pergilah menjauh, biar tak meriuh
kuingin tenang pada lena di ruang pagi buta.
Duduk dalam tren
sejuk mengulit mata
ingin sesekali lena namun aahhh
nanti mata terpejam
biar lagi kupandang kiri kanan.
Bangunan tersergam indah
merimbun hijau pepohonan
bagai restui sebuah perjalanan.
Bukan kerana terlalu jauh
tapi debaran hati yang terlalu kuat
getar rindu kian melekat.
Setiap stesen kereta api berhenti
hati kian bercelaru
debar usah ceritarindukah aku?
atau apa?
Kereta api tetap meluncur laju
tanpa peduli hatiku
gelisah resah bercampur-baur
deras peluh mengalir
bak pematung air sungai bahana kalbu.
Ingin kulaungkan dalam gerabak haru
betapa ingin aku memelukmu
yang telah lama tak kujumpa
selain hanya bertukar mesej
bertanya khabar ala kadar.
Aduhai kekasih
mengertilah
hati bagai dipalu
tentang rindu padamu.
Taman Sentosa, Kelang, 28 September 2017.
1.04.
HUJAN DAN SEBAIT CERITA
“Hujan begini teramat indah,” kata Mak
sambil menyaksikan ayah yang masih duduk di serambi
sambil menikmati rokok daun, yang masih terhimpit di celah jari.
Saat hujan lebat, merupakan kerisauan hati Mak
perihal esok pagi untuk menoreh di awal pagi yang teduh.
Wajah Mak terlihat merenung
sesekali ia keluar rumah.
Dan ayah, masih di serambi dengan rokok daun yang masih setia di celah jari,
dengan rakus mencapai pisau getah, lalu diasah setajam mungkin,
sambil berharap bahawa hujan akan segera berhenti,
lalu esok ia boleh menoreh getah kembali.
Kidung sang katak kian kuat
dan begitulah adanya
sudah takdir alam, antara katak dengan hujan
serupa ada ikatan abadi.
Mak masih di dapur
kutengok tangannya ligat mengupas ubi
kata ayah, sedap direbus lalu dicicah gula melaka, bercampur kelapa parut
ditemani secawan kopi O.
Tajam ayah merenung
setajam mata pisau yang terasah di tangan kerepotnya
sedang tangannya begitu lincah mengasah pisau getah
walau hujan masih menyapa bumi dari semalam
sambil berharap hujan akan segera reda, kerana esok ia harus tetap kembali
pergi menoreh getah di awal pagi.
Taman Sentosa, Kelang, 26 Disember 2018.
1.05.
DI PERADUAN MALAM
Dan aku intai di balik bulan
bintang seakan malu
wahai yang bernama kekasih
getar rasa kian
dan tetap ada rindu tanpa kata.
Mengenalimu wahai kekasih
tanpa irama
dekat dan jauh
hanya cicipan hati
berbisik antara.
Wahai dikau yang bernama kekasih
ruang langit ini
aku selalu berharap
wajah kau hadir menyapa aku sebelum lena
moga nanti di peraduan malam
kau dan aku mengulit mimpi bersama
biarkan senyum aku
menyampai di dinihari
yang tenang.
Di sebalik irama rindu
berbisik antara dua jiwa
wahai kekasih
di ruang langit damai
selalu berharap
hadirlah wajahmu menyapa
di ranjang malam
kita mengulit mimpi
bersama.
Kuala Lumpur, 10 Februari 2019.
1.06.
SEKERAT IRADAT
Hujan menyapa
termanggu dan resah
takdir kehidupan
ada tanya
di mana pelangi.
Resah
hati berbisik
kian riuh rintik-rintik
tegar dalam lamunan
suatu cabaran
memujuk minda
sebuah rasa
iaitu hati
sabarlah.
Aduhai hujan
aku kau adalah titipan
kiriman dari-Nya
bersama dalam kasih
getirnya sebuah kehidupan
kami anak-anak
sambutlah anugerah
sekerat iradat menjadi taat.
Taman Sentosa, Kelang , 21 November 2018.
1.07.
PERJALANAN
Masa berputar dan berlalu
indahnya malam selalu menyinari
meski kelam adalah cabaran hati
bernafsu dengan kelakar hari
resah tergantung dalam anganan
bermain bersama mimpi.
Nilai-nilai perjalanan itu
cukup tersasar jauh
akan pengalaman
tersedak juga
apabila usia tua
sudah dekat di hujung keranda.
Namun kerinduan ini
membara tentang
keindahan hidup
tak pernah ada surutnya
kian membungar di pinggir ingatan
berpancaran di celah-celah neon
tetap haus amat membaja
di ranting usia sudah berasa
di ambang akhir namun kegilaan
tetap semerbak harum mewangi
dan masih muda.
Pokok perlahan-lahan gugur
dedaunan luruh
lalu mati.
Taman Sentosa, Kelang, 2 Februari 2019.
1.08.
SINAR HATI
Cahaya sinar hati
jauh tetap terang
tak akan pernah hilang.
Seperti rembulan menerangi malam kelam
sekelam pemahaman pada resah yang memalung jiwa.
Namun mengapa lentera hanya terangi ruang hati
sekecil percik api.
Sungguh
aku ingin hadirmu bagai mentari yang setia hangatkan pagi
hingga mencair beku embun di pucuk keladi
hingga lenyap detik-detik sunyi
hingga sirna serak-serak sepi.
Taman Sentosa, Kelang, 25 Disember 2018.
1.09.
DETIK INI
Detik waktu berlalu
berputar menuju laju
pada denting ruang sunyi
kisah berlalu semakin jauh dan jauh tinggalkan rindu
pantaskah aku tanpa menunggu kamu dan mereka
detik ini kita berjumpa.
Aku pelajari erti hidup
pada sebuah kehidupan
antara kisah dan yang di hadapan kita
di sebalik antara yang berbagai -bagai
adakah detik ‘kan kembali.
Detik ini
tanpa mengira atau dikira
waktu bisa berjalan jua
tak menoleh ke belakang
yang telah kita tinggalkan kenangan
duhai pemilik hati
bernyanyilah!
jangan sunyi
aku kau mereka yang di sana
detik tetap pada sebuah jam menyapa.
Detik ini
terdiam sunyi sepi
hanya hati berbicara berkata-kata tertanya lagi
pada ruang yang mengisi rasa
setia pada detik-detik ini
ya Allah, ya Rabbi
kembalikan aku pada detik-detik dulu
ingin aku berlari dan berlari
sekuat mungkin
atau terhenti di jalan putaran malam
kerana siang pasti kembali
seperti pusing tanpa henti.
Taman Sentosa, Kelang, 10 Januari 2019.
1.10.
LUKISAN HATI
Tentang senja yang hampir tiba
keretaku tak lagi laju mengejar waktu
kerana matahari akan tenggelam
aku menatap malam
di lukisan hati ada rembulan
kucari cahaya membuang bayangan.
Tentang senja yang hampir tiba
perjalanan sudah dekat di perbatasan
berharap pelita jangan padam
kejora di dada malam selalu bersemayam.
Aku menitip suluh pada dian
di lukisan hati ada cinta
kugenggam.
Tentang senja yang hampir tiba
titian sudah lapuk dihadang
bayang-bayang tak lagi bergoyang
tenggelam di gelombang
sebab riak kian kencang
perjalanan ini seperti mimpi
esok aku pulang
tinggalkan kenangan.
“Masihkah wajahku kaukenang
lukisan hatiku adalah kasih sayang.”
Taman Sentosa Kelang , 14 Februari 2019.
2. CIKSERI BANANG
BIODATA. Anak jati kelahiran Johor Bahru, Johor, Malaysia. Bertugas sebagai General Manager di Al Haddad Groups. Seorang motivator khusus keusahawanan dan motivator khusus program motivasi syarikat. Dilantik sebagai Penyelia & Penyelenggara International Marketing bagi Al Haddad Groups semenjak 2012 sehingga saat ini dan sebagai CEO di Ummurahmah Shope & Centre. Mula menghasilkan karya semenjak tahun 2005. Karya-karya pernah terbit di media tempatan seperti akhbar Mingguna Malaysia dan majalah Mingguan Wanita. Seorang jurugambar bebas yang telah menghasilkan sajak-sajak di antologi nasional dan Nusantara. Antaranya antologi Wangian Kembang KONPEN 2018, antologi puisi Pertemuan Sasterawan Nusantara Merekat Retak Cermin Nusantara, antologi Banjarbaru’s Rainy Day, antologi Musim Luruh, dan terbaru antologi Perempuan 3 Wajah. Puisi juga turut disiarkan di majalah Penyair 2018.
PUISI
2.01. Laut Biru
2.02. Khalwat
2.03. Taranum Malam
2.04. Digodam Rasa
2.05. Munajat
2.06. Hakikat
2.07. Gumam
2.08. Musafir
2.09. Senoi
2.10. Algebra Hati
2.01.
LAUT BIRU
Ombak putih merenda
bergemercing berlari-lari di kaki
gelombang beralun memalu
berdebur, membaur rasa relong dada
hijau membiru indah senyuman
menyimpan misteri paling dalam
lalu siapakah di antara kita yang takut akan tenggelam
sedang laut biru hanyalah gelora emosi
tempat pembaringan mimpi
selalu dipetik menjadi melodi
dinyanyikan dalam lagu
berdeklamasi dalam puisi.
21.0.52018.
2.02.
KHALWAT
Kuukir mahar cinta dari lafaz takdir
sambil menghitung sarat rindu
di bejana hatiku.
Kekasih
tulislah namaku di pintu langit ketujuh
bertinta sutera di kalam hatimu.
lalu sepuhlah nafasku bersama harum kasturi
kala kuhias namamu di dinding kalbuku.
Kekasih
beri padaku kemenangan
dalam kesempitan di titian sirat.
Hagia Sophia Istanbul, 28.05.2018.
2.03.
TARANUM MALAM
Sewaktu lenaku terjaga
berteleku aku dalam termanggu
seakan terdengar suara-Mu memanggil
bangkitlah wahai jiwa kita bicara tentang cinta
bersyairlah di sepertiga malam
dengan kisah harum Nur Jannah
supaya merdunya nanti
terhantar jauh ke pintu syurga
lalu
aku pun datang kepada-Mu dengan sarat rindu.
14.06.2018.
2.04.
DIGODAM RASA
Ketika mentari terpadam disimbah hujan
dingin membawa sehingga ke malam
sewaktu bulan lena dalam dakapan
mimpi pun singgah di kamar resah
saat kerlip bintang bertaburan di ranjang gelisah
aku, mencari bayangmu di dada rindu.
18.06.2018.
2.05.
MUNAJAT
Di bawah pohon malam
kuhamparkan harum munajat
dari tenunan rindu yang kugerus
bersama tasbih harap
dengarkanlah zikir qalbu
sebagai sabda cinta
lewat getar bibir berbisik.
Kekasih
dakaplah hatiku
agar sentiasa di hati-Mu.
22.06.2018.
2.06.
HAKIKAT
Di atas sayap sufi
kuregang nafas di atas
gelepar bara hangat membakar
sirna kemilau fatamorgana
berguguran disambar halilintar
hakikat perlahan-lahan
membenih subur
kesaksian pun tumbuh
memayungi tarikat hati
laraku pergilah
menjauh dibawa angin syurga.
04.07.2018.
2.07.
GUMAM
Seakan masa terhenti
berlegar di setiap ruang pengap
untuk kudengar suaramu
memanggil-manggil aku
dalam deru debar
nanar hati
menghitung rindu tentang kamu.
10.08.2018.
2.08.
MUSAFIR
Runut waktu pun hilang
dari siur suara manusia dan kenderaan
aku yang terpengap dalam kamar hinggap
menyingkap helai-helai kesibukan
menghitung detik saki-baki perjalanan
antara urusan dunia dengan Tuhan.
Diam ini terpaksa kucaturkan
dalam mewaraskan akal tenatku
proposal-proposal duniawi
menunggu jawapan
antara peluang dan penyelesaian
aku memilih reda-Mu Tuhan.
12.08.2018
2.09.
SENOI
Sekeranjang mimpi marhaen
tergeletak
di bucu kaki kehidupan
dilacuri janji
disepak debu-debu pembangunan
dibakar kemajuan
nazak
dan mati sebelum mati.
8.09.2018.
2.10.
ALGEBRA HATI
Mencongak algebra hati
betapa pun cuba ku bundarkan rasa
yang terdekat dan terhampir adalah kamu
di dalam setiap angka pembahagi
lalu, jawapan di setiap hujung bersamaan
adalah pasti
juga
kamu
lalu cinta mana yang harus kuhitung
kecuali milik Dia
sedang jawapannya aku sudah punya
hanya kamu.
Menyusur Selat Riau, 13.09.2018.
3. HAJI MARIAT BIN HAJI ABDULLAH
BIODATA. Haji Mariat Bin Haji Abdullah mula menulis pada tahun 1965 ketika masih di bangku sekolah (SMMP). Bidang karya cerpen menjadi tumpuan dan sering tersiar di Radio Brunei, akhbar Bintang Harian, akhbar Pelita Brunei, majalah-majalah DBP serta beberapa antologi bersama, Hidayah I hingga VII (terbitan Jabatan Pusat Dakwah), dan beberapa majalah luar negara. Pernah dinobatkan dua kali sebagai Penulis Kreatif BAHANA, DBP. Pernah menggunakan tiga nama samaran yang kini tidak disebut-sebut lagi lantaran lebih senang menggunakan nama sebenar. Banyak menerbitkan sendiri antologi sajak dan cerpen, serta beberapa jenis buku sastera dan Bahasa Melayu untuk penuntut Peringkat ‘O’ sejak mula diaturkan bertugas pada awal bulan Januari 1970 di sekolah menengah: SMSMJA. Sekarang lebih gemar menulis pantun, syair, dan sajak sahaja.
PUISI
3.01. Syair: Kempen Darah.
3.02. Syair: Untuk Tahun 2035.
3.03. Syair: Selamat Datang Tahun 2019.
3.04. Pantun Berkait: Burung Tempua Bersarang Rendah.
3.05. Pantun Berkait: Deburan Ombak.
3.06. Menyusur Jalan Pulang.
3.07. Syair: Bubuk Dah Kembali.
3.08. Pantun Berkait: Berdasarkan Daun Pucuk.
3.09. Pantun Jenaka: Rencah Kehidupan.
3.10. Pantun: Tentang Kepengarangan.
3.01.
SYAIR:
KEMPEN DARAH
Assalam kepada para pembaca,
untuk sekalian siapa saja,
baik yang lancar atau bereja,
banyaklah tahunya biar teruja.
Kempen darah menderma darah,
jika dah pernah usah diarah,
burulah cepat di mana arah,
kepada Tuhan kita berserah.
Mulianya hati penderma darah,
sesama insan berdarah merah,
sesiapa pun tidak gamaknya marah,
berdarah putih juga terserah.
Begitu mulia para penderma,
menyambung hidup nyawa jalama,
darah berjenis berbagai nama,
warnanya merah grUp tak sama.
jalama = manusia
Kempen darah diadakan selalu,
buat yang perlu baik dibantu,
sesama insan kita bersatu,
jangan jadikan fikirannya buntu.
Apa takutkan menderma darah,
baik yang belum ataupun pernah,
hidup selesa berdarah merah,
berdarah putih hendaknya pasrah.
Hendak menderma diawasi doktor,
agar tak diucap menjadi faktor,
ramai penderma ikhlas beratur,
badan diperiksa dengan teratur.
Usahlah takut menderma darah,
jarum ditusuk urat diarah,
fikiran melayang mulut mengadah,
terhadap Tuhan harap diserah.
Sesetengah orang takutkan gemuk,
lepas menderma nafsu mengamuk,
nafsu makannya selalu sibuk,
periuk belanga kerap disubuk.
disubuk = dijenguk
Pendapat itu tiada benar,
selepas menderma mata bersinar,
usah dikata berpinar-pinar,
badankan sihat bukan beronar.
Aku berkata daripada pengalaman,
bukanlah juga telah berzaman,
usah dipandang berhati siman,
selepas menderma tubuh pun nyaman.
Tubuh tak sihat doktor tak bagi,
tak jadi menderma bukanlah rugi,
takut darahnya berbanyak segi,
si penerima nanti sakit beragi.
Di masa datang cubalah lagi,
peluang ada berbagai segi,
makluman sebarkan tiadanya rugi,
membantu sesama nyawa tak pergi.
Membantu orang banyaknya cara,
antara darah diambil kira,
darah diderma berganti segera,
terelak pesakit tambah sengsara.
Demikian penting darah di badan,
antara penghidup cara dipadan,
menikmati semua pada keadaan,
minta dirahmati anugerah Tuhan.
Cukup sekian nyata sokonganku,
menderma darah baik dilaku,
usin banyak tebal di saku,
selamatkan nyawa semat di kalbu.
usin = duit
Ampun maaf tersalah silap,
syair kukarang hanya sekejap,
darah penting dikawal cekap,
hidup aman syukur diungkap.
2 Disember 2018.
MARI KATANI SOKONG KEMPEN MENDERMA DARAH
3.02.
SYAIR:
UNTUK TAHUN 2035
Ucap bismillah syair kucipta,
pada sekalian bersama rata,
dengan wasap tiada berkata,
hanya fikiran gubah dinyata.
17 belas tahun lagi ke depan,
kita kini meneguh harapan,
bukan hanya sekadar sisipan,
ikhlas jujur hasrat tersimpan.
Hasrat Duli begitu tinggi,
tak hanya rahang dengannya gigi,
cecita kukuh di berbagai segi,
bakal dicapai tidak merugi.
Negara kita dikenali kecil,
letak di peta tidak terpencil,
di Pulau Borneo dikata spisil,
bertimah hitam bakampil-kampil.
bakampil-kampil = dengan banyak bakul/tong
Negara kita kayakan minyak,
di Daerah Belait tempatnya banyak,
di Pekan Seria tempat disemak,
api membuhur dipandang minak.
buhur = nyala
minak = sesuai
1901 mulanya digali,
banyak negara sudi membeli,
beli di sini jual di lain negeri,
untunglah jadinya negara katani.
Banyak ramalan minyakkan habis,
dirancang tidak luan barabis,
takut nanti tinggal secebis,
lalu berharap memakan kubis.
luan = terlalu
barabis = berhabis-habisan
Kubis tidak ditanam di sini,
harapkan datangnya begitu-begini,
Bercucuk tanam bermisi berani,
tuju ke beras hasilnya berguni.
17 tahun lagi dapat dilihat,
dah ditegaskan berhati padat,
teguhkan jiwa mengukuh mandat,
hasrat Duli berfikiran sihat.
Menyampaikan hajat bukannya mudah,
ribuan anganan begitu indah,
mesti tekadkan secukup tadah,
praktikkan usaha tiada gundah.
Apa pun cecita hendaklah nekad,
pastilah ia mendapat berkat,
usah barinut dah hampir dekat,
takut dikacau fikiran singkat.
barinut = perlahan
Mencapai cecita bersatu padu,
ibarat sudu dengannya garpu,
usah lunak padanya tipu,
gelaplah niat bak tiada lampu.
Cecita demi negara sendiri,
maju berwawasan tiada terperi,
bantahan orang usah peduli,
takut tinggal seorang diri,
Hendakkan tercapai mesti berdiplomasi,
bagai harapan nekad serasi,
bawa muafakat semua diasi,
di samping ketua tekun mengawasi.
diasi = diguna pakai
Semua ahli bukan sembarangan,
tidaklah pula hanya anganan,
yang berat menjadi ringan,
puncak utamanya adalah kejayaan.
Cecita rakyat mesti berpadu,
biar ramai menjadi satu,
ranting serampun dipatah buntu,
bila sabuting mudahlah tentu.
sabuting = satu
Berwawasan itu ada baiknya,
dalam hidup perlu adanya,
bukan hendak sesuka hatinya,
jadilah nanti insan berguna.
Banyakkan ilmu dari sekarang,
jangan terima hasutan orang,
negara maju kita pun girang,
Melayu kita bukan sembarang.
Ibarat sesebuah pasukan bola,
takkan seorang boleh mengelola,
yang lain menyokongnya rela,
sampai wisil tamat ditiup bertala.
Seluruh rakyat sudah pun tahu,
mesti rajin menuntut ilmu,
nekad menghadapi apa pun risiku,
kejayaan dicita dapat diaku.
risiku = risiko
Kalau berprinsip malas kuingau,
bakal harapan dihurungi langau,
semangat berkobar jadinya sengau,
malas bekerja bahan bergurau.
ingau = harap
Jikalau rakyat tiada wawasan,
negarakan mundur banyak alasan,
apakah kita tiada perasaan?
memajukan negara mantap fikiran.
Generasi kini perlu dibentuk,
para pemikir janganlah mengantuk,
sajanya nanti menjadi datuk,
jika tak tercapai jangan mengutuk.
sajanya = mungkin
Bukan salah ibu mengandung,
jangan biarkan mereka lundung,
kecewa hasilnya siapa nak bendung,
akhirnya kelak siapa yang tanggung.
lundung = malas
Bukan senang hendakkan senang,
berjaya akhirnya disebut menang,
usaha barabis dapat dikenang
hati gembira mata berlinang.
barabis = berhabis-habisan
Orang muda pastikan mahir,
hajat di awal sampai ke akhir,
tunjukkan lurah situ mengalir,
pasti kita tak lagi watir.
watir = khuatir
Andai kita si warga emas,
ketika inilah merancang kemas,
mereka pandai kita tak rimas,
banyak bolehnya tak teramas-ramas.
Mudahan katani dipanjangkan umur,
dapat melihat mata tak kabur,
kepandaian mereka menjadikan makmur,
negara tercinta bak pokok subur.
katani = kita
Cukup sekian syair kugarap,
majulah negara bagai diharap,
rang muda ramai mesti diserap,
2035 tertunai diturap.
Mohon kemaafan andai tersalah,
jari menekan HP baulah,
tanpa disedari maka itulah,
fahamnya bisai tiada berbalah.
baulah = bermasalah
Brunei Darussalam.
3.03.
SYAIR:
SELAMAT DATANG TAHUN 2019
Kubuka lebaran nak bertahun baru,
Assalamualaikum semua yang tahu,
tahun 2019 bakal ditemu,
dipanjangkan umur syukur dialu.
Selamat tinggal tahun 2018,
kita tinggalkan semangat bermalas,
kita hadapi pula tahun 2019,
mahu dilaksanakan berhempas pulas.
Kini terfikir apa kekurangannya,
usahlah kerap tertanya-tanya,
diri sendiri ada jawapannya,
mari tingkatkan kemajuan negara.
Kita rakyat kitalah jenteranya,
negara sendiri acu majunya,
kurang efektif harus perbaikinya,
para bijaksana usah layan lokeknya.
Bukan seorang cecitanya tinggi,
semua kelemahan mahu diperbaiki,
terasa banyak berbuat rugi,
pasti tak mahu berulang lagi.
Walau diri kurang kemampuan,
orang berada sukar dilawan,
meski minum sama bercawan,
masa depan diusap rawan.
Impian besar tinggi mengawan,
untuk mencapai banyak dilawan,
sampai sakit diri pun sawan,
fikiran baik jadi tak keruan.
Bukan senang nak hidup senang,
gaji kecil simpang-perenang,
bila berlawan payah nak menang,
kisah lama ingat terkenang.
Minta tolong siapa nak bantu,
sama saja hidup begitu,
buat seharian fikiran buntu,
bagai berhajat meminang ratu.
Kata orang banyaknya peluang,
sayang juga hendak dibuang,
perlu sendiri mencari ruang,
sakit dahulu senang menerawang.
Usaha itu tangga kejayaan,
banyak halangan terpaksa dilayan,
sakit dahulu senang kemudian,
gembira kita tak dibelas kasihan.
Di tahun baru hendakkan perubahan,
tak perlu cepat tak juga perlahan,
di samping ingat kepada Tuhan,
kerja kuat usah ditahan.
Jika tak jaya baik bertanya,
kebolehan itu semua empunya,
cuma diri sedikit hanya,
malu bertanya kabur tujunya.
Malu berkayuh perahu hanyut,
dada berdebar berdenyut-denyut,
gagal nanti di mana bergayut,
kecewa menungging angan memberuyut.
Kita manusia mampu berfikir,
meski ketika saatnya getir,
kita terdengar guruh dan petir,
pasti diselesai berbilang butir.
Tahun baru terpanggil harapan,
menunjang cita di masa depan,
semua nak dibuat cita tersimpan,
serapi mana bak susunnya papan.
Cecita tinggi sepuncak gunung,
habis semua hendak direnung,
waima di balik dapat ditenung,
meneguh niat elak termenung.
Duhai kawan wahai sahabat,
waktu ini malamnya Jumaat,
empat hari lagi kitalah sempat,
Selasa nanti sudah di tempat.
Malam Jumaat terakhir kita menfaatkan,
panjatkan doa kepada Tuhan,
minta umur lagi panjangkan,
riang gembira bersama rakan.
Cukup sekian syair kususun,
sempena menjelang barunya tahun,
kemaafan kesalahan ikhlas kupohon,
agar tiada kumpul berhimpun.
Negara Brunei Darussalam, Khamis: 27 Disember 2018.
3.04.
PANTUN BERKAIT:
BURUNG TEMPUA BERSARANG RENDAH
Burung tempua bersarang rendah,
takkan gugur ditiup angin;
hati di mana tidakkan gundah,
gadis dipuja senyum ke lain.
Takkan gugur ditiup angin,
malah sukar musuh menyerang;
gadis dipuja senyum ke lain,
apakah diri ada nan kurang.
Malah sukar musuh menyerang,
meski bergantung sampai di pangkal;
apakah diri ada nan kurang,
wang bukan dijadikan soal.
Meski bergantung sampai di pangkal,
ranting masih sanggup menanai;
wang bukan dijadikan soal,
apa kehendak boleh ditunai.
Ranting masih sanggup menanai,
dahan bergoyang pohonnya belah;
apa kehendak boleh ditunai,
rupanya diri bertepuk sebelah.
Dahan bergoyang pohonnya belah,
dedaun banyak jatuh guguran;
rupanya diri bertepuk sebelah,
wang pemikat bukan ukuran.
Negara Brunei Darussalam, 13 Januari 2019 Minggu.
3.05.
PANTUN BERKAIT:
DEBURAN OMBAK
Ombak memukul pantai bertahan,
pasir bergerak gemalai tari:
hati berendam jiwa perasaan,
mulut berkicau bagai kenari.
Pasir bergerak gemalai tari,
siulan beburung merentak halwa:
mulut berkicau bagai kenari,
senyum mahal tiadanya tawa.
Siulan beburung merentak halwa,
terbang laju mengejar teman:
senyum mahal tiadanya tawa,
hidup seharian menadah aman.
Terbang laju mengejar teman,
mata meliar cari tujunya:
hidup seharian menadah aman,
bagai tiada hujung tamatnya.
Mata meliar cari tujunya,
takut berakhir di tempat salah:
bagai tiada hujung tamatnya.
hanya pasrah kepada Allah.
Takut berakhir di tempat salah,
hilang pandai lenyap perkasa:
hanya pasrah kepada Allah,
perangai berubah sedarkan dosa.
Negara Brunei Darussalam, 14 Januari 2019 Isnin.
3.06.
MENYUSUR JALAN PULANG
(Tercipta khusus kepada penghuni palang besi)
Telah begitu lama kutinggalkan mereka
lantaran menyisir hidup
himpitan nan mendera hati
memuncak hajat suka
meski kutahu hujungnya
hanya bayangan mimpi
yang belum tentu benarnya
yang kurasakan di situ
ada jua keonakannya
menusuk kalbu pedih.
Wahai…!
benarkah di situ
ada kepuasan duniawi
atau
aku tertunjuk rindu padanya
yang belum pasti cantiknya
yang belum tentu baiknya
yang belum tergambar kejayaannya
dan aku pun…
tanpa memikir kehalusan
mahu cuba mencapainya
waima ranumnya masih mendebarkan
harapan tinggal bayangan.
Aku mahu pulang
meski masih ada tali pemisah
tapi itu daripada silapku
melihat cahaya intan menyinar mataku
di luar sadar
tapi hujungnya tiada
kecantikannya sebagai penawan
pada hati jiwa yang lemah
dek tuntutan hidup
bagai Tuhan kendur di nubari
cair oleh pengaruh syaitan.
Ya begitulah…
aku mahu pulang
mengukuh kedamaian hati
siapa bilang aku tak sayang
siapa kata aku tak rindu
semuanya pada keluargaku
kerana kekhilapanku
bagai sesiapa pun jua
cuma aku sirna dalam perjalananku
lalu…
aku sedar dan mahu pulang kini
ke pangkal jalan
dengan berbekalkan kekesalan
dengan semangat mahu berubah sekental-kentalnya.
Terimalah aku
sambutlah aku
mari di sampingku
kukuh dan padatkan
kita sama-sama ke jalan Allah
atas nama penyesalan
tidak dibuat-buat
In syaa Allah.
Negara Brunei Darussalam, 16 Januari 2019 Rabu.
3.07.
SYAIR:
BUBUK DAH KEMBALI
Kukarang syair dengan bismillah,
di samping salam masuk terjumlah,
ampun dan maaf jika tersalah,
kita manusia apanya ulah.
apanya ulah = tak dapat buat apa-apa.
Ketika ini dah ada bubuk,
baiktah ke Serasa datang manyubuk,
bawa siut ataunya tangguk,
balurih banyak hati pun siuk.
siut = sauk.
bubuk = udang geragau.
baiktah = cepatlah.
manyubuk = melihat.
tangguk = siut khas untuk bubuk.
balurih = mendapat/beroleh.
siuk = seronok.
Belum ramai orang balurih,
kawan bubuk ditaulih-taulih,
kalau nak pergi akan bakarih,
bawa sesiapa jangan bairih.
ditaulih-taulih = toleh.
bakarih = berusaha.
bairih = antara mahu dengan tidak.
Bubuk masih belumnya banyak,
kalau berkawan macamnya jinak,
iski balurih jiwa tak sanak,
batis di aing lompat bajunyak.
iski = suka/gembira.
sanak = tak suka/boring.
batis = kaki.
aing = air.
bajunyak = bertinjak.
Ketika ini masihnya mahal,
ingin makan itu tak pahal,
pergi di mana tak jadi soal,
dapat dimakan pokoknya pangkal.
tak pahal = tak apa.
Bila dah bubuk datang sekawan,
dapat disiut dengannya cawan,
iski hati tak ingat rakan,
ke tengah laut jauhnya luan.
luan = paling/terlalu.
Kalau miatu ingat nasihatku,
ke jauh laut jangan dilaku,
pernah banyak udah berlaku,
penangguk lemas matinya beku.
miatu = begitu.
penangguk = penyiut.
Di kawan bubuk adanya galap,
bapusing kuat menunggu silap,
jangan dipaibun jangan digalap,
terkena sendiri barulah lalap.
galap = air berpusing.
dipaibun & digalap = diolok-olok atau diperkecil-kecilkan.
lalap = sadar pada badinya.
Bubuk boleh dibuat cucur,
tepungnya sedang elakkan hancur,
muat di kuali cepatnya bucur,
minyak mendidih jarikan melecur.
Bubuk juga boleh dikeringkan,
jemur di pantaran tunggu-tunggukan,
takut ada diambil kesempatan,
langau lalat hinggap-hinggapan.
pantaran = kawasan depan rumah yang tak beratap.
Boleh ditutuk dibuat belacan,
cukup rasa jadi unjaran,
nyaman perencah dalam gulaian,
di Batu Marang sedapnya buatan.
Batu Marang = nama sebuah kampung yang
terkenal dalam pembuatan belacan.
Dibuatkan cancalu jadi kegemaran,
cacah antimun bertambah nyaman,
ladanya pedas kunyam-kunyaman,
pasti tak sanggup semalam-malaman.
cancalu = cencaluk.
antimun = timun.
kunyam-kunyaman = kerimut bibir dan mulut.
Dimasak tumis jadi kegemaran,
bersama nasi ketika makan,
irup kuahnya bertambah nyaman,
lepas mangkuk lirik senyuman.
irup = sedut/hirup.
Makan ambuyat berbubuk kering,
sediakan juga di dalam piring,
letak duduknya bukan di siring,
baunya mangat lepas digoreng.
ambuyat = berasal daripada sagu.
siring = dekat.
mangat = sedap bau daripada pulut yang dimasak.
Disebut bubuk adanya sudah,
ramai penggemar mesej bapadah,
kepada penunggu sama faedah,
bubuk yang nyaman menimbul padah.
bapadah = diberitahukan.
Bubuk singitan padanya kulit,
gatal menjalar bagai dipalit,
walau arahnya di tempat sulit,
sapukan krem lilit-melilit.
singitan = sensitif/alahan.
lilit-melilit = berkeliling.
Memakan bubuk baik dielak,
apa caranya baik ditolak,
nanti kulit nampaknya galak,
siang dan malam bergaru galak.
Doktor dan tabib kerap mengingatkan,
ingat belacan usah dimakan,
di dalam sayur baik tinggalkan,
takutkan gatal jadi rutinan.
Bila dah ramai beroleh bubuk,
harganya murah peminat pun sebok,
ramai pembelacan sanggup menumbuk,
untungnya banyak susah ditapuk.
pembelacan = pembuat belacan.
ditapuk = disembunyikan.
Sekian dulu syair kukarang,
pasal bubuk datangnya jarang,
maaf ampun jika terkurang,
nada dan perkataan menimbul berang.
Negara Brunei Darussalam, 28 Januari 2019, Isnin.
3.08.
PANTUN BERKAIT: BERDASARKAN DAUN PUCUK
Pucuk dicita ulam mendatang,
tatas berlembar pembungkus kalupis:
membujur lalu patah melintang,
tumbuk sembarang awas ditepis.
tatas = potong-potong.
Tatas berlembar pembungkus kalupis,
kalupis nyaman inti piasau:
tumbuk sembarang awas ditepis,
semua terelak fikiran tak kacau.
kalupis = beras pulut yang dijadikan dadih untuk dibuatkan
makanan berbungkus daun pucuk atau daun irik.
piasau = buah kelapa
Kalupis nyaman inti piasau,
samatnya satu sebagai tanda:
semua terelak fikiran tak kacau,
berserah saja apa nan ada.
samat = semat.
Samatnya satu sebagai tanda,
kulitnya dibuang berguna tidak:
berserah saja apa nan ada,
fikir dahulu sebelum bertindak.
Kulitnya dibuang berguna tidak,
bagai kacang lupakan kulit:
fikir dahulu sebelum bertindak,
meski masalah begitu sulit.
Bagai kacang lupakan kulit,
kulitnya keras isinya nyaman:
meski masalah begitu sulit,
bawa bersabar meneguh iman.
Kulitnya keras isinya nyaman,
takatap bibir mamapak salah:
bawa bersabar meneguh iman,
berserah saja kepada Allah.
takatap = tergigit.
mamapak = mengunyah.
Terkatap bibir mamapak salah,
darah menitik berbekas di bahu:
berserah saja kepada Allah,
Dia saja Yang Maha Tahu.
Darah menitik berbekas di bahu,
mujur dipakai baju dah lama:
Dia saja Yang Maha Tahu,
iman kuat menegak ugama.
Mujur dipakai baju dah lama,
nampak baru malah bersinar:
iman kuat menegak agama,
Islam itu agama benar.
Negara Brunei Darussalam, 31 Januari 2019, Khamis.
3.09.
PANTUN JENAKA: RENCAH KEHIDUPAN
Rangit manaung ucing mangiau,
bibir takatap mulut mangadah:
usah diamal malasku ingau,
diri jua karang menerima padah.
rangit = nyamuk.
ucing = kucing.
mangadah = mengaduh.
diamal = dibiasakan.
malasku ingau = tidak kisah.
karang = kelak.
Bibir takatap mulut mangadah,
berbunyi kantut baunya ndada:
diri jua karang menerima padah,
luan sumbung mangada-ngada.
kantut = kentut.
ndada = tak ada.
diri jua karang = diri sendiri nanti.
luan = terlalu.
sumbung = sombong.
mangada-ngada = angkat bakul.
Babunyi kantut baunya ndada,
pura-pura manunjuk iksin:
luan sumbung mangada-ngada,
mangata kaya nda bausin.
babunyi = berbunyi.
iksin = aksi.
nda bausin = tak ada wang/duit.
Memanting gitar putus talinya,
terkena kulit lukanya ngingis:
jika tak tahu baik bertanya,
takut ke tua bodoh barabis.
memanting = memetik.
ngingis = tergores.
barabis = sepenuhnya.
Angin bertiup pokok bersiul,
dahan bergeser bak gesek biola:
jika berfikir kepala biul,
hasil muktamat sudahnya bila?
Pokok maritus menampar pisang,
ketika rebah dimakan anai:
gutang baju lupa terpasang,
jarinya merah masih berinai.
gutang = butang.
Katak santung leka berbunyi,
burung mantis bagai ketawa:
suasana kini begitu sunyi,
hanya dihuni si warga tua.
burung mantis = burung kakak udang.
Muka basah terpercik air,
bedaknya luruh kembali hitam:
hendak meramal air mengalir,
sekolah tinggi pun tiada khatam.
Kambing mencari janggutnya hilang,
sampai arnab memanggil ibu:
pakai baju berbelang-belang,
harimau takut langkah seribu.
Kertas palit pembungkus lauk,
tali purun pengikat punjung:
anak damit janganlah gauk,
bapa mamamu bakal menanggung.
palit = surat khabar.
lauk = ikan.
tali purun = tali rami.
punjung = bungkus berbentuk tiga segi.
anak damit = bayi.
gauk = terlalu aktif.
bapa mamamu = ibu bapamu.
Negara Brunei Darussalam, 31 Januari 2019, Khamis.
3.10.
PANTUN: TENTANG KEPENGARANGAN
Leka sangat mencipta haiku,
hati pembaca rasa gementar:
tidur malai buah hatiku,
ayah jauh lupakan sebentar.
Lepas haiku berganti tanka,
untuk bacaan orang sebelah:
sayang jangan berburuk sangka,
ayahmu pergi mencari nafkah.
Habis bertanka mengarang pantun,
isinya benci kini bersatu:
ayahmu kerja memandu bantun,
sampai ke seberang tak tentu waktu.
Mengarang pula sebuah syair,
padu dengan rima dan isi:
datang ke tempat terlalu akhir,
perut lapar mencari nasi.
Sajak bebas kini tak lupa,
dicipta banyak bertahun lalu:
ketemu kawan lama tak jumpa,
kawan lama sekelas dulu.
Puisi lama bentuk gurindam,
alunan kasih beramah-tamah:
terlepas sudah hati nan dendam,
terkenang keluarga ada di rumah.
Baca serangkap puisi seloka,
entah siapa bijak mengarang:
kenang kasih jiwa terseka,
tarik sauh bergerak pulang.
Negara Brunei Darussalam, 7 Februari 2019, Khamis.
4. JABIT ABDUL AZIZ
BIODATA. JaBiT Abdul Aziz merupakan nama pena bagi Haji Abdul Aziz Tuah. Dilahirkan pada 17 Mac 1963 di Kampung Saba Darat. Beliau berkelulusan GCE A Level. Mula menceburi bidang penulisan cereka pada tahun 1981 melalui Hadiah Nobel (sandiwara radio, 1981) dan cerpen bertajuk “Korban” (siaran radio). Novel pertama dihasilkan ketika menyertai Peraduan Menulis Novel sempena Awal Tahun 1400 Hijrah (1981) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei berjudul, Jambot. Mula menulis cerpen pertamanya dalam tahun 1981 dan kembali menulis dalam tahun 2008 setelah kemarau karya cerpen selama 27 tahun dengan menghasilkan beberapa buah cerpen dan sajak. Kesemuanya diterbitkan dalam majalah Bahana. Novel yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei Darussalam ialah novel remaja G.P. (2001), novel remaja s.i.r! (2007) dan Sa.b.a.! (2010). Pernah mewakili Negara Brunei Darussalam sebagai peserta Program Penulisan Mastera: Novel pada tahun 2001 di Indonesia dan menghasilkan novel Sa.b.a! Penerima Hadiah Kreatif Bahana DBP-BSP (kategori Cerpen) pada Tahun 2008 dengan cerpen berjudul “pe.jam.”; Tahun 2009 dengan cerpen bertajuk “pe.rang”. Penerima Hadiah Pertama dalam Peraduan Menulis Cerpen Acara Sampingan Majlis Ilmu 2008 melalui cerpen berjudul “pe.jal.”. Pada tahun 2015, melalui novel Sa.b.a.!, beliau diangkat sebagai penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara oleh Kerajaan Thailand di samping penglibatan beliau dalam bidang penulisan kreatif sastera di Brunei Darussalam. Bermula tahun 2015, mempelopori penggunaan perkataan yang diceduk daripada Kamus Bahasa Melayu Nusantara terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Negara Brunei Darussalam dalam karya cerekanya bagi menyatupadukan, menghormati, mensohorkan kayanya perbendaharaan kata bahasa Melayu se-Nusantara. Pada masa yang sama, pendekatannya ini membolehkan karya cerekanya dapat dibaca dan dinikmati oleh penduduk Nusantara yang melebihi 250 juta jiwa dibanding dengan Negara Brunei Darussalam yang mempunyai sekitar 0.3 juta orang.
PUISI
4.01. a.l.t.r.u.i.s.m.
4.02. i.t.h.a.r.
4.03. p.r.i.hat.in.
4.04. pe.tung.
4.05. a.i.b.
4.06. pe.su.k.
4.07. ba.t.ha. versus ha.t.ba.
4.08. pe.rang.
4.09. pe.t.aya.
4.10. bersama ma.k.a.N.
4.01.
a.l.t.r.u.i.s.m.
Terfikir kotak fikiranku andainya lautan banjir
…kerana air laut semakin meninggi
meninggi terus
terus rundung bawa berita
berita yang cemas
berita yang lemas
usaha terus dan terus
terus bermaksud tidak bernoktah
bernoktah indah jika dirungkaikan
namun kita penduduk bumi penjaga laut
laut guna sesama manusia
laut tidak guna manusia.
Air laut semakin meninggi…
*altruism bermakna “unselfish concern for others”.
“baina” Kg. Rimba, Februari 2019.
4.2.
i.t.h.a.r.
Di sana sini, manusia dianiaya
perimu inda ada terhadap manusia
hei yang menyeksa, kau juga manusia?!
kuasa tahu hari ini harimu
besok awda akan bangkit
bangkit dengan cengkaman rubit!
*ithar (asal perkataan Arab) bermaksud mengorbankan kepentingan diri sendiri untuk orang lain.
“baina” Kg. Rimba, Februari 2019.
4.3.
p.r.i.hat.i.n.
Syuruq jelmakan diri, perbanyakkan zikir
zikir syahdu qalbu rawan
menerjah masuk indah yang terindah
detikkan hati terus ibadah
sekujur badan nilik…
“baina” Kg. Rimba, Februari 2019.
4.4.
pe.tung.
(diilhamkan dari cerpen dalam Bahana, Mei 2009)
Bangun pagi, rasa riuh
riuh berbeza
ibadah dicambah berbagai indah
indah membaca ayat-ayat suci, istiqamahkan membaca dan telaahnya.
…. surah Al-Waqiah.
Istiqamahkan, berkat melekat
walaupun kau hanya pencabut tunggul
semua perlukan hati yang iski gembira
iski gembira dibibitkan dengan istiqamah.
Pilihanmu lurus
tarikan nafsu serakah rebah
nafsu serekah mengambil yang bukan hakmu.
Alhamdulillah.
*petung (perkataan dari Kelantan) bermaksud baling; buang; lontar.
“baina” Kg. Rimba, Februari 2019.
4.5.
a.i.b.
(diilhamkan dari cerpen yang diterbitkan di portal E-sastera Vaganza ASEAN, 25/01/2019)
Remeh-temeh tidak diendahkan
remeh-temeh dilupakan
remeh-temeh jika bangkit…
…bangkitnya berpadah.
Kotoran licak diremeh-temehkan selepas istinja’?
tidak dikumbahkan
dilupakan
dilupakan jangan kerana ia rayap
perhatikan seluasnya mengenai taharahnya
kotoran licak dimandikan dengan air biru
bicarakan menguruskan kotoran licak bukannya benda aib
kotoran licak hidup dengan E-coli…
“baina” Kg. Rimba, Februari 2019.
4.6.
pe.su.k.
(diilhamkan dari cerpen yang diterbitkan di E-sastera.Vaganza ASEAN, 31/01/2019)
Kertas putih tidak bermaya
kertas bertinta hitam bergaya
kertas membawa khabar ditunggu-tunggu
siapa penghantar surat khabar, wirakah dia?
Hantar surat khabar luaran sahaja
dalaman, hubungan qalbu dirasakan
tolong kawan bererti tolong kemanusiaan.
Tandas wang, diri tertawan
tandas wang, perhambaan jiwa maharajalela
jiwa binasa!
“baina” Kg. Rimba, Februari 2019.
4.7.
ba.t.ha. versus ha.t.ba.
(diilhamkan dari cerpen dalam Bahana, Ogos 2008)
Kaki tendang bola
tangan tidak tendang bola
tangan tidak tangkap bola
tangan disukat dari hujung jari ke pangkal lengan
kaki sepak bola jadikannya bola sepak.
Penjaga gol sahaja yang boleh tangkap bola…
…terhad kawasannya.
Tangan jana sengketa jika tangan terkena bola…
…atau bola terkena tangan…
…ball to hand atau hand to ball.
Di dalam padang pengadil jadi sasaran
bola bergerak laju
mata terhad gerak lajunya
mata cepat letih
keletihan cipta kesilapan
kesilapan gaplah gumanta sengketa
sengketa bibitkan permusuhan
sengketa jana rugi
sengketa buntingkan perkara negatif.
Isu selesai: berikan sepakan tidak terus percuma (indirect free kick)?
Untung ada V.A.R. (Video Assistant Referee): selesaikah sengketa?
Bolasepak terus hidup dalam ‘kita’ kerana ada magnet misteri.
“baina” Kg. Rimba, Februari 2019.
4.8.
pe.rang.
(diilhamkan dari cerpen dalam Bahana, September 2009)
Datang petang, hatinya suka
berpesta siruk darah
muncungnya terlalu seni tajam lukakan kulit manusia
sekadar cari makan tidak apa
darah disiruk terlalu tidak seberapa.
Takutnya manusia, hamba Allah ini bawa kuman
kuman yang iski jangkitan
jangkitan yang mengangka korban.
Bolehkah angin alami yang diparam dalam botol jadi pembunuh rangit?
penaka racun ular menjadi penawar dari racun gigitannya.
“baina” Kg. Rimba, Februari 2019.
4.9.
pe.t.aya.
(diilhamkan dari cerpen dalam Bahana, September 2009)
Otakku bengang
jantungku degup kencang
kudrat badan letih
jika kena, aku ‘terbang’ lama sebelum runduk
runduk terpacak ke bumi
bumi nan mati.
Kau menjadi pencuri
mencuri hidupku, rosak sana sini.
Apa kaitan giat liarmu dengan telur ayam?
Sedozen telur ayam tempatan untuk dimakan
dimakan penuh sopan
sopan melihat bayang angka
angka empat untuk ‘ditikam’
ditikam kena
kena laba wang
wang haram.
Kerana haramnya wang, tandas lepas kebas!
*petaya ialah tumbuhan memanjat; akar saga paya.
“baina” Kg. Rimba, Februari 2019.
4.10.
bersama ma.k.a.N.
(khas untuk E-Sastera Vaganza ASEAN)
Kau kumpulkan bakat
bakat menyusun kata-kata
kata-kata indah didengar
mutiara dilihat
niatmu untuk majukan kesusasteraan
kesusasteraan yang ampuh kesatuan
menyatukan perbezaan Bahasa walau serumpun
menyatukan perbezaan budaya
seluas Nusantara.
Gerak ke hadapan untuk bina tamadun
tamadun dahulu agung yang kita punya.
“baina” Kg. Rimba, Februari 2019.
5. JOLATIF
BIODATA. Johari Bin Haji Abd Latif (Jolatif) terlibat dalam bidang penulisan semenjak 1990. Beliau memerima ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sastera dari Universiti Brunei Darussalam pada tahun 1989. Kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia dan memperoleh Sarjana Pendidikan Sastera (MA in Education) pada tahun 2000. Beliau memulakan tugas di Sekolah Menengah Berakas pada tahun 1989 sebagai guru mata pelajaran Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. Pada tahun 2000, bertugas sebagai pensyarah Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Gadong. Kemudian bertugas pula di Pusat Tingkatan Enam, Katok 2009-2011. Bidang pengkhususan beliau ialah Kesusasteraan Melayu. Seterusnya beliau pindah ke Politeknik Brunei pada tahun 2012 sebagai penyelaras Modul Melayu Islam Beraja hingga bersara. Beliau juga terlibat menyumbangkan dalam bidang penulisan rencana kritikan sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, di samping menulis sajak. Buku-buku beliau yang terbit: Kajian dan Ulasan Novel Saga Bagi Pelajar-pelajar Sijil Am Pelajaran Peringkat A dan Enrichment Module Guide Politeknik Brunei. Sepanjang berkhidmat, beliau penerima anugerah guru special mention Hari Guru pada 29 September 2016, Pingat PIKB 2007, PKL 2018, Pingat Jubli Perak 25 tahun KDYMM Sultan & Yang Di Pertuan NBD 1996, Pingat Perak Koperasi MIPR BINA 2002.
PUISI
5.01. Hiperinflasi Dunia
5.02. Pusara
5.03. Dendam
5.04. Insaf
5.05. Lautan
5.06. Kota Sodom Yang Terhempas Terpulas
5.07. Awan
5.08. Pusaka Melayu
5.09. Bandarku Ceria
5.10. Terbang Pulang
5.01.
HIPERINFLASI DUNIA
Hiperinflasi
dunia direjah
negara terpinga-pinga,
nilai wang turun tak terjaga
kemiskinan tegar tiba,
pengangguran mega menjelma.
Hiperinflasi seperti kriminal bersenjata, merosak kebahagiaan negara. Jagat ekonomi dunia binasa. Sukar. Sesetengah negara, kedai tak bermaya, sepi. Jentera tadbir kedai menggigil rasa mahu mati. Harga barangan melambung tinggi.
Hiperinflasi.
Epidemik,
masyarakat telah tuli buta
kedai tak disapa,
rugi bermaharajalela
penyunjung tiada,
barangan terbiar begitu saja,
mungkin sampah sarap akan berharga.
Februari 2019.
5.02.
PUSARA
Pusara monumen kemanusiaan
atas Tanah Persemadian
penempatan di dalam liang
dahulu, sekarang, dan jika ada yang kemudian
terkumpul di hamparan tanaman batu nisan
seperti destinasi transisi dari kota terbuang ke kota komospolitan
tidak perlu permit dipohonkan, kemasukan diizikan
bagi seorang satu liang
pasti dikunjung
penyunjung datang
saban waktu bawa aroma bungaan
atau mendung kesedihan
bagai perhiasan
tiada keistimewaan
bukan akhir kesudahan
bukankah hari kebangkitan itu
sudah ditentukan?
Februari 2019.
5.03.
DENDAM
Suatu masa
akan kubuang dendam
yang meratapi hati
waima pernah dilukai
agar dendam bisa jadi kemboja
pada suatu masa nanti.
Februari 2019.
5.04.
INSAF
Biarlah sesekali hati ini luluh
dihempas batu.
Biarlah sesekali kesakitan memijak-mijak,
agar insaf.
Februari 2019.
5.05.
LAUTAN
Lautan
berdesir getaran ombak berdendang
seluas saujana mata memandang
tenang kadang bimbang
menunggu pendatang
memperoleh khazanah lantas hilang
hari kian mendatang
lautan tinggal sehelai sepinggang
seluas saujana terbentang.
Februari 2019.
5.06.
KOTA SODOM YANG TERHEMPAS TERPULAS
(Kota Homoseksual)
Seketika
wabak sumbang menjalar
nafsu kebinatangan ditimang-timang
seksual lesbian, homoseksual dimahkotakan
berlaku seperti makanan harian
pedoman agama terkebelakang.
Azab dijemput datang
ketika subuh dilabuhkan
bumi Sodom menggelepar bergoncang
suatu antakan digugurkan
Sodom rebah terhempas terpulas
tenggelam.
Ranap tamadun sumbang
seiris sisa pun tiada yang tinggal
kota pun hilang
lautan mati terbentang
sebagai saksi kekuasaan Tuhan.
Februari 2019.
5.07.
AWAN
Mendung masih bermaya
bertiup duka
membawa berita
terpedaya di mata
hujan berdukacita.
Februari 2019.
5.08.
PUSAKA MELAYU
Hai remaja Melayu
busana cara Melayu kamu berceluru
sumbang di mata tamu
sumbang memberi jemu
berpakaian Melayu
tanpa songkok Melayu
menghina pusaka Melayu.
Hai remaja Melayu
berpakaian gaya Melayu
tanpa songkok Melayu
ibarat hilang irama pada lagu
hilanglah juga rupa Melayu
pupuslah pusaka Melayu.
Hai remaja Melayu
pakaian busana bangsa Melayu
indahnya tak terkata
hidup matinya di tangan kita.
Februari 2019.
5.09.
BANDARKU CERIA
Bandarku ceria
lakaran momentum negara.
Melerai kisah lama
kisah bandarku hidup segan
kini hidup kembang wangi
wajah berseri
diwarnai pelangi senja hari
lagunya sumbangsih asli.
Bandarku ceria
kini tiada mati
senyuman tertera
di ambang pagi
hanya hingga jam 10 pagi.
Februari 2019.
5.10.
TERBANG PULANG
Burung lelayang
terbang pulang
melayang mencari jalan
suram petang di jalanan
jadi penghalang
luka lama makin berliang.
Februari 2019.
6. M.S, RINDU.
BIODATA. M.S. Rindu (Mohamed Salleh Lamry) lahir di Kuala Selangor pada 22 September 1942, memiliki Ijazah Ph.D dari UM (1989). Beliau memulakan kerjaya sebagai guru sekolah rendah, sebelum bertugas sebagai pensyarah Antropologi dan Sosiologi UKM (1978-2003). Beliau pernah menulis cerpen dan sajak pada tahun 1960-an, tetapi tidak meneruskannya ketika bertugas sebagai pensyarah. Selepas bersara dari UKM, beliau memberi tumpuan kepada penulisan biografi. Buku biografi beliau yang terakhir, Biografi Ishak Shari: Pemimpin Bumi Semua Manusia (Penerbit UKM, 2014) telah memenangi HSPM bahagian biografi bagi tahun 2014. Beliau menulis cerpen dan sajak kembali mulai 2016, yang telah diterbitkan dalam pelbagai buku antologi.
PUISI
6.01. Hang Tuah Dan Hang Jebat
6.02. Surat Tuah Kepada Teja
6.03. Mat Indera Yang Tidak Mati
6.04. Pemimpin
6.05. UMNO Yang Sudah Tua
6.06. Runtuhnya Sebuah Rejim
6.07. Rasuah
6.08. Hospital
6.09. Kampungku
6.10. Orang Tua Di Desa
6.01.
HANG TUAH DAN HANG JEBAT
Hang Tuah dihukum mati
tanpa usul periksa
hanya kerana fitnah
yang dipercayai oleh raja.
Hang Jebat tampil membela
Hang Tuah yang tidak bersalah
dia tampil menjunjung tinggi
akan nilai sebuah persahabatan.
Hang Tuah memilih menjunjung titah raja
menghapuskan Hang Jebat
yang dianggap telah derhaka.
Tindakan Hang Tuah dianggap benar
berasaskan nilai pada zamannya
tapi zaman telah berubah
nilai turut berubah sama
mungkin ada penilaian baharu
siapa benar, siapa salah.
Kajang, Oktober 2018.
6.02.
SURAT TUAH KEPADA TEJA
Maafkan aku, Teja
aku tidak dapat mencintaimu
walau aku tidak mampu berdusta
hatiku bukan tidak terpesona
oleh kecantikanmu.
Aku sudah lama tahu
kau diminati oleh rajaku
tidak mungkin aku menyuntingmu
sedangkan aku ialah hambanya.
Jika dihatimu
ada rasa cinta untukku
mohon lupakan saja
kerana kau bukan untukku.
Sebagai anak Bendahara
tempatmu memang di sisi Sultan
apalagi kau gadis rupawan
wajarlah menjadi penyeri istana.
Aku hanya seorang hamba
ingin berbakti untuk rajaku
kau relakanlah perpisahan ini
untuk kebaikan kita bersama.
Kajang, Disember 2018.
6.03. MAT INDERA YANG TIDAK MATI
Dalam arus perjuangan kemerdekaan
kau ikut berjuang di jalan kiri
bersama PKMM dan API.
Bila parti kiri diharamkan
kau bergerila di hutan belantara
demi perjuangan yang perlu diteruskan.
Kau berhak membuat pilihan
dan dalam perjuangan kemerdekaan
jalan yang kau pilih
tidak semestinya satu kesalahan.
Kau patriot dan nasionalis sejati
menyerahkan jiwa dan raga
untuk kemerdekaan bangsa tercinta.
Kau dikhianati oleh kawan sendiri
menangkapmu atas arahan penjajah
dan kau dihukum mati.
Di hati kami
kau tidak mati
kau sentiasa dikenang dan diingati
sebagai pejuang sejati
yang sedia berkorban
untuk ibu pertiwi.
Kajang, Februari 2016.
6.04.
PEMIMPIN
Alangkah indahnya
sebuah gunung di kejauhan
tinggi menjulang awan.
Tidak kelihatan
ia hanya tanah dan batu
yang kotor dan berdebu.
Semua orang terpesona dengan keindahannya
kerana dari jauh
tidak kelihatan keburukannya.
Begitulah pemimpin yang sedang bertakhta
di puncak kuasa
dan tentunya punya karisma.
Ia kelihatan begitu agung, begitu mempesona
hampir kita tidak menyedari
ia hanya insan biasa
punya kelemahan dan kekurangan
jika kita tidak melihatnya
dari jarak yang berdekatan.
Kajang, Oktober 2018.
6.05.
UMNO YANG SUDAH TUA
Dalam usiamu yang panjang
kau memang pernah berjasa
memerdekakan negara, membangun bangsa.
Tapi di usiamu yang sudah tua
kau telah kehilangan idealisme
telah kehilangan hala tuju
tidak tahu hendak ke mana.
Rakyat bukan tidak melihat
para pemimpin di peringkat atasan
mahu berkuasa selama mungkin
sambil mengumpul kuasa dan harta.
Rakyat akan meninggalkanmu
kerana tidak mampu lagi bertahan
dalam sebuah parti tua
yang tidak lagi mampu
memberi pimpinan dan harapan.
Kajang, Jun 2018.
6.06.
RUNTUHNYA SEBUAH REJIM
Siapakah menyangka
sebuah rejim yang begitu berkuasa
sudah enam dekad usianya
diruntuhkan dalam satu pilihan raya.
Memang rejim itu banyak berjasa
membawa pembangunan untuk rakyatnya
tapi itu adalah kewajipan
tidak semestinya dikenang dan diberi pujian.
Rejim lama tidak dapat bertahan
sudah kehilangan legitimasi
kerana pemimpin menyalahgunakan kuasa
dan rakyat hidup sengsara.
Rejim lama telah diruntuhkan
oleh kuasa rakyat jelata
rakyat menyokong
rejim baharu yang memberi harapan.
Kajang, Oktober 2018.
6.07.
RASUAH
Perbuatan yang salah dan berdosa
mungkin tidak dilihat besar salahnya
jika tidak dilakukan secara terbuka
dan ramai pula yang melakukannya.
Demikianlah dari masa ke masa
rasuah berlaku tapi tidak ketara
di sektor awam dan swasta
melibatkan pegawai rendah dan atasan.
Kini sudah terang dan nyata
rasuah akan merosakkan negara
yang terlibat bukan lagi ikan bilis
tapi banyak jerung besar
rasuahnya mencecah ratusan juta.
Sayang ajaran agama tidak mampu mencegahnya
hukuman selepas mati mungkin tidak lagi ditakuti
maka hukuman yang berat dan tindakan yang tegas
perlu dilakukan di dunia ini juga
supaya rasuah dapat dibanteras.
Kajang, April 2017
6.08.
HOSPITAL
Dahulu hospital tidak sesak
banyak bomoh tempat berubat
ramai orang kampung tidak ke hospital
kerana hospital jauh di kota.
Kini keadaan sudah berubah
hospital ada di mana-mana
orang kampung pun boleh ke doktor
tidak perlu lagi berjumpa bomoh.
Memang perubatan alternatif masih ada
bomoh masih berfungsi
perubatan Islam pun ada di mana-mana
tapi perubatan moden lebih diyakini.
Sayang hospital swasta sangat mahal
hospital kerajaan menjadi tumpuan
penuh sesak sepanjang hari
khidmatnya mesti selalu diperbaiki.
Kajang, Januari 2019.
6.09.
KAMPUNGKU
Kampungku jauh di hulu
tapi tidak lagi terpencil
sudah ada jalan raya
jadi penghubung
dengan pusat kota.
Kampungku sudah membangun
kemudahan asas sudah lengkap
tidak lagi mundur dan tertinggal.
Tapi penduduknyalah berkurangan
banyak anak muda berhijrah ke kota
mula-mula belajar, kemudian bekerja.
Kampungku jadi kampung orang tua
dengan sedikit anak muda yang tidak mahu bekerja
atau tidak berpeluang bekerja di kota.
Ini perubahan yang tidak dapat dielakkan
apabila kampung semakin maju
dalam era pembangunan.
Kajang. Jun 2017
6.10.
ORANG TUA DI DESA
Sepinya hidup orang tua di desa
ditinggalkan anak yang berhijrah ke kota
tinggal dia seorang diri
kerana pasangannya telah lama pergi.
Rindunya orang tua di desa
terhadap anak yang tinggal di kota
hanya pulang sebulan sekali
atau ketika hari raya.
Malangnya nasib orang tua di desa
hidup tanpa pembantu
makan minum diurus sendiri
sakit pening ditanggung sendiri.
Begitu sudah suratan nasibnya.
Kajang, April 2017.
7. MUHAMMAD ROIS RINALDI
BIODATA. Muhammad Rois Rinaldi, penyair kelahiran Banten 8 Mei 1988. Koordinator Nasional Gabungan Komunitas Sastra ASEAN (GAKSA) dan Presiden Lentera Sastra Indonesia (LSI). Bersastra sejak 1998. Tulisannya berupa puisi dan esai dimuat di berbagai media massa, baik lokal, Nasional, maupun beberapa media massa di beberapa negara Asia Tenggara. Karya-karyanya juga telah diterbitkan dalam bentuk buku, di antaranya Puisi Sepasang Angsa (Abatatsa, 2012); Terlepas (Pustaka Senja, 2015); esai Sastracyber: Makna dan Tanda (Esastera Enterprise, 2016); esai Koperasi dari Barat (Gaksa Enterprise, 2017), Pemanggungan Puisi; Panduan Praktis Baca Puisi (Gaksa Enterprise, 2018), dan Membaca Puisi-puisi Penyair Perempuan Asia Tenggara (Gaksa Enterprise, 2018). Rois menerima penghargaan Anugerah Utama Puisi Dunia (Numera, 2014) dan Anugerah Utama Penyair Alam Siber (E-SASTERA, 2015, 2016, dan 2017). Bukunya yang bertajuk Sastracyber: Makna dan Tanda menjadi buku terbaik terbitan Esastera Enterprise di Malaysia dalam kurun waktu 10 tahun (2006-2016). Ia dapat dihubungi melalui surel: rois.rinaldi.muhammad@gmail.com
PUISI
7.01. Kekasihku
7.02. Kemanusiaan
7.03. Para Pedagang
7.04. Pada Musim Kesekian Setelah Pelarian
7.05. Di Sekitar Tungku Yang Selalu Kau Nyalakan
7.06. Kegembiraan Kecil-kecilan
7.07. Hari Pertama Setelah Kekalahan
7.08. Setiap Anak Yang Terlahir
7.09. Alif Lam Ro
7.10. Fan…
7.1.
KEKASIHKU
Bom meledak lagi, Kekasihku. Kemarin pagi,
sepuluh jasad terlempar dari gereja.
Seorang pengantin wanita pingsan menimpa
tubuh pengantin pria yang koyak.
Seorang ayah meronta-ronta
ketika menemukan mayat gadis kecilnya
di bawah altar yang runtuh.
Orang-orang di dalam garis polisi
bertanya: “Kitab suci mana
yang mengajarkan cara meledakkan bom?”
Orang-orang di luar garis polisi bertanya:
“Keimanan mana yang membolehkan
pemusnahan terhadap manusia?”
Jauh dari gerbang gereja, di televisi,
koran, Facebook, Twitter, dan Instagram
tangisan itu diperdengarkan
dengan narasi pengantar yang berbeda-beda.
Orang-orang menyemburkan caci maki
atas nama duka kemanusiaan.
Orang-orang berdebat di kolom komentar
pada sebuah foto gereja yang porak-poranda
atas nama pertanyaan dan kebingungan.
Aku pada pertanyaan dan kebingungan itu
limbung. Suara manusia
adalah ledakan setelah ledakan.
Dunia manusia dan ledakan terlalu dekat.
Kekasihku,
waktu magrib orang-orang shalat
dibrondong peluru.
Perkampungan yang tenteram dan sunyi itu
tiba-tiba dipenuhi rintih dan pekik.
Seorang perempuan tua yang mengangkat
tubuh anak bujangnya, marah dan bertanya:
“Dari mana datangnya segerombolan lelaki
berompi tebal dan bertopeng kupluk itu?
Di mana mereka tinggal
dan apa gerangan agamanya?
Agama macam apa yang membiarkan
tangan umatnya membantai
orang-orang yang sedang menghadap Tuhan?”
Jasad jamaah yang bergelimpangan
tidak memberi jawaban.
Takkan mungkin memberi jawaban.
Jasad sang imam yang dicinta
terlentang menghadap langit.
Kedua tangan tengadah seperti sedang berdoa.
Matanya yang terbelalak seakan kecewa
menatap langit, di mana manusia
hidup di bawahnya
dalam rentetan drama permusuhan.
O selain rintih dan pekik itu
yang sungguh bersimbah adalah darah.
Sajadah bersimbah darah.
Pengimanan bersimbah darah.
Mimbar bersimbah darah.
Al-Qur’an bersimbah darah.
Lampu bersimbah darah.
Darah itu diantarkan televisi, koran,
Facebook, Twitter, dan Instagram.
Orang-orang yang jauh dari masjid
yang tidak punya garis darah
keturunan selain garis darah Adam
memuntahkan kutukan demi kutukan
lantaran kebiadaban
terhadap hak hidup manusia
tidak tahu harus dituntut
kepada siapa.
Kekasih, bicaralah kepadaku!
Bahasa manusia telah dikuasai senjata.
Jiwaku terlunta di antara tubuh-tubuh
yang telungkup,
tubuh-tubuh yang telentang,
tubuh-tubuh kaku yang koyak.
Dari kuil-kuil,
sesaat setelah ritual peribadatan berakhir
suara keabadian ras dan kedigjayaan
didengungkan atas nama suku dan etnis
sebagai seruan suci.
Orang-orang yang lain warna kulitnya,
yang berbeda agamanya
yang tidak segaris turunannya
adalah ancaman bagi
halusinasi keabadiaan dan kedigjayaan itu.
Mereka tidak rela menjadi kaum
yang musnah karena keyakinan
orang-orang di masa depan berpindah.
Peluru menembus dada anak-anak
dalam dekap seorang ibu
yang mencari suaka.
Peluru menembus dada seorang ibu
yang mengecupi darah di kepala anaknya.
Peluru dari senjata tentara
yang direstui raja dan kuil
meledak di dada juga kepala siapa saja.
Orang-orang lemah,
beratus ribu orang lemah
terombang-ambing di laut lepas.
Negara-negara yang konon mencintai
kemanusiaan, menolak manusia-
manusia tidak berdaya atas nama
keamanan negara.
O anak Adam yang lalai.
O zaman yang kehilangan rahim Hawa.
Dunia dikepung duka dan amarah.
Tabiat daratan manusia.
Abad-abad kegelapan.
Abad kalut dirundung kegilaan.
Kekasihku.
Kekasihku.
Akalku meledak!
Sukmaku meledak!
2018.
7.02.
KEMANUSIAAN
… yang didengungkan
orang-orang terlambat baligh
adalah kemanusiaan kembang gula,
mudah lenyap dimakan angin. Kenyataan
disamarkan oleh lidah orang ngamprah
sementara kepalsuan adalah kenyataan
yang dibuat-buat.
Semua di tangan orang-orang terlambat
baligh, bermula dari permaian
berakhir untuk sebuah permainan.
Kemanusiaan pada orang dewasa
adalah kemanusiaan bawah pusar.
Birahi adalah tuhan bagi cita-cita.
Genosida adalah pembuat bunga
berdarah yang jadi hiasan pada meja
pertemuan para panglima.
Kejahatan perang hanya parodi
heroism gagal yang diberi tepuk tangan.
Setelahnya, orang-orang tinggal memilih
tertawa atau menangis di depan televisi.
Keduanya, sama tidak berguna.
Kemanusiaan dari mulut para penjahat
selalu berhasil dibicarakan dengan
bahasa surga, tanpa dapat dibantah!
Kisah-kisah diubah dengan mudah.
Kebenaran jadi berita simpang siur
yang diragukan orang-orang cerdas,
dipungkiri buku-buku.
Kematian anak-anak dan para perempuan
di bawah kibaran bendera itu?
Sama seperti lenyapnya jutaan nyawa
dalam perang-perang barbar.
Kemanusiaan pada parade kemanusiaan
para penjahat
berarti hak mengangkat senjata.
Bahasa sejarah berbicara
dalam lembaran koran yang setiap harinya
terbit jutaan eksemplar.
Tangan-tangan yang gemar mengangkat
gelas cocktail, menulis risalah
untuk setiap manusia di masa depan,
di mana kemanusiaan berbatas hitungan
untung rugi perdagangan manusia
di pasar manusia.
Kelak, atas nama kemanusiaan
gas beracun dan nulir
menjadi aroma terakhir yang dihirup
seluruh penghuni bumi.
Karena para petinggi negara dunia
terlalu lama duduk satu meja
dalam hidangan makan malam
penuh basa-basi.
Semua yang berbusa-busa bernegosiasi
tentang hak hidup dan kemerdekaan
akhirnya selalu rela menonton
jutaan tubuh hancur dalam hitungan detik.
Dunia menangis atau tertawa.
Orang-orang mengirim doa kabung
sambil swafoto dan sendawa.
2018.
7.03.
PARA PEDAGANG
Bukan.
Ini bukan soal agama, Tuan-tuan.
Peperangan datang dari pasar
agama hanya semacam minyak
para pedagang menyalakan api.
Bukan. Bukan batas negara
menjadi dalang dari sekian ratus juta
nyawa yang melayang itu.
Batas negara menjaga nyawa
di pasar, nyawa hanya makanan murah.
Tuan-tuan tentu mengerti
kematian menjadi sumber keuntungan
dan permusuhan adalah jalan
yang harus diciptakan terus-menerus.
Bukan. Pedagang bukan itu
yang tampak di permukaan itu
— yang melayani Tuan-tuan
dengan senyum dan sedikit senda gurau:
mereka hanya orang suruhan.
Para pedagang menyamar
sebagai para pembeli yang kelewat antusias
berani bayar mahal
untuk setiap barang dagangan.
Di antara kerumunan pembeli
mereka menciptakan mitos
lalu orang-orang dijebak
dalam tawar-menawar yang alot.
Mereka pergi ketika para pembeli
berebut barang dagangan.
Tuan-tuan,
bukan kewarganegaraan Tuan-tuan
atau kewarganegaraan saya
yang melahirkan ketegangan
dalam kepung bisik nasionalisme itu.
Para pedagang selalu berbicara
harga, sementara manusia
tidak dapat diberi label dan bandrol.
Karena itulah, mereka selalu mengingatkan
harga tanah, samudera, dan udara.
Mereka yang tidak pernah jauh dari narasi
ego kebangsaan mengembuskan angin
kedaulatan, mengajari kita mengokang senjata.
Tuan-tuan, omong kosong
tentang ras dan suku abadi di bumi
yang digadang-gadang
adalah omong kosong yang membuat
orang-orang kulit putih membantai
orang-orang berkulit hitam.
Suku Indian, suku tuan tanah
Paman Sam itu.
Para pedagang, kini, makin banyak
dan pasar terus dibangun.
Mereka menebar omong kosong
yang sama dengan wajah yang berbeda.
Karena di dalam perdagangan,
kemasan harus terus diperbarui
dibuat berbeda, dan menarik
agar tetap laku,
meski isinya itu dan itu juga.
Para pedagang itu
meletakkan senjata di perbatasan
melahirkan peperangan
demi langgengnya keuntungan.
Ketika korban bertumbangan
mereka datang sebagai yang paling berduka.
Kepada orang-orang yang menangis
dan marah, mereka berkata:
“Darah harus dibayar dengan darah!”
negeri-negeri dihubungkan
dengan potongan tangan dan kepala.
Duka
dikemas dalam sejuta iklan!
Indonesia, 2016.
7.04.
PADA MUSIM KESEKIAN SETELAH PELARIAN
Pada sebuah buku bersampul cokelat di pojokan
kamar, pada rak kayu tua, aku menemukan diriku
sendiri sedang telungkup, menulis prosa
di kertas buram yang ku kumpulkan setiap usai
ujian akhir sekolah.
Diriku yang menatap
dinding kamar tanpa jendela
menatap sarang
laba-laba pada lemari jati tua peninggalan Belanda
sebelum tertidur tanpa memastikan
lelap pada jam dan menit ke berapa, detik ke berapa.
Prosa yang cengeng itu, kini telah dimakan rayap
di dalam lobang plafon, di kamar nenek.
Aku ketika itu sebenarnya bosan menulis
begitu banyak kalimat, berlembar-lembar
hanya untuk dibuang ke lobang plafon
atau karena nasib sedang sedikit lebih baik,
prosa itu kubakar di tungku, setiap akan masak air.
Tetapi aku butuh teman, atau setidaknya musuh
yang sepadan untuk memiliki dunia yang sama
sebagaimana anak-anak.
Menangkap burung,
mencari jangkrik, atau main kelereng.
Buku itu menyimpan begitu banyak nama.
Aku lupa mengapa aku mencatat nama-nama
dalam lingkaran dan kotak yang berbeda-beda.
Ada beberapa nama ditandai dengan spidol
dan aku tetap tidak ingat mengapa.
Beberapa gambar yang buruk pada halaman lain
masih dapat kuraba sebabnya, tapi samar
dan menimbulkan efek agak pedih di dada.
II
Di depan pintu dapur, aku melihat sepasang kaki
kecilku, menjuntai-juntai.
Mataku menatap ibu
yang sedang memberi makan puluhan ayam
dan beberap bebek uwos.
Lalu kakak-kakakku
juga adik-adikku berdesakan ikut duduk di depan
pintu.
Tubuh anak-anak kecil memang kecil
pintu dapur yang tak seberapa lebar
cukup untuk anak-anak ibu duduk menghadap
kandang, menanti ibu kembali dengan beberapa buah
jambu di tangannya.
Ia petik dari pohon yang entah
mengapa tumbuh begitu saja di sisi kandang.
Di dapur, ibu selalu masak besar.
Anak-anak ibu yang belasan jumlahnya tidak
mungkin dimasakkan satu liter beras.
Dapur sepi ini, dapur yang sangat ceriwis.
Termos, dangdang, dingklik, dan tungku
bercerita banyak hal, yang kuingat dan kulupa.
Ibu pernah berkata kepada adik bungsuku:
“Kalau kamu besar, kamu harus temani ibu.
Kakak-kakakmu pasti sibuk. Mereka
akan meninggalkan rumah, hidup sendiri-sendiri.”
Adik bungsuku telah meninggal
beberapa tahun lalu.
Adik pengais bungsu
juga sudah meninggal beberapa tahun lalu.
Ibu di dapur, kata tetanggaku, sering
membayangkan, aku, adik-adikku
dan kakak-kakakku masih ada di rumah.
Pada lembedang, kutemukan bedil-bedilan
yang kubuat dari kayu, sewaktu dulu.
Ibu masih menyimpannya dan akan terus
menyimpan setiap hal yang pernah kami buat.
Tetapi ibu ini waktu tidak ada di dapur.
III
Kitab-kitab kuning di ruang el, sebuah ruang
berbentuk “L”, adalah yang sangat akrab
dengan tangan dan suara abah.
Tangan yang tabah
itu, adalah tangan yang dahulu selalu meraih
tubuh kecilku.
Aku yang jarang mandi dan korengan
tidak pernah membuatnya malu.
Abah yang terpandang, dari keluarga kalangan
bernama, tidak pernah memaksaku
menjadi sedikit lebih rapi dan tampan.
Karena aku
anak yang ia jaga tanpa syarat dan ketentuan
dan Abah memang seperti kaum Brahmana
yang memilih menjadi bagian dari kaum Sudra.
Katanya, kehormatan-kehormatan palsu
di tengah manusia, tidak layak dibanggakan.
Jadi kami sama tidak memiliki cita-cita
mengemas diri.
Waktu aku
yang sedang main tanah, berlari ke arah Abah
sebelum bus berangkat ke Jakarta
menjemput orang pulang haji, kata Abah,
Abah tidak meninggalkanku.
Tangannya
yang selalu berhasil membuatku merasa aman
meraihku.
Tubuhku bersandar di dada Abah.
Beberapa saat kupandangi wajah kota
dari balik kaca jendela bus, sebelum akhirnya
aku tidur dibersamai degup jantung Abah.
Kitab-kitab kuning itu, kini teronggok
sebagai yang berbicara sendiri kepadaku.
Di el tidak ada suara Abah.
Padahal ini bukan
musim tanam atau musim panen.
Kata ibu
dahulu, musim di antara musim tanam
dan musim panen adalah musim “antare”.
Musim antare begini, di jam pagi begini
Abah mestinya ada di rumah, di ruang el,
membaca kitab kuning.
Tetapi suara tipisnya
belum juga kudengar.
Jendela gaya lama
terbuka, gordeng hijau yang lusuh
seperti tangan-tangan masa lalu
yang melambai-lambai kepadaku.
Tetapi aku
tidak mau diajak berjalan terlalu jauh.
Dadaku
tidak sanggup lagi menampung catatan
tentang setiap hal yang telah hilang.
IV
Di kamar, mataku kembali kepada buku
bersampul cokelat.
Di luar buku, dunia
terus bergerak sebagai masa kini dan masa depan
sementara masa lalu mengambang
sebagai yang tak berjarak dari napasku.
Semua berdatangan. Semua berlaluan.
Semua berkakuan. Semua bertumbangan.
Sesekali dunia utuh. Sesekali dunia hancur.
Dunia utuh dan dunia hancur
bertopangan seperti dua singa laut lapar
yang saling mengunyah.
Oh aku lupa, kapan aku meninggalkan
kebiasaan berlama-lama duduk di pintu dapur.
Bahaya sekali, tiba-tiba aku merasa ingin
kembali menjadi anak kecil.
Kenakalan yang lugu, ketakutan-ketakutan
yang manja, mimpi-mimpi mungil,
dan kebahagiaan-kebahagiaan
yang sederhana itu berlarian ke muka buku
berlompatan di kepalaku.
Menjadi kata-kata
yang janggal.
Menjadi kalimat
yang gagal disusun. Menemui kenyataan.
Meninggalkan kenyataan.
Tanda baca
dan tanda kabung, sama menggantung.
Apa yang semestinya kuhapus?
Buku yang telah ditutup dan ditinggalkan
ratusan musim itu, hanya museum sepi
yang cerewet mengisahkan yang tak perlu.
Dunia di luar buku, ganas dan tak punya hati.
Ini usia bertengger dan meninggi.
Memang tak perlu diharu-biru
tapi tetap saja ada yang ingin kukatakan.
Ibu dan Abah, kemana pergi pagi begini?
Banten, 2014.
7.05.
DI SEKITAR TUNGKU YANG SELALU KAU NYALAKAN
Tungku itu masih menyala seperti tiga puluh tahun lalu.
Membersamaimu memasak untuk makan sehari-hari.
Sesekali tungku itu lebih sibuk ketika hajatan
kumpul bersama anak cucu, atau perayaan-perayaan.
Kesetiaanmu itu telah dimulai sejak dinikahi Abah.
Sejak keinginan-keinginanmu dicukupkan di situ.
Sebuah rutinitas hidup yang menjemukan.
Bangun subuh sekali untuk menyalakan api,
meletakkan dangdang, memasak apa saja yang ada.
Di situ kau menetap, dari suatu hari ke hari yang lain.
Dari kelahiran anak pertama ke kelahiran yang lain.
Dari kebersamaan kepada perpisahan-perpisahan.
Dari menimang kedatangan dan melepas kepergian.
Suatu ketika kelak, tungku itu akan kehilangan api.
Mencari tanganmu, mencari napasmu
yang mengalir agak kasar melalui lubang semprong.
Sebuah dapur mungkin akan terus dikunjungi
oleh setiap yang pernah melahap masakanmu
di dekat tungku atau sedikit menjauh di depan pintu.
Sebab kitab-kitab ketabahanmu tersembunyi
pada abu dingin dari kayu yang tak keburu seutuhnya
terbakar.
Semua akan mencari jejak sabda
yang senantiasa kau ucapkan dengan bahasa diam.
Memeriksa getar bunyi pada sunyi rongga dangdang.
Kau yang telah khatam memaknai garis tangan,
mengerti bahwa bukan dari tungku galur nasib
tak berjarak di situ, tapi dari keralaanmu
memenjarakan diri dari godaan jalan ke dunia luar
seumur hidup.
Karena kau seorang ibu
dan menjadi seorang ibu bagimu adalah bersedia
menjaga tungku, menjadikan tubuhmu
sebagi satu-satunya alamat pulang anak-anakmu.
Sekali waktu, kau memang terkejut dan tertegun
menatap nyala api yang semakin kecil
dan beras pada dangdang yang semakin sedikit.
Anak-anakmu telah lama meninggalkan rumah,
tapi kau tetap memilih bersetia di situ,
menanti mereka kembali kepadamu,
di sekitar tungku itu.
7.06.
KEGEMBIRAAN KECIL-KECILAN
Detik, jam, hari, minggu, bulan, dan tahun-tahun
hanya ilusi yang disepakati
agar saya dan Anda dapat sedikit bergembira
karena merasa hidup untuk waktu lama.
Kita telah menghitungnya puluhan tahun.
Membuat pesta setiap tanggal kelahiran.
Seolah kita suka pada kelebat bayang tangan maut
mendekat dan menyambutnya
dengan lagu dangdut dengan sedikit sentuhan blues.
Anda pasti mengerti, sebuah lilin dinyalakan
untuk ditiup. Kita bertepuk tangan untuk itu.
Sebuah prilaku aneh yang kita nikmati.
Atau tabiat manusia memang begitu?
Kita yang makan setiap hari, berak setiap hari.
Karenanya, saya, Anda, dan semua orang
suka sekali mengadakan perayaan.
Api yang lekas dipadam setelah doa seremonial itu.
Kue yang dibagikan kepada orang-orang tercinta.
Semua adalah yang sengaja dibuat sebagai alasan
tak masuk akal untuk sejenak berpaling
dari kenyataan bahwa di jagat manusia ini
tak ada yang sungguh sempurna dan kekal.
Tetapi itu menjadi masuk akal ketika kita
sepakat bahwa kita mesti selalu menciptakan
kegembiraan kecil-kecilan
karena kita hanya makhluk kecil di bumi.
Mempercayai ketidakkekalan memang menyakitkan.
Jutaan lagu dan puisi asmara sering sekali
menggunakan kata “kekal” untuk menghibur diri saja.
Karena mereka sendiri tak meyakininya.
Orang-orang yang jatuh cinta takkan mampu
menerima hari perpisahan penolakan, atau, oh
tangan terulur yang sama sekali tak disambut itu.
Tetapi kesukaan, kehendak, dan harapan
semacam boneka kucing yang kita peluk
menjelang tidur kita yang tidak ada apa-apa.
Saya juga Anda telah lama membersamainya
dengan baik.
Suka atau tidak suka, banyak
orang yang melakukan apa yang kita lakukan.
Orang-orang yang telah begitu lama hilang.
Orang-orang tinggal nama pada sebuah kubur.
Beberapa nama memang masih dikisahkan
dengan bunga-bunga yang, kadang aneh.
Selebihnya, dilupakan sebagai yang pernah ada.
Saya, Anda, dan semua manusia
di antara manusia sama sekali tidak istimewa
sekalipun manusia diciptakan
sebagai makhluk istimewa
— itupun karena kita meyakininya.
Jadi, Anda dan saya, tidak perlu ikut-ikutan
punya cita-cita dicatat di buku sejarah.
Kita pada waktu hidup yang tidak seberapa ini
harus memisahkan diri dari golongan
orang-orang menderita
meski kita sama-sama menciptakan
kebahagiaan kecil-kecilan sebagi makhluk kecil
yang akan segera dilupakan.
Jurong Bird Park, 2017.
7.07.
HARI PERTAMA SETELAH KEKALAHAN
…akhirnya aku kembali menyaksikan manusia
berbicara dengan nada rendah.
Langit gelap berpendar pias dan udara
seperti wajah perawan dipinang perjaka.
Dingin mengumpar
di pucuk-pucuk daun itu mengabarkan,
angkara telah padam. Manusia kembali kepada suara
batin yang murni.
Tidak ada yang memiliki apa-apa. Tidak ada lagi
yang layak dipertengkarkan.
Tubuh para lelaki yang gigil di kemah berdekapan.
Mereka memandang hutan diaromai kabut
yang murung lalu mengingat hari-hari berat
ketika mereka meyakini kekerasan
sebagai jalan untuk mempertahankan hidup.
Seorang dari mereka berkata: “Sudah begitu lama
aku menanti hari kekalahan ini tiba!”
Gagak, srigala, katak, dan jangkrik bersuara
seperti orkestra yang dimainkan seratus malaikat.
Perbukitan menguping percakapan
dalam sunyi.
Kenyataan di antara nyala kayu
yang ditatap perempuan-perempuan tanpa bedak
dan gincu itu adalah tangis bayi yang terlepas
dari gua garba.
Anak-anak tidak berduka.
Tanpa televisi,
telepon genggam dan game online, mereka melihat dunia
begitu menyenangkan.
Bukit Palem, 2016.
7.08.
SETIAP ANAK YANG TERLAHIR
Anak-anak yang terlahir, tumbuh
dan memilih hidupnya sendiri
adalah anak-anak
yang pada akhirnya merindukan kehangatan
rahim seorang ibu.
Dalam kedewasaan
hidup adalah sekumpulan kode rumit
berjungkalan dan bertindihan.
Semua yang dilahirkan
senantiasa mendamba suatu ketika
yang tak sama sekali
menginginkan apa-apa
semua yang lahir ingin menemui lagi
diri yang tidak ada apa-apa.
Tetapi setiap anak yang pada mulanya
tak pernah punya rencana
meninggalkan ketenteraman dekap ibu
ditakdirkan menjadi pengelana
takkan memiliki kesempatan
untuk sungguh-sungguh kembali
kepada setiap hal
yang telah ditinggalkan.
Cilegon, 2018
7.09.
ALIF LAM RO
: Sebuah rahasia teruntuk adikku, Jamil Abdul Aziz
Alif Lam Ro.
Aku membaca rahasia dan menemukan rahasia.
Ketika yang kasat mata jadi tiada nilai
dan yang tampak tiada, begitu dekat dari penglihatan.
Sekian detik jarak dari hitungan makhluk fana
yang bikin segala kehilangan
isi. Itulah sebab, kekacauan tidak bisa dihentikan.
Bumi maha bisu ini melahirkan manusia
dengan suara yang enggan diam.
Manusia terus bicara, tapi tidak ada
yang sungguh-sungguh diperdengarkan,
sedangkan orang-orang mendengar dalam ketulian
yang sempurna.
Alif Lam Ro.
Aku membaca rahasia dan menemukan rahasia.
Di antara suara-suara kacau kebenaran jadi bau.
Setiap mulut yang menganga
mengantarkan berita bohong dan teror ke udara.
Pancaroba! Di mana-mana musim pancaroba!
Itulah mengapa pendengaran kita penuh angin
juga khayalan.
Manusia
berkerumun untuk bertarung di segala tanah.
Dan bumi ini telah dialpakan dari intinya demi hela
napas yang terarah pada kekosongan.
Alif Lam Ro.
Aku membaca rahasia dan menemukan rahasia.
1436 H.
7.10.
FAN…
Cerdas cermat hanya milik anak sekolah dasar, Fan.
Kebenaran dan kesalahan
yang tak menjadi apa-apa itu.
Selebihnya pengetahuan berjalan pada kepala
sebagai onggokan serabut.
Seorang penghafal teori-teori kebenaran
berkata, dunia diciptakan
bukan untuk perang buta.
Ia yang selalu kagum pada rangkaian kode rumit
dalam narasi pembuatan nuklir
hanya melihat cara tangan manusia bergerak.
Aku tak perlu berlebihan melibatkan perasaan
di antara klangenan masa silam
dan kontradiksi antara arah kata dan
tubuh manusia kini.
Kau tentu tahu, baiknya aku begitu.
Tetapi jika kau bertanya
lalu aku menjawab,
dapatkah kau percaya pada pengetahuanku?
Yang berjarak tetaplah berjarak sekalipun jarak
adalah ide yang gagal
pada setiap penjelmaannya.
Cilegon, 2018.
8. OUI SAL
BIODATA. Oui bin Sal atau nama pena Oui Sal, berkelulusan ijazah sarjana muda teknologi maklumat dari UNITEM dan Diploma Pengajian Melayu dari Maktab Perguruan Kota Bharu. Kini bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum di salah sebuah sekolah rendah di Tanah Merah. Minat menulis genre sastera pada tahun 1978 dalam pantun dan sajak serta tulisan kritikan sosial. Hasil tulisan pernah tersiar dalam Sinar Harian, Mingguan Malaysia, New Sabah Times, Majalah Pendidik, Pelita Bahasa, Dewan Sastera, dan Dewan Utusan.
PUISI
8.01. Ribut Pabuk
8.02. Pabila Cengkerek Berlagu Sendu
8.03. Hati Seredup Waktu
8.04. Hadirkan
8.05. Bukan Milikmu, Milikku
8.06. Alas
8.07. Nya
8.08. Aku Yang Berhormat
8.09. Pudar Sebuah Piala
8.10. Salam Gong Xi Fa Cai
8.01.
RIBUT PABUK
Engkau datang menjengah
semalam penuh makrifat meredah
menibai Pantai Timur dengan kerenah
membawa wacana ribut bertingkah.
Hadirmu membadai berserakah
menyelerakkan bencana tanah serendah
insan terluka alam terkedu pasrah
dalam rangkulan ribut menerjah.
Terburai jua segala kebesaran-Nya yang terserlah.
Tanah Merah, Kelantan.
8.02.
PABILA CENGKERIK BERLAGU SENDU
Tika cengkerik tega merentangi lesu
penuh pesona sayu sendu
minda ku masih berteleku
di bucu meja menyerkap rindu.
Jiwa nurani yang lara itu
kian berubah menjadi salju
dengan bidikan bicara padu
dan muntahan aksara jitu.
Memantulkan cahaya sisi
lenggokan gemalai inti
estetika diksi menghiasi diri
membentuk keasyikan sebuah puisi.
Tanah Merah, Kelantan, 13.1.2019.
8.03.
HATI SEREDUP WAKTU
Redup cuaca semesta membiru
redup nubari sendat membisu
wajah sugul dicucuk sembilu
panahan dewata meluncur sayu
wacana mendayu-dayu
di bucu sana menyusun kata seribu
rasa terkujur sudah dipagut rindu
lesu menjengah di puncak waktu
meninggal resah di sudut kalbu.
Tanah Merah, 14.1.2019.
8.04.
HADIRKAN
Hadirkanlah
dirimu dengan rupa
kepercayaan yang sebenar.
Hadirkanlah
dirimu dengan rupa
kebenaran yang sebenar.
Hadirkanlah
dirimu dengan rupa
pencahayaan yang sebenar.
Semoga kamu beroleh pencahayaan
ketaqwaan hidup di dunia akhirat
yang sebenar.
Tanah Merah, 15.1.2019.
8.05.
BUKAN MILIKMU, MILIKKU
Segala kemewahan, segala kekayaan
segala kemasyhuran, segala ketinggian pangkat
segala kedudukan, segala kebahagiaan
segala keegoan, segala kepentingan
segala kecantikan, segala keghairahan hidup
dan segalanya antara segala-galanya
bukan milikmu, milikku jua
semua hanya pinjaman semata
pasti akan dikembalikan semula
apabila takdir mengetuk pintu
memanggil namamu, namaku
menghadap-Nya.
Tanah Merah, 17.1.2019.
8.06.
ALAS
Hiba merimas
mencari emas
dalam kanvas
pasti tidak lemas
tiada lagi kandas
ataupun terbabas
rasa ngilu kebas
tanpa ditindas
menjadi malas
mohon belas
bahkan ia kini lebih berbalas
lebih tegas
lebih pantas
lebih deras.
Itulah suara yang beralas.
Tanah Merah, 20.1.2019.
8.07.
NYA
Semalam hari, ketika ini
aku bersujud pada hati
bertanya khabar kendiri
nas-nas kesihatan sepasti.
Hari ini, ketika ini
aku terus berseloka sepi
penyoalan di lubuk nubari
tentang kegembiraan semesti.
Esok hari, ketika ini
aku tidak mungkin nanti
mengulangi bicara lagi
seandainya Tuhan menyapa diri
untuk pergi kembali
ke tempat-Nya nanti.
Tanah Merah, 29.1.2019.
8.08.
AKU YANG BERHORMAT
Aku Yang Berhormat
dari rakyat
untuk rakyat
oleh rakyat
penuh khidmat
penuh semangat.
Aku Yang Berhormat
leraikan perkataan lapar kesumat
langkah nikmat untuk rakyat
bahagiakan yang lebih penat.
Aku Yang Berhormat
bekerja dalam cermat
jujur matlamat sepakat
tiada lagi rasuah tenat
selesai masalah tersumbat.
Aku Yang Berhormat
andai suatu saat
rakyat sudah hilang minat
aku rela berundur cepat
kembali hak kepada rakyat
kerana aku asal dari rakyat
untuk rakyat, oleh rakyat.
Tanah Merah, 2.1.2019.
8.09.
PUDAR SEBUAH PIALA
Pudarnya sebuah piala
dimamah dekad usia
yang mereput tiba
di balik puing-puing sela
penghidupan masa.
Berbekalkan keringat semesti
tersendat di sudut elegi
kemegahan replika kini
kian luntur tiada pekerti
tiada hikmah peri.
Warna-warna peterana dulu
mampu bertandang sendu
dibawa arus mengalir lesu
sugul mengukir coretan bisu
hanya menjadi santapan salju
buat pujangga yang merapu.
Tanah Merah, 3.2.2019.
8.10.
SALAM GONG XI FA CAI
Gemersik angin sepoi selembut bayu
dari pergunungan membisik syahdu
menerpa pipi di waktu salju
bunga mei mekar kelopak jitu
memberi salam perkhabaran musim baru.
Tetiba Tahun Baru Cina
tautan kasih seluruh keluarga
jauh dan dekat kembali bersama
wajah-wajah riang mula terasa
hilai-tawa jamuan mega penuh ceria.
Warna merah kaum tionghua
tanda tuah berkat mesra
pakaian merah trend idola
limau mandarin, kuih bakul kudapan raya
sampul merah dihulur buat kanak-kanak dan warga tua.
Gendang cina dipalu bertalu-talu
tarian singa pelengkap bicara waktu
penambah seri Tahun Baru Cina selalu
salam Gong Xi Fa Cai tetap padu
ungkapan warisan generasi anak cucu
sepastinya bunga mei harus pacu
menguntum mekar tanpa layu.
Tanah Merah, Kelantan, 4.2.2019.
9. PHAOSAN JEHWAE
BIODATA. Phaosan Jehwae ATAU nama Melayunya Che Wan Fauzan Bin Che Wan Yusoff (lahir di PATTANI, Selatan Thai) adalah seorang ilmuan, seniman, dan sasterawan yang sangat aktif di Nusantara. Beliau juga menjadi pensyarah di Jabatan Pendidikan Bahasa Melayu, Universiti Fatoni, THAILAND. Selain menjadi pensyarah, beliau terkenal sebagai deklamtor puisi dan pejuang bahasa di Patani, Selatan Thai. Beliau juga aktif menulis dalam pelbagai bidang dan karya-karya beliau telah banyak diterbitkan dipelbagai Negara di Asia Tenggara. PENDIDIKAN.Beliau pernah belajar Ijazah pertama dan Ijazah Sarjana di Universitas Islam Negeri Sunan Kalijaga,Yogyakarta, Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta dan Universitas Negeri Jakarta. Peringkat Ijazah Ph.D diperoleh daripada Universiti Brunei Darussalam. ALAMAT SURAT MENYURAT. ASST. PROF. DR. PHAOSAN JEHWAE, Jabatan Pendidikan Bahasa Melayu, Universiti Fatoni (Fatoni University), P.O.Box 142, Muang Yala, Changwad Yala, S. Thailand 95000. No. Tel: +66-937816677. E-mel: fazdany@hotmail.com
PUISI
9.01. Aku Tak Malu
9.02. Kerana Duit
9.03. Kerana Jawatan
9.04. Lima Hari Empat Malam
9.05. Marhaban Ya Ramadan
9.06. Pasar Malam
9.07. Pertemuan
9.08. Siapa Kata
9.09. Tadika
9.10. Wahai Penakut
9.01.
AKU TAK MALU
Aku tak malu
bila ku tak bisa
menulis dan membaca bahasa mereka
aku tak terhina sedikitpun
bila ku tak bijak bertutur bahasa mereka
tapi aku sangat malu
bila ku tak dapat
menulis dan membaca bahasa ibu bapaku
aku amat terhina.
Aku amat terhina
bila aku tak boleh menutur bahasaku sendiri.
Patani, 24/3/2018.
9.02.
KERANA DUIT
Kerana duit, bom meletus
demi kuasa, rakyat dibunuh
kerana politik, jelata sengsara.
Demi bajet, nyawa melayang
siapa yang untung, siapa yang derita
kedamaian dongeng, menyedap mimpi
tanah pusaka, terus menyala, api pemusuhan
rakyat jelatalah, umpan mangsa.
Demi duit, kerana bajet
membentengi politik, mempertahankan kuasa
damai keamanan, hanya sendiwara belaka.
Pattani, 16/2/2019.
9.03.
KERANA JAWATAN
Kerana sebuah jawatan
manusia jadi binatang
perilaku seperti syaitan
bunuh mereka yang menentang
bakar rumah yang melawan.
Politik Melayu sungguh jalang
tiada belas dan ihsan
bila pemilihan berulang
ramai mati bergelimpangan
rakyat kecillah yang malang.
Sampai bila dan kapan
tanah pertiwi akan senang.
Mari kita mencari jalan
kembalikan negeri gemilang
hidup dalam kedamaian
riang dan cemerlang.
2/5/2018.
9.04.
LIMA HARI EMPAT MALAM
Lima hari empat malam
kita bersama suka dan ketawa
24 jam kita satu bumbung
makan dan minum satu menu
terkadang kau menangis
kerana rindu ayah ibu di rumah
terkadang kau berselisih
bersama kawan-kawan baru
terkadang kau marahku
kerana selalu memaksamu.
Kau selalu mengeluh
tidur tak cukup
kau harus bangun pagi
kau harus berada dalam dewan
tapi kau tak menyadari
kebersamaan kita
telah menumbuh cinta
dan kasih sayang bersama.
Selama lima hari itu
kau telah banyak tahu
tahu baca puisi
tahu berlakon drama
tahu berpidato
ahu bahasa dan sastera.
Pada hari terakhir
ku melihat air mata kebahagiaan menitis
dan jatuh di tanah-tanah gersang.
Semoga pertemuan kali ini
bukan kali terakhir
hidup atau mati
bahasa Melayu kita
di genggaman kalian semua.
Selamat berpisah, adikku
teruskan cita-cita muliamu
kegemilangan sedang menunggumu.
2/5/2018.
9.05.
MARHABAN YA RAMADAN
Marhaban ya Ramadan
marhaban ya Ramadan
bulan suci penuh harapan
magfirah dan keampunan
membuka pintu-pintu pahala
membersihkan segala dosa.
Setiap saat dan masa
ku menanti hadirmu tiba
Ramadan oh Ramadan
menghantar pesona gemilang
penuh hikmah dan barakah
amal perbuatan dilipatgandakan.
Bulan yang dirindui manusia
ya Allah, ya Tuhanku
aku memohon belas
aku menadah kasih
semoga air keampunan
mengalir hapuskan dosaku
kembali aku ke fitrah-Mu.
Ku merayu pada-Mu
semoga ku bersamamu lagi
di tahun hadapan.
Patani, 2/5/2018.
9.06.
PASAR MALAM
Pasar malam nampak renggang
tiada yang datang
ramai yang mengeluh
penjual dan pembeli.
Ekonomi sedang jatuh
harga barang mahal
sekerap sangatlah murah
susunya sakit dan kering
udara sangatlah panas.
Rakyat menjadi susah
biaya makan payah
hidup mereka gelisah
air mata senantiasa basah
rata-rata penoreh getah.
Patani, 2/5/2018.
9.07.
PERTEMUAN
Pertemuan ini
sebuah anugerah agung
terpencar di wajah-wajah
putera puteri bangsa
membungakan harapan
membuahkan kenyataan
memupuk kasih
bahasa dan sastera kita.
Masih ramai lagi anak bangsa
menaruh cinta bahasa dan sastera
cuma mereka tiada pentunjuk
bagaimana melihat kehebatan
warisan bangsa Melayu kita.
Patani, 5/2/2018.
9.08.
SIAPA KATA
Siapa kata
bahasa kita
bahasa kelas dua
ditutur orang desa.
Selusurilah fakta
beribu tahun lama
bahasa kita berjaya
menjuarai dunia
ditutur bangsa Cina
Arab, Eropah, dan India.
Bahasa kita
menjadi bahasa utama
dalam berniaga
pelbagai suku negara
di bumi Nusantara.
Bahasa kita
mudah dibicara
lunak dan selesa
digemari semua.
Bahasa kita
menjadi wahana
dakwah agama
di seluruh benua.
Bahasa kita
seindah rupa
semolek nama
segagah kata
seharum bunyinya.
Patani, 2/2/2019.
9.09.
TADIKA
Tadika sebuah institusi
mendidik budi pekerti
menjadi insan insani
yang berdikari
dan berjati diri
Islam teguh di hati
bahasa dilestari
budaya dihayati.
Tadika tak kan mati
selagi kita sepakati
mengantar anak mengaji
di sekolah tadika ini.
Tapi Tadika hari ini
tergadai jati diri
sejak duit diberi
keikhlasan berlari
berbalah sama sendiri
merebut ingin menjadi
cikgu tiada tragedi
mengajar mengajari
sampai rendah kualiti.
Tadika hilang jati diri
Islam hilang di hati
bahasa ibunda diludahi
budaya bangsa dicemuhi.
Tadika yang kita sayangi
Sedang lemas, hampir mati.
Pattani, 1/2/2019.
9.10.
WAHAI PENAKUT
Wahai para penakut
bangunlah dari selimutmu
sesungguhnya dirimu
dalam kerugian amat besar
mengiya-iyakan masa mudamu
dengan maksiat dan dosa
membiarkan dirimu
dirasuk dadah jahanam.
Dadah itu kencing syaitan
menggilakan akal fikiran
merusakkan tubuh badan
memusnahkan harta benda
menghancurkan masyarakat bahagia.
Mengapa kau masih berselimut
tidur dalam selukan dosa
tanpa menyedari kerugian
yang telah kau jalani.
Bangunlah, bangkitlah semula
mohon ampun dan taubat
tinggalkan kain selimutmu
kau akan merasakan rahmat
nikmat kebahagiaan sejati.
Pattani, 17/2/2019.
10. YAJUK
BIODATA. Nama sebenar penulis ialah Yusoff bin Abdollah. Nama Pena: Yajuk. Email: yusoffbj54@gmail.com. Tarikh lahir: 16 Mac 1954. Alamat: Kg. Bukit Jering, 17610 Kuala Balah, Jeli, Kelantan. Pendidikan: Sek. Kebangsaan Bukit Jering (1961-1966); Sek. Agama Maahad Muhammadi, Kota Bharu (1967-1981); dan Maktab Perguruan Sri Pinang, Pulau Pinang (1975/1976). Menulis karya kreatif, khasnya sajak, di laman http://www.esastera2u.com bermula 2008. Penulis menang beberapa anugerah di majlis Hadiah eSastera.com (HesCom), iaitu Hadiah ke-2, Anugerah Penyair Alam Siber (APAS) di HesCom 2009 (Kuala Lumpur); Hadiah Pertama, Anugerah Haiku Melayu Alam Siber (AHMAS) di Hescom 2011 (Alor Setar); Hadiah ke-3, Anugerah Soneta Alam Siber (ASMAS) di HesCom 2011 (Alor Setar); Hadiah ke-2, Anugerah Penyair Alam Siber (APAS) di HesCom 2013 (Bali, Indonesia); Hadiah Sagu Hati, Anugerah Penyair Alam Siber (APAS) di HesCom 2014; Hadiah Pertama, Anugerah Travelog International di HesCom 2015; Hadiah ke-3, Anugerah Soneta Alam Siber (ASMAS) di HesCom 2015; Hadiah ke-2, Anugerah Rubaiyat Alam Siber di HesCom 2015; dan Hadiah ke-3, Anugerah Penyair Alam Siber (APAS) di HesCom 2015. Penulis juga telah menerbitkan karya berbentuk buku dalam pelbagai judul, iaitu antologi sajak: Musibah Gempa Padang (Esastera Enterprise, 2009); antologi soneta: Pepohon Perteduhan Cinta (Esastera Enterprise, 2011); kumpulan sajak: Sejalan Tak Sehaluan (Esastera Enterprise, 2012); antologi sajak: Ana (Esastera Enterprise, 2012); antologi sajak: E-Loka (Esastera Enterprise, 2012); antologi sajak: E-Loka II (Esastera Enterprise, 2013); antologi puisi: Koleksi Puisi (Balai Seni Visual Negara, 2012); kumpulan sajak: Menyulam Merdeka (Esastera Enterprise, 2014); kumpulan sajak: Suara Orang Terbuang (Kaukab, 2015); secatatan penulis, Esastera Kembara Bali (Esastera Enterprise, 2014); antologi puisi Sirah Rasulullah Dalam Puisi Siber (Esastera Enterprise, 2015); dan antologi sajak: Bahtera Peradaban (Peradaban, 2016).
PUISI
10.01. Tangan Puisi
10.02. Kita Terus Menari
10.03. Pelayar Malam
10.04. Tabir Malam
10.05. Kelekatu Lepas Hujan
10.06. Riak Cahaya Mentari Senja
10.07. Ribut
10.08. Ayam Sabung
10.09. Mabuk Secawan Kopi
10.10. Malaikat Sepi
10.01.
TANGAN PUISI
Tangan puisiku patah
dalam getar suara guruh
runtuh dari langit geruh.
Aku menulis puisi di hati
untuk diri
yang hanya dapat kubaca sendiri.
Titik-titik hujan menitis di pipi
pedih meresap ke hati
memaksaku menyepi
mematahkan tangan puisi.
Bukit Jering, Jeli, Kelantan, 26.01.2018.
10.02.
KITA TERUS MENARI
Kita menari saja
separuh gila
mengikut rentak
terus kita menari
biar koyak rabak
terbuai siul biola
terliuk gesekan gamelan
tak pernah kita berhenti
bertanya pada diri
apa sedang kita cari
apa sedang kita lalui
lalu kenapa kita terus menari
tak peduli semak dan duri
taman permainan telah bertukar wajah
hanya layak jadi taman safari.
Apakah ada pilihan?
Tanpa mengerti
kita terus menari.
Bukit Jering, Jeli, Kelantan, 6.12.2018.
10.03.
PELAYAR MALAM
Pelayar malam
menyongsong kegelapan
membaca gerak kerlipan bintang-bintang
biar gelombang merempuh buritan
kiri dan kanan tegal bertahan
harapan hanya pada Tuhan
cahaya iman tidak terpadam.
Pelayar malam
teroleng kemabukan
dilambung ombak rasa
meminum sarbat dan manisan
mutiara terdalam
kalam Tuhan.
Pelayar malam
sentiasa penasaran
menikmati kerlipan bintang-bintang
mengutip sir keagungan Tuhan
karam dalam af’al, sifat, dan zat yang Maha Esa
meruntuhkan segala maujud.
Pelayar malam
tidak pernah kewalahan
menyelusuri jalan tarikat
mentakrif hakikat
menjejak makrifat
melengkapkan syariat.
Pelayar malam
adalah diri
penjejak hakiki.
Bukit Jering, Jeli, Kelantan, 1.12.2018.
10.04.
TABIR MALAM
Kau pun pergi
setelah segalanya terhenti
hari-hari tidak lagi bermentari
cahayanya mati
kerana mata tidak lagi terbuka
menganyam warna
mekar hanya senyuman
bersama kenangan
masam manis
terkunci di hati
aku terus bermimpi.
Tabir malam memisahkan kita
aku terpenjara di teduh waktu
senja yang kehilangan pelangi
melatari mimpi
aku terdiam dalam rindu yang bisu
mencari mutmainnah dan reda
demi hidup yang hakiki
di alam abadi.
Tabir malam memisahkan kita
kau pergi untuk tidak kembali
aku terkurung dalam kegelapan
untuk berlari ke sana ke mari
tercari-cari hakikat diri
sambil menanti dijemput Ilahi.
*Alfatihah buat arwah isteriku, Ramlah Rashid, yang telah dijemput Ilahi pada 19.12.2012.
Bukit Jering, Jeli, Kelantan, 19.12.2018.
10.05.
KELEKATU LEPAS HUJAN
Kelekatu lepas hujan
berbondong meninggalkan sarang
mereput dan runtuh
dipenuhi selut dan lumpur.
Kelekatu tak mampu bertahan
di luar ada cahaya bersinar terang
kelekatu mencari-cari alasan untuk terbang.
Rumah agam tersergam indah
kaya dan mewah
lampu beraneka warna
memancarkan cahaya.
Kelekatu tak mampu menahan godaan
cahaya menyilaukan mata dan hati
terbang hinggap menumpang cerah
tak mengapa jika kepanasan
biar akhirnya terkapar rebah
mengaku kalah menggadai maruah.
Kelekatu tinggal gundah
kehilangan arah
sarang telah punah-ranah
tak mampu tegak bermaruah.
Bukit Jering, Jeli, Kelantan, 15.12.2018.
10.06.
RIAK CAHAYA MENTARI SENJA
Teroleng kolek diri
meniti resah ombak
di kala mentari makin condong
menyongsong cahaya senja
memutar tasbih diri
mengiringi debur dan zikir ombak
di pantai hati tak bertepi.
Terbangun aku
mencari bayangan diri
yang terhenti di bingkai malam
dalam diam dan sujud
dalam tafakkur dan doa
menyuluh waktu terasing
berteman Munkar dan Nakir
di waktu Malikil Maut menjemput pulang.
Hanyut aku dalam irama ombak
cahaya senja menari manja
ombak terus mengusap pantai
aku menanti dalam reda dan syukur.
Bukit Jering, Jeli, Kelantan, 19.11.2018.
10.07.
RIBUT
Ribut melanda tiba-tiba
bertimpa-timpa di hujung senja
meruntuhkan bumbung
menerbangkan atap
mewariskan kalut
memaksaku bergelut.
Aku kehilangan tempat berteduh
keletihan, basah, dan resah
menggigil dingin dalam ribut berpanjangan.
Pohon-pohon tumbang di jalanan
dahan patah bersimpang kalang
menyekat laluan kiri dan kanan.
Aku terkurung dalam kepayahan
ketakutan dan kebimbangan
tidak mampu untuk bangkit berdiri
sendiri melenyapkan ngeri
hanya bermunajat menanti
mengharap hari kembali bermentari
bumbung yang runtuh bertukar ganti.
Bukit Jering, Jeli, Kelantan, 10.02.2019.
10.08.
AYAM SABUNG
Fitrahnya ayam jantan
berkokok siang dan malam
apa lagi ayam sabung
tetap berkokok walau paruhnya pecah
dan tajinya patah
pantang dia memijak gelanggang
kokoknya menggegar awan
menundukkan ayam betina di reban.
Setiap malam taji yang patah diasap kemenyan
paruh yang pecah disembur pewangi
mahunya mengaburi mata
yang sememangnya buta
kerana disuap telur berjuta.
Tapi paruh dan taji tak mungkin dicantum kembali
paruh bersalut najis dan nanah
taji bergumpal benang basah
tak mungkin lagi tegak berdiri
di sana reban berkunci sedang menanti
dia tak mungkin lagi bebas berlari.
Ayam sabung
oh ayam sabung
berapa harganya
tanpa paruh dan taji.
Bukit Jering, Jeli, Kelantan, 6.02.2019.
10.09.
MABUK SECAWAN KOPI
Pahit dan manisnya
digilai tak terkecuali
putera dan puteri
raja dan permaisuri.
Menyesakkan nafas semua orang
umpama semut yang rela mati
merebutkan manis
lalu bermusuh sesama sendiri
memutuskan silaturrahim
memuntahkan api hasad dengki
membakar seluruh negeri.
Langit dipenuhi asap kelabu
secawan kopi menjadi lautan tak bertepi
dipenuhi ombak dan gelombang tinggi
pahit manisnya menjadi gula-gula yang memabukkan
menghadang perjalanan
memesongkan kiblat
tak terkecuali para ulama
pemilik berjuta kitab.
Bukit Jering, Jeli, Kelantan, 8.02.2019.
10.10.
MALAIKAT SEPI
Roh sepi di hati
menanti dan memerhati
dalam angkuh dan sombong
dialah yang tunduk malu
menghisab diri
menginsafi rupa diri
dalam kemabukan dan lalai
dialah yang sedar
mengirimkan cahaya di hati
untuk melihat diri yang hakiki
dia bagai kunang-kunang
menampakkan diri di malam hari.
Roh sepi
menanti di jalan kiri
mengingatkan diri
jangan terantuk terus berlari
tapi segera membersihkan hati
mencari reda Ilahi
kembali meniti siratulmustakim.
Bukit Jering, Jeli, Kelantan, 6.02.2019.
TAMAT.