#Terbuka kepada para penyumbang karya dalam antologi puisi SENASKHAH DIRI (Kuala Lumpur: eSastera Enterprise, 2020). Untuk antologi ini, setiap orang penulis diminta menyumbang tiga buah puisi karya asli sendiri yang belum pernah diterbitkan secara cetakan konvensional.
KANDUNGAN
(Setakat 24.02.2020)
5. Citranalis. (2)
6. Dahna (3).
7. Hamizun Shah. (2)
8. Harties. (3)
9. Ibnu Din Assingkiri (3)
10. Irwan Abu Bakar. (1)
12. Latty Latisa. (0)
13. Mahatilara (3)
15. MRT Nordin. (1)
17. Putraery Ussin. (3)
20. Wadiassofi Jaafar. (3)
24. Zainon Mohd Noor. (3)
25. Zarida Rasdi. (3)
SAS Citranalis

Diamante:
HARGAI KEHIDUPAN
Aman
berdamai, bertenang
menikmati, harga kebebasan
saling menghormati, menjauhi permusuhan
kekacauan, ketakutan, ugut
berlawan, berantak
perang.
Citranalis
25012020.
Sonian:
KENANGAN
Di celahan awan
sinar mentari
bersemarak
rinduku
Citranalis
25012020
Dahna

BIODATA. DAHNA, dengan nama sebenar Nik Dahna binti Megat, berasal dari Dungun, Terengganu. Penulisan puisi merupakan bidang yang sangat diminati selain dunia catan. Pernah menerbitkan beberapa buah antologi bersama dengan E-Sastera seperti Bulan Suram Di Langit Kashmir, Bukit Si Guntang Mahameru, Ana- Mengenang Brirasa, E-LOKA II, dan lain-lain. Bersama ASASI, sajak-sajaknya turut termuat di dalam beberapa buah antologi, iaitu Segenggam Tasbih, Merungkai Mimpi, Menyusuri Denai Rindu, dan sebagainya. Puisi-puisinya turut tersiar di akhbar perdana dan majalah keluaran Dewan Pustaka & Bahasa.
CERITERA HUJAN DI STESEN BAS DUNGUN
Ketika rindu dan sepi saling bergabung
mencipta bayang masa lalu
kusingkap ceritera hujan yang mengguyur
di stesen bas Dungun
ia menjadi hujan di hatiku , selama
hingga tiada istilah kemarau untuk sebuah ingatan
padamu ibu, padamu ayah.
Tiada ruang buat ayah ( ketika itu )
untuk turut bersama aku dan ibu
kereta tumpangan kecil dan sendat
lalu, ayah memilih untuk berbasikal
meredah gerimis hujan dari rusuk kampung
demi lambaian kasih saat berangkatnya
seorang anak ke daerah kembara di utara.
Di stesen, bas pun tiba
ibu melepasku dengan kesuma kasih
tanpa kelibat ayah yang belum terlihat.
Ketika bas hampir berangkat
ayah muncul dengan kuyup dan gigil
tanpa peduli hujan kami saling mendakap
sebentar, bas pun meninggalkan Dungun cintaku
semakin lama lambaian kami saling berbalam
dan sepasang sosok wali keramatku
larut di dalam hujan yang maha lebat.
Ketika rindu dan sepi saling berjabat
di waktu ini , tiadalah yang paling pilu
melainkan hujan itu yang menjadi asbab
dingin dan basahnya memalu jiwa
hingga pada setiap kali hujan lain hadir
menimpa maya pada dan apa saja
ia semakin menjelmakan sosok ayah dan ibu!
DAHNA.
JITRA/ FEB 2020.
SEBERKAS WAKTU
Jika diberi seberkas masa lalu
kumahu sempat berbuat
untuk setiap apa yang kuhasrat.
Sungguh, waktu semakin berlari jauh
meninggal siri-siri kelmarin
malah, ada yang tak terbuat.
Jika diberi seberkas waktu di hadapan
ku hanya mahu berkat di dalam berkat
di dalam setiap apa yang kubuat.
DAHNA.
JITRA/ FEB 2020.
SANG PEMIMPI
Mimpi sudah jenuh
membawa petanda
tak satu pun sampai
ke pintu firasat.
Siang pun menjelang
dengan tompokan warna
terang, kusam dan kelabu
untuk diteka.
Jalan masih panjang
simpang dan berliku
meninggal igau tanpa isyarat
pada sang pemimpi.
DAHNA.
JITRA/ FEB 2020.
Hamizun Shah

BIODATA.
SEBALIK SELIMUT
Ini fakir
pengutip cebis pengetahuan
pemungut perca pengalaman
melembarkan selimut kebijaksanaan
warna-warna impian perjalanan.
Satu subuh selimut terlucut
gelut rahsia membuka nyata
bungkusan bijaksana pesona sementara
bukan milik kekal
serba dungu sebalik tahu
apalagi pada belum tahu.
Ini fakir
mencantum setia menyulam rindu
selubung pengabdian.
hamizun syah
langgar, kedah.
SEMPURNAKAN ADAKU
Peringatan adaku
setiap ngeliur cinta terlukis
cuma cahaya seketika
waktu berangkat tersisa harapan.
Berpesan adaku
setiap sulit luka terungkit
hanya gelita sementara
saat pemergian terpendam impian.
Tegaskan adaku
akan ngeliur akan sulit
makna cinta sebalik luka
makna cahaya sebalik gelita
semangat penyerahan semusim usia
azimat pengertian tiada sangsi.
Sempurnakan adaku
berpulang seindah penghambaan.
hamizun syah.
langgar,kedah.
30hb.jan.2020.
INGINKU PADA-MU
Aku merendah
tujuh alat sujud tergantung rahsia mulia
(Mu)
menawarkan cinta agung
Aku tercengang
tertegak telunjuk saksi
teka-teki (Mu)
belum terjawab
Aku terkulai
menoleh salam akhir
rindu membelai sabar (Mu)
membersihkan jelaga akal
Rahsia teka-teki belaian(Mu)
cinta terjawab akal. Senyap. Tiada suara mengintai
ku jadi ingin pada(Mu)
sempurna akan seluruh punyaku
milik(Mu) semua
kuingin pada(Mu)
jangan terguris walau sehiris sangsi.
Hamizun Syah.
Langgar, Kedah.
Harties

BIODATA. Nama pena Harties. Nama sebenar Siti Esah Musa. Kelahiran Kuala Lipis Pahang. Telah menulis sejak tahun 80-an lagi di bawah bimbingan Tn. Hj. Rejab Ismail yang menerajui Persatuan Penulis Perlis atau 3P ketika itu. Telah menghasilkan lebih 20 buah antologi bersama. Masih bergiat aktif dalam beberapa persatuan penulis seperti Angkatan Sasterawan Perlis (AKSARA), Angkatan Sasterawan Kedah (ASASI), dan Persatuan Pemuisi Nasional (PEMUISI).
TIRIS
Setiap musim
silih berganti
musim kemarau
musim tengkujuh
dompetku selalu tiris.
Walau bukan kemarauku
walau bukan tengkujuhku
dompetku tetap tiris.
Pernah aku putuskan
silatulrahim dengan mereka
demi menjahit dompetku
namun hanya seketika
sebab musim mereka
yang tidak menentu
semakin carik dan rabaklah
dompetku
sebab semuanya adalah
kerana aku menjadi
kakak sulung mereka.
Karya
HARTIES
Alor Sena, Perlis.
MENCARI SIMPATI
Masa yang pergi
membawa sejarah
semua baikku
hilang dimamah lupa
semua empati yang pernah aku salutkan
pada duka mereka
hanyalah mencurah air ke daun keladi.
Dan waktu usia aku yang entah berapa ketika ini dapat melihat bulan dan bintang tidak dimanfaat.
tidak pernah mereka terkilan
melupakan empati.
Aku hanyalah
mencari simpati
yang telah hilang
dari maknawi mereka.
HARTIES
Alor Sena, Perlis
TERJEBAK KASIH
Tidur yang semalam
berbantal sayang bertilam kasih
dibuai dingin angin malam.
Sehingga tahajudku terlepas
fajar siddik sedang mengufuk.
Tersedu aku menginsaf subuh
sesal menggigit.
Karya
HARTIES
Alor Sena Perlis
Ibnu Din Assingkiri
BIODATA. xxxxx
KEGUSARAN SEBELUM MAKAN PAGI
Pinggan dan katleri riuh berkelahi
bingitnya menerjang kuping
menumbuk-numbuk gegendang
hingar tersesat dalam kitar labirin
gagal bertemu punca; jalan keluar.
Gumam bicara manusia tertewas
dek keterujaan ingin menggilir
sederet makan pagi Asia-Amerika
ke dalam benua selera terbesar,
ukurlilit berkembang; ikut usia.
Gugusan pulau penyaji hidangan
didiang api biru dari gel Sterno
hangat berkeringat menutupi isi
di kepalanya salad dan buah-buah
di ekornya nasi lemak; berminyak.
Pilihan kontradiksi hanya palsu
tergantung sendiri untuk melepa
roti dengan keju masin atau tawar
tetap berakhir melekat di jantung
tetapi sarapan penting; makanlah!
Siapakah yang berkuasa penuh
menentukan apa yang bakal masuk
ke dalam mulut dan akhirnya nanti
bertukar gizi ataupun penyakit-
dari tiga serangkai….
Ibnu Din Assingkiri
Marina Island Pangkor Resort, Lumut
23 Mac 2016
HADIAHKAN SAJAK BUAT PUISI
(Sempena hari puisi sedunia)
Bara garang menyala
ingin ikut sayembara
hilang seketika tatkala
keringat menjadi letupan
sebelum terpadam
menimpa api keinginan
yang makin mengecil…,
Kalut saat akhir tak mungkin
lahir anak sajak yang sihat
pagi-pagi ke hujung nusa
bersilat jurus pantun tradisi
dan terbang lagi ke selatan
mengisi atmosfera dunia hakiki.
Di kekunci telefon bimbit ini
menggigit-gigit bibir sendiri
apakah sajak tempahan akan
membolongkan jiwa penulis
atau menyejat rasa pembaca.
Bukankah hari puisi sedunia
telah menempah sebuah sajak
sekurang-kurangnya sebuah–
Sebagai hadiah kepada puisi
di hari ulangtahunnya hari ini.
Kalau kurang istimewa, maafkan
kerana lewat malam minggu-
kedai cenderahati sudah ditutup.
Ibnu Din Assingkiri
Bukit Tambun, Pulau Pinang
21 Mac 2015
SAJAK SKETSA DI KLINIK BERSATU
“Kelekuk kelekak,
kelekuk kelekak…”
galak suara terompah
budak Cina hiperaktif
mengatasi kelantangan
suara Melayu, Cina dan India
berbual menunggu giliran.
Biasan kemilau lampu
dari tengah kepala. Sebaris
lelaki Melayu, Cina dan India
menyambar mata. Mereka
melangut ke TV. Tersengih
kepada ulang tayang
Mr Bean yang ‘evergreen.’
Lelaki India masih 40’an
berbalut dari buku lali
kakinya dibungkus plastik,
lelaki Cina mengheret kaki
seberat sebongkah besi,
perut lelaki Melayu itu
hampir menyentuh dagu.
Ramai sungguh pelanggan
sarat muatan penyakit,
orang terlebih makan!
(‘Tak seperti pelarian Syria
jauh sekali pelarian Rohingya.)
— Untunglah Klinik Bersatu
bisnes bertambah maju.
Ibnu Din Assingkiri
Simpang Ampat, Pulau Pinang
25 Jun 2015
Irwan Abu Bakar

20:02:20 20.02.20
Kunanti penuh debar
saat kita akan ber-2
seperti telah dipadu janji
harinya Khamis, malam Jumaat
pada 20:02:20 20.02.20
janji kita akan diikat
doa kita akan dikabul
engkau dan aku, kita bersatu
dari 01-01 menjadi 02
dan menanti lahirnya dia
si 03.
-IRWAN ABU BAKAR.
Kuala Lumpur.
25.01.2020.
2.0.
xxxxx
Latty Latisa

xxxxx
xxxxx
Mahatilara
BIODATA. xxxxx
ANAK TIDAK BERBAJU
I
Tidak perlu kau berkata lagi
airmata terpenjara di kelopak matamu mencerita segala
bagai sebuah kitab usang dahagakan bahagia
tidak perlu aku membalik-balik lipatan usiamu
II
Tidak perlu kau berkata lagi
anak tidak berbaju kehilangan kasih ibu
siangnya terik matahari malamnya bulan sepi
tidurnya malam dingin yang panjang
sekais makan pagi selangkah senja melelapkan mata
anak tidak berbaju ada di mana-mana
malah terbaring di hadapan mata…
MAHATILARA
Langgar
Alor Setar Kedah.
KEBIASAAN YANG BIASA
Pak Mail seperti biasa taat pada waktu yang lima
terawal, seringkali terakhir ketika di masjid
kisahnya agak lumayan bermain di bibir
Pak Mail bukan sesiapa bekas tentera berusia senja
tidak kenal rasuah tidak tahu Sungai Buluh
tidak mahir puisi tidak pernah jejak Dewan seni
lI
Pak Mail seperti biasa taat pada waktu yang lima
tenangnya bagai bulan beralun di tasik
amannya bagai rumput menghijau embun bermanik
Pak Mail merdu azannya membelah angin menyapa bukit…
MAHATILARA
Langgar
Alor Setar, Kedah.
LAGU-LAGU RINDU
Hari berganti hari pada kadar yang pasti
malam berganti matahari siang berganti bulan senyap menawan
embun yang menitis menyegar bumi, hujan turun menyubur alam
waktu yang lima berada pada tempuh yang harmoni, lalu kita sujud berdoa penuh rahsia
II
Hari berganti hari pada kadar yang pasti
aku pejam mataku menghayati keajaiban kejadiannya
terasa gerak nadi lembut tenang
mengalir darahku dalam urut sarap air mataku insaf berlenang…
MAHATILARA
Langgar
Alor Setar, Kedah.
MRT Nordin

TAK MUNGKIN
Tak mungkin.
Ya, tak mungkin.
Banyak sebab.
Lebih baik diam ku sendiri
Dimamah usia.
MRT Nordin.
Gombak, Selangor.
29hb Januari 2020.
2.
xxxxx
Putraery Ussin

SESUNGGUHNYA
Sangat mengasihi
meciptai dengan sempurna
gagah perkasa
agar tidak kekaparan menderita
lalu dihadiahi bersama
bulan
bintang
matahari
awan
terbentang tanah
dan lautan
maka nikmat-Nya perlu disyukuri
sembahlah
sujudlah
sedekahlah
senyumlah
… dengan kesyukuran
moga diampuni segala salah.
Putraery ussin.
UT.
21Jan 2020.
AKAL MANA… AKAL MANA?
Bermula,
kalut-kalut menuang air
terlepas dari gengaman
kaca terhempas
pecah berderai
hey, mana akalmu?
Tiba-tiba,
ingin bersenda
menyatakan yang luka
menyelak helaian kisah lama
alih-alih terasa
hoi, akal adakah?
Seterusnya,
sembang sastera bahasa
isu karya sukar tembusi media
selit-selit cerita persatuan gila
juga isu bahasa diperkuda katanya
angin meroyan tanpa punca
menjerit-jerit,
mana akalmu?
tiada akalkah?
hilang akalkah?
akal adakah?
Barangkali,
inilah sindrom tua bangka
sentap tak ketahuan hala
berbaik sangkalah
akalnya tak sempurna.
Putraery Ussin
Perpustakaan Awam Kulim.
010220.
Malaikat Sudah Tak Perlu Lagi
Benarkah malaikat tidak diperlukan?
hanya perlu bergambar
cuma perlu berhujah
titipkan doa
kirimkan nasihat berjela
luahkan rasa simpati
tonjolkan serba-serbi mengerti
Maka kebaikan sudah tercatat
oh, media sosial menjadi pengganti!
Malaikat tidak perlu lagi?
jka aib dipaparkan
salah disiarkan
cela dijajajualkan
silap tersebar nganga
pakat-pakat bersiaran cerita
akhirnya dunia hilang nilai.
Sungguhkah malaikat sudah ada pengganti?
Aku tak mengerti.
Putraery Ussin
Ulu Tawar 29 Jan 2020
Wadissofi Jaafar

AKULAH SAHABAT MU
Akulah sahabatmu
yang paling setia seadanya
kerna nilai persahabatan ini
tidak dapat dijual beli
dan akan memancarkan sinar
erti sebuah persahabatan
yang kekal abadi
untuk selamanya.
Jadikan persahabatan ini
sebagai wadah terbaik
untuk mengeratkan silaturahim
dan menjernihkan hubungan sesama insan
yang digelar sebagai sahabat
yang sejati.
Jalinkan ikatan persahabatan
dengan tali permuafakatan
agar jalinan persahabatan
akan kekal buat selamanya
sekiranya disertai dengan tali ukhuwah
moga-moga sinar cahaya
mampu mengerdipkan sejuta kepasrahan
untuk menjadi sahabat sejati
buat sahabat yang dikasihi
kerna nilai persahabatan
adalah nilai yang abadi
untuk kita mengasihi
seorang sahabat yang sejati.
WADIASSOFI. JAAFAR
Alor Setar, Kedah
29012020.
AKUKAH YANG BERSALAH (ii)
Akukah yang bersalah
sehingga memencilkan dirimu
atas ikatan kekeluargaan
yang mengundang keresahan
di hatimu jua.
Akukah yang bersalah
membiarkan kau berdukacita
kerna mengharapkan
nilai kasih dan sayang
dari insan yang mengerti
apa itu ketulusan budi.
Akukah yang bersalah
sehingga membiarkan kau
mengharap erti kebahagiaan
dari insan yang mengerti
betapa ketulusan budi
memancarkan sinar murni
buat sahabat yang dikasihi.
Akukah yang bersalah
sehingga membiarkan kau
terus menanggung derita
di sebalik tiadanya khabar berita
dari seorang sahabat yang setia
untuk mendengar kata-kata
dari seorang sahabat yang mulia
atas janji untuk bahagia
bersama sahabat seia sekata
di sebalik murninya
sebuah rumah tangga.
WADIASSOFI. JAAFAR.
Alor Setar, Kedah.
30012020.
TERASING DI. SINI
Masihkah aku terasing di sini
tanpa sebutir kata-kata
yang terucap dari bibir sahaja
sehingga aku menjadi tenggelam
di lautan perasaan sahaja
atau sebaliknya.
Di sini aku masih menanti
perkhabaran dari seseorang
agar aku tahu dan yakin
bahawa hidup yang panjang ini
adalah noktah terakhir
untuk ku jadikan sebagai azimat
dalam meneruskan kehidupan
di sebalik erti keinsafan.
Adakah aku masih terasing di sini
dalam mengenal kedewasaan
agar aku lebih mengerti
betapa erti sebuah keinsafan
mampu mendewasakan aku
untuk menjadi seorang insan
yang berilmu, berwawasan serta beriman.
Di sini aku masih menanti
pada perkhabaran yang hakiki
untuk ku jadikan sebagai pegangan
agar aku lebih mengerti seadanya
kerna Tuhan tidak pernah marah
pada insan yang mengerti
apa itu ketulusan budi
yang perlu dipelihara dengan sebaiknya
agar insan lebih mengerti
betapa indahnya makna budi
yang lahir dari insan pekerti
yang tahu menilai harga budi
yang sukar untuk dijual beli.
Jadilah kita sebagai insan
yang tahu membezakan nilai persaudaraan
yang lahir dari hati budi
pada pengorbanan yang hakiki
agar kita menjadi seorang insan
yang punya harga diri
untuk hidup di dunia ini
bersama iman dan sebutir ketakwaan
pada Tuhan yang menjadikan insan
di dunia yang penuh dugaan
untuk kita teruskan perjuangan
pada perjalanan yang panjang
di sebalik sebuah kehidupan.
WADIASSOFI. JAAFAR
Alor Setar, Kedah
24022020
Zainon Mohd Noor
TAYANGAN
Aku peran, di garis kuning
cuka kau masih melakon
watak-watak goncang
dari gerabak ke gerabak dengan wabak-wabak parasit
dalam episod jauh tak pernah sampai untuk selesai
walau seribu tahun hentian
dalam lima waktu singgahan.
zainon mohd noor
changkat asam, kodiang 2020/jan
SESUNYI SUNYI
Dari bawah meja kamar
kulihat potretmu diam macam awan
kusam
tak mampu lagi bersenyum macam matahari
masam
aku, cinta hari muda-mudamu
pandai bermain kira-kira dan cicah-cicah rasa
sembunyi sunyi dan berbunyi macam-macam
kaumahu aku ketawa
aku tahu engkau dahaga.
zainon mohd noor
teratakarya, kodiang 2020/jan
RUPANYA BAYANG
Melihat tubuh di dalam cermin
lumpuh
sehampir mati
terkulai
sehampir kering
kaku beku
kelu bisu
kurenung diri di dalam kaca
rupanya
bayang tidak berwajah.
Api pelita menyala mencerah arah
pedoman berjalan ditelan langkah.
zainon mohd noor
dannok, thailand 2020/jan
Zarida Rasdi
AKU DAN SENJA
Aku senang pada senja yang selalu bertandang di hujung petang dan
sering mengingatkanku untuk pulang, tak peduli betapa jauh aku terbang.
Aku cemburu pada senja yang sering datang membawa sekuntum kenangan tapi keburu pergi meninggalkan sejambak wangi.
Aku tertarik pada senja yang lebih tahu bagaimana cara permisi tanpa sedikit pun insan yang merasa tersakiti.
Aku kagum cara senja mengungkapkan rindu pada mega, tanpa diketahui angin juga derai nafas yang menderu.
Aku pegun melhat cara senja berpamitan dengan indah ketika malam membuka pintu menutup semesta yang penuh warna.
Dalam diam aku belajar daripada senja tentang hidup dengan memberi makna meskipun hadir hanya sejenak. Lalu ikhlas ketika harus pergi setelah beralih hari.
Zarida Rasdi
2/1/2020
AKU KAMU DAN DIA
Aku pernah dibunuh
bukan sekali tapi berkali- kali
namun belum pernah mati
waktuku bukan milikmu
jauh dekat perjalananku urusan-Nya.
Aku pernah direjam
bukan sekadar butiran jamrah
berbusur anak panah berapi
namun tidak tertusuk berdarah
hatiku bukan kepunyaanmu
girang dan walangku ketentuan-Nya.
Aku pernah disula berpancang lembing omai berbisa
lenjan rembesan darah cerca
tidak kurebah ke liang bahana
jasadku bukan dalam genggamanmu
derita dan kesembuhanku mukjizat-Nya.
Aku pernah dipuja
dimimpi marhaen jua petinggi
tidak terleka berbusana alpa
pongah ranggi bukan selendangku
segala yang agung hanya milik DIA.
Zarida Rasdi
28/12/2019
HIDUP
HIDUP
hidup satu
pilihan. orang yang
tidak tahu tujuan
hidup ini
mereka
selalu
berada
dalam
keraguan!
Setiap saat mereka sentiasa curiga,was-was dan
bersyak-wasangka kepada semua orang.
.mereka lupa bahawa hidup ini
adalah pilihan sendiri.
hitam atau putih
pahit atau manis
benar atau salah
sejuk atau panas
timur atau barat
kasar atau halus
bijak atau dungu
gelap atau cerah
benci atau cinta
kanan atau kiri
malam atau pagi
tulen atau palsu
kaya atau miskin
atas atau bawah
sakit atau sihat
jimat atau boros
laut atau daratan
beringat-ingat
lah sebelum
pernafasan
terakhir
BER
Hen
ti
i
i
o
TAMAT.
