SAS Ruslina Maat Rakib (Citranalis) (Penyelenggara). Senaskhah Diri. Kuala Lumpur: eSastera Enterprise, 2020.

Hlm. i

ANTOLOGI PUISI
E-SASTERA UTARA

SENASKHAH DIRI

Hlm. ii

(Halaman ini kosong)

Hlm. iii

ANTOLOGI PUISI
E-SASTERA UTARA

SENASKHAH
DIRI

Penyelenggara
SAS RUSLINA MAT RAKIB
(Citranalis)

eSastera Enterprise
Kuala Lumpur

Hlm. iv

Penerbit

eSastera Enterprise (No. 001470857-K)
96 Jalan 7/71B, Pinggir Taman Tun Dr. Ismail, 60000 Kuala Lumpur.
E-mel: eSastera.Enterprise@gmail.com
Laman web: http://www.eSastera.org
____________________________________________________________________
Edisi Pertama, 2020
© Penulis, 2020
© Esastera Enterprise, 2020

©Hak cipta terpelihara.
Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian artikel, ilustrasi, dan isi kandungan buku ini dalam apa jua bentuk dan dengan apa jua cara sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, atau cara-cara lain sebelum mendapat izin bertulis daripada Esastera Enterprise. Perundingan tertakluk kepada perkiraan royalti atau honorarium.

Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan

ANTOLOGI PUISI E-SASTERA UTARA : SENASKHAH DIRI /
Penyelenggara: SAS Ruslina Mat Rakib,
ISBN: 978-967-5043-88-88
1.Malay Poetry.
2. Syair.
3. Sajak.
I. SAS Ruslina Mat Rakib.

Dicetak oleh: James Aries Printing Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

Hlm. v

ISI KANDUNGAN


● Prakata Penerbit eSastera Enterprise, Ilya Kablam, ix
● Resensi, x
● Perutusan Penyelenggara, SAS Ruslina Mat Rakib, xxviii
● Alu-aluan Presiden E-SASTERA dan Ketua I GAKSA, Dr. Irwan Abu Bakar, xxxi
● Artikel SAS Puzi Hadi, xxxii
● Puisi:

  1. Adi Muzaffar, 2
    ● Kunci, 3
    ● Lelaki di Hadapan Merah Senja, 4
    ● Singkap, 5
  2. SAS Ahkarim, 6
    ● Kuangkat Dayung Biar Perahu Rapat Berlabuh di Pangkalan, 7
    ● Sebatang Pohon Indah Seorang Tua Berteduh di Bawah, 9
    ● Aku Hanya Mahu Duduk, Membaca Novel, 11
  3. Amelia Hashim, 13
    ● Rumah Kejujuran, 14
    ● Rumah Kalbu, 15
    ● Beburung Doa, 16
  4. aNNa Raihan, 17
    ● Lagu Rindu, 18
    ● Lontaran Kasih, 19
    ● Sesungguhnya Aku Telah Bersedia, 20
  5. SAS Citranalis, 21
    ● Pantun Berkasih, 22
    ● Percutian, 23
    vi
    ● Anak-anak Gelandangan, 24
  6. Dahna, 25
    ● Hujan Sebegini Mengingatkan Aku Padamu, Ibu, 26
    ● Waktu Ini Sebiru Rindu Padamu Ayah, 27
    ● Mawar, 28
  7. Hamizun Syah, 29
    ● Puncak Pengabdian, 30
    ● Dalam Diri Sanubari, 31
    ● Senaskhah Diri, 32
  8. Harties, 34
    ● Air Mata yang Luruh, 35
    ● Sejambak Rindu, 36
    ● Angin Timur dan Musim Kering, 37
  9. Ibnu Din Assingkiri, 38
    ● Sia-sia Kalau Teriak-teriak Waktu Baca Sajak, 39
    ● Pak Tua, 40
    ● Pukul Rata, 41
  10. Irwan Abu Bakar, 43
    ● Sebuah Dron Nakal, 45
    ● Secawan Teh Tarik, 46
    ● Semangkuk Ikhlas di Sudut Pulau, 47
  11. Kablam22, 48
    ● Pada Suara Hujan, 49
    ● Digilis Rindu, 50
    ● Meniti Jambatan Awan, 51
  12. Latty Latisa, 52
    ● Cincin Mukjizat, 53
    ● Merafak Doa Kerinduan, 54
    ● Tafakur, 56
  13. Mahatilara, 58
    ● Datangnya Tetap Datang, 59
    vii
    ● Dari Sudut yang Lain, 60
    ● Ayat-ayat Cinta, 61
  14. Mokhtar Rahman, 62
    ● Pasrah, 63
    ● Saat Lahirmu dan Mati, 64
    ● Tongkat, 65
  15. MRT Nordin, 66
    ● Salam Pungguk Untukmu, 67
    ● Raya Tanpamu, Bonda, 69
    ● Sajak untuk Ayah, 70
  16. Nur Ain Hanis, 71
    ● Catatan Tanpa Noktah, 72
    ● Ceritera Pejuang, 73
    ● Di Sebalik Cermin Kehidupan, 74
  17. Putraery Ussin, 75
    ● Sekeping Kertas, 76
    ● Ingatan yang Terbelenggu, 77
    ● Taif, 78
  18. SAS Puzi Hadi, 79
    ● Drama Badut, 80
    ● Peniaga Tepi Jalan, 81
    ● Pesawah Padi dan Jerami Padi, 83
  19. Shirley Idris, 84
    ● Monolog Pualam di Negeri Jauh, 85
    ● Detak Waktu Ruhku yang Tidur, 86
    ● Luka Palestina di Sejadah Kumal, 87
  20. Wadiassofi Jaafar, 88
    ● Di Alam Maya, 89
    ● Pantun ASASI Di Hati, 91
    ● Gurindam ASASI Dalam Kenangan, 93
    viii
  21. Zaidin Abadi, 95
    ● Salam Serumpun, 96
    ● Wangi Pagi, 98
    ● Akulah Si Burung yang Sesat Itu, 99
  22. Zainon Mohd Noor, 100
    ● Tafakur, 101
    ● Sehampir Datang, 102
    ● Kahwin, 103
  23. Zakiah Bahari, 104
    ● Doaku, 105
    ● Allah Maha Besar, 106
    ● Maafkan Aku, 107
  24. Zaleena E-Naa, 108
    ● Alur Waktu, 109
    ● Kembara Mencari Damai, 110
    ● Kemarau, 111
  25. Zarida Rasdi, 112
    ● Kalis Rindu, 113
    ● Cinta Pemilik Jiwa, 114
    ● ECG (Electrocardiogram), 115

Hlm. ix

Prakata Penerbit

Esastera Enterprise amat berbesar hati dilantik sebagai penerbit bagi projek ini, yang sangat bermakna kepada E-SASTERA dan kepada para peserta.
Kami telah menerbitkan buku pelbagai genre, terutamanya buku-buku sastera, sejak tahun 2004 lagi apabila ditugaskan untuk mengambil alih tugas penerbitan e-Sastera.com daripada syarikat kAPAS Publication.
Buku Senaskhah Diri ini merupakan buku terbitan kami yang ke-104. Buku-buku kami juga ada yang diterbitkan di Indonesia dengan kerjasama syarikat tempatan, E Sastra Management Enterprise (Jakarta) dan Gaksa Enterprise (Banten).
Semoga usaha kami yang kecil ini akan menghasilkan impak yang besar terhadap para penulis yang terlibat. Juga kami percaya ia amat bermanfaat kepada para peminat sastera Melayu amnya.

Yang benar,

Ilya Kablam
Pengurus, Esastera Enterprise
Kuala Lumpur, 10.01.2020.

Hlm. x

Resensi

Buku ini mengandungi 75 buah puisi pelbagai genre, unsur, dan tema, berdasarkan kehendak pengkaryanya sendiri. Seramai 25 penyair menyumbang tiga buah puisi seorang. Mereka yang mengambil bahagian ialah Adi Muzaffar, SAS Ahkarim, Amelia Hashim, aNNa, SAS Citranalis, Dahna, Hamizun Syah, Harties, Ibnu Din Assingkiri, Irwan Abu Bakar, Kablam22, Latty Latisa, Mahatilara, Mokhtar Rahman, MRT Nordin, Nur Ain Hanis, Putraery Ussin, SAS Puzi Hadi, Shirley Idris, Wadiassofi Jaafar, Zaidin Abadi, Zainon Mohd Noor, Zakiah Bahari, Zaleena E-Naa, dan Zarida Rasdi.
Semua penulis berasal dari Utara Semenanjung Malaysia kecuali Ilya Kablam (Kuala Lumpur), Irwan Abu Bakar (Johor), dan MRT Nordin (Kuala Lumpur).
Semua penyair mempersembahkan karya genre sajak kecuali Citranalis yang menulis dua buah sajak dan sebuah pantun berkait, Mokhtar Rahman yang menulis sebuah vilanel, sebuah soneta, dan sebuah sajak, serta Wadiassofi yang menulis sebuah sajak dan dua buah pantun. Di samping itu, salah sebuah daripada tiga sajak tulisan Ahkarim ialah sajak prosaik, sebuah daripada dua sajak Citranalis berbentuk sajak sonian, sebuah daripada tiga sajak tulisan Ilya Kablam ialah sajak prosaik, dan masing-masing sebuah daripada tiga sajak tulisan Adi Muzaffar dan Zarida Rasdi ialah sajak grafik.
Perkara utama yang sering diberikan perhatian terhadap karya kreatif sastera seperti sajak ialah tema (persoalan pokok) yang dibawa oleh sesebuah karya itu. Untuk mengenal pasti tema sajak-sajak yang dipersembahkan dalam antologi ini, saya berhajat untuk merujuk kepada
xi
senarai tema yang standard supaya deskripsi saya tidaklah menjadi tidak keruan. Puas saya mencari senarai standard di merata tempat namun saya temui hanya dua tulisan yang agak baik. Tulisan pertama saya temui dalam portal dengan senarai tema yang diberikan dalam Jadual 1.

Jadual 1.
https://kesusasteraanmelayu.wordpress.com/sajak/
TEMA SAJAK
Tema ialah persoalan pokok yang hendak disampaikan oleh penyair.
Tema diri
Berdasarkan pengalaman diri.
Tema cinta
Cinta akan kekasih, ibu bapa, tanah air, bangsa dan negara.
Tema masyarakat
Memaparkan simpati dan nasib masyarakatnya di samping saranan penyajak tentang langkah-langkah mengatasinya.
Tema alam
Gambaran alam seperti keindahan dan pencemaran alam.
Tema semangat perjuangan / nasionalisme
Semangat pahlawan negara
Tema ketuhanan & keagamaan
Soal kesedihan, kematian, kesedaran dan sebagainya.









Tulisan yang kedua saya temui dalam portal dengan senarai tema yang diberikan dalam Jadual 2.
xii
Jadual 2.
http://ba-cemerlangbahasadansastera.blogspot.com/2012/02/tema-tema-karya-sastera.html
TEMA-TEMA KARYA SASTERA
Kebanyakan karya sastera boleh kita kelompokkan kepada 4 kelompok besar.
BIL
PENJENISAN TEMA KARYA
HURAIAN
1
Kemanusiaan

Tema Kasih Sayang
Persoalan Kasih sayang sesama manusia
Persoalan kasih sayang ibu / dengan anak-anak atau sebaliknya
Persoalan kasih sayang suami dan isteri
Persoalan rumah tangga
Persoalan pengorbanan
Persoalan kesetiaan

Tema Percintaan
Persoalan percintaan muda mudi / anak muda
Persoalan cinta terhalang
Persoalan cinta terlarang
2
Kemasyarakatan

Tema Peperangan
Persoalan kesan peperangan

Tema Perpaduan
Persoalan perpaduan kaum

Tema Ekonomi

Tema Pembangunan

Tema Sosial / Kemiskinan

Tema Kepincangan Masyarakat

Tema Patriotik / Nasionalisme
xiii
3
Keagamaan / Moral

Tema Keimanan.

Tema Keruntuhan Moral.
4
Alam fauna dan flora

Tema alam sekitar / fauna / flora.

Tema alam /keindahan alam / kerosakan alam.
Saya kurang berpuas hati dengan set tema yang dibentangkan dalam dua tulisan yang tersebut kerana saya dapati kedua-duanya tidak dapat memenuhi kehendak kesemua puisi yang terdapat dalam antologi ini. Maka, dengan berasaskan dua set tema yang tersebut, saya telah membangunkan set tema yang saya rasa lebih menepati kehendak karya-karya sastera semasa, termasuk kesemua puisi yang terdapat dalam antologi ini. Set tema itu diberikan dalam Jadual 3.
JADUAL 3:
TEMA KARYA SASTERA
TEMA
SUBTEMA
SUBSUBTEMA (Persoalan atau Isu)
1
TEMA TUHAN
1.1. SIFAT-SIFAT TUHAN
1.1.1. Tuhan sebagai Pencipta.
1.1.2. Tuhan sebagai Pemilik.
1.2. TINDAKAN TUHAN
1.2.1. Terhadap alam.
1.2.1. Terhadap manusia.
xiv
2
TEMA ALAM
2.1. ALAM NYATA
2.1.1. Gambaran alam: Bumi & langit; Fauna & flora. 2.1.2. Keindahan, kerosakan & pencemaran alam.
2.2. ALAM GHAIB
2.2.1. Persoalan alam di dimensi lain (alam selain alam manusia).
2.2.2. Persoalan makhluk di alam asing.
2.3. ALAM AKHIRAT
2.3.1. Persoalan alam kubur.
2.3.2. Persoalan di syurga dan neraka.
3
TEMA MANUSIA
3.1. PERIBADI
Mainan emosi penyair secara peribadi apabila mainan emosi itu tidak berkaitan dengan orang lain atau dengan suasana di luar diri penyair itu.
3.2. KEMANUSIAAN
KASIH SAYANG 3.2.1. Kasih sayang sesama manusia. 3.2.2. Kasih sayang ibu bapa dengan anak-anak dan sebaliknya. 3.2.3. Kasih sayang pasangan manusia, termasuk suami dan isteri. 3.2.4. Persoalan rumah tangga. 3.2.5. Persoalan pengorbanan. 3.2.6. Persoalan kesetiaan.
PERCINTAAN: 3.2.7. Persoalan percintaan muda mudi.
xv
3.2.8. Persoalan cinta terhalang. 3.2.9. Persoalan cinta terlarang.
3.3. KEMASYARAKATAN
NASIB MASRARAKAT 3.3.1. Ekonomi. 3.3.2. Pembangunan. 3.3.3. Kesihatan. 3.3.4. Kejiwaan. ASPEK SOSIAL 3.3.5. Kedudukan sosial. 3.3.6. Perjuangan sosial. 3.3.7. Penderitaan sosial. 3.3.8. Aktiviti sosial. 3.3.9. Kepincangan masyarakat.
3.4. POLITIK
3.4.1. Semangat perjuangan.
3.4.2. Semangat pahlawan negara. 3.4.3. Peperangan.
3.4.4. Perpaduan kaum.
3.4.5. Pegangan politik.
3.4.6. Nasionalisme.
3.5. AGAMA & MORAL
3.5.1. Kesedaran.
3.5.2. Keimanan.
3.5.3. Keruntuhan Moral.
3.5.4. Peringatan.
Berasaskan tema yang saya senaraikan dalam Jadual 3, maka jenis puisi dan isu (subsubtema) yang dibawa oleh puisi-puisi dalam buku ini adalah seperti yang di bawah ini. Ada yang dapat ditentukan dengan mudah (misalnya, sajak-
xvi
sajak aNNa dan MRT Nordin). Namun ada yang sukar dikategorikan dan banyak terserah kepada pandangan peribadi saya sendiri (misalnya, sajak “”Kalis Rindu” karya Zarida Rasdi). Di sini, jenis puisi dan isu yang ditangani disenaraikan bersama nama penyair yang berkenaan:

Adi Muzaffar. 3 sajak. Isu: 3.3.8; 3.3.9; 3.4.1.

SAS Ahkarim. 3 sajak. Isu: 3.3.8; 3.3.8; 3.4.1.

Amelia Hashim. 3 sajak. Isu: 3.2.3; 3.2.4; 3.2.2.

aNNa, 3 sajak. Isu: 3.2.7 (ketiga-tiga).

SAS Citranalis, 2 sajak (1 jenis sonian) dan 1 pantun. Isu: 3.2.1; 3.2.3; 3.3.9.

Dahna, 3 sajak. Isu: 3.2.2; 3.2.2; 3.2.7.

Hamizun Syah, 3 sajak. Isu: 3.5.2; 3.5.2; 3.5.1.

Harties, 3 sajak. Isu: 3.2.3; 3.2.3; 2.1.2.

Ibnu Din Assingkiri, 3 sajak. Isu: 3.4.1; 3.3.5; 3.5.1.

Irwan Abu Bakar, 3 sajak. Isu: 3.3.9; 3.3.8; 3.5.2.

Kablam22, 3 sajak (termasuk 1 sajak prosaik). Isu: 3.5.2; 3.2.6; 3.5.1.

Latty Latisa, 3 sajak. Isu: 3.5.2 (ketiga-tiga).

Mahatilara, 3 sajak. Isu: 3.3.5; 3.5.2; 3.2.3.

Mokhtar Rahman, 1 vilanel, 1 soneta, 1 sajak. Isu: 3.5.2; 3.5.4; 3.3.3.

MRT Nordin, 3 sajak. Isu: 3.2.1; 3.2.2; 3.2.2.

Nur Ain Hanis, 3 sajak. Isu: 3.3.6; 3.4.1; 3.3.7.

Putraery Ussin, 3 sajak. Isu: 3.3.4; 3.2.3; 3.5.1.

SAS Puzi Hadi, 3 sajak. Isu: 3.3.4; 3.3.1; 3.3.1.

Shirley Idris, 3 sajak. Isu: 3.4.4; 3.5.2; 3.5.4.
xvii

Wadiassofi Jaafar, 1 sajak, 2 pantun. Isu: 3.3.8 (ketiga-tiga).

Zaidin Abadi, 3 sajak. Isu: 3.4.6; 3.2.3; 3.3.4.22.

Zainon Mohd Noor, 3 sajak. Isu: 3.5.2; 3.5.1; 3.2.3.

Zakiah Bahari, 3 sajak. Isu: 3.5.1; 3.5.1; 3.3.4.

Zaleena E-Naa, 3 sajak. Isu: 3.5.1; 3.5.1; 2.1.2.

Zarida Rasdi. 3 sajak (termasuk 1 sajak grafik). Isu: 3.2.3; 3.5.2; 3.5.4.
Ringkasnya, 23 isu telah dipilih penyair dalam antologi ini, seperti yang berikut:
BIL.
ISU
BIL. PUISI
NO.
NO.
NAMA
1
3.5.2
AGAMA & MORAL – Keimanan
12
1
2
3.2.3
KEMANUSIAAN – Kasih sayang pasangan manusia
9
2
3
3.5.1
AGAMA & MORAL – Kesedaran
9
4
3.3.8
KEMASYARAKATAN – Aktiviti Sosial
6
3
5
3.2.2
KEMANUSIAAN – Kasih sayang ibu bapa/anak-anak
5
4
6
3.2.7
KEMANUSIAAN: PERCINTAAN – Persoalan muda mudi.
4
5
xviii
7
3.3.4
KEMASYARAKATAN – Kejiwaan
4
8
3.4.1
POLITIK – Semangat perjuangan
4
9
3.5.4
AGAMA & MORAL – Peringatan
3
6
10
2.1.2
ALAM NYATA – Keindahan, kerosakan & pencemaran alam
2
7
11
3.2.1
KEMANUSIAAN – Kasih sayang sesama manusia
2
12
3.3.1
KEMASYARAKATAN – Ekonomi
2
13
3.3.5
KEMASYARAKATAN – Kedudukan sosial
2
14
3.3.9
KEMASYARAKATAN – Kepincangan masyarakat
2
15
3.2.4
KEMANUSIAAN – Persoalan rumah tangga
1
8
16
3.2.6
KEMANUSIAAN – Persoalan kesetiaan
1
17
3.2.8
KEMANUSIAAN: PERCINTAAN – Persoalan cinta terhalang
1
18
3.2.9
KEMANUSIAAN: PERCINTAAN – Persoalan cinta terlarang
1
19
3.3.3
KEMASYARAKATAN – NASIB MASYARAKAT – Kesihatan
1
xix
20
3.3.6
KEMASYARAKATAN – Perjuangan sosial
1
21
3.3.7
KEMASYARAKATAN – Penderitaan sosial
1
22
3.4.4
POLITIK – Perpaduan Kaum
1
23
3.4.6
POLITIK – Nasionalisme
1
Jelaslah, sajak-sajak dalam antologi ini merangkumi pelbagai isu (23 kesemuanya). Subtema paling popular ialah AGAMA & MORAL serta KEMANUSIAN (masing-masing 24 sajak), diikuti KEMASYARAKATAN (19 sajak), POLITIK (6 sajak), dan ALAM NYATA (2 sajak).
Isu-isu yang berkenaan dipersembahkan pula dengan stail yang pelbagai, berasakan kecenderungan penulis sendiri. Itu yang menariknya. Itu yang membuatkan saya sangat kagum membaca sajak-sajak dalam antologi ini. Semuanya menarik. Saya suka kesemuanya.
Atas dasar peribadi, saya paling terpikat dengan sajak-sajak Mahatilara. Contoh salah sebuah daripada sajaknya (saya siarkan sepenuhnya):
DATANGNYA TETAP DATANG
Aku bukan ombak tidak juga tiupan angin membelah waktu
sepasang mata tua merenung teduh senja diburu rindu
di pantai aku kenal indah alam permai dan damai
di pundak kupikul beban dunia sebanyak tidak pernah aku tahu
aku benar-benar ditewas nyanyian lagu beracun madu.
xx
II
Aku bukan ombak tidak juga tiupan angin membelah waktu
aku adalah gelandangan kehilangan rumah kehilangan pintu.
Stail persembahan dalam bentuk ayat panjang berentak tekal, dengan fakta dibentang secara kabur, itu memikat hati saya. Mungkin tidak semua orang suka.
Di samping Mahatilara, setiap penyair dalam antologi ini mempunyai ciri tema dan stail persembahan yang unik. Misalnya, Shirley Idris mengemukakan tiga sajak yang disampaikan dengan gaya yang menarik. Di samping itu, Shirley membawa kepada pembaca beberapa perkataan yang jarang kita temui dalam penggunaan harian: pualam, bergumam, rinai, kumal… Penggunaan kata-kata “bombastik” tidak semestinya akan menaikkan nilai sajak, malah boleh merosakkannya. Namun Shirley bijak menggunakan kata-kata yang berkenaan di dalam sajak-sajaknya.
Sajak KUNCI nukilan Adi Muzaffar unik kata-katanya. Malah sajak ini, rasa saya, sengaja disusun kata-katanya untuk membentuk sketsa sebatang anak kunci. Usaha sedemikian bukanlah idea asli penulis, namun diguna dengan baik sekali untuk melahirkan karya yang mempunyai keunikan tersendiri. Sajak ini juga unik kerana tajuknya ditulis di bahagian bawah teks utama, bukan di atasnya.
Penulis Ahkarim (saya ketandusan adjektif untuk memerihalkan kehebatan penulis ini) berkisah tentang kegiatan kemasyarakatan dan peribadinya. Tentu sekali sajaknya tentang e-Sastera menarik perhatian saya. Saya faham apa yang dilakarnya dalam sajak SEBATANG POHON INDAH, SEORANG TUA BERTEDUH DI BAWAH. Penghargaan Ahkarim terhadap e-Sastera adalah
xxi
penghargaan terhadap hasil usahanya juga, terus-menerus bersama-sama membajai “pohon” itu.
Amelia Hashim menumpukan ketiga-tiga sajakanya kepada isu kasih sayang manusia. Sajak ketiganya BEBURUNG DOA unik sekali pembentangannya. Dalam sajak itu, Amelia menulis ungkapan yang unik dan menarik untuk meluahkan perasaannya:
Basah doa
menakung di kepulan awan
yang menitiskan hujan
dingin nyaman
seumur hayat.
Penulis aNNa berkisah tentang cinta remaja dalam ketiga-tiga karyanya. Penyampaiannya dilontar secara langsung tetapi menawan. Misalnya, dalam sajak SESUNGGUHNYA AKU TELAH BERSEDIA, aNNA meluahkan rasanya sebegini:
sesekali terdengar jua
kau merintih dalam keluh kesah
dari celah gugusan bintang berjuta
terkadang di balik kepulan nimbus
di lapisan strata.
Nyata aNNa medefinisikan lokasi fizikal tempat perasaan bermastautin, dengan cara yang menarik sekali.
SAS Citranalis berpantun tentang hidup berkasihan, serta bersajak tentang pengalaman bercuti dan juga tentang kehidupan anak-anak gelandangan yang mengusik jiwa. Tentang anak-anak gelandangan, Citranalis menulis sedih:
xxii
Di celah-celah lorong
suram kelam berbalam
sepi meratah sengsara
sendu dalam rindu
ratap simpati.
Rima kata-kata dalam ayat kedua dan dalam ayat keempat bait di atas menambah keindahan kepada sajak itu.
Dahna menuils sajak yang berbentuk canggih dan membuat pembaca berasa akan kualiti persembahan yang berbeza daripada kebanyakan sajak lain dalam buku ini walaupun tema yang dipilihnya adalah tema tipikal, iaitu tentang pengabdian kepada Tuhan, kerinduan kepada bapa, dan kisah kehidupan sosial seorang gadis.
Sajak SENASKHAH DIRI karya Hamizun Syah yang dipilih sebagai judul antologi ini dipersembahkannya secara langsung. Namun sajak itu mengandungi keabstrakan tentang buku yang menjadi objek rujukan utama sajak itu. Sajak ini sangat menarik atas dasar perlunya pembaca meneliti setiap bahagiannya dengan teliti untuk menghayati rasa hati penulis yang sebenar.
Tiga buah sajak Harties dipersembahkan secara standard tetapi menarik, sambil menangani tiga isu yang berlainan, iaitu kisah putus dalam percintaan, kisah peribadi tentang rindu suami yang telah pergi, dan deskripsi suasana alam dalam cuaca tertentu.
Ibnu Din Assingkiri menulis tiga buah sajak yang membawa tema yang berbeza. Persembahan sajak keduanya PAK TUA dapat dianggap sebagai polos sementara beliau mengabstrakkan rasa hati sebenarnya
xxiii
dalam dua lagi sajaknya. Namun ketiga-tiga sajak Ibnu Din dapat memikat rasa dan mengusik jiwa.
Irwan Abu bakar mengetengahkan tiga buah sajak tentang pengalaman kehidupan sosial seharian di pelbagai situasi, iaitu permainan dron, minum teh tarik, dan lawatan ke tandas.
Kablam22 menulis isu ketuhanan dalam sajak pertama dan ketiganya. Dalam sajak kedua, Kablam menceritakan rasa rindu dalam percintaan sesama insan. Sajak keduanya kelihatan unik kerana ditulis dalam bentuk prosa.
Ketiga-tiga buah sajak tulisan Latty Latisa berlatarkan Tanah Suci serta ibadat haji dan umrah. Persembahannya baik, menimbulkan kesedaran dan khusyuk di hati pembaca terhadap keagungan Tanah Suci dan kebahagiaan melakukan ibadah di situ.
Di dunia E-SASTERA, Mokhtar Rahman dikenali sebagia penulis soneta. Dalam buku ini, beliau mempersembahkan sebuah vilanel, sebuah soneta, dan sebuah sajak. Tema vilanel dan sonetanya ialah keagamaan sementara, untuk sajaknya, beliau memperkatakan hal masyarakat, khasnya individu yang sudah tua. Karya-karyanya mengusik jiwa.
Sajak-sajak garapan MRT Nordin berkisah tentang hubungan individu dengan ketua di tempat kerja, dengan ibu, dan dengan bapa. Menarik, dalam sajak pertamanya SALAM PUNGGUK UNTUKMU, apabila penulis menggunakan kata “pungguk” dengan bentuk yang unik.
Nur Ain Hanis menulis dua sajak tentang kehidupan umum sementara sajak keduanya CERITERA PEJUANG mengisahkan perang di Palestin secara spesifik. Sajak ini
xxiv
langsung ceritanya tetapi disampaikan dengan menarik dan memikat hati pengapresiasi. Antaranya, beliau menulis:
Mata berkaca
kian meredup sayu
terkapai-kapai
mencari tangan-tangan simpati
Tiga sajak tulisan Putraery Ussin membicarakan tiga hal yang berlainan. Saya dapati sajak pertamanya SEKEPING KERTAS sebuah sajak taksa, sajak kedua INGATAN YANG TERBELENGGU ialah sebuah sajak yang langsung, sementara sajak ketiga TAIF mempunyai tema yang dapat difahami dengan jelas melalui judulnya tetapi teksnya dipersembahkan dengan susunan kata-kata yang sukar diikuti tetapi amat menarik.
SAS Puzi Hadi yang terkenal sebagai deklamator berkesan telah mencipta nama sebagai deklamator pada peringkat ASEAN apabila diketengahkan oleh GAKSA dalam persembahan-pesembahan di Indonesia. Tiga sajaknya bercerita tentang individu yang melayari kehidupan melalui profesion masing-masing, iaitu pelakon pentas, penjual di jalan, dan pesawah padi. Puzi, secara menarik, menegaskan betapa mereka semua memerlukan perhatian dan simpati masyarakat.
Wadiassofi Jaafar menulis sebuah sajak dan dua buah pantun tentang persatuan ASASI. Sajaknya DI ALAM MAYA berbentuk polos namun berjaya menggambarkan, dengan menarik, perkembangan dunia sastera di internet.
Penulis Zaidin Abadi telah dikenali umum sebagai penulis yang berwibawa. Dalam tiga sajaknya, beliau
xxv
memperkatakan tiga isu yang berlainan: politik, kasih sayang, dan kejiwaan. Ketiga-tiga isu masing-masing dipersembahkan dengan kata-kata dan stail yang bersesuaian. Misalnya, untuk sajak politik berjudul SALAM SERUMPUN, beliau menulis:
Usah gusar pada gelodak masa
atau gelora suasana
rumah kita meski dipisah garis sempadan
istana kita masih kekal di hati
masih utuh perasaan
kasih dan sayang
turunan serumpun.
Penyair Zainon Mohd Noor mempersembahkan tiga sajak yang didahului oleh dua buah sajak yang agak abstrak, diikuti sajak ketiga KAHWIN yang lebih langsung tema dan persembahannya. Namun sajak yang ketiga ini dicirikan oleh susun kata dan nada yang jarang ditemui. Sungguh menarik sekali.
Zakiah Bahari menulis dua sajak ketuhanan dan sebuah sajak kejiwaan. Sajak ketiganya MAAFKAN AKU (bertema kejiwaan), walaupun diberinya judul yang klise, membentangkan idea yang luar biasa tentang puisi. Menarik sekali apabila beliau menyebut begini:
Kini aku sedang mengepong
kata-kata simbolik
antara dunia dan fantasi
siapakah yang dapat dinilai
harmoni dan simponi
mistik atau mantera
akan sampai matlamat sebenarnya.
xxvi
Penyair Zaleena E-Naa mempersembahkan kepada pembaca ungkapan-ungkapan yang matang dan canggih dari segi pemilihan dan penyusunan kata-kata. Saya terasa membaca karya yang profesional apabila menatap ketiga-tiga buah sajak Zaleena. Misalnya, dalam bait pertama dan kedua sajak KEMBARA MENCARI DAMAI, Zaleena menulis:
Dari cangkir rasa
leleh tumpah ke piring jiwa
asap bertunda-tunda
hangat menyelau tubir mata.
Sinar berbalam pada derai mutiara
degup jantung mencungap
sepi bergayutan di alang atma
tak terlayan gejolak rasa…
Tentu sekali sajak grafik ECG menarik perhatian pembaca apabila meneliti karya Zarida Rasdi. Teks sajak itu disusun untuk menyerupai graf ECG (Electrocardiogram). Mesej yang terkandung dalam sajak ini merupakan ingatan kepada pembaca dalam menghadapi hari kematian yang pasti akan menjelma. Graf ECG mengingatkan pembaca yang ia masih hidup tetapi akan pergi apabila graf itu berubah wajah. Sepotong ayat yang “disangkutkan” kepada graf itu memberikan kesan yang lebih bermakna dibandingkan dengan ayat serupa apabila dibentangkan dalam bentuk yang lazim.
Seperti yang saya kata sebelum ini, 75 sajak dalam antologi ini masing-masing mempunyai keistimewaan dan kualiti tersendiri. Semuanya wajar diteliti dan dihayati
xxvii
pembaca yang benar-benar berminat untuk mendapatkan ilmu pemikiran dan keseronokan emosi daripadanya.
-DR. IRWAN ABU BAKAR Presiden, Persatuan Aktivis E-sastera Malaysia (E-SASTERA)
merangkap Ketua 1, Gabungan Komunitas Sastra ASEAN (Gaksa)
Kuala Lumpur, 2.01.2020.
Portal: eSastera.org dan Gaksa.org E-mel: eSastera@gmail.com

Hlm. xxviii

Perutusan Penyelenggara

Dengan nama Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih. Segala puji-pujian buat-Nya. Selawat dan salam buat Junjungan Rasullullah S.A.W.
Syukur alhamdulillah kerana diberi peluang dan kepercayaan menjadi penyelenggara antologi puisi E-Sastera Utara, Senaskhah Diri bersempena majlis silatulrahim yang telah berlangsung pada 2 Mac 2019 bertempat di Hotel Seri Malaysia, Alor Setar, Kedah Darul Aman.
Majlis berlangsung secara santai sambil beramah mesra dengan kehadiran ahli-ahli dari Persatuan Aktivis E-sastera Malaysia (E-SASTERA) bersama Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Antologi Senaskhah Diri memuatkan 75 buah puisi hasil tulisan 25 orang penulis E-Sastera dan juga ASASI yang sedang mencipta nama di dalam dunia penulisan.
Karya-karya puisi mengikut citarasa dan kreativiti penulis sendiri lantas menjadikan antologi ini sangat menarik untuk dibaca. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua penulis yang terlibat. Saya sangat terharu di atas kerjasama yang diberikan.
Di sini saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Presiden E-SASTERA, Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar bin Wan Abas yang telah memberi ruang dan peluang bagi merealisasikan antologi ini.
Tidak dilupai kepada SAS Ahkarim selaku tuan rumah, yang menjadi tulang belakang persiapan majlis silatulrahim yang sangat bermakna pada hari tersebut. Saya juga ingin
xxix
merakamkan ucapan terima kasih kepada SAS Puzi Hadi yang telah membantu dan memberi tunjuk ajar ketika penyusunan antologi puisi ini.
Semoga dengan kelahiran Senaskhah Diri dapat menjadi sumber inspirasi untuk kita lebih berimaginasi dalam berkarya puisi moden dan juga tradisional. Hal ini sekali gus sangat bermakna kepada semua penulis yang terlibat untuk diabadikan sebagai bukti kenangan pertemuan dan kemesraan yang telah terjalin. Semoga ikatan ukhuwah ini terus berpanjangan dan manis untuk dikenang.
Rakaman tahniah kepada 25 penyair yang memeriahkan antologi puisi ini, iaitu Adi Muzaffar, SAS Ahkarim, Amelia Hashim, aNNa, SAS Citranalis, Dahna, Hamizun Syah, Harties, Ibnu Din Assingkiri, Irwan Abu Bakar, Kablam22, Latty Latisa, Mahatilara, Mokhtar Rahman, MRT Nordin, Nur Ain Hanis, Putraery Ussin, SAS Puzi Hadi, Shirley Idris, Wadiasoffi Jaafar, Zaidin Abadi, Zainon Mohd Noor, Zakiah Bahari, Zaleena E-Naa, dan Zarida Rasdi.
Sekian dan terima kasih.

SAS Citranalis
Timbalan Presiden
Persatuan Aktivis E-sastera Malaysia (E-SASTERA)
Ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI)

Hlm. xxx

FOTO
Barisan penulis antologi Senaskhah Diri bergambar kenangan di Hotel Seri Malaysia Alor Setar, Kedah Darulaman

Hlm. xxxi

Alu-aluan Presiden E-SASTERA dan Ketua I GAKSA

Cadangan Jawatankuasa Induk Persatuan Aktivis E-sastera Malaysia (E-SASTERA) untuk mengadakan pertemuan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2019 dan majlis Hadiah e-Sastera.com (HesCom) 2019 di Alor Setar, Kedah ternyata berjaya lebih daripada yang dijangka. Kehadiran ahli dan para jemputan amat menggalakkan. E-SASTERA tentunya terhutang budi kepada dua orang ahli Jawatankuasa Induknya yang tinggal di Kedah, iaitu SAS Ahkarim dan SAS Puzi Hadi.
Pertemuan pada petang tersebut telah menghasilkan antologi puisi Senaskhah Diri garapan para peserta yang berkenaan. Projek ini tercetus atas inisiatif SAS Ahkarim. Kemudiannya berjaya dilaksanakan atas usaha keras SAS Citranalis dan SAS Puzi Hadi.
Saya dan E-SASTERA amnya, amat terhutang budi kepada semua pihak yang terlibat, terutama sekali kepada para aktivis sastera yang menyumbangkan karya masing-masing. Kita berharap agar projek ini dapat membantu memajukan dunia sastera Melayu itu sendiri, terutamanya melalui badan sastera rantau ASEAN kita, iaitu Gabungan Komuniti Sastera ASEAN (Gaksa). Sekian, terima kasih.

Dr. Irwan Abu Bakar
Presiden E-SASTERA dan Ketua I GAKSA
Kuala Lumpur, 01.01.2020.

Hlm. xxxii

Majlis Silatulrahim E-SASTERA 2019 di Kedah
Oleh SAS Puzi Hadi

xxxii
Majlis Silatulrahim E-SASTERA 2019 di Kedah Oleh SAS Puzi Hadi Persatuan Aktivis E-sastera Malaysia (E-SASTERA) bertandang ke Kedah dengan kerjasama SAS Ahkarim mewakili E-Sastera Kedah menjayakan Majlis Silaturahim E-SASTERA 2019 berupa Hi-Tea di Hotel Seri Malaysia, Alor Setar pada 2 Mac 2019 (Sabtu, jam 5.30 petang). Pengisian acara pada ruang dalam cafe begitu kekeluargaan sifatnya memenuhi tiga meja besar (10 tetamu setiap meja). Ada pameran buku-buku terbitan eSastera Enterprise dan keratan akhbar berkaitan kegiatan ahli E-SASTERA. SAS Ahkarim Abdul Halim membuka mukadimah sejarahnya dan rakan penulis di Kedah dan tanah air bergiat bergiat aktif di laman sesawang E-Sastera sejak tahun 2002 bersuara di dunia internet melalui e-Sastera.com. Beliau kagum dengan pendiri E-Sastera dan peneroka sastera maya tanah air, iaitu Prof. Dr. Irwan Abu Bakar. Sekian lama eSastera aktif menerbitkan buku ahlinya secara perseorangan dan antologi bersama. Ramai penulis tanah air termasuk Sasterawan Negara pernah mengikut kegiatan eSastera. Ramai penulis tersohor lahir secara tidak langsung daripada eSastera. Malah kini beberapa editor majalah sastera dan akhbar tanah air pernah bersama eSastera di peringkat awal pertumbuhan mereka sebagai penulis. Ketika
xxxiii
Itu, E-Sastera satu-satunya wadah yang ada di internet berbanding kini bak cendawan tumbuh. Ketua I ASASI, Puzi Hadi bercerita pengalamannya bersama E-Sastera sedikit lewat hanya pada tahun 2010. Berbanding SAS Ahkarim dan rakan-rakan ASASI Kedah sejak tahun 2002. Malah banyak kegiatan Prof. Dr. Irwan Abu Bakar di Kedah dari dulu hingga kini secara berterusan. Irwan Abu Bakar pada ucapannya mengakui cabaran membangunkan sastera maya eSastera melalui laman sesawang dengan pelaburan agak tinggi satu masa dulu berbanding kini sesiapa sahaja boleh aktif berkarya melalui Facebook. E-Sastera turut menubuhkan badan penulis untuk kegiatan luar dunia maya. E-Sastera juga menerima hakikat yang sama menyertai halaman Facebook beberapa tahun mutakhir ini. Beliau kini sedang melebar sayap eSastera disertai penulis dari Asean iaitu Malaysia, Indonesia, Singapore, Thailand, dan Brunei Darussalam melalui grup Facebook, E-sastera Vaganza Asean. Di akhir ucapan, Irwan Abu Bakar selaku Presiden E-SASTERA mengumumkan anugerah Sasterawan Alam Siber (SAS) keenam kepada penyair dan Timbalan Pengerusi E-SASTERA, Ruslina Mat Rakib bernama pena Citranalis. Hal ini menambah kepada lima SAS sedia ada, iaitu Anbakri Haron, Al-Abror Mohd Yusuf, Nik Mohd Iznan, Puzi Hadi, dan Ahkarim. Peserta majlis silatulrahim mewakili E-SASTERA ialah Prof. Dr. Irwan Abu Bakar, Kuntom Embong (Hasimah Harun), SAS Ruslina Mat Rakib, Ilya Kablam, MRT Nordin, dan Tadrinz. Peserta dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang, dan Melaka ialah: SAS Ahkarim, Mansor A Hamid, Mokhtar Rahman, Nik
xxxiv
Dahna Megat, Noraihan Baharom, Nur Ain Hanis, dan Zaidin Abadi. Seterusnya Adi Muzaffar, Amelia Hashim, Hamizun Syah, Harties, Ibnu Din Assingkiri, Latty Latisa, Nawawi Awi, Putraery Ussin, Shirley Idris, Wadiasoffi Jaafar, Zainon Mohd Noor, Zakiah Bahari, Zaleena E-Naa, dan Zarida Rasdi. Jazakumullah khairan kasira tidak lain kepada SAS Ahkarim dan isteri, Kak Ruzy serta ahli keluarganya yang merealisasi majlis Hi-Tea E-SASTERA dengan sempurna.

● Sumber: FB Puzi Puzihadi, 2 Mac 2019.

Foto: Citranalis dianugerah Sasterawan Alam Siber 2019.

Hlm. 1

PUISI

Hlm. 2

ADI MUZAFFAR

BIODATA. Seorang guru di Jitra, Kedah. Pernah main-main dalam program Pengkarya Guru anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. Puisi-puisi pernah diterbitkan di dalam Antologi Penulis Kedah – Segenggam Tasbih (2014), Merungkai Mimpi (2015) terbitan Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), antologi cerpen Melerai Rindu (2017) terbitan UUM Press, kumpulan anekdot Aku, Dia & Sekolah (2018) terbitan Buku Loncatan, antologi puisi dan cerpen Sang Pencinta (2018) terbitan ASASI, dan antologi puisi Meracik Purnama (2019) terbitan PENA dan MBKM. Sekali-sekala puisi dan cerpen tersiar di majalah Dewan Sastera. Pernah mencuba-cuba menulis novel tetapi sayang sekali tersimpan di almari penerbit. Cuma mahu ‘main-main’ dengan diksi dan majas; katanya mahu jadi penulis, ternyata bukan senang!

Hlm. 3

Pintu
satu
harus
lawan
arus
bebas
dogma
tidak
mati.

Pintu dua
tidak durja
menjadi kebohongan
menjadi kebenaran.

Pintu tiga hidup ini perjalanan
bukan perihal destinasi gejolak teguh.

KUNCI

Hlm. 4

LELAKI DI HADAPAN MERAH SENJA

Dia menangis
tidak dapat menahan-nahan lagi.

Tangannya digenggam
dibawa lara sepanjang usia.

Di matanya
ada sakit tidak teraduh
ada dendam tidak tercungkil
amarah tenggelam dalam
air mata.

Di mana lagi dia menyembunyikan air mata
kalau bukan di merah senja
sehingga lukanya kering diam-diam.

Seperti hujan yang menyerahkan
dirinya pada laut
seperti pohon yang memasrahkan
usianya pada tanah
dia tidak menangis lagi.

Jitra, Februari 2019.

Hlm. 5

SINGKAP

Belajarlah dari hud-hud
melangkau takhta penunduk matahari
mengangkasa ribuan batu
demi menyampaikan kebenaran
asbab hidayah-Nya.

Belajarlah dari Qitmir
setia di hujung nyenyak
sebelah terbuka sebelah tertutup
membentengi tiga ratus sembilan tahun
pelarian ashabul kahfi pengasingan fitnah.

Belajarlah dari gajah Abrahah
mengunci gerak mengheret gading
sempurnakan takut pada Al-Malik
walau cemeti di hujung kaki
yakin maut tidak pernah
mengurangi sesuatu dari dirinya.

Makna tersingkap
dari segala isi alam
dari Maha Perencana
pulihkan hati yang mati,
putihkan hati yang hitam,
kekalkan hati tumpu yang benar.

Jitra, Mac 2019.

Hlm. 6

Ahkarim

Ahkarim nama pena bagi Abdul Halim A Karim. Pesara kerajaan yang menceburi bidang penulisan kreatif selepas bersara sejak tahun 2002. Beliau menekuni bidang cerpen, puisi, dan novel. Beberapa karya beliau telah tersiar di majalah dan akhbar. Beliau juga telah memenangi beberapa sayembara penulisan, antaranya anjuran majalah Jelita dan laman sastera maya e-Sastera.com Antara karyanya yang telah dibukukan ialah dua buah kumpulan cerpen, iaitu Mou Sumi dan Tanika, sebuah kumpulan puisi Suara Anatagonis, sebuah novel Sir Khatim, di samping termuat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi yang lain. Menerima anugerah Sasterawan Alam Siber (SAS) daripada E-SASTERA (2016).

Hlm. 7

Perahu kecilku sampai juga di pangkalan
setelah lama beroleng di sungai sering beriak dalam tenang
bermudik ke hulu hilir mengukur lebar dan dalam
bertanya khabar memberi salam
singgah di sana sini mengintip rezeki.
Muatan kukutip sekadar cukup bekalan
sewajar mengisi ruang di kolek
setakat tahan berat termuat
sekuat gagah kudrat sarat diangkat
buat menyara sanak-saudara dan suku-sakat.
Perahu kecil itu bukan warisan moyang
kukerah anak buah menyingsing lengan
dari balak sederhana yang rebah di hulu
kami kikis kilir ukir sehingga licin
terjelma sebuah kolek dikorek dan dilorek.
Kami raut sebilah dayung buat pengayuh
kami ikat buluh dan bertam menjadi sebuah rakit
kami benam bakau, bina sebuah pengkalan kecil
dengan penuh debaran kolek cecah ke dada air
dengan Bismilah kami luncur mengikut arus pasang.
8
Dua dasawarsa perahu mengapung
dari sebuah kolek kecil menyusur tepian
dari muatan kecil buat sara seharian
ke sebuah perahu kukuh meredah laluan
ke muatan berat buat makan sekawan.
Nah, sambutlah dayung ini
kemudilah perahu ini ke muara
punggahlah muatan dagang di kuala
tinggallah juragan tua di pangkalan lama
bernostalgia sebuah impian yang jadi nyata.
As-syajarah, 15.03.2019.
*Cerita tentang mengasas dan mengemudi KOPERASI PEGAWAI JPJ KEDAH … APRIL 1997- APRIL 2019.

Hlm. 9

(Pohon itu bernama eSastera)
Dengan sebatang pena kelarah dia mencari arah. Dakwatnya kering kerana menulis tidak sering. Dicuba menggores susun aksara menjadi kata. Dicuba lagi mengatur kata menjadi frasa. Dirangkai disambung menjadi semacam sebuah cerita, sebuah puisi atau entah apa. Dikibar-kibar karya cipta kepada angin, kepada awan, kepada pokok, kepada alam semesta. Dibacanya kepada sekumpulan kucing.
Termangu. Lalu dilontar pena ke dinding. Dicarik-carik kertas, ditabur dibawa angin. Dicapai sebuah basikal, dikayuh ke bandar, mencari akal. Direncam dunia, di celah berita penghibur menikah cerai, tersisip berita seni dan budaya. Terkisah sebatang pohon di ladang sastera. Seorang mahaguru berkebun di maya. Terbeliak matanya menjegil lalu bertanya: apa gerangan ini pohon teduhan di hujung usia?
Dicapai semula pena hampir patah. Dinukil sebuah puisi Inggeris. Menyusup masuk di bawah pohon maya. Hatinya kembang bak span direndam. Dada berombak bak dipukul tukul. Mata dibeliak merenung kaca. Jemari menari di papan kekunci. Dipunggah seluruh almari diri. Dihumban semua ke sungai seni.
10
Hampir dua dekad pohon maya menaungi. Masih mahu berteduh menyejuk diri. Masih mengukur bayang. Masih mengutip daun melayang. Masih menyapa burung di cabang. Masih mengukir nama di batang. Masih membaja dan menyiram.
Tiba-tiba terlantun suara serak sebak: Terima kasih mahaguru pemilik dusun. Di bawah pohon indah di dusun seni, berteduh si tua sekadar cuba memaknai diri.
As-syajarah, 28.03.2019.

Hlm. 11

Dari sebuah novel ke sebuah novel
diceritera oleh pemegang kalam
dilukis indah bahasa dan warna alam
kisah-kisah pengisi jagat buana
sehingga aku melamun masuk bersama
tiada kuhirau betul tidak rencam suasana
kerana asyikku mahu lari dari kebisingan dunia.
Aku hilang ke dalam cerita
tentang pengemis rakus menyedut udara
mencari seteguk air di perigi buta
penghuni keraton terapung di awan
berjalan ranggi bermahkota di kepala.
Kisah pemburu di hutan
membunuh lalu menyiat kulit
melapah, membakar, memamah dan menelan
sendawa kekenyangan
lena mendakap dewi kayangan.
Cerita penyangak bersongkok hitam
berbusana songket benang emas
mengumpul menimbun harta curi
terbang ke sana ke mari bersayap keluli
menerima anugerah agung dari seribu universiti.
12
Kubaca juga cerita kembara indah
seorang alim mengaku ahlul bait
penyebar Kalimah dan Surah
sungguh, kembang tenang dadaku
sayang, sebenarnya dia pecacai duli tuanku.
Lalu kutukar genre
kubaca antologi puisi budak jalanan
melaung revolusi tanpa makan gaji
tersadai kotor di bawah titi
bercita membina negara serba suci.
Ah, biar aku terus duduk hanya membaca novel.
karya klasik epik berusia beratus tahun
tentang watak-watak mulia dan agung
menjatuhkan takhta dan raja sombong
walau mereka sering bertanya:
Siapa sang pencipta?
lalu mereka juga jawab selamba; akulah tuhan mereka.
Tetapi tenang yang kucari sering terganggu
kerana aku bukan pembaca dungu
benakku diduga soalan beribu
TENTANG KEBINATANGAN MANUSIA
TENTANG KEMANUSIAAN BINATANG.
As-syajarah, 20.03.2019.

Hlm. 13

Amelia Hashim

BIODATA. Dilahirkan di Guar Chempedak, Gurun Kedah. Memulakan kerjaya sebagai wartawan dan editor di Warta Darulaman. Jawatan terakhir sebagai Penolong Pegawai Penerbitan, Unit Khas Penerangan Kerajaan Negeri Kedah. Pernah menjadi fasilitator Program Penghayatan sastera Budaya (PPSM) di Pusat Latihan Khidmat Negara sejak 1997-2012. Karya-karya beliau mendapat tempat di DBP, ITBM, Upena, Rhythm, Creative Enterprise, MKNK dan lain-lain lagi sama ada di media cetak ataupun media elektronik. Memenangi Anugerah Sastera Perdana (2013), Anugerah Sastera Utusan (2015), Sayembara Novel Sejarah Johor (2014), Anugerah Oskar Seri Angkasa (1989), Hadiah Sastera Utusan Public Bank (1990), Pertandingan Menulis Skrip Drama Pentas Sebabak (1991), Pertandingan Menulis Skrip Drama TV (1992), Pertandingan Menulis Cerpen Sejarah (2000), dan Formula Malaysia 2000. Mendapat Anugerah Bintang Kebaktian Masyarakat (BKM) oleh Sultan Kedah (2004).

Hlm. 14

Rumah kejujuran terkunci pintunya
kuketuk dinding penantian
begegar dada kesabaran
luruh jantung keimanan.
Sandiwara apakah di dalam?
di balik tirai rahsiamu yang diam
kau biarkan aku tercari-cari jawapan.
Terjaga pagi kuingat mimpi
bulan dan daun
kubah dan awan
zodiak yang ditentukan Tuhan
secawan teh di atas meja
gulanya rindu yang kauseduh
dengan seikat janji setia.
Alor Setar, Kedah, 14.11.2017.

Hlm. 15

Rumah berisi kebahagiaan
bukan pertapaan terakhir
segelas luka mengalir
kau dapat mendengar bisikanku
liang sukma tidak berpenjuru.
Emas tidak bersepuh
warnai mentari jingga
kerana menyimpan sumpah
demi sebuah penghargaan.
Usah sesali diri
setelah aku pergi
kelopak kasih koyak berderai
jangan sekali-kali mengutip
aksara yang terjatuh di lantai.
Bandar Seri Begawan, Brunei, 29.05.2015.

Hlm. 16

Ketika padang terbakar
seekor belalang terbang ke awan
meluruhkan sepasang sayapnya
yang kudus
Tuhanku.
Basah doa
menakung di kepulan awan
yang menitiskan hujan
dingin nyaman
seumur hayat.
Rayuan ibu kepada Tuhan
kasih
dan sayang
terkulum di mulut beburung itu
terhimpun dari waktu ke waktu
sepuncak gunung
untukmu
wahai anak-anakku.
Jitra, Kedah, 9.07.2015.

Hlm. 17

aNNa Raihan

17
Nama sebenar Noraihan binti Baharom, menggunakan nama pena aNNa Karenina dan aNNa Raihan. Berasal dari Perlis dan menetap di Kedah. Lulusan bidang kejuruteraan dari Universiti Putra Malaysia. Jawatan sekarang ialah Guru Fizik. Mula mendekati bidang penulisan kreatif pada awal tahun 2006 melalui portal e-Sastera.com dan pertama kali menulis sajak setelah menyertai Komuniti Penyair e-Sastera. Aktif menghasilkan sajak dan ‘English Poem’ di portal e-Sastera di sekitar tahun 2006 – 2009. Tiada pendidikan formal dalam bidang penulisan, hanya sekadar mencuba dan mendapat bimbingan awal terutamanya daripada sifu Zaidin Abadi dan seluruh warga e-Sastera ketika itu.

Hlm. 18

Ada rasa yang terpendam
ada rindu yang tertangguh
ada makna belum terungkap
ada suara yang tenggelam
di celah rekahan silam, semalam.
Kekasih,
sambutlah tanganku
dendangkan kembali lagu rindumu
seperti dendanganmu, terdahulu.
Teras Resak, Kedah D.A.

Hlm. 19

Telah kuselami
ke dasar hatimu.
Telah kuselusuri
hikayat cintamu.
Telah kuteguk
manisan rindu.
Dan telah jua kusambut
lontaran kasihmu.
Kan kukunci kemas
di lipatan jiwaku.
Teras Resak, Kedah D.A.

Hlm. 20

Telah lama aku mencuba
untuk kembali ke sini semula
aku tidak ke mana-mana
sekadar menyendiri di jaluran bianglala
sesekali terdengar jua
kau merintih dalam keluh kesah
dari celah gugusan bintang berjuta
terkadang di balik kepulan nimbus
di lapisan strata.
Kekasih,
bantulah aku menjelma
agar resah rindumu dapat kureda
sesungguhnya aku sudah bersedia.
Teras Resak, Kedah D.A.

Hlm. 21

Citranalis

21
Citranalis nama pena Ruslina binti Mat Rakib. Dilahirkan di negeri Jelapang Padi, Kedah Darulaman. Timbalan Presiden, E-SASTERA (Persatuan Aktivis E-sastera Malaysia) dan ahli ASASI (Angkatan Sasterawan Nasional Kedah). Menganggotai Grup Puisi Pinggiran Darulaman sekitar tahun 1980-an. Mengikuti kursus-kursus penulisan yang dianjurkan oleh Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) seperti kursus asas penulisan, kursus penulisan kreatif, penulisan berita dan rencana, kursus penulisan skrip drama, dan beberapa bengkel anjuran PROKSI, DBP, PENA, dan ITBM. Karya-karya lebih tertumpu kepada puisi dan cerpen. Pernah mendapat tempat di Radio Malaysia Alor Setar, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Warta Darulaman, Mingguan Wanita, Majalah Intisari, beberapa akhbar tabloid yang lain, dan Sastera.net. Menerima anugerah Sasterawan Alam Siber (SAS) daripada E-SASTERA (2019).

22

Dahan bidara dipancang rata,
dibersih duri menggalas peti,
sopan bicara merancang kata,
kasih diberi seikhlas hati.
Dibersih duri menggalas peti,
berat berangan penuh muatan,
kasih diberi seikhlas hati,
erat hubungan kukuh ikatan.
Berat berangan penuh muatan,
bekal dirasa bertutup lama,
erat hubungan kukuh ikatan,
kekal sentosa hidup bersama.
Hotel Seri Malaysia, 2.03.2019.

Hlm. 23

/i/
Dingin membaluti
selaut rasa
anugerah
pencipta
/ii/
Berpegangan tangan
menyusur pantai
perjanjian
setia
/iii/
Di Pantai Gelora
ombak berbisik
deru angin
kenangan
Kuantan Tembeling Resort, 17.03.2019.

Hlm. 24

Di celah-celah lorong
suram kelam berbalam
sepi meratah sengsara
sendu dalam rindu
ratap simpati.
Malam di Bukit Bintang
melukis seribu wajah
realiti dan ilusi
mencari mimpi
tak pasti.
Bukit Bintang, 29.03.2019.

Hlm. 25

Nik Dahna

25
Nik Dahna binti Megat bernama pena Dahna. Berasal dari Dungun, Terengganu dan kini menetap di Kedah. Beliau menganggotai Jawatankuasa ASASI dan ahli Persatuan Aktivis E-sastera Malaysia (E-SASTERA). Beberapa buah antologi puisi bersama telah diterbitkan. Beberapa buah karyanya juga telah tersiar di dalam akhbar perdana, Dewan Sastera, Jendela Utara, dan Tamadun Islam. Puisi “Bebayang” memenangi tempat ketiga Anugerah Penyair Alam Siber 2012; Pemenang pertama, puisi “Menulis Kisah Seram” (KOSAS, 2013); puisi “Ros Untuk Zurra” memenangi tempat ketiga Anugerah Penyair Alam Siber 2014; Pemenang kedua Sayembara Puisi Merdeka anjuran UUM (2015) iaitu “Di Mimbar Merdeka”; dan Pemenang bulan Julai akhbar Utusan Malaysia (Ruangan Sabtu) dengan puisi “Memilih Sejarah Terpilih.” Dahna juga berminat di dalam bidang seni lukis dan terlibat di dalam pameran di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur dan Balai Seni Lukis, Alor Setar serta lainnya.

Hlm. 26

Ingin sekali kusambung garisan hujan yang mencium bumi seperti dapat kusambung kembali titik waktu yang terhenti di muara hayatmu.
Biar, biar garisan hujan yang bercantum itu menjadi melodi indah lalu kita berjalan di sela titisnya saling menikmati lagu kasih merdu dan sakti meneduh segala bahang di dunia.
Sayangnya, deras hujan yang meluru memadam hasratku yang semakin keliru harus kugaris titisnya yang mana satu kala garis hujan itu bersatu dengan hujan di hatiku aku semakin buntu mencari hujung dan bucu lalu semuanya larut di muara waktu.
Ibu!
Jitra, Kedah, 27.03.2019.

Hlm. 27

Waktu membiru
oleh rindu yang tak tertanggung.
Kembara ini berliku
tak satu pun menjadi mudah
dan aku semakin dapat merasa
beban di pundakmu
sedang, segumpal kapas di bahuku
bebannya ternyata seksa.
Waktu membiru dan semakin membiru
oleh tangis yang tak terhitung.
Usia kian mereput
tak mudah memunggah lara
untuk mengukir senyum di mata sesiapa
dan aku semakin belajar
bagaimana engkau menyimpan air mata
di saku rahsiamu, ayah.
Dan rindu ini semakin membiru
sekalipun pada bayang-bayangmu!
Jitra, Kedah, 27.03.2019.

Hlm. 28

Ke mana engkau gadis
dengan seberkas mawar
merahnya telah lesi
dicambuk nista, dan
tajam durinya telah hilang
dipatah dusta sang satria.
Berkali hujan dan matahari berbisik
sekuntum mawar menjadi sakti
merahnya digeruni
dibaja jati diri
tersimpang noda
tetapi engkau enggan peduli!
Jitra, Kedah, 27.03.2019.

Hlm. 29

Hamizun Shah

29
Anak kelahiran Kampung Rimba Terjun, Pontian, Johor Darul Takzim. Membesar di sekitar Butterworth, Pulau Pinang dan serata daerah di Negeri Jelapang Padi, Kedah Darul Aman, sejak berusia lima tahun. Mula terlibat dalam penulisan kreatif genre sajak, cerpen, dan novel sejak tahun 1991. Sajak dan cerpennya tersiar di akhbar dan majalah, juga termuat di dalam antologi bersama. Sehingga kini, dua buah novel telah diterbitkan iaitu Idola Misteri (Karangkraf Enterprise) dan Seni Takdir (Kopen). Dua buah kumpulan sajaknya, Masuklah Ke Dalam (Shita Design) dan Bercerita Lagi (Shita Design). Menyertai Persatuan Penyair Pinggiran, Kedah (PINGGIRAN) dan Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI).

Hlm. 30

Merdeka aku
dari penjara lampau
ragu kubasuh menyuluh puncak percaya
tidak jemu mengadu kepada Maha Tahu.
Bebas aku
dari sangkar silam
belum lengkap doa-doa suci
kuisikan menghiasi warna-warni peribadi
mohon pengampunan mutlak Maha Muktamad.
Merdeka!
Bebas!
Makna paling berharga
adalah menjemput aku ke istana pengabdian.
Penjara!
Sangkar!
Tidak pula kumaksudkan sebuah kematian.
Makam Diraja, Langgar, Kedah,
20.05.2018.

Hlm. 31

Memandang aku ke dalam diri
memutuskan tali pengharapan kebendaan
bersauhkan pergantungan mutlak
kepada hak yang lebih berhak
mengadu aku dipisahkan merebut
segala sementara yang sia-sia
gelora rindu gelombang cinta
tiada kepada yang lain; melainkan…
Kata sepasang mata
usah leka membilang bentuk buruj di langit pesona
kata sepotong lidah
biar asyik menghitung nama-nama sempurna
pada kerdip setiap bintang
tersimpan kasih sayang melebihi laut bumi
tidak sanggup berenggang.
Semoga esok
ribut kalut masih lembut
tidak merampas keindahan ini
mengajak aku ke dalam sanubari
tanpa setitik pun buih waktu tergelincir.
Kampung Pokok Asam, Langgar, Kedah,
4.06.2018.

Hlm. 32

Senaskhah kitab kendiri ada di genggaman
kulit muka depan melakarkan garis berpetak-petak peringatan.
Kuhadamkan pemikiran
pada babak pertama
gaya bahasa tamsilan
manusia berhiaskan permata memancar kuasa
berulang kali; bertanya tentang hajat belum tertunai
di mulut tumbuh tuduh-menuduh
di lidah bercambah fitnah berdendam
di jiwa terbawa-bawa iri dan dengki.
Ku lunyaikan pengertian
pada babak seterusnya
langgam ayat berkias
sekumpulan manusia disita segala mewah
celupar mendesak dipulang seluruh megah
membuak permintaan
mengeluh memaksa
semua kehendak segera tercapai
sedang serakah bertimbun semakin bertambun-tambun
tanpa sedikit pun memohon ampun,
33
Pada kulit belakang kitab kendiri
tersusun rumusan akhir
serangkap rujukan
tiada yang dianggapkan sebuah doa
melainkan
pengabdian pada setiap ruang.
Sungai Mati, Langgar, Kedah,
11.08.2018.

Hlm. 34

Harties

34
Harties nama pena kepada Siti Esah Musa, PJB, diputerikan di Kampung Beralas, Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang pada 15 April 1955. Memperoleh pendidikan di Universiti Malaya Kuala Lumpur, Institut Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim Perak, Maktab Perguruan Kuantan Pahang, SMK Abdul Rahman Talib (SMART) Kuantan Pahang, SMK Maran (SMKM) Maran Pahang, SK Kuala Sentul, Maran Pahang. Menjawat jawatan Guru Cemerlang DG 48. Sekolah terakhir sebelum pencen SMK Dato Jaafar Hassan Bukit Keteri, Perlis.

35

Air mata yang luruh
mengikat pilu di kalbu
terhempas segala rasa
di kubur duka.
Aku yang kekosongan
menghitung buih kesunyian
di pesisir keseorangan
berteman keresahan.
Mentari yang hilang
tinggalkan resah panjang
dupa cinta yang kehabisan bara
ditiup sepi tinggalkan asap nestapa.
Alor Sena, Perlis.

Hlm. 36

Sejambak rindu
yang engkau tinggalkan
masih segar di jambangan kasih
masih menghijau di laman hati.
Tahlil dan zikir
yang aku tasbihkan
menjadi peneman
aku yang kehilangan.
Moga engkau, suamiku
damai di sana
melewati masa berlalu
moga Allah beri hidayah
buat menemani jalanmu
menuju syurga.
Alor Sena, Perlis.

Hlm. 37

Angin timur
yang berhembus
di musim kering
bersalut hangat.
Rumput harapan
kelayuan terkulai
di padang tandus
menanti setitis hujan
moga gugur dari celah
mendung yang bergumpalan
di langit kering
musim kemarau.
Alor Sena, Perlis.

Hlm. 38

IBNU DIN ASSINGKIRI

38
Ibnu Din Assingkiri, nama pena penulis Sanusi bin Din. Dilahirkan di Singkir Laut, Yan, Kedah pada 4 Mei 1970. Graduan Sarjana Muda Pengajian Inggeris dengan Kepujian di UNITEM (OUM). Berkhidmat sebagai Penolong Eksekutif Kanan Latihan dan Perkembangan Sumber Manusia. Beliau ialah jurulatih/fasilitator bertauliah Kementerian Sumber Manusia. Ahli Jawatankuasa Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) bagi sesi 2019-2020. Cenderung menulis puisi, cerpen, dan apresiasi serta kritikan karya sastera. Menulis secara serius semenjak tahun 2010 dan telah menghasilkan dua naskah kumpulan puisi serta dua naskah kumpulan cerpen. Karya eceran dan makalah beliau telah terbit di pelbagai media arus perdana. Selain menulis di tanah air tercinta, beliau ikut bergabung dengan penulis se-Nusantara dan telah membukukan 17 antologi bersama.

39

Tak percaya, mereka tidak seperti kita?
bukan beza pada kerusi atau fesyen dasi
pada gelar pangkat bertingkat-tingkat
atau jenama jam tangan, juga tas tangan.
Mereka tuli. Mereka tidak peduli
akan getir payah hidup kita bersusah
diikat perut oleh cukai serta harga menjerut
dihimpit kuasa beli semakin kecut nyali.
Lihatlah air muka yang bermuka-muka
jasad di sini, fikiran peleseran di sana sini
kita hadir dengan cinta bahasa juga sastera
mereka hadir untuk digilap piala kuasa.
Sia-sia kalau teriak-teriak waktu baca sajak
tsunami dari dalam diafram sudah tenggelam
dalam kompang sembang para tamu diundang
syyyhhh! Tarik nafas, perlahan-lahan dilepas….
Batu Kawan, Pulau Pinang, 2.06.2015.

40

(Setelah hampir berusia 69 tahun)
Pak tua kini berdepan
kanser pucuk hierarki
kelemayuh sinambungan
lumpuh kakitangan.
Pak tua sedar
tapi hanya mendengar
yang dia hendak tahu;
abaikan yang perlu tahu.
Pak tua degil
nasihat Doktor Umum
takut amputasi
anggota tak berfungsi.
Pak tua berkeras
pakai khidmat dukun
akur kepada bantuan
nasihat jin dan syaitan.
Batu Kawan, 16.02.2015.

41

Ababilkah mengirim kifarah
seisi bumi hangus dijilat api
bak daun-daun dimakan ulat
bagai tentera bergajah Abrahah
dibakar oleh batu neraka…
Berdekad kekejaman berleluasa
kisah Sabra dan Shatila muncul
berapakah kali; hilang bilangan
menyiat luka untuk dituang cuka
dongak ke langit bermasam muka.
Inikah jawapan yang ditunggu
setelah sekian lama berharap
balasan setimpal perbuatan —
bangsa agung paling kejam
mengoyak-ngoyak kemanusiaan.
Patutkah kita bersorak-sorai
melihat harta benda musnah
mayat rentung bergelimpangan
wajarkah kita bertepuk gembira
walhal kifarah-Nya pukul rata.
42
Setelah lama bermasam muka
apabila mendongak ke langit
tunduklah kembali melihat bumi
Dia Maha Adil dalam memberi
Dia Maha Adil dalam membalas.
Citadines Apartment Hotel, Cyberjaya.
29.11.2016.

Hlm. 43

IRWAN ABU BAKAR

43
Dr. Ir. Wan Abu Bakar bin Wan Abas lahir pada 1951 di Segamat, Johor. Jurutera profesional dan mantan profesor kejuruteraan bioperubatan di Universiti Malaya (UM). Menulis sastera di media massa sejak 1995. Telah menghasilkan tiga kumpulan puisi, sebuah kumpulan cerpen, dua buah novel, dan beberapa buah buku sastera nonkreatif. Pernah memenangi Anugerah Sastera Johor (puisi eceren dan buku sastera) serta Hadiah Sastera Perdana Malaysia (cerpen eceran). Irwan dikenali sebagai pelopor dan pengaktif sastera siber (bermula Februari 2002) melalui portal dan gerakan e-Sastera.com. Pada 2010, gerakan itu didaftarkan sebagai Persatuan Aktivis E-sastera, Malaysia (E-SASTERA). Kini gerakannya dikembangkan melalui Gabungan Komunitas Sastra ASEAN (GAKSA) dan portal karya “E-sastera Vaganza

44
ASEAN”. Secara profesional, Irwan kini ialah Pengarah syarikat BioApps Sdn Bhd. Di dunia NGO, Irwan ialah Presiden E-SASTERA, Ketua 1 GAKSA, Setiausaha, Persatuan Mantan Profesor Universiti Malaya (PMPUM), Presiden, Persatuan Prostetik dan Ortotik Malaysia (PPOM), dan Timbalan Presiden, Persatuan Biomekanik, Malaysia.

45

SEBUAH DRON NAKAL

Ia terbang
mata melilau
kiri, kanan, atas, dan bawah
entah siapa mangsa
di hati pengemudi.
Kuala Lumpur, 14.03.2018.

46

SECAWAN TEH TARIK

Secawan sahaja
teh sahaja
tertarik sahaja
tak dahaga pun.
Kuala Lumpur, 12.04.2019.

47

SEMANGKUK IKHLAS DI SUDUT PULAU

Sebiji mangkuk
di atas meja
di depan pintu
kamar kecil.
Mangkuk sendirian
duduk menadah
50 sen sahaja
tagihan upah.
Mangkuk bisu
berkata tak bisa
sekeping poster
wakil bicara.
Kosong kerusi
di sisi mangkuk
wang disumbang
siapa pemilik?
Dalam ragu
kuseluk saku
masukkan 50 sen
selepas kencing.
Kuah, Langkawi, 8.07.2017.

Hlm. 48

Kablam22

48
Wan Nur-Ilyani bt Wan Abu Bakar ialah vokalis GLP (Grup Lagu Puisi E-SASTERA) dan telah menghasilkan dua album lagu puisi terbitan Esastera Records, berjudul “Perada Cinta” dan “Dot Dot Dot”. Kablam22 seorang penulis di eSastera.com dan telah menghasilkan sajak di dalam pelbagai antologi terbitan e-Sastera.com. Mula menulis puisi sejak tahun 2002 secara serius dan sistematik dan menerbitkannya di laman web e-Sastera.com, Kablam22 ialah seorang penyair siber yang tegar menulis di alam siber, khasnya di e-Sastera.com.

49

Pada suara hujan yang menderu ada merdu rindu pada-Mu. Maafkan aku yang bertamu waktu semakin luluh hati masih jauh. Suara hujan adalah hakikat dalam setiap saat rahmat-Mu mendekat. Akukah hamba-Mu yang taat waktu semakin luluh hati masih jauh. Kuala Lumpur, 16.04.2019.

50

Bulan menerangi hati yang selalu digilis rindu. Di dalam sepi, sering kali masa bersatu menjadi angan yang kosong, polos. Gerak-geri waktu sering menipu, barangkali untuk mengurangkan sakit di dalam hati. Angan-angan datang bagai awan yang menghiasi, hanya untuk mencantikkan biru hati yang kosong. Tiada lagi hidup yang bermakna. Tiada lagi cinta yang dikenal. Yang tinggal cuma bayang-bayang akal di atas sekeping kertas, menjadi puisi. Kuala Lumpur, 16.4.2019.

51

Bersamamu meniti jambatan awan tak kulawan. Bersamamu menyeberang sungai dingin tak kusangka. Bersamamu bertiup angin dingin lambang cinta. Bersamamu mengharung debar rimba tak kureka. Bersamamu bertanyakan soal Dia tak kuduga. Takdirnya sering membawa kita terus sepi. Kuala Lumpur, 16.04.2019.

Hlm. 52

Latty Latisa

52
Nama pena Latty Latisa @ Hajah Lattiffah Hj Mohamad ialah anak jati Melaka. Beliau berkelulusan Diploma Bussines Administration, pernah bekerja di Petaling Jaya dan Johor Bahru. Beliau bergiat aktif dalam bidang penulisan sejak dari sekolah menengah sehingga kini. Mula berjinak menulis sajak di akhbar dan mendapat tempat di Radio Melaka pada tahun 1988. Seterusnya menghasilkan karya buku pada tahun 2015. Karya beliau lebih tertumpu kepada genre puisi dan cerpen yang diterbitkan di media tempatan dan Nusantara dengan menggabungkan karyawan serumpun hasil kerjasama dari penulis dan penyair terkenal Dato’ SN Kemala (Ahmad Khamal Abdullah). Sehingga kini beliau menghasilkan sebanyak 13 buah karya termasuk Kemboja Merah di Telapak Tangan (2019).

53

Di bawah langit putih
kuntum-kuntum pasrah
berkembang bak bunga
kemboja putih menyisir malam
wangi pesona
menghantar kasih
berjubah rindu bersifat syafaat
menyulam takbir ke jalan taubat.
Di sini aku
bersetia di kota janji
sendiri berdiri mengira hari
rahsia dari-Nya
kudup masa bertukar musim
seorang musafir
termenung di jendela
alam mengalir
laju di sungai ibadah
betapa Rejab mengejar Syaaban
begitulah akrab Bukit Safa dan Marwah
bersaie tujuh kali
menghadap kiblat
tertib bersifat berhati suci
mencari cinta dengan wuduk sempurna
serupa magnet positif dan negatif
54
mencari hidayah pahala besar.
Baju reda bercincin mukjizat
tersangkut di bahu ihram
mencerah seberkas cinta
niat di hati tidak terhakis
bila air hujan melanda
putih sesuci bak langit bermutiara
menjahitkan amalan iman
soleh diterima oleh Tuhan.
Bicara langit pasti
pekerjaan haji dan umrah
disyukuri sebagai perisai
tidaklah rugi
begitu manfaat
di kemudian hari serupa
cinta dan sayang disebut berkali-kali
dan air suci zamzam tiada bandingan
di cahaya rahsia-Mu.
Madinah Al Munawarah,
Jam 3.52 pagi, 17.05.2018.

55

Rindu dan doa
tidak pernah mati
kasih kita tumpah
di hening petunjuk arah
pada helai ihramku di umrah.
Sayangilah rindu
rindulah pada yang kasih
akrab dengan kejujuran
bersalamlah keikhlasan
menjambangi nurani
seteguh benang iman berhuruf Alif.
Engkau ialah pelita
menerangi wajah
membening cahaya
kalbu berqiam luaskan rezeki
tenteramkan jiwa seluas lautan
seperti awan berakhir hujan
yang renyai itu berdoa
kujadikan puisi untuk-Mu
sebagai setia yang bertanda
di Mekah Al-Mukarramah.
Mekah Al Mukaramah, 29.04.2018.

56

Suara-suara kalbu dihimpit
deruan ombak kehidupan
silih ganti deruan angin
hingga ke langit waktu.
Puncak harapan membuka
isi hati bagai bunga
ditimpa hujan terdedah
dengan matahari
riang tanpa peduli
gelisah hati bebas ke angkasa.
Secangkir hidup
langit membiru jejak berliku
debu pasir tidak menampar pipi
tabah memetik hiba
mengukir senyum dewasa
sejuk mata memandang
matahari menjadi malu
perjuangan kehidupan
di lantai benar
susah dan senang
ialah rakit ujian.
Ia seperti dua musim
57
berkelana dalam kecewa
menjadi asing musim reda Tuhan
gerhanakan wuduk ke tikar tafakur
bila awan menggebu dalam
kesenyapan penuh rahsia mahabbah
lalu menghiasi jiwa sebagai
wasiat cinta di Jabar Rahmah.
Mei 2018, Mekah Al Mukaramah, 29.04.2018.

Hlm. 58

Mahatilara

58
Mahatilara nama pena Mansor Bin A. Hamid. Dilahirkan di Kuala Sala dan dibesarkan di Tanjong Pauh, Jitra, Kedah. Kini seorang pesara yang masih aktif menulis. Mendapat pendidikan dalam bidang Diploma Perubatan Homeopati.
Berkhidmat sebagai seorang guru dan kemudiannya sebagai Pegawai Kastam. Beliau juga pernah bertugas sebagai Pengurus Ladang Felda dan menjadi Pengetua, Pusat Latihan Felda di Trolak dan juga merupakan pegawai Institut Pembangunan Tanah (INPUT), Trolak, Sungkai, Perak.
Karya-karya beliau sering mendapat tempat di akhbar dan pelbagai majalah dengan menggunakan nama pena Maha Musy, Mahayun, Huta Gong, dan terkini dengan nama Mahatilara. Buku-buku yang dihasilkan beliau ialah Sajak Untuk Bulan, Sedang Malam Menidurkan Bulan, dan Sesepi Bulan Di Langit Piatu. Beliau juga menghasilkan beberapa antologi puisi bersama terbitan ASASI dan E-SASTERA.

59


I
Aku bukan ombak tidak juga tiupan angin membelah waktu
sepasang mata tua merenung teduh senja diburu rindu
di pantai aku kenal indah alam permai dan damai
di pundak kupikul beban dunia sebanyak tidak pernah aku tahu
aku benar-benar ditewas nyanyian lagu beracun madu.
II
Aku bukan ombak tidak juga tiupan angin membelah waktu
aku adalah gelandangan kehilangan rumah kehilangan pintu.
Langgar, Alor Setar, Kedah, 12.03.2019.

60

I
Aku tidak pernah melihat Pak Mail senyum apa lagi ketawa
apakah derita ini hidupnya atau malam hanyut bulan
terlalu sederhana tatacaranya sopan lagi bersahaja
siapa Pak Mail sebenarnya satu kampung ingin bertanya
sekadar tahu warga emas pesara tentera.
II
Aku tidak pernah melihat Pak Mail senyum apalagi ketawa
yang pasti sering paling awal ke masjid pada waktu yang lima.
Langgar, Alor Setar, Kedah, 8.03.2019.

61

I
Ayat-ayat kusut itu adalah puisiku
berlegar dalam dunia sepi gelisah bagai bara sedih bagai api
jangan ketawa jangan juga menangis padaku
ini bukan pilihanku hanya hari terus berlari
adalah gerimis membasah kenangan manis.
II
Ayat-ayat kusut itu adalah puisiku
berserakan antara ribuan kata di mataku di matamu.
Langgar, Alor Setar, Kedah, 6.03.2019.

Hlm. 62

Mokhtar Rahman

62
Mokhtar Rahman lahir di Kangar pada 23 September 1939 dan dibesarkan di Alor Setar. Bersekolah Melayu hingga darjah 5 dan Inggeris hingga School Certificate (1960). Mendapat latihan perguruan di Maktab Perguruan Bahasa dan Maktab Perguruan Ilmu Khas (Muzik). Mula menulis sejak 1954 dari genre puisi, cerpen, dan rencana dalam Utusan Kanak-Kanak, Tunas, Majalah Belia, Angkatan, Warta Mingguan, Majalah Pati, dan majalah sekolah “The Lighthouse”. Sejak awal 1960-an, banyak terlibat dalam pendidikan muzik dan kembali menulis pada tahun 2000, kebanyakan karya dimuat dalam Utusan Melayu (sisipan). Pernah memenangi beberapa hadiah penulisan khusus dalam genre cerpen dan puisi anjuran DBP, Perbadanan Perpustakaan Awam Negara, dan e-Sastera.com. Sehingga Mac 2019, telah menghasilkan sebuah antologi puisi, 44 Soneta, lebih kurang 200 sajak, 15 cerpen, 75 soneta, 10 vilanel, enam poems, dan dua ulasan soneta dalam e-Sastera.com.

63

Hati nan gundah memuji Allah
maha pengasih lagi penyayang
setiap waktu tanganku tadah.
Mohon restu-Nya, mohon hidayah
pulangku kelak ke tanah liang
hati nan gundah memuji Allah.
Saat-saatnya aku berserah
redaku bila kudrat bertandang
setiap waktu tanganku tadah.
Gawat menjengah malam nan resah
mungkinkah esok masih menjelang?
hati nan gundah memuji Allah.
Hening dan damai membelai indah
Quran di dada mengisi ruang
setiap waktu tanganku tadah.
Doa buat ibu, buat ayah
titipan rindu insan tersayang.
hati nan gundah memuji Allah
setiap waktu tanganku tadah.
Alor Setar, Kedah.

64


Saat kamu lahir ke dunia
jasadmu serba bersih dan suci
lalu kamu disambut, diriba
tanpa kamu sedia mengerti.
Saat kamu tinggalkan dunia
jiwamu tepu, sarat berisi
kamu jua disambut, diriba
tanpa kamu mampu ketahui.
Nescaya kamu lebih waspada
saatnya kamu merentas hayat
kamu yang kendalikan bahtera
mengharungi serba ruang kudrat,
Ingat! Saat lahirmu dan mati
adalah takdir dari Ilahi.
Alor Setar, Kedah.

65

Sudah begitu lama
kamu membentangkan lututmu
pada perjalanan melebihi
tiga suku abad.
Jangan hairan
kamu memerlukan sebatang kaki lagi
untuk sampai ke destinasi.
Alor Setar, Kedah.

Hlm. 66

MRT Nordin

66
Mohd Raafi bin Thohar Bin Nordin atau dikenali sebagai MRT Nordin, dilahirkan di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 22hb Julai 1993 dan kini berumur 26 tahun. Berasal dari Selayang, Selangor dan dibesarkan dalam keluarga yang sangat besar. MRT mempunyai 15 adik-beradik, dari satu ibu dan satu bapa. Apa yang lebih mengujakan, MRT anak yang ke-10 daripada 15 adik-beradik. Menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2010 dengan memperoleh keputusan yang baik. Pada pertengahan tahun 2011, MRT melanjutkan pelajaran ke UiTM, Perak untuk mengikuti kursus alam bina, iaitu Diploma Bangunan. Beliau kemudiannya berjaya menamatkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Pembinaan di UiTM, Shah Alam pada tahun 2016. Buat masa ini, MRT giat mencari pengalaman dari pelbagai bidang.

67

Ia bingkas lalu melangkah ke pejabat dengan harapan memberi Cik Farrah naskhah yang telah siap didraf sebuah notis berhenti kerja.
“Adakah ini jalan penyelesaian? Inikah yang terbaik buatku?” di kalbu terdetik sekelumit ragu.
Diambilnya itu keputusan, ada alasan bukan tak suka bekerja di situ di syarikat pemaju yang terkenal namun kepuasan bekerja adalah sifar berbanding minatnya yang mendalam terhadap aktiviti kesusasteraan Melayu.
Sekilas lalulah ayat hasrat sudah lama dipendam olehnya antara tugas dengan minat maka minat yang lebih memberat.
Berlabuhlah minggu terakhir kerja hatinya diserang pelbagai rasa sedih bertambah pilu tujuh bulan lamanya bersama kini mengambil langkah bertentangan pergi tinggalkan segala yang ada.

Di majlis perpisahan buat dirinya diluahkan salam pungguk buat Cik Farrah, buat rakan, buat kerjaya.
Kuala Lumpur, 15.07.2017.

69

Apalah raya tanpamu bonda kau tinggalkan dunia fana ketika daku kelana remaja.
Baju biru nan baharu, tiada tampak baharu birunya kuih semeja nan enak belaka tiada selera bersua.
Aidilfitri hari gembira, bukan duka hati hanya mendamba sebuah senyum rayamu, bonda.
Aku menantimu wahai syurgaku walaupun kutahu, penantian yang tertunggu-tunggu.
Kuala Lumpur, 25.06.2017.

70

Jasa ayah tiada bandingan amat besar lagi mulia mendidik anak supaya berguna menegur anak jika terlupa merotan anak jika berfoya-foya. Jasa ayah tiada semua diingati kerana ibu wanita mulia ayah juga bergantung kepadanya jadi ayah dilupakan jua tatkala hidup di dunia. Kuala Lumpur, 20.12.2017.

71

Nur Ain Hanis

71
Nur Ain Hanis ialah nama pena Noriani Binti Hashim. Beliau seorang guru dan kini melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia dalam bidang Sarjana Kesusasteraan Melayu. Menganggotai Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), E-SASTERA, dan Jom Sastera. Karyanya pernah tersiar di dalam akhbar Berita Harian, Mingguan Malaysia, New Sabah Times, Mingguan Perdana, dan Harakah. Karya puisi terkumpul dalam antologi bersama seperti Menempah Ruang di Sepanjang Perjalanan (Asasi, 2011), Layang-layang Impian (Asasi, 2012), Sensasiber: Antologi Puisi Siber 2011 Pilihan Puzi Hadi (E-Sastera, 2011), E-loka: Direktori Penyair eSastera Malaysia (E-Sastera 2011), Sayembara Puisi Tahun Melawat Terengganu (2013), Antologi Bulan Suram Di Langit Kashmir (E-Sastera, 2014), Segenggam Tasbih (Asasi, 2014), Merungkai Mimpi (Asasi, 2015), Menyusuri Denai Rindu (Asasi, 2016), Sang Pencinta (Asasi, 2018), dan Ceritera Dari Pulau (Asasi, 2019).

72

Seringkali kita catatkan ceritera kehidupan tanpa noktah berbaris kenangan antara lembar cinta episod suka dan duka tumpah di buku sanubari. Pertemuan demi pertemuan berpadu kata menguji setia menjadi sejarah perjanjian di kota impi. Artifak pengalaman kalam pegangan panduan diri. Pesta Buku Antarabangsa,
PWTC, Kuala Lumpur.

73

Ledakan mortar
membakar sebuah kehidupan
terpercik luka di langit Gaza
mengalir darah syuhada
punah seluruh jiwa
runtuh kemanusiaan.
Tdak aku gentar
tidak aku takut
bercerita tentang duka
memikul semangat bangsa
menegak bendera juang
perangi laknatullah!
Mata berkaca
kian meredup sayu
terkapai-kapai
mencari tangan-tangan simpati
hulurkanlah.
Selamatkan Palestin!
USM, Minden.

74

Sesekali dia membelek
cermin kehidupan
pantulannya kusam
habuk duga melekat
retak cermin impi
bayang wajahnya suram
senja kian berbalam.
Telah berkali-kali
cermin itu dibersihkan
pada sepi pekat malam
saat hening sunyi
menitis kesal
ke bingkai pasrah.
Jitra, Kedah.

75

Putraery Ussin

75
Pada 18 Februari 1977, telah lahir insan kerdil ini yang dianugerahi dengan kebolehan menulis yang ala kadar, katanya. Beliau lebih gemar dikenali dengan nama Putraery Ussin untuk setiap karya yang diterbitkan, walaupun ini bukan nama sebenarnya yang diberikan oleh ibu bapanya, iaitu Husairi Bin Hussin. Putraery mula giat berkarya apabila mendampingi ASASI, biarpun berkarya, yakni menconteng, sudah lama menjadi darah dagingnya. Sehubungan dengan itu, beliau mengharapkan, dengan menggauli E-SASTERA, akan lebih mengenalkan dirinya kepada dunia penulisan yang serba indah ini. Beliau berpendapat bahawa beliau boleh jadi apa-apa sahaja hanya dengan sebatang pena.

76

Sekeping kertas berwarna putih
dicoret pesan buat kekasih
pasti sayangnya, ditimang-timang tanpa henti.
Sekeping kertas masih berwarna putih
dicetak pelbagai cerita
akan pudar pabila dijaja-jaja
kisah suka; ketawa ria
tertera duka lara; derita berair mata
warnanya kusam tiba-tiba.
Sekeping kertas putih
lembut bak kain bersih
tika pedih pasti sedih merintih-rintih
laplah leleh agar menyerap segala sisih
hentikan semua jerih-perih.
Sekeping kertas putih; lebar dan luas
cukupkah ruang untuk dilukis?
memohon pada dunia
juga ditampal pada kaca turus hina
menutup aib yang tertera
tetapi; bukan untuk mereka sedar
cuma untuk bertahan seketika
pada hari-hari yang mendatang.
Aibnya Kuala Lumpur, 11.07.2018.

77

Kelmarin kau masih bersamaku
kita menikmati rasa keliru
selepas itu kau masih bersamaku
kita berkejar-kejaran di padang berbatu-batu.
Senja itu kau masih bersamaku
termanggu-manggu satu persatu
selepas itu kau masih bersamaku
kita bersenda dan ketawa tentang waktu.
Malam itu kau masih bersamaku
sekali lagi menurut tingkah ajarku
selepas itu kau dan aku hilang tuju
menyembunyikan rasa keliru.
Pada subuh itu kau sudah tiada bersamaku
adakah itu takdir yang ternoktah begitu?
kini aku sendirian menikmati rasa sebu
pahit, manis, dan lemak kutelan satu persatu.
Setahun tak sudah-sudah.
KL-Kedah. 09.01.2019.

78

(Tanah tinggi Arab)
Sejauh manakah luar biasanya?
suatu ketika…
menghentam segala kebaikan semua
melalui bait-bait kata yang mempersona.
Luar biasakah lagi?
pabila lupa diri semuanya menjadi sisa-sisa
pasti hancur pabila hendak dijulang ke langit
untuk dihempaskan ke bumi.
Pun begitu kini
pengakhirannya
disayangi setiap masa
indah menjadi tumpuan mata.
Ziarah Taif, 10.12.2018.

79

Puzi Hadi

79
Mohamad Puzi Bin A Hadi berasal dari Kulim, Kedah. Lahir pada 9 Mei 1951. Pendidikan rendah dan menengah di Kedah, Pulau Pinang, dan Kuala Lumpur. Menerima ijazah Sarjana Muda Sastera (Kesusasteraan), USM Pulau Pinang (1998). Juara pertama, Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah dan Peringkat Kebangsaan (1987). Kini Ketua Satu, Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) mulai Februari 2019; sebelumnya Ketua Dua ASASI sejak 2015 hingga 2019. Ahli Jawatankuasa E-SASTERA bagi penggal 2018/2020. Menerima anugerah Sasterawan Alam Siber (SAS) daripada E-SASTERA (2015), Tokoh Seni Budaya Negeri Kedah (2016), dan Anugerah Sanjung Budi Sastera daripada Yayasan Tunku Kassim, Negeri Kedah (2018).

80

Berkelakar di atas pentas kami di lantai berketawa lagakmu penuh derita khalayak bersapu air mata gayamu sungguh ceria penonton berdekah ketawa. Dewan ini nyawamu ganjaran dibawa pulang di rumah kau nyenyak diusap mimpi atau mamai penonton bertepuk tangan selagi tak beredar keluar kemudian sepi dan sunyi sendirian kau di jalanan. Itulah kerjamu hari ke hari membaca menghafaz skrip agar kalimatmu bermakna ada kaca duka ada cermin ceria ke hati mereka kekosongan minta dibelai helai tangis dan ketawa. Februari 22, 2019.
Facebook Puzi Puzihadi @ Jumaat, 22.02.2019 jam 4.03 PM.

81

Sesak jalan waktu pagi warung jual makanan kiri dan kanan gigi jalan menggamit pelanggan antara ramai dan sedikit jerihnya mencari rezeki halal di bawah terik mentari angin dan hujan sesekali berderu kereta tak berhenti dan ada mahu bersinggah membelek dan membeli tapi masih banyak di meja. Dan kereta hitam bersinggah beberapa orang turun oh, pasti rezeki mewah kesekian menanti pelanggan. Aduh, nasib malang apalah penguatkuasa beraksi berang berkata dua bahasa undang-undang mengangkat nada serigala penjaja ketakutan dibahamnya dan menyergah bahasa duka
82
hilang akhlak budaya bangsa bersurat merah bersengketa tiada maaf peniaga tepi jalan.
Februari 23, 2019.
Facebook Puzi Puzihadi @ Sabtu, 23 Februari 2019 jam 4.12 PM.

83

Musim kering membahagiakan tuan tanah berbulan berkeluh kesah kisah bendang memugar tanah menanti air memenuh petak menabur benih, menanam kehijauan padi berbaja dengan lelah keringat bawah mentari tapi rumput, bena perang, burung tak terlawan berdoa agar tiada musibah menjengah tetiba. Wah, hijaunya sudah menguning pandangan suburkah butir padi kala jentuai siang malam dan lori bersetia bawa ke kilang padi Cina tersenyum tuan tanah ataukah pesawah punya nanti berapa subsidi sesudah dikira beratnya. Kala petang jerami bersepah dikumpul dalam angin kencang dibakar berasap hitam mengepul ke udara dibawa angin sana sini berterbangan jerami ke rumah tak terkawal. Oh, ada jerami nasibnya tak kecundang dipungut mesin digumpal jerami gulung berbondong menanti lori bawa ke kilang entah apa nasibmu selepas ini, aku tertanya.
Februari 26, 2019.
Facebook Puzi Puzihadi @ Selasa, 26 Februari 2019
jam 11.33 AM.

84

Shirley Idris

84
Seorang “Cancer Survivor”, beliau juga bergerak aktif dalam persatuan-persatuan NGO sebagai penceramah bebas dan seorang aktivis seni yang memperkenalkan Puisitari. Beliau membuat persembahan sehingga peringkat ASEAN di Indonesia, Brunei, dan Singapura. Beliau juga diiktiraf sebagai Ikon Seni dan Budaya dan Role Model 2018 di Sambutan Hari Wanita Sedunia Pulau Pinang sebagai sumbangan beliau sepanjang penglibatan dalam bidang kesusasteraan dan kesukarelawan. Beliau telah menghasilkan himpunan puisi beliau sendiri iaitu Perempuan Serpihan Malam dan karya beliau juga tersiar di akhbar, majalah, dan antologi di dalam negara juga di luar negara. Beliau juga ialah Presiden, Persatuan Penulis Wanita yang pertama di Malaysia, iaitu Persatuan Penulis IKOSAS, Setiausaha Agung NUMERA, juga ahli ASASI dan Persatuan Karyawan Pulau Pinang.

85

Lenamu yang pualam
tidak mampu runtuhkan tebing semangat juang
kewujudan rasa
bermonolog dalam dirinya sendiri.
Badai-badai jiwa yang tertahan
tenggelam dalam suara-suara kemunafikan
toleransi dan sengketa
menusuki goyah menabur keringat
berloncatan semusim yang dikenang
pada negeri-negeri yang jauh.
Antara kaum dan agama
curiga berhamburan prejudis
pada satu titik
kita kongsi bersama.
Pulau Pinang, April 2019.

86

Saat embun-Mu menitik di dada subuh
menderap-derap mimbar tasbih jiwa nan lena
mendenyut nadi kealpaan
berimbal detik kehidupan.
Bergumam rinai dingin Al-Dharuriyat
mencari-Mu Maqasid
dalam hasad dan kemaslahatan
dalam infak dan perjuangan
dalam kasih dan kasihan
dalam takzim dan mustakim
dalam kesempurnaan hati yang zuhud
dalam riak dan takbur.
Saat hidup ini terlalu suntuk
mencari aku-Mu
dalam detak waktu ruhku yang tidur.
Pulau Pinang, April 2019.

87

Melarik laungan kota
bergelut getir
berzaman melarung lara
dalam kekonyolan dan kekerasan
iman merajut kealpaan.
Luka-luka menganga
mimpi-mimpi melata
doa-doa pasrah
dibakar hangus leluhur
disayat antara detik
di rumah hayatnya.
Palestina
bersih lukamu di sejadah kumal
biar hanyir darah mengalir
pada sari kehidupan
mengelepar di ranting iman.
Pulau Pinang, April 2019.

88

Wadiassofi Jaafar

88
Berkecimpung dalam dunia penulisan sastera genre puisi, cerpen, rencana sastera dan ulasan buku. Pernah memenangi Hadiah Penghargaan Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1998 kategori cerpen remaja, Hadiah Pertama Pertandingan Mengarang Puisi Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1998 anjuran Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Hadiah Pertama Pertandingan Menulis Cerpen anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM). Merbok 2012, Hadiah Penghargaan Pertandingan Menulis Puisi 2012 anjuran Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), Hadiah Penghargaan Pertandingan Menulis Puisi Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Wilayah Utara 2015 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Hadiah Pertama Pertandingan Menulis Puisi Sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah 2018 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah dan Hadiah Penghargaan Pertandingan Menulis Puisi Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Wilayah Utara 2018 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara.

89

(Di Alam Siber)
Kurenung kembali tirai semalam
yang mencetuskan ilham untuk berpuisi
di alam maya dengan sepenuh hati
agar aku dapat mencurahkan idea
untuk kukarang kembali dengan seadanya
pada blog sastera yang bertamadun ini
yang merungkai segala kekusutan hati
agar aku menjadi seorang penulis sejati
di alam maya yang penuh misteri.
Inilah realiti yang mungkin pasti
pada gedung ilmu yang penuh hakiki
di sebalik blog sastera yang memurnikan jiwa
untuk melestarikan kata-kata pujangga
pada abad mendatang yang bersulam kejora
di ruang-ruang metafora penuh diksi
untuk dirangkum menjadi nilai yang murni
pada jiwa yang abadi seteguh kendiri.
Teknologi masa kini memberi ilham
untuk menuturkan kata-kata yang manis
agar puisi yang dikarang itu
mampu menterjemahkan makna yang baik
kerana kata-kata yang terungkap itu
memberikan kepastian yang nyata
90
agar mampu melahirkan karya yang bermutu
di sebalik nilai harapan yang tinggi
pada sebuah kehidupan yang abadi
ternoktah sekelumit jiwa di sanubari
kerana alam maya yang ditunjangi
mampu mengerdipkan sejuta pasti.

91

Mari semarak setiap kali,
sedia nasi untuk juadah;
persatuan bergerak untuk ahli,
itulah ASASI Negeri Kedah.
Pekan Kuah Kuala Perlis,
menyambut mesra Dataran Helang;
ASASI sebuah persatuan penulis,
memartabatkan sastera penuh gemilang.
Pagi diisi dengan senyuman,
setiap dugaan meninggalkan kesan;
ahli ASASI sungguh budiman,
melakar kejayaan dalam penulisan.
Pergi pekan dengan saudara,
dunia informasi kian terbilang;
mari semarakkan dunia sastera,
agar ASASI terus cemerlang.
Menuju ke kota menjadi tradisi,
membeli jaring si anak kelasi;
jadilah kita ahli ASASI,
bergerak seiring menuju transformasi.
92
Memasak nasi sebagai santapan,
burung merak secantik ciptaan,
ahli ASASI mencipta kejayaan,
ASASI bergerak sebagai persatuan.
Indah bulan cantik pandangan,
beli kerusi di kedai papan,
setiap kejayaan kita raikan,
membuktikan ASASI bergerak seiringan.
Daun keladi di tepi pintu,
sastera dijulang tidak terbilang,
Puzi Hadi Ketua Satu,
ahli cemerlang ASASI gemilang.
Meraut lidi bersama ketua,
anak kelasi tetap bersuara,
Zaidin Abadi Ketua Dua,
mewarnakan ASASI di puncak menara.
Setiap misi perlukan keyakinan,
anak dibela dengan mesra,
jadikan ASASI sebuah persatuan,
dalam membela penulis sastera.

93

Setiap keputusan perlulah positif,
Dalam membina jati diri,
ASASI terus bergerak aktif,
Dalam memacu transformasi negeri.
Bersopan-santun anak teruna,
Memetik setangkai bunga kejora,
ASASI dicorak dengan sempurna,
Bagi mengembalikan kegemilangan sastera.
Dari hulu terus ke muara,
Berhati-hati ketika mengembara,
ASASI dilihat penuh mesra,
Bersama berganding memartabatkan sastera.
Jangan dipilih untuk muflis,
Tanamkan iltizam untuk berjaya;
ASASI sebuah persatuan penulis,
Membela ahli dengan sebaiknya.
Pergi berkelah di Segantang Garam,
Singgah membeli ikan bilis;
ASASI mengadakan pelbagai program,
Untuk membentuk setiap penulis.
94
Setiap kenangan adalah memori,
Jangan diikutkan kata hati;
ASASI ibarat seorang puteri,
Bermadah berpuisi sepenuh hati.
Indah sungguh Negeri Perlis,
Gua Kelam menjadi tarikan;
ASASI berjaya mendidik penulis,
Melakar kejayaan demi kejayaan.
Cantik berseri pada pandangan,
Jangan dilihat pada pertuturan;
ASASI menempuh pelbagai dugaan,
Dalam mencorak sebuah persatuan.
Dengarlah kata-kata seorang suami,
Dalam mendidik isteri budiman,
ASASI tetap di hati kami,
Menongkah cabaran sepenuh perhatian.
Pergi ke kedai membeli bihun,
Bihun dibeli bersama rambutan,
ASASI genap 44 tahun,
Pelbagai kenangan menjadi ingatan.

95

Zaidin Abadi

95
LAHIR 63 tahun silam (kini 2019), mula berkarya sejak 1972 dalam genre puisi dan cerpen. Turut menghasilkan skrip drama radio, drama pentas, rencana, dan novel. Pernah memenangi beberapa sayembara penulisan di peringkat negeri dan kebangsaan dalam bidang puisi, cerpen, dan skrip drama pentas. Sejak 1990 hingga 2019, sebanyak lapan buah buku persendirian (puisi, cerpen, dan novel) serta 30 buah antologi bersama telah diterbitkan. Bergiat dalam persatuan penulis dan pernah memegang jawatan Ketua Satu, Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dari tahun 2015 hingga 2018.

96

Pemisah kita hanyalah garisan tak bertanda
atas kertas ukuran wilayah dan daerah
sedang kita masih serumpun
sepohon asal
seakar turunan,
meski dekad berganti
sejarah kekal mekar di hati
esok dan hari-hari berganti.
Pewaris kita usah putuskan ukhuwah
sekalipun tutur bicara
adat budaya
semakin dimakan usia
namun kita perlu pertahankan
usah dipangkas ranting dan dahannya.
kerana inilah rumpun kita.
Hari ini menjadi saksi
serumpun mekar berkembang di sini
bersua wajah
berbicara sebahasa
menggilap kembali sejarah lama
sewaktu wilayah kita masih belum bertanda
kita bernaung di bawah bumbung yang sama.
97
Usah gusar pada gelodak masa
atau gelora suasana
rumah kita meski dipisah garis sempadan
istana kita masih kekal di hati
masih utuh perasaan
kasih dan sayang
turunan serumpun.
Alor Setar, Kedah, 17.12.2016.

98

Wangi pagi ini adalah api harapan kuselit ke sanggulmu menjadi segunung impian kupacakkan di ladang kasih tumbuhlah merendang payungi siang dan malam dengan sejuta keindahan, usah berasa sangsi benih ini akan membesar merimbun sepohon kasih di pinggir damai hati.
Andai sinar bulan terpadam tersangkut di dahan malam ladang ini tidak mungkin kelam bebunga mekar bersinar agam. Alor Setar, Kedah, 14.04.2018.

99

Panas menyapa dada tika kuredah bengis angin mencari seranting kasih yang kian rapuh di bawah awan senja matahari pun memanah amarahnya. Sayap direngkuh lelah bagai seketul batu berpaut merangkul sekepal daya menguak kelam yang dalam mencari jalan pulang bulan pun gerhana pada rembang malam. Akulah si burung yang sesat itu pada mencari jejak-jejak rindu di dasar langit ungu. Alor Setar, Kedah, 5.04.2018.

100

Zainon Mohd Noor

100
ZAINON MOHD NOOR
Dikenali juga dengan nama pena sebagai Punai Pujangga. Beliau berasal dari Changlun, Kodiang, Kedah. Menjadi ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Pernah terlibat bersama Grup Puisi Pinggiran sekitar tahun 1980-an. Karya-karya beliau sering mendapat tempat di akhbar tabloid dan juga majalah seperti Dewan Sastera, Nona dan lain-lain lagi.

101

Berlindung di sebalik bayang ketika angin bertiup
berteduh di sebalik rimbun semasa awan berarak
bersinggir di setengah hidup selama waktu berlabuh
terlalu diam
memang fana.
Di hujung malam
lampu kecil di pelabuhan
jauh
kapal hilang ditelan dinding
menyeberang bunyi-bunyi
berjalan atas nipis asin laut
subuh.
Kodiang, Mac 2019.

102

Putihnya kosong
kosong itulah keadaan
selat angin di jambatan
nyata
sekeping kertas, helai tak pernah hilang
jadi rahsia ceritera kita segenap alam.
Aku seorang tua, terlalu tua untuk digantung
alasan hukuman tiada pilihan lagi
selain menghitung waktu di rumah kita
merenung kecukupan uban di kepala
lewat anak-anak dewasa.
Kodiang, Mac 2019.

103

Antara seribu satu malam
satu malam
malam pertama
pertama kali kehausan cinta
jadi nipis setebal sangsi
jadi panjang sejauh angin
jadi luas sedalam sungai
sebermula langkah melaut
nafas pertama
antara hidup satu tanggungjawab
satu tanggungjawab.
Di mana lelaki seorang suami
mencari perempuan di mata isteri.
Kodiang, Mac 2019.

104

Zakiah Bahari

104
Berasal dari Langgar Alor Setar, Kedah. Seorang pesara. Berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan (STP). Seorang ahli ASASI, ahli Majlis Belia Daerah Kota Setar, Jawatankuasa Anak-Anak Bermasalah (OKU). Sebagai pengadil dalam sayembara puisi peringkat daerah, negeri dan persekutuan. Selaku pengadil nasyid Jabatan Agama Islam Negeri Kedah dan Juri Penulisan Kemas Negeri Kedah. Mendapat Anugerah Bintang Kebesaran Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada tahun 1981, Bintang Kebaktian Masyarakat (BKM) pada tahun 1990 dan Pingat Pangkuan Negara (PPN) pada tahun 1998. Mula menulis sejak tahun 1971 dan menghasilkan kumpulan puisi Perempuan Dan Dirinya, 300 buah puisi yang belum dibukukan dan antologi bersama penulis-penulis lain.

105

Tidak apa yang dapat kuberikan kepada kalian
hanya seputih jari menadah kasih dan simpati
bersatu berpadu di bawah rumpun rindu
berpayung dengan rahmat yang dipohon
anak-anak generasi kasihku sayangku
menjanjikan kalimah rahmat-Mu
atas kebesaran-Mu.
Waktu ini Kau simpan seribu rahsia
semuanya menjadi cengkaman diri
akhirnya di sini apa yang diamati
sepanjang perjalanan pasti kembali.
Jangan Kau lenyapkan nota-nota perjanjian
debaran harus diolak-alikkan
kami menyerah kepada-Mu, ya Allah
kalaulah diri masih terpaku di jiwa
akan kudengar betapa kepayahan yang dimiliki
walaupun seribu tahun tapi tersemat
di sanubari.

106

Di mana-mana ada fitnah
di masjid-masjid
gereja-gereja
majlis anak-anak muda dan dewasa
kampus-kampus
institusi pemimpin-pemimpin
juga di gedung pertandingan
fitnah bermaharajalela
membekal pusaka
esok lusa semuanya percaya
fitnah menyaksikan pembuka bicara.
Kemudian lalu gendang dipalu
tabah menunggu membawa isu
malam mengundang
rahsia fitnah hilang entah ke mana
ia ibarat seperti dahaga dosa
pencerita berita.

107

Semasa aku sedang menulis puisi
sambil berangan-angan jauh
sampai ke langit ketujuh
betapa gegar irama mesin lapuk
mengerti angan-angan itu
rahsia diri
secara tersembunyi.
Tapi kita belum terlambat
mencampakkan ayat-ayat
secara puitis
semoga ia mendakapi
menumpangkan emosi.
Kini aku sedang mengepong
kata-kata simbolik
antara dunia dan fantasi
siapakah yang dapat dinilai
harmoni dan simponi
mistik atau mantera
akan sampai matlamat sebenarnya.

108

Zaleena E-Naa

Zaleena E-Naa dan J.A.Anilaz ialah nama pena kepada Zalina Ahmad. Beliau adalah Munsyi Dewan DBP sejak tahun 1998. Beliau menulis dalam genre sajak, cerpen, puisi tradisional, rencana dan ulasan buku. Karya eceran berbentuk puisi tersiar di Mingguan Malaysia, Sinar Harian, NST, majalah Wanita dan Jendela Utara. Penulis artikel kolum “Oh, Bahasaku!” di Sinar Harian. Terlibat dalam penulisan buku antaranya antologi cerpen Memorabilia (2009), Selagi Masih Muda (2010), Terima Kasih Cikgu (2011) dan Suara Kekasih Rindu (2017). Antara karya terbarunya ialah antologi Gerimis Munajat dengan cerpen “Queen” (2018), Gema Membelah Gema (Gapena, 2018), Pantun Berkait (Penerbitan Tabir Alam, 2018), Dari Dapur Penulis (Penerbitan Tabir Alam, 2018), Mahkota Ratu dengan cerpen “Kerubung Kasih Umi” (2018), Merekat Retak Cermin Tekad Nusantara dengan sajak “Aksara Ukhuwah” (Gapena) 2018, antologi puisi Kembang Mewangi (Gapena) dan Ceritera Dari Pulau bersama karyawan ASASI (2019).

109

109
Bilah-bilah hari
tidak terus tegak di garis kehendak
condong sendeng adalah perjalanan
simpang perenang adalah ujian
semuanya basa-basi kehidupan.
Terbanglah dengan segala kudrat
selagi mampu
sampai suatu detik
jika tak berdaya
mahupun untuk berteleku
payah dan gundah
berteriaklah atas nama Tuhanmu
kau masih punya waktu
percayalah!
Pada alur waktu yang bersisa
minda kian sedar
waktu berpulang
sudah dekat.
Borobudur, Jakarta, 2.02.2018.

110


Dari cangkir rasa
leleh tumpah ke piring jiwa
asap bertunda-tunda
hangat menyelau tubir mata.
Sinar berbalam pada derai mutiara
degup jantung mencungap
sepi bergayutan di alang atma
tak terlayan gejolak rasa
menggigit penebat jiwa
hampir kumerana.
Kembaraku mencari damai
tebas akar kemunafikan
biar lolos bertempiaran
lalu menapak ke ruang bebas
mencatur kehidupan duniawi
mengepit ukhrawi di hujung jari
Cangkir rasa terpenuh
buang geruh
peragut kantung tenang
kian luluh.

Gua Cenderawasih, Kangar, 3.03.2019.

111


Malam hadir bulan jingga
siang mentari terjaga garang
rekah kontang
sawah ladang tenat.
Rimba nanar
angin kering hangat
flora fauna tenat.
Sungai menangis lesu
pusar di tengah mati
haruan keli puyu merintih
mahu hidup untuk menghidupkan
selera pencinta dan kaum kerabat.
Lembar-lembar munajat sekalian umat
lontar ke langit
doa hujan bukan kiamat.
Tasoh, Kangar, 20.03.2019.

112

Zarida Rasdi

Zaridah Ahmad atau nama pena Zarida Rasdi dilahirkan di Butterworth, Pulau Pinang. Mendapat pendidikan di SMK Convent Butterworth dan Universiti Malaya. Pernah bertugas di Pusat Perubatan Hospital Universiti Kuala Lumpur, Hospital Universiti Kubang Kerian, Kelantan, Hospital Lam Wah Ee, Pulau Pinang dan jawatan terakhirnya sebagai Ketua Penyelia Jururawat Pendidikan (Matron) di Unit Pendidikan, Jabatan Kesihatan Awam, Pulau Pinang. Mula berkarya sejak tahun 2015 dalam bidang puisi. Simfoni Gagak Rimba adalah antologi puisi pertama beliau. Sejak 2017 memberi tumpuan kepada genre novel. Novel sulungnya Mantera Mahabbah memenangi Hadiah Utama Sayembara Penulisan Karya Kreatif ASASI 2017 anjuran Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI).

113

113
Ketika kuhafaz tangkisan angin
tekuni jurus memunggah awan
bulan bagai ketuaan ditelan masa
langit sepi namun sentosa
ketika kau tetap abadi menatap alam
aku telah pergi di julai malam.
Jika esok hujan turun mencurah,
atma ini telah kalis basah.
28.02.2019.

114

114
Di sela-sela sunyi
pada adu-adu rindu
Kau ada-ada selalu
tak berkira-kira waktu
menembus dinding-dinding seru.
Di hela-hela nafas
pada detak-detak jantung
dalam alur-alur darah
pugar benih-benih mahabbah
di setiap simpuh sembah.
Muhibbi…
pemilik jiwa dan ruh
pada-Mu penuh seluruh
mahabbahku berlabuh.
23.09.2018.

115

115
28.04.2017.
m
u d
l e a
e g m a i
b u a k d a
e p r h a n
s a i i n d
Bertaubatlah… n r a… berhentiii!!

TAMAT.